Wednesday, November 12, 2025

Pengorbanan Wanita

Pengorbanan Wanita

Wanita dalam bahasa Arab ialah "امرأة" (imra'ah). Perkataan lain yang berkaitan wanita termasuk "أنثى" (untha), yang bermaksud "perempuan", dan "نساء" (nisaa'), yang bermaksud "wanita-wanita" atau "perempuan-perempuan". 

Islam memandang tinggi kemuliaan setiap muslim tanpa mengira jantina serta meletakkan amanah kepada kedua-duanya dalam tanggungjawab beribadah kepada Allah Subhanahuwata'ala. Begitu juga kemuliaan seseorang bukan dilihat dari jantinanya lelaki mahupun perempuan tetapi pada nilai ketakwaannya kepada Allah. Malahan, proses kejadian semua manusia adalah bermula dari penciptaan diri yang satu iaitu Nabi Adam AS sebagaimana Allah Subhanahuwata'ala berfirman dalam al-Quran,

 ۚيَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً

Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai''. Surah al-Nisa’ ayat 1

Allah Subhanahuwata’ala telah meletakkan kedudukan wanita pada tempat yang mulia dan tinggi berdasarkan tanggungjawab dan peranannya. Atas asas itu, mereka layak menerima anguerah dan kurnian sama sepertimana yang dikurniakan kepada kaum lelaki. Hal ini jelas sepertimana disebutkan dalam Surah al-Ahzab ayat 35,

إِنَّ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْقَانِتِينَ وَالْقَانِتَاتِ وَالصَّادِقِينَ وَالصَّادِقَاتِ وَالصَّابِرِينَ وَالصَّابِرَاتِ وَالْخَاشِعِينَ وَالْخَاشِعَاتِ وَالْمُتَصَدِّقِينَ وَالْمُتَصَدِّقَاتِ وَالصَّائِمِينَ وَالصَّائِمَاتِ وَالْحَافِظِينَ فُرُوجَهُمْ وَالْحَافِظَاتِ وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya:''Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyu', laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar''.

Dari sejarah silam, kaum wanita pernah dilayan dan diberi tanggapan negatif oleh sebahagian manusia. Kedatangan Islam dan dan prinsip keadilannya telah membebaskan mereka daripada layanan dan tanggapan negatif tersebut. Jika dibandingkan dengan diskriminasi dan eksploitasi yang berlaku hari ini, jauh wanita-wanita pernah diperlakukan lebih dahsyat daripada itu.

Kedatangan Islam telah menghapuskan amalan-amalan masyarakat zaman jahiliah yang menindas golongan wanita dengan mengangkat dan mengiktiraf kedudukan wanita serta memberikan kemuliaan dan haknya sepertimana lelaki.

Sebagai contoh, Islam telah mengangkat hak pewarisan harta oleh wanita yang sebelum itu terhalang. Allah Subhanahuwata’ala telah menetapkan hak serta bahagian bagi ahli waris wanita dalam pewarisan harta ahli keluarganya yang telah jelas disebutkan dalam al-Quran:

وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا ۖ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ ۚ وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِن فَضْلِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu''. Surah al-Nisa’ ayat 32.

Syarak sangat memuliakan dan meninggikan kedudukan wanita itu sendiri, begitu banyak kelebihan wanita yang disebutkan oleh nas-nas yang sahih. Di antaranya adalah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah''. Riwayat Muslim (715)

Imam al-Qurthubi menafsirkan makna wanita yang solehah dalam hadith tersebut dengan katanya yang bermaksud;

"Iaitu (wanita) yang menggembirakan (suami) apabila dilihat, apabila diberi arahan dia taat, dan apabila ketiadaan suaminya dia memelihara (kehormatan suaminya) pada dirinya dan juga hartanya''.

Hal ini merujuk kepada sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam, 

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ

Maksudnya: ''Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya''. Riwayat Abu Daud (1664)

Begitu juga seorang wanita yang baik adalah mereka merupakan isteri yang menjadi tunjang kekuatan kepada suami mereka. Hal inilah yang ditunjukkan oleh Umm al-Mu'minin Khadijah bint Khuwailid R.Anha apabila Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam berada dalam keadaan takut yang bersangatan usai menerima wahyu yang pertama, Khadijah menenangkan baginda dengan katanya,

كَلاَّ وَاللَّهِ مَا يُخْزِيكَ اللَّهُ أَبَدًا، إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَحْمِلُ الْكَلَّ، وَتَكْسِبُ الْمَعْدُومَ، وَتَقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الْحَقِّ‏

Maksudnya: “Sama sekali tidak demi Allah, Dia tidak akan menghinakan kamu. Sesungguhnya kamu adalah orang yang menghubungkan silaturahim, menanggung bebanan orang miskin, membantu orang yang kesusahan, menyambut dan memuliakan tetamu, serta membantu orang yang berhak''. Riwayat al-Bukhari (3)

Selain itu, wanita berpeluang melaksanakan tanggungjawabnya dan berhak mendapatkan haknya sebagai seorang rakyat yang merdeka sama seperti lelaki. Pengiktirafan ini telah bermula dari zaman Rasulullah Subhanahuwata’ala ketika golongan wanita beriman telah berbai’ah kepada Rasulullah dalam peristiwa pembukaan kota Makkah [Lihat; Al-Mawardi, ali bin Muhammad. Al-Nakt wa al-‘Uyun (Tafsir al-Mawardi) (Beirut: Dar al-Kutu al-Ilmiyyah, t.t) Jld 5, hlmn 524], berdasarkan firman Allah Subhanahuwata’ala,

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا جَاءَكَ الْمُؤْمِنَاتُ يُبَايِعْنَكَ عَلَىٰ أَن لَّا يُشْرِكْنَ بِاللَّهِ شَيْئًا وَلَا يَسْرِقْنَ وَلَا يَزْنِينَ وَلَا يَقْتُلْنَ أَوْلَادَهُنَّ وَلَا يَأْتِينَ بِبُهْتَانٍ يَفْتَرِينَهُ بَيْنَ أَيْدِيهِنَّ وَأَرْجُلِهِنَّ وَلَا يَعْصِينَكَ فِي مَعْرُوفٍ ۙ فَبَايِعْهُنَّ وَاسْتَغْفِرْ لَهُنَّ اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Wahai Nabi! Apabila orang-orang perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia, bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu pun, dan mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan berzina, dan mereka tidak akan membunuh anak-anaknya, dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka, dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang baik, - maka terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani''.Surah al-Mumtahinah ayat 12.

Wanita telah membuktikan kejayaan dan peranannya untuk membangunkan ummah di samping lelaki. Boleh juga dikatakan bahawa kejayaan seseorang lelaki sudah pasti ada wanita disampingnya, sama ada ibunya, isterinya atau anak perempuannya.Pengorbanan wanita silam bukan sekadar menjadi teladan kepadakaum wanita sahaja, bahkan melangkaui untuk lelaki juga.

Marilah kita hayati paparan sejarah tentang wanita dalam sejarah Islam. Kisah Saidatina Hajar alaihassalam yang menunjukkan contoh nilai tarbiyah iman yang terhasil dan sukar untuk ditandingi. Ratu Saba' yang dikenali sebagai Balqis membuktikan wanita pernah mencapai taraf pemikir yang hebat. Saidatina Khadijah radhiallahu anha yang menjadi rakan strategik dalam ekonomi yang berjaya, sebelum dimuliakan sebagai isteri Nabi Sallallahu'alaihiwasallam. Begitulah wanita-wanita lain seumpamanya seperti Asiah, Maryam, Sumayyah, Aisyah, Fatimah, Asma’, Rabiatul Adawiyah. Semua nama mereka harum dan terpahat dalam dunia Islam malahan sebahagian mereka ini dinobatkan sebagai Ummahat al-Mukminin (Ibu kepada orang-orang beriman). Dalam pada itu, wanita seringkali menjadi bahan untuk difitnah. Namun membina ketamadunan wanita dalam Islam telah berjaya meninggikan taraf dan nama wanita. Oleh itu, usaha hendaklah digemblingkan untuk menjaga, melindungi dan memelihara kedudukan wanita. Pemerkasaan mereka hendaklah dilengkapi dan diimbangi antara antara tuntutan spritual dan fizikal yang akhirnya akan melahirkan generasi yang dapat menjamin ketenangan dan kebahagiaan. 

Hargailah wanita kerana merekalah yang telah melahirkan zuriat dan umat manusia untuk dikenangi pengorbanannya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ الصُّحْبَةِ قَالَ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ ثُمَّ أَدْنَاكَ أَدْنَاكَ

Maksudnya:''Dari Abu Hurairah seorang laki-laki seraya berkata, 'Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak dengan kebaktianku? Beliau menjawab, 'Ibumu, lalu Ibumu, lalu Ibumu, kemudian bapakmu, kemudian orang yang terdekat denganmu dan seterusnya''. Riwayat Muslim (4266)

Maka diambil manfaat daripada hadith ini bahawa seorang ibu didahulukan dalam proses berbuat baiknya seorang anak itu kepada kedua ibubapanya sebanyak tiga kali ke atas bapanya. Bahkan telah disebutkan ijma’ para ulama seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Haris al-Muhasibi dalam mentafdhilkan (mengutamakan) berbuat baik kepada ibu ke atas bapa disebabkan sarihnya madlul (isi yang ditunjukkan) oleh hadith di atas ini.

Manakalah perkataan حُسْنِ الصُّحْبَةِ di dalam hadith di atas membawa maksud berbuat baik, berlemah lembut, merendahkan diri di hadapan mereka, mengasihi, memuliakan, serta mentaati mereka dalam hal-hal yang makruf. Ini dibuktikan dengan beberapa firman Allah Subhanahuwata'ala antaranya,

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ

Maksudnya: Dan rendahkanlah kepada kedua ibubapa kamu sayap kehinaan (rendahkan diri kamu) disebabkan perasaan kasih sayang (kepada mereka)''. Surah al-Isra’ ayat 24.

Pengiktirafan diberikan terhadap sumbangan yang diberi tanpa mengira kaum dan jenis. Beginilah penghormatan yang diberikan oleh Islam dengan norma-norma yang digariskan syariat. Malah merupakan tuntutan fardhu kifayah sesuatu tugas yang hanya keutamaannya layak disempurnakan oleh wanita. Tuntasnya di sini, peranan dan sumbangan wanita tidak harus dipandang sepi.

Di dalam hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam juga ada diriwayatkan bahawa wanita juga bekerja di zaman Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bukannya kaum lelaki sahaja yang bekerja. Hal ini, termasuklah isteri-isteri Nabi Sallallahu'alaihiwasallam yang juga rajin bekerja.  Antaranya adalah Khadijah bint Khuwailid. Selain itu, Zainab binti Jahsh juga dinyatakan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

أَسْرَعُكُنَّ لَحَاقًا بِي أَطْوَلُكُنَّ يَدًا قَالَتْ: فَكُنَّ يَتَطَاوَلْنَ أَيَّتُهُنَّ أَطْوَلُ يَدًا، قَالَتْ: فَكَانَتْ أَطْوَلَنَا يَدًا زَيْنَبُ، لِأَنَّهَا كَانَتْ تَعْمَلُ بِيَدِهَا وَتَصَدَّقُ

Maksudnya: “Orang yang paling awal akan menyusuliku dalam kalangan kamu semua (iaitu isteri-isteri Baginda Sallallahu'alaihiwasallam) ialah yang paling panjang tangannya.” Maka Aishah berkata: “Lalu kami mengukur tangan kami. Kemudian kami mendapati Zainablah yang paling panjang tangannya di antara kami kerana dia menjahit baju dan bersedekah (dengan hasil kerjanya itu)''. Riwayat Muslim (2452)

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa hadith ini menunjukkan akan keistimewaan Zainab binti Jahsh kerana beliau bekerja dan bersedekah daripada hasil jualan jahitannya. Justeru itu, kita memahami bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menghargai usaha murni Zainab dalam usahanya meringankan beban fakir miskin. [Lihat: al-Minhaj, 8/16]

Di atas antara dalil-dalil yang melibatkan hukum wanita dibolehkan bekerja walaupun sebaik-baik tempat bagi wanita adalah di rumahnya sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah Subhanahuwata'ala'.

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَىٰ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu'' .Surah al-Ahzab:33

Syeikh Mustafa al-Maraghi berkata, ayat ini adalah larangan kepada wanita untuk keluar daripada rumah tanpa sebarang hajat atau tujuan. Lihat Tafsir al-Maraghi 6/22. Menurut Syeikh al-Sya’rawi, inilah adab bagi wanita secara umumnya kerana seorang wanita jika sibuk dengan tugas-tugas rumahtangga, tidak akan mempunyai waktu yang lapang untuk keluar (tanpa hajat). Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 19/12021. Ibnu Kathir menafsirkan ayat di atas bahawa janganlah wanita keluar rumah kecuali ada hajat seperti ingin menunaikan solat di masjid selama memenuhi syarat-syaratnya. Lihat Tafsir Al-Qur’an al-‘Azim, 6/182.

Antara yang diboleh difahami daripada ayat ini adalah wanita itu pada asal tempatnya adalah di rumah dan dia tidak dibenarkan keluar sewenang-wenangnya melainkan jika ada keperluan atau hajat.

Selain merupakan tonggak dalam sesebuah keluarga untuk memastikan generasi anak-anak bersedia menghadapi cabaran masa kini dan akan datang, wanita juga memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada pembangunan diri dan masyarakat malah menjadi penyumbang kepada peningkatan ekonomi negara dalam usaha menjadi negara maju. Para wanita dikurniakan kemuliaan dalam Islam kerana layak menerima taklif, tanggungjawab, pembalasan dan berhak mendapat layanan yang sewajarnya tanpa mengira situasi dan masa.

Penghormatan yang diberikan sejajar dengan sumbangan yang dihasilkan dengan peluang-peluang sentiasa ditawarkan untuk mengintegrasikan wanita dalam pelbagai aspek, peningkatan pengetahuan untuk membantu menjayakan perancangan dan pengukuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

No comments:

Post a Comment

Bahaya Ajaran Sesat

Bahaya Ajaran Sesat Kemunculan ajaran sesat ini bukan sesuatu fenomena yang baharu. Bahkan ia telah wujud sejak dahulu lagi zaman berzaman s...