Memelihara Bumi Menurut Perspektif Islam
Memelihara bumi menurut perspektif Islam adalah kewajipan seorang Muslim sebagai "khalifah" atau pemegang amanah Allah di muka bumi, sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran. Tanggungjawab ini merangkumi menghindari kerosakan, tidak membazir, menjaga sumber air dan udara, serta menanam pokok, kerana semua ini dianggap sebagai amal kebajikan yang akan mendapat ganjaran di akhirat.
Islam bukan sahaja menuntut kita menjaga ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji, tetapi juga memerintahkan kita memelihara hubungan dengan manusia, haiwan, tumbuhan serta seluruh alam sekitar. Al-Quran melarang keras perbuatan merosakkan alam sekitar, sama ada melalui penebangan hutan, pencemaran air, atau aktiviti lain yang mengancam kehidupan dan keseimbangan alam. Firman Allah subhanahu wata'ala dalam Surah al-A'raf ayat 56,
وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا ۚ إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِنَ الْمُحْسِنِينَ
Masudnya:''Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik''.
Imam al-Qurtubi rahimahullah ketika menjelaskan tafsiran ayat di atas dalam kitabnya Tafsir al-Qurtubi menyatakan bahawa Allah Subhanahuwata'ala menegah segala perkara yang merosakkan (fasad) sama ada sedikit atau banyak setelah adanya kebaikan sama ada sedikit atau banyak. Lihat Muhammad bin Ahmad Syamsuddin al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran.
Dengan itu, jelas kepada kita bahawa Allah Subhanahuwata'ala melarang manusia daripada melakukan kerosakan terhadap alam sekitar. Kerosakan itu termasuklah pencemaran udara dan air, pembaziran sumber semula jadi, penebangan hutan tanpa kawalan, pencemaran plastik dan pembuangan sisa toksik. Semua ini memberi kesan buruk kepada kehidupan manusia, makhluk lain dan kesejahteraan generasi akan datang.
Manusia telah diangkat oleh Allah Subhanahuwata'ala sebagai khalifah di bumi. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 30,
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ
Maksudnya:''Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi...".
Tanggungjawab khalifah bukanlah untuk merosakkan atau mengeksploitasi bumi, tetapi untuk memelihara, mengurus dan memanfaatkan sumbernya dengan adil dan lestari. Selain daripada tuntutan memakmurkan bumi, al-Quran juga banyak menyentuh berkenaan kerosakan dan pencemaran alam yang berlaku dikaitkan dengan tingkah dan perbuatan manusia. Firman Allah Subhanahuwata'ala,
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)''. Surah al-Rum ayat 41.
Syeikh Wahbah al-Zuhaili menafsirkan ayat ini bahawa ujian dan bencana yang melanda umat manusia adalah disebabkan perbuatan manusia yang bersikap kufur, syirik, melampaui batas, melakukan maksiat, meninggalkan perintah-Nya di samping melanggar hak dan juga mengambil hak orang lain. Lihat Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Syari‘ah wa al-Manhaj.
Sesungguhnya hubungan manusia dan alam sekitar sememangnya rapat, malah kedua-duanya saling memerlukan. Sekiranya satu musnah, maka sengsaralah pihak yang satu lagi. Oleh kerana itulah, manusia diberikan tanggungjawab untuk menjaga kemakmuran muka bumi dan menjaganya mengikut ajaran yang dibawa Islam. Daripada Abu Sa'id al-Khudri radiallahu'anhu bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ وَإِنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلُونَ فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ
Maksudnya:''Dari Abu Sa'id Al Khudri dari Nabi ﷺ bersabda, "Sesungguhnya dunia itu manis lagi menghijau. Dan sesungguhnya Allah telah menguasakannya kepadamu sekalian. Kemudian Allah menunggu (memperhatikan) apa yang kamu kerjakan (di dunia itu). Karena itu takutilah dunia dan takutilah wanita, kerana sesungguhnya sumber bencana Bani Isarail adalah wanita''. Riwayat Muslim(4925)
Syeikh Fuad ‘Abd al-Baqi mengulas berkenaan hadith ini, beliau menyatakan bahawa Allah Subhanahuwata'ala menjadikan umat manusia sebagai khalifah atau pentadbir atas muka bumi ini, dan Dia juga memerhatikan umat-Nya adakah mereka mentadbirnya mengikut arahan-Nya atau dengan kemaksiatan terhadap-Nya''.
Hadith di atas mengingatkan kepada kita bahawa Allah Subhanahuwata'ala sentiasa memerhatikan bagaimana kita menjaga alam yang dipinjamkan kepada kita. Maka, mengabaikan kebersihan, membuang sampah merata-rata, mencemarkan sungai, atau menebang pokok tanpa kawalan, adalah antara perbuatan yang bertentangan dengan amanah Allah Subhanahuwata'ala untuk menjaga alam.
Penjagaan alam sekitar dititik beratkan dalam Islam. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyeru manusia untuk menjaga alam sekitar. Walaupun tiada ayat al-Quran yang menyebut secara khusus berkenaan cara dan kaedah penjagaan alam sekitar namun terdapat banyak juga ayat al-Quran yang menerangkan secara umum gesaan memakmurkan alam. Antaranya termasuklah firman Allah Subhanahuwata'ala,
وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا ۚ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ ۖ هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَاسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ ۚ إِنَّ رَبِّي قَرِيبٌ مُّجِيبٌ
Maksudnya: “Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka iaitu Nabi Soleh. Dia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah daripada perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepada-Nya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya''. Surah Hud ayat 61.
Imam al-Qurtubi ada menukilkan tafsiran Ibn al-‘Arabi terhadap ayat ini, beliau menyatakan bahawa sebahagian ulama mazhab Syafie meletakkan tuntutan memakmurkan bumi sebagai suatu kewajipan daripada Allah Subhanahuwata'ala. Lihat Muhammad bin Ahmad Syamsuddin al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran.
Bukan itu sahaja, tuntutan menjaga alam ini juga boleh dilihat melalui larangan Allah Subhanahuwata'ala ke atas sekalian manusia daripada melakukan kerosakan ke atas muka bumi. Allah Subhanahuwata'ala berfirman,
وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ
Maksudnya: “Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan''. Surah al-Qasas ayat 77.
Apa sahaja bentuk kerosakan di atas muka bumi, ia termasuk dalam perkara yang dilarang oleh Allah Subhanahuwata'ala dan dibenci oleh-Nya. Tambahan pula, kita sebagai individu Muslim sudah semestinya wajib mentaati arahan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
Kita sering mendengar tentang bencana alam seperti banjir besar, tanah runtuh, pencemaran udara akibat jerebu, kepupusan hidupan liar dan perubahan iklim. Banyak daripada musibah ini berpunca daripada tangan-tangan iaitu perbuatan manusia sendiri. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah ar-Rum ayat 41,
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya:''Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)''.
Perbuatan-perbuatan seperti membuang sampah merata-rata, membuang sisa buangan termasuk bahan kimia secara terus ke dalam laut dan sungai, melepaskan asap kilang tanpa tapisan, menceroboh hutan secara berleluasa, menjalankan aktiviti pembangunan secara tidak terkawal, melakukan pembakaran secara terbuka dan pelbagai lagi merupakan beberapa contoh bentuk melampaui batas dan juga pengambilan hak orang lain sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis ini.
Aktiviti seumpama ini telah menjadi suatu tabiat dalam kalangan rakyat Malaysia seterusnya memberikan kesan jangka masa panjang kepada alam sekitar. Maka, dengan sebab itulah berlakunya peningkatan suhu bumi, pencemaran sumber air, pencemaran udara, banjir besar, tanah runtuh, pembakaran hutan, kepupusan flora dan fauna dan perubahan cuaca tidak menentu yang pastinya menjejaskan kehidupan manusia sejagat. Jelas di sini bahawa pelbagai bentuk bencana dan kerosakan alam sekitar yang berlaku di seluruh dunia ini adalah disebabkan oleh kerakusan dan kecuaian manusia itu sendiri.
Oleh itu, kesedaran menjaga alam sekitar bukanlah isu pinggiran, tetapi sebahagian daripada tuntutan iman. Menjaga alam adalah ibadah apabila ia dilakukan dengan niat untuk mentaati Allah Subhanahuwata'ala. Bumi ini adalah amanah Allah Subhanahuwata'ala yang mesti dipelihara. Mengabaikan alam sekitar bererti mengkhianati amanah Allah subhanahu wata'ala. Oleh itu, setiap daripada kita hendaklah memulakan langkah menjaga kebersihan, mengurangkan pembaziran, memelihara sumber air, mengurangkan pencemaran plastik, menyokong usaha penanaman pokok, dan mendidik anak-anak agar membesar dengan sifat cintakan alam sekitar.
Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mengajar kita bahawa menjaga alam bukan sahaja memberi manfaat di dunia, malah menjadi amalan yang berpanjangan ganjarannya di akhirat. Menjaga alam sekitar boleh dimulakan dengan langkah-langkah kecil yang memberi kesan besar, antaranya:
1. Mengurangkan pembaziran - sama ada makanan, air atau tenaga. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menegur sahabat yang berlebihan menggunakan air ketika berwuduk.
2. Menjaga kebersihan persekitaran dengan cara mengelakkan diri daripada membuang sampah di jalanan, sungai, laut atau tempat awam.
3. Menyokong penanaman pokok dan pemuliharaan hutan. Daripada Anas bin Malik radiallahu anhu bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا، أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا، فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ، إِلَّا كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَة
Maksudnya: “Mana-mana orang Islam yang bercucuk tanam kemudian dimakan daripadanya burung, manusia atau binatang tiada yang lain kecuali baginya sebagai sedekah''.Riwayat al-Bukhari (2320)
Ibn Battal ketika menjelaskan hadith di atas menyebut: ''Ini menunjukkan bahawa sedekah untuk semua jenis haiwan dan makhluk bernyawa di dalamnya terdapat pahala''. (Lihat Syarh Ibn Battal, 11/473)
4. Mendidik generasi muda agar mereka membesar dengan sikap cinta kepada alam sekitar.
Akhirnya, marilah kita bersama-sama menghayati firman Allah Subhanahuwata‘ala dalam Surah al-Qasas ayat 77,
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ
Maksudnya''.Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan''.
No comments:
Post a Comment