Wednesday, December 17, 2025

Menjaga Kemuliaan Dan Kesucian Al-Qur'an

Menjaga Kemuliaan Dan Kesucian Al-Qur'an

Al-Quran adalah kalam Allah Subhanahuwataala yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam melalui perantaraan malaikat Jibril alaihissalam, dalam bahasa Arab yang jelas. Ia sampai kepada kita secara mutawatir iaitu bermula dengan surah al-Fatiḥah dan berakhir dengan surah al-Nas. Membacanya adalah ibadah, memahaminya satu keperluan, dan mengamalkannya merupakan tuntutan iman.

Allah Subhanahuwataala menurunkan al-Quran sebagai panduan sempurna bagi kehidupan manusia. Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam Surah al-Baqarah, ayat 2,

ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya:''Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa''.

Al-Quran adalah cahaya yang menerangi jalan hidup, menjelaskan kebesaran dan kekuasaan Allah, mengandungi peraturan hidup yang sempurna, dan merupakan mukjizat agung yang kekal sepanjang zaman. Ia adalah anugerah terbesar kepada umat ini sebagai rahmat, pedoman dan sumber kekuatan yang tidak akan pudar.

Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam surah al-Kahfi ayat 1-2,

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَلْ لَهُ عِوَجًا ۜ. قَيِّمًا لِيُنْذِرَ بَأْسًا شَدِيدًا مِنْ لَدُنْهُ وَيُبَشِّرَ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا حَسَنًا

Maksudnya:''Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya Al Kitab (Al-Quran) dan Dia tidak mengadakan kebengkokan di dalamnya''. Sebagai bimbingan yang lurus, untuk memperingatkan siksaan yang sangat pedih dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amal saleh, bahwa mereka akan mendapat pembalasan yang baik.

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَـٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad)' Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan Al-Quran , mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu''. Surah Al-Isra’ ayat 88

Al-Quran dikatakan sebagai sebuah kitab mukjizat kerana makahluk tidak akan mampu dan mustahil untuk mendatangkan sebuah kitab semisal al-Quran sekalipun terdapat gabungan dan kesepakatan antara seluruh manusia dan jin dalam . Sudah tentu perkataan makhluk tidak akan boleh menyamai perkataan Yang Maha Pencipta, yang tiada tandingan dan tara. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 8/4024)

Sejak al-Quran diturunkan, ianya telah dipelihara dengan begitu rapi. Ramai penghafaz al-Quran setiap zaman bermula zaman Rasullullah Sallallahu'alaihiwasallam lagi hinggalah ke hari ini. Al-Quran juga dipelihara dalam bentuk tulisan dimana pada peringkat awalnya ramai penulis al-Quran menghasilkan mushaf. Dan selepas perkembangan teknologi, al-Quran dihasilkan dalam bentuk percetakan.

Semua penjagaan al-Quran dalam bentuk mushaf dan hafazan menjadi bukti yang kukuh bahawa al-Quran terpelihara dari segala kesalahan dan kekurangan. Ini bertetapan dengan firman Allah Subhanahuwata’ala,

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (Al-Quran), dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya''. Surah al-Hijr ayat 9.

Al-Syahid Hasan al-Banna berkata: “Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala dengan cara membacanya.

Dalam sebuah hadith daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

إِنَّ هٰذَا الْقُرْآنَ مَأْدُبَةُ اللهِ فَتَعَلَّمُوْا مَأْدُبَةَ اللهِ مَااسْتَطَعْـتُمْ. إِنَّ هٰذَاالْقُرْآنَ حَبْلُ اللهِ الْمَتِيْنِ وَنُوْرٌ مُبِيْنٌ وَشِفَاءٌ نَافِعٌ وَعِصْمَةٌ لِمَنْ تَمَسَّكَ بِهِ وَمَنْجَاةٌ لِمَنِ اتَّبَعَهُ لاَيَعْوَجُ فَيُقَوَّمُ وَلاَيَزِيْغُ فَيَسْتَعْـتِبَ وَلاَتَنْقَضِى  عَجَائِـبُهُ وَلَمْ يَخْلَقْ عَنْ كَثْرَةِ التِّرْدَادِ أُتْلُوْهُ فَإِنَّ اللهَ تَعَالىَ يَأْجُرُكُمْ عَلَى تِلاَوَتِهِ بِكُلِّ حَرْفٍ عَشْرُ حَسَـنَاتٍ أَمَا إِنِّيْ لاَأَقُوْلُ آلمۤ عَشَرَةٌ وَلـٰـكِنَّ  اْلأَلِفَ عَشَرَةٌ وَاللاَّمَ عَشَرَةٌ وَالْمِيْمَ عَشَرَةٌ

Maksudnya: “Al-Quran ini adakah hidangan Allah.Oleh itu hadaplah hidangan Allah ini sepuas hati kamu. Al-Quran ini adalah tali Allah (cahaya yang menjadi petunjuk), cahaya yang terang dan ubat yang mujarab, pengawal bagi orang yang berpegang dengannya, penyelamat bagi orang yang mengikutnya, sesiapa yang tersesat akan dipandunya, sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan, keajaibannya tiada henti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun diulang. Bacalah kerana Allah, kerana ia akan memberikan kamu ganjaran jika kamu membacanya setiap satu huruf sepuluh ganjaran. Saya tidak katakan Alam Laam Miim sebagai satu huruf tetapi alif (1 huruf) dan Laam (1 huruf) dan Miim (1 huruf)''. Riwayat al-Hakim

Al-Quran pada asasnya adalah bacaan dan bukan tulisan. Turunnya wahyu, penyampaiannya, periwayatannya dilakukan secara lisan dan hafazan dan bukannya tulisan. Apa yang dimaksudkan dengan membaca al-Quran pada zaman dahulu adalah membaca daripada hafazan dan tulisan hanyalah wasilah semata-mata. Ini kerana, ayat-ayat al-Quran dijadikan tulisan di atas tulang belulang, kulit haiwan dan lain-lain berdasarkan hafazan daripada memori seorang muqri’. Tradisi periwayatan melalui hafazan dengan isnad yang mutawatir ini diwarisi turun temurun telah terbukti menjamin keaslian al-Quran itu sendiri.

Pada zaman Nabi Sallallahu'alaihiwasallam, Al-quran masih ditulis pada pelepah kurma, papan, kulit binatang, tanah keras, batu dan lain-lain. Beberapa sahabat memiliki catatan kumpulan wahyu ilahi ini, di antara mereka yang masyhur adalah Zaid bin Tsabit Radhiyallahu Anhu. Tatkala Kalamullah diturunkan, Rasulullah segera memanggilnya seraya berpesan. Dari Al Baraa` radiallahu ia berkata,

 قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ادْعُ لِي زَيْدًا وَلْيَجِئْ بِاللَّوْحِ وَالدَّوَاةِ وَالْكَتِفِ أَوْ الْكَتِفِ وَالدَّوَاةِ ثُمَّ قَالَ اكْتُبْ { لَا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ

Makasudnya:''Nabi ﷺ bersabda, "Panggilkanlah Zaid bin Tsabit, dan hendaklah ia membawa alat tulis dan tinta serta tulang." Kemudian beliau bersabda, "Tuliskanlah: ' لَا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ''. Riwayat Bukhari (4606)

Pemeliharaan Al-Quran berlaku sejak zaman Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Penulisan wahyu dibuat dengan ketelitian tinggi di bawah pengawasan Baginda Sallallahu'alaihiwasallam. Setiap kali menerima wahyu, Baginda Sallallahu'alaihiwasallam akan mengarahkan ia ditulis oleh para sahabat radiallahu anhum dalam kalangan penulis wahyu, antaranya Saidina Ali bin Abi Talib, Ubai bin Ka'ab, Muawiyah bin Abi Sufyan dan Zaid bin Thabit radiallahu anhum. 

Dalam satu riwayat disebutkan bahawa Zaid bin Thabit radiallahu anhu berkata,

كنتُ أكتبُ الوحيَ لرسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم ......فإذا فرغتُ قال اقرأْه فأقرأَهُ فإن كان فيه سَقطٌ أقامه ثم أخرجُ به إلى الناسِ

Maksudnya:''Aku pernah menulis wahyu di sisi Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam..... Apabila aku selesai menulis, Baginda bersabda: ((Bacalah kepadaku apa yang engkau tulis.)) Lalu aku membacanya. Jika terdapat kesalahan atau kalimah yang tidak ditulis, Baginda akan memperbetulkan. Kemudian aku bawa wahyu tersebut keluar untuk dibaca kepada manusia''. Riwayat Al-Thabrani(4889)

Ini membuktikan bahawa talaqqi, semakan dan pengesahan wahyu dilakukan secara sistematik dan terjaga, sehingga sampai kepada kita dalam keadaan sempurna.

Pengumpulan al-Quran kali pertama dilakukan pada zaman Abu Bakr al-Siddiq radiallahu anhu selepas ramai dari kalangan orang yang hafaz al-Quran (huffaz) gugur dalam peperangan al-Yamamah. Umar bin al-Khattab radiallahu anhu mencadangkan agar al-Quran dihimpunkan dan tugas besar ini diserahkan kepada Zaid bin Thabit radiallahu anhu untuk melaksanakannya.

Imam al-Suyuti rahimahullah mencatatkan bahawa Zaid bin Thabit radiallahu anhu tidak menerima ayat al-Quran kecuali dengan dua saksi, iaitu ia pernah ditulis di hadapan Nabi dan dihafaz oleh para sahabat.

عَنْ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ قَالَ أَرْسَلَ إِلَيَّ أَبُو بَكْرٍ مَقْتَلَ أَهْلِ الْيَمَامَةِ فَإِذَا عُمَرُ عِنْدَهُ جَالِسٌ وَقَالَ أَبُو بَكْرٍ يَا زَيْدُ بْنَ ثَابِتٍ إِنَّكَ غُلَامٌ شَابٌّ عَاقِلٌ لَا نَتَّهِمُكَ قَدْ كُنْتَ تَكْتُبُ الْوَحْيَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَتَتَبَّعْ الْقُرْآنَ فَاجْمَعْهُ قَالَ زَيْدٌ فَوَاللَّهِ لَوْ كَلَّفُونِي نَقْلَ جَبَلٍ مِنْ الْجِبَالِ مَا كَانَ أَثْقَلَ عَلَيَّ مِمَّا أَمَرَنِي بِهِ مِنْ جَمْعِ الْقُرْآنِ فَقُلْتُ أَتَفْعَلَانِ شَيْئًا لَمْ يَفْعَلْهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ هُوَ وَاللَّهِ خَيْرٌ فَلَمْ يَزَلْ أَبُو بَكْرٍ يُرَاجِعُنِي حَتَّى شَرَحَ اللَّهُ صَدْرِي بِالَّذِي شَرَحَ لَهُ صَدْرَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا

Maksudnya:''Dari Zaid bin Tsabit berkata, "Abu Bakar memanggilku untuk menghadiri pemakaman korban perang Yamamah, sementara Umar telah duduk di sisinya. Abu Bakar berkata, 'Wahai Zaid bin Tabit, engkau adalah anak muda yang pandai, kami tidak meragukanmu, engkau telah menuliskan wahyu untuk Rasulullah ﷺ, maka kumpulkan dan susunlah Al-Qur'an!' Zaid berkata, "Demi Allah, kalaulah engkau membebaniku untuk memindahkan gunung ke gunung lain, maka itu lebih ringan bagiku daripada engkau menyuruhku mengumpulkan Al-Qur'an. Kalian berdua telah menyuruhku dengan sesuatu yang Rasulullah ﷺ tidak pernah melakukannya." Abu Bakar berkata, "Demi Allah, itu lebih baik." Abu Bakar terus mengulangi perkataannya padaku hingga Allah melapangkan dadaku sebagaimana Ia melapangkan hati Abu Baar dan Umar'' Riwayat Ahmad(20657)

 إِنَّ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ قَالَ أَرْسَلَ إِلَيَّ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ إِنَّكَ كُنْتَ تَكْتُبُ الْوَحْيَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاتَّبِعْ الْقُرْآنَ فَتَتَبَّعْتُ حَتَّى وَجَدْتُ آخِرَ سُورَةِ التَّوْبَةِ آيَتَيْنِ مَعَ أَبِي خُزَيْمَةَ الْأَنْصَارِيِّ لَمْ أَجِدْهُمَا مَعَ أَحَدٍ غَيْرِهِ { لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ } إِلَى آخِرِهِ

Maksudnya:''Zaid bin Tsabit berkata, Abu Bakar pernah mengutus seseorang padaku seraya mengatakan, "Sesungguhnya, kamulah yang pernah menulis wahyu untuk Rasulullah ﷺ. Kerana itu, telusurilah Al-Qur'an." Maka aku pun segera menelusurinya, hingga aku mendapati akhir dari surah At-Taubah, yakni dua ayat bersama Abu Khuzaimah Al Anshari, yang aku tidak mendapatkannya pada seorang pun selainnya. Yakni, "لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ.." Hingga akhir ayat. Riwayat Bukhari(4605)

Pada zaman Saidina Uthman ibn ‘Affan radiallahu anhu, perbezaan bacaan di wilayah Islam disatukan. Lajnah penyalinan mushaf dibentuk, dianggotai sahabat yang mahir seperti Zaid bin Thabit, Abdullah bin al-Zubair, Said bin al-'As dan Abdul Rahman bin Harith radiallahu anhum. Mereka menyalin mushaf dan mengirimkannya ke kota-kota Islam bersama seorang guru untuk mengajar bacaan yang sahih. Inilah langkah besar yang menyatukan umat Islam di atas satu mushaf yang diiktiraf.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik radiallahu anhu,

أن عثمان بن عفان رضي الله عنه :أَمَرَ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ ، وَعَبْدَ اللَّهِ بْنَ الزُّبَيْرِ ، وَسَعِيدَ بْنَ الْعَاصِ ، وَعَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ الْحَارِثِ بْنِ هِشَامٍ ، فَنَسَخُوهَا فِى الْمَصَاحِفِ ، وَقَالَ عُثْمَانُ لِلرَّهْطِ الْقُرَشِيِّينَ الثَّلاَثَةِ : إِذَا اخْتَلَفْتُمْ أَنْتُمْ وَزَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ فِي شَيءٍ مِنَ الْقُرْآنِ فَاكْتُبُوهُ بِلِسَانِ قُرَيْشٍ ، فَإِنَّمَا نَزَلَ بِلِسَانِهِمْ ، فَفَعَلُوا ، حَتَّى إِذَا نَسَخُوا الصُّحُفَ فِي الْمَصَاحِفِ رَدَّ عُثْمَانُ الصُّحُفَ إِلَى حَفْصَةَ ، وَأَرْسَلَ إِلَى كُلِّ أُفُقٍ بِمُصْحَفٍ مِمَّا نَسَخُوا ، وَأَمَرَ بِمَا سِوَاهُ مِنَ الْقُرْآنِ فِي كُلِّ صَحِيفَةٍ أَوْ مُصْحَفٍ أَنْ يُحْرَقَ

Maksudnya: Sesungguhnya ‘Uthman bin ‘Affan R.A memerintahkan Zaid bin Thabit, Abdullah bin al-Zubair, Sai’d bin al-‘As dan ‘Abd al-Rahman bin al-Harith bin Hisyam supaya menulis semula dalam bentuk salinan Mushaf yang sempurna, ‘Uthman berkata kepada tiga orang lelaki Quraish: Sekiranya kamu tidak bersetuju dengan Zaid bin Thabit berkaitan sesuatu hal di dalam al-Quran, maka tulislah dalam gaya bahasa Quraish, sesungguhnya al-Quran diturunkan dengan bahasa mereka, lalu mereka melakukannya, sehingga menjadi banyak salinan daripadanya (mushaf), kemudian ‘Uthman memulangkan mushaf yang asal kepada Hafsah, dan dikirim ke seluruh pelusuk dunia, kemudian ‘Uthman memerintahkan supaya segala mushaf selain daripada mushaf yang asal agar dibakar. Riwayat al-Bukhari (4987)

Hadith di atas menjadi salah satu kaedah yang digunakan oleh para ulama untuk membakar al-Quran yang telah rosak. Hal ini berpandukan dengan apa yang dilakukan oleh Saidina Uthman bin ‘Affan R.A ketika proses pengumpulan al-Quran bahawa dia telah memerintahkan untuk mengumpul Mushaf yang dimansukhkan dan membakarnya bertujuan menjaga kesucian al-Quran.

Imam Badr al-‘Aini dalam mensyarahkah hadith di atas menukilkan pandangan Ibn Battal dengan menyatakan:

فِي هَذَا الحَدِيث جَوَاز تحريق الْكتب الَّتِي فِيهَا اسْم الله، عز وَجل، بالنَّار وَإِن ذَلِك إكرام لَهَا وصون عَن وَطئهَا بالأقدام، وَقيل: هَذَا كَانَ فِي ذَلِك الْوَقْت، وَأما الْآن فالغسل إِذا دعت الْحَاجة إِلَى إِزَالَته

Maksudnya: Pada hadith ini menyatakan harus membakar kitab yang terdapat padanya nama Allah Subhanahuwata'ala dengan api kerana memuliakannya dan menjaganya daripada dipijak. Pada pandangan yang lain menyatakan: pendapat ini merupakan pada masa itu, ada pun pada masa sekarang, maka dengan membasuhnya apabila berhajat untuk menghilangkan tulisannya.(Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 20/19)

Imam Khatib al-Syirbini mengatakan bahawa makruh membakar al-Quran tanpa tujuan melainkan tujuan untuk menjaga kesuciannya.

وَيُكْرَهُ إحْرَاقُ خَشَبٍ نُقِشَ بِالْقُرْآنِ إلَّا إنْ قُصِدَ بِهِ صِيَانَةُ الْقُرْآنِ فَلَا يُكْرَهُ كَمَا يُؤْخَذُ مِنْ كَلَامِ ابْنِ عَبْدِ السَّلَامِ وَعَلَيْهِ يُحْمَلُ تَحْرِيقُ عُثْمَانَ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ – الْمَصَاحِفَ

Maksudnya: Dan makruh membakar kayu yang diukir padanya al-Quran melainkan dengan tujuan penyelenggaraan al-Quran, maka tidak makruh ini seperti yang diambil daripada pendapat Ibn Abd al-Salam berdasarkan perbuatan ‘Uthman R.A yang membakar mushaf''.(Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/152)

Berkenaan dengan abu yang dibakar sebaiknya hendaklah dikumpulkan dan diletak ditempat yang selamat seperti ditanam pada tempat yang bersih dan tidak dilalui oleh orang ramai supaya tidak dipijak. Selain itu, boleh juga ia dihanyutkan ke dalam laut atau sungai yang mengalir. Ini bagi menjaga kesucian dan kemuliaan al-Quran serta dapat mengelak daripada perkara yang boleh mencemarkan kesucian al-Quran. Imam al-Zarkashi menukilkan di dalam kitabnya bahawa,

وَفَى الْوَاقِعَاتِ مِنْ كُتُبِ الْحَنَفِيَّةِ أَنَّ الْمُصْحَفَ إذا بلي لا يحرق بل تحفر لَهُ فِي الْأَرْضِ وَيُدْفَنُ

Maksudnya: ''Apa yang terdapat di dalam karangan Mazhab Hanafi bahawa sesungguhnya apabila rosak (al-Quran) janganlah dibakar akan tetapi digali dan ditanam ia di dalam tanah''.(Rujuk al-Burhan fi ‘Ulum al-Quran, 1/477)

Di Malaysia, amanah menjaga kesucian al-Quran diteruskan melalui usaha kerajaan. Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan SKMM, telah meluluskan aplikasi Smart al-Quran, aplikasi pertama yang mendapat kelulusan rasmi Lembaga Kawalan dan Pelesenan Percetakan al-Qur’an.

KDN juga dipertanggungjawabkan menguatkuasakan Akta Pencetakan Teks al-Qur’an 1986 (Pindaan 2023), Akta 326. Melalui Lajnah Tashih al-Quran yang terdiri daripada 35 pakar hafazan, qira’at dan rasm, setiap huruf diteliti dengan ketelitian 

1. Menepati Rasm ‘Uthmani menurut aliran Abu Daud Sulaiman ibn Najah dan Abu ‘Amru al-Dani.

2. Menepati kaedah Dabt berdasarkan aliran Khalil ibn Ahmad al-Farahidi dan ulama Masyāriqah.

3. Berteraskan mushaf Madinah al-Munawwarah dan mushaf Universiti al-Azhar.

Hanya deraf yang menepati garis panduan yang telah ditetapkan akan dibawa kepada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran bagi tujuan mendapatkan kelulusan cetak.

Dari aspek penguatkuasaan, KDN melaksanakan pemeriksaan berkala, penaziran penerbitan, serta pemeriksaan hasil aduan masyarakat. Dari aspek kualiti pula, setiap penerbit mesti patuh kepada syarat seperti jenis kertas, kaedah penandaan ayat dan ketepatan penamaan mushaf.

Semua ini memastikan mushaf yang berada di tangan umat Islam adalah sahih, terpelihara dan berkualiti tinggi. Memelihara ketepatan mushaf al-Quran adalah amanah bersama. Pastikan setiap mushaf mempunyai cop kelulusan dan hologram KDN. Jika ditemui mushaf meragukan atau tanpa kelulusan, laporkan segera kepada KDN negeri untuk tindakan sewajarnya.

Menjaga kemulian dan kesucian Al-Quran adalah kewajipan umat Islam, melibatkan adab seperti berwuduk (kecuali sentuh skrin/MP3), tidak letak di tempat rendah/najis (tandas), tidak melangkahinya, serta menggunakannya dengan niat murni untuk pedoman, bukan main-main. Ia juga termasuk memastikan mushaf yang digunakan sahih, ada kelulusan KDN, serta mengamalkan kandungan Al-Quran dalam kehidupan seharian sebagai bukti penghormatan. 



No comments:

Post a Comment

Rejab Gerbang Ramadhan

Rejab Gerbang Ramadhan Memasuki bulan Rejab bermakna kita telah berada di gerbang Ramadhan kerana hampir dua bulan lagi kita akan menyambut ...