Sifat atau perangai seseorang adalah hakikat dirinya sendiri
Berpura-pura baik dalam Islam disebut munafik dan merupakan sifat tercela yang sangat dilarang kerana merupakan kebohongan dalam hati dan dapat menghancurkan keimanan. Sifat ini termasuk ciri-ciri munafik yang dilarang dalam Al-Quran dan hadith, seperti berdusta, ingkar janji, berkhianat, malas beribadah, dan menyebarkan fitnah. Islam menekankan pentingnya keikhlasan dan kejujuran dalam perkataan serta perbuatan, kerana Allah Maha Mengetahui isi hati setiap hamba-Nya.
Betapa buruknya orang yang menghiasi dirinya dengan sandiwara. Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasalam sebagai berikut,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ شَرَّ النَّاسِ ذُو الْوَجْهَيْنِ الَّذِي يَأْتِي هَؤُلَاءِ بِوَجْهٍ وَهَؤُلَاءِ بِوَجْهٍ
Maksudnya:''Dari Abu Hurairah, ia mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, "Manusia yang paling buruk adalah yang bermuka dua (OPORTUNIS), yang mendatangi kaum dengan muka tertentu dan mendatangi lainnya dengan muka yang lain''. Riwayat Bukhari(6643)
Dalam kitab Uyunul Akhbar, Ibnu Qutaybah menyatakan,
من صلحت سريرته فيما بينه وبين الله أصلح الله ما بين الله وبين الناس ومن تزين للدنيا بغير ما يعلم الله منه سانه الله
Maksudnya:''Barangsiapa berusaha memperindah keperibadian antara Allah, maka Allah akan menampakkan kemuliannya kepada manusia. Dan barangsiapa berpura-pura baik di mata manusia padahal berbeza dengan yang diketahui Allah, maka Allah menjatuhkan kehormatannya''.
Allah akan menjatuhkan kehormatan seseorang itu jika sengaja berpura-pura baik di mata manusia. Yang diinginkannya adalah dianggap baik oleh orang lain, namun yang didapatkannya adalah kebalikannya. Berbeza dengan seseorang yang berusaha membentuk keperibadiannya sebaik mungkin ketika di hadapan Allah, justeru Allah akan memperlihatkan hal-hal yang baik kepada manusia. Oleh kerana itu jika seseorang itu ingin dinilai baik oleh orang lain, cukuplah dengan memperbaiki diri sebaik mungkin di hadapan Allah. Dengan begitu Allah akan memperlihatkan kemuliannya dia di hadapan orang lain dan tidak perlu bersandiwara di mata manusia.
Dari Abu Hurairah, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasalam bersabda:
...وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ.
Maksudnya:''...dan tidaklah seseorang yang merendahkan hati kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat derajatnya''. Riwayat Muslim (4689)
Kelebihan manusia bukan berasaskan warna kulit, bangsa, bahasa, jantina, agama, sekufu politik, status sosial atau pertimbangan lain tetapi yang melebihkannya berdasarkan takwa. Semua orang setaraf dari sudut asas maruah manusia dan asas kewajipan dan tanggungjawab, tanpa diskriminasi, kecuali yang membezakannya atas dasar ketakwaannya.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya:''Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal''. Surah al-Hujurat ayat 13
Sifat atau perangai seseorang adalah hakikat dirinya sendiri. Sifat yang baik adalah lambang baiknya orang itu. Manakala sifat yang buruk membuatkan buruknya seseorang itu, pada pandangan orang lain. Kadang-kadang nama dan kedudukan yang baik itu tidak bermakna lagi, kalau akhlaknya buruk. Seorang pemimpin misalnya, akan dibenci orang kalau perangainya buruk.
Demikianlah bahawa nama ulama akan jadi hina kalau pemegang title itu tidak senonoh. Sebab itu untuk seseorang ulama itu mempertahankan kesucian namanya, sifat-sifat mereka mestilah sifat yang agung. Yakni sesuai dengan kedudukannya sebagai pewaris para nabi. Sifatnya juga adalah bayangan akhlak Nabi. Yang mana Nabi kita itu seorang yang berakhlak agung. Ini disahkan sendiri oleh Allah Subhanahuwata'ala melalui Firman-Nya,
وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ
Maksudnya:''Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung''. Surah al-Qalam ayat 4
Diceritakan ketika turunnya ayat di atas, para Sahabat R.Anhum bertanyakan kepada ‘Aisyah R.Anha tentang akhlak Nabi Sallallahu'alaihiwasalam dan jawapan ‘Aisyah R.Anha sungguh mudah namun memberi makna yang sangat besar iaitu,
عَنْ سَعْدِ بْنِ هِشَامٍ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ فَقُلْتُ أَخْبِرِينِي عَنْ خُلُقِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنَ
Maksudnya: "Dari Sa'ad bin Hisyam, ia berkata: "Aku pernah bertanya kepada Aisyah, tanyaku, 'Khabarkanlah kepadaku tentang akhlak Rasulullah ﷺ.' Aisyah pun menjawab, 'Akhlak beliau adalah Al-Qur'an''. Riwayat Ahmad(24139)
Dari situ, ramai dikalangan ulama’ mengambil berat mengenai akhlak sehinggakan ada yang mengarang kitab khusus mengenai akhlak seperti al-Syamail al-Muhammadiyyah oleh al-Imam Tirmizi Rahimahullah. [Adhwa’ al-Bayan. Dar al-Fikr, 8/248]
Dalam firman Allah Subhanahuwata'ala yang lain,
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah''. Surah al-Ahzab ayat 21
Imam al-Ghazali menyebutkan dalam kitabnya: Beberapa tanda kebaikan akhlak adalah menjadi seseorang yang banyak malunya, jarang menyakiti, banyak melakukan kebaikan, jujur dalam perkataan, sedikit kata-katanya, banyak perbuatannya, dan jarang melakukan kesalahan. Selain itu dia juga jarang memiliki keingintahuan yang berlebih-lebihan, baik budi pekerti, ramah , sabar, bersyukur, merestui, penyabar, penyayang, tidak suka mencela, mengumpat, mengadu domba, atau menyebut buruk perihal orang lain, tidak terburu-buru, tidak memiliki sifat benci, tidak iri hati, ceria, dan lembut hati, serta mencintai, dan membenci kerana Allah. Inilah yang disebut sebagai kebaikan akhlak. (Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/70)
Al-Syaykh Ibn 'Ata' Allah al-Sakandariy (w709H) ada menyebutkan dalam Kitab hikamnya pada Fasal 10 (cahaya ikhlas),
اَلْأَعْمَالُ صُوَرٌ قَائِمَةٌ، وَأَرْوَاحُـهَا وُجُوْدُ سِرِّ اْلإِخْلاَصِ فِيهَا
Maksudnya:''Amal-amal itu semata bentuk-bentuk yang tampil, adapun ruh-ruh yang menghidupkannya adalah hadirnya sirr ikhlas (cahaya ikhlas) padanya''.
Akhlak yang agung tidak akan terlihat di permukaan, akan tetapi akhlak agung akan kelihatan kerana ada cahaya ikhlas yang sudah tertanam di dalam hati. Sikap dan perilaku adalah cerminan hati. Tidak ada amal-amal yang agung dapat tegak kecuali Allah telah menanamkan ruh berupa cahaya ikhlas yang dapat menghidupkan amal tersebut. Sebagaimana akhlak-akhlak yang tinggi yang ditampilkan oleh para nabi, rasul serta hamba-Nya yang Dia cintai adalah kerana ada ruh-ruh yang menghidupkannya; dan itu berupa sirr (cahaya) ikhlas yang menyala di dalam hati.
Dalam sebuah hadith, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasalam bersabda,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ
Dari: ''Abu Hurairah, ia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa dan harta kalian, namun yang Allah lihat adalah hati dan amal kalian''. Riwayat Muslim(4651)
Begitu juga dengan hadith ketika mana Rasulullah Sallallahu'alaihiwasalam menghantar Muaz bin Jabal dan Abu Zar al-Ghifari R.Anhuma ke Yaman antara pesanan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasalam di dalam sabdanya,
اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
Maksudnya: Bertakwalah kepada Allah Subhanahuwata'ala di mana sahaja kamu berada dan ikutilah keburukan dengan kebaikan dan berakhlak dengan manusia dengan akhlak yang baik''.Riwayat al-Tirmizi (1987)
Inilah yang dititikberatkan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasalam iaitu perihal berakhlak dengan akhlak yang mulia. Misi dakwah Nabi Sallallahu'alaihiwasalam diselitkan sekali dengan nasihat agar berakhlak dan berinteraksi dengan baik. Dakwah yang dibawa dengan akhlak, ilmu dan hikmah akan mudah diterima manakala dakwah yang berisi cacian, maki hamun akan menjauhkan manusia dari Islam.
Justeru itu, sebagai seorang muslim hendak mencontohi akhlak Rasulullah Sallallahu'alaihiwasalam dan para salaf al-Soleh kerana mereka telah menunjukkan contoh teladan yang terbaik kepada ummah. Berakhlak dengan akhlak yang baik merupakan satu tanda kesempurnaan iman seseorang itu dan menjadi tanda kesetiaan kepada ajaran agama Islam yang suci. Ini sebagaimana yang telah disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasalam bersabda:
أكمَلُ المُؤمِنِينَ إيمانًا أحسَنُهم خُلُقًا
Maksudnya: Orang mukmin yang paling sempurna keimananya adalah yang paling baik akhlaknya''. Riwayat Abu Dawud(4682) dan Tirmizi(1162)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan diakhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan''.
No comments:
Post a Comment