Palestin; Berjuang Tanpa Noktah
Tanah Palestina adalah tanah kaum muslimin, tanah yang diberkati, dan kiblat pertama kaum muslimin. Allah Subhanahuwata’ala telah mengkhususkan tempat ini bagi kebanyakan para nabi dan orang-orang pilihan-Nya. Bahkan, Allah Subhanahuwata’ala pilih tempat ini sebagai tempat singgah Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam ketika melakukan perjalanan isra dan mikraj dan menjadi tempat naiknya beliau ke atas langit untuk menerima perintah solat lima waktu. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maksudnya:''Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui''. Al-'Isra ayat 1.
Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya yang masyhur, masjid al-Aqsa di dalam surah al-Isra’ ini adalah Bait al-Maqdis. Dinamakan masjid al-Aqsa adalah disebabkan jaraknya yang jauh daripada masjid al-Haram. Adapun, ia juga merupakan masjid yang paling jauh daripada ahli Makkah di atas muka bumi ini yang dituntut atau disyariatkan bagi kita untuk menziarahinya. [Lihat: Tafsir al-Munir, 13/15]
Sebahagian Ahli Tafsir menyebut bahawa Al-Masjid Al-Aqsa adalah binaan kedua yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS setelah Kaabah. Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh Tahir Ibn ‘Asyur dalam tafsir beliau.[Lihat Ibn ‘Asyur, Muhammad Tahir Bin Muhammad, Tahrir Al-Ma’na Al-Sadid wa Tanwir ‘Uqul Al-Jadid min Tafsir Al-Kitab Al-Majid (1983), Al-Dar Al-Tunisiyah li Al-Nasyr, Tunisia, j.15 h.16]
Ia juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Zar RA. Beliau pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,
يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَيُّ مَسْجِدٍ وُضِعَ فِي الأَرْضِ أَوَّلَ؟ قَالَ: المَسْجِدُ الحَرَامُ قَالَ: قُلْتُ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ المَسْجِدُ الأَقْصَى قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَهُمَا؟ قَالَ: أَرْبَعُونَ سَنَةً، ثُمَّ أَيْنَمَا أَدْرَكَتْكَ الصَّلَاةُ بَعْدُ فَصَلِّهْ، فَإِنَّ الفَضْلَ فِيهِ
Maksudnya : “Wahai Rasulullah, masjid apa yang paling awal dibina? Baginda menjawab : Al-Masjid Al-Haram. Abu Zar bertanya lagi : Kemudian masjid apa? Baginda menjawab : Al-Al-Masjid Al-Aqsa. Saya (Abu Zar) bertanya lagi : Berapakah tempoh binaan antara kedua masjid tersebut? Baginda menjawab : 40 tahun. Sesiapa yang berada di mana-mana tempat tersebut, tunaikan solat di situ. Ini kerana ada kelebihan di tempat tersebut''. Riwayat Al-Bukhari (3366)
Adapun lafaz “الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ” (iaitu yang Kami berkati sekelilingnya) ditafsirkan oleh
Ibn Jarir al-Tabari berkata: “Yang kami jadikan sekelilingnya keberkatan bagi penduduknya dalam kehidupan, makan, minum dan hasil mahsul tanaman dengan kebun-kebun mereka.” Begitu juga yang disebut oleh Ibn Kathir bahawa, maknanya ialah; “Kami jadikan sekelilingnya dengan keberkatan pada tanam-tanaman dan buah-buahan''. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 8/12; lihat juga Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/5).
Allah Subhanahuwata’ala berkati tanah Palestin dengan pepohonannya yang banyak, kebun-kebunnya yang subur dan sungai-sungainya yang mengalir. Allah Subhanahuwata’ala berkatinya juga dengan keberadaan Masjidil Aqsa di dalamnya, pahala solat di dalamnya berlipat ganda dan adanya anjuran agar berkeinginan kuat pergi ke masjid tersebut semata-mata dengan tujuan beribadah dan solat di dalamnya.
Masjid al-Aqsa merupakan salah sebuah masjid yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi umat Islam. Di samping itu, masjid al-Aqsa juga merupakan salah sebuah masjid yang dituntut untuk kita mengembara untuk sampai kepadanya. Hal ini berdasarkan sebuah hadith yang sahih, Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى
Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dan juga masjid al-Aqsa”. Riwayat al-Bukhari (1189)
Imam Badruddin Al-‘Aini telah menjelaskan berkenaan maksud di sebalik hadith ini. Beliau menyatakan :
فِيهِ فَضِيلَة هَذِه الْمَسَاجِد ومزيتها على غَيرهَا لكَونهَا مَسَاجِد الْأَنْبِيَاء عَلَيْهِم الصَّلَاة وَالسَّلَام لِأَن الْمَسْجِد الْحَرَام قبْلَة النَّاس وَإِلَيْهِ حجهم وَمَسْجِد الرَّسُول أسس على التَّقْوَى وَالْمَسْجِد الْأَقْصَى كَانَ قبْلَة الْأُمَم السالفة
Maksudnya:''Dalam hadith tersebut menjelaskan kelebihan ketiga-tiga masjid dan keistimewaan yang dimiliki yang tiada pada masjid yang lain. Ianya adalah masjid para Nabi عَلَیهِ السَّلام. Ini kerana Al-Masjid Al-Haram adalah kiblat bagi manusia. Ramai orang berpusu-pusu menuju ke Masjid Al-Haram. Masjid Nabawi pula diasaskan atas dasar iman dan takwa manakala Al-Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat umat yang terdahulu''. [Lihat; Badruddin Al-‘Aini, Mahmud Bin Ahmad, Umdah Al-Qari Syarh Sahih Al-Bukhari (t.t), Dar Ihya’ Turath Al-‘Arabi, Beirut, j.7 h.253].
Di samping itu, Al-Masjid Al-Aqsa sangat berkait rapat dengan sejarah para Nabi terdahulu yang diutuskan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Ia dianggap sebagai kawasan suci umat Islam. Oleh itu, Al-Quran menggelarkan Palestin sebagai tanah yang suci (Al-Ardh Al-Muqaddasah). Allah Subhanahuwata’ala berfirman,
يَا قَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَىٰ أَدْبَارِكُمْ فَتَنقَلِبُوا خَاسِرِينَ
Maksudnya : “(Nabi Musa berkata lagi): Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)''. Al-Maidah ayat 21.
Termasuk dalam tanah suci ini adalah Al-Masjid Al-Aqsa. Perkara ini telah dijelaskan dan dihuraikan oleh Imam Al-Tabari dalam tafsirnya. [Lihat Abu Jaafar Al-Tabari, Muhammad Bin Jarir, Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil Ayy Al-Quran(t.t), Dar Al-Tarbiyah wa Al-Turath, Mekah, j.10 h.167].
Justeru itu, Al-Masjid Al-Aqsa mempunyai kedudukan dan keistimewaan di mata umat Islam. Ia bukan sahaja berkait dengan akidah bahkan ia juga dianggap kawasan suci umat Islam. Hakikatnya, sebarang usaha untuk mencemarkan kesucian Al-Masjid Al-Aqsa adalah merupakan satu perbuatan yang boleh mengguris dan menimbulkan kemarahan umat Islam.
Palestin merupakan sebuah negara berdaulat yang sebahagian besar rakyatnya terdiri daripada Bangsa Arab beragama Islam. Masjid al-Aqsa yang terletak di Palestin pula merupakan kiblat pertama umat Islam, kemudian ditukarkan ke arah Masjid al-Haram atau Kaabah di Makkatul Mukarramah. Konflik yang berlaku antara Palestin dan Israel bukanlah suatu perkara baharu dalam lembaran sejarah ketamadunan manusia. Sejak dari penubuhan negara haram Israel pada 15 Mei 1948, kita dapati bahawa konflik tersebut telah berlangsung sejak lebih enam dekad.
Israel telah menjadi negara pengganas selama 77 tahun sejak berlakunya peristiwa Nakbah atau malapetaka pada 15 Mei 1948. Peristiwa ini membawa kepada penubuhan Negara Israel di atas 77 peratus tanah Palestin yang dirampas. Ia juga turut dikaitkan dengan pengusiran 800 ribu rakyat Palestin yang menjadikan mereka sebagai pelarian. Al-Quran telah merakamkan bahawa kaum yahudi merupakan kaum yang paling dahsyat ganasnya dan melampau dalam memerangi para Rasul-Nya. Allah Subhanahuwata'ala menyatakan dalam Surah al-Baqarah ayat 61,
...وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ وَالْمَسْكَنَةُ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ ۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ الْحَقِّ ۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ
Maksudnya:''...Lalu ditimpahkanlah kepada mereka nista dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Hal itu (terjadi) karena mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para Nabi yang memang tidak dibenarkan. Demikian itu (terjadi) karena mereka selalu berbuat durhaka dan melampaui batas.''
Isu di Palestin bukanlah isu negara dan agama semata-mata. Bahkan jika dilihat dari kaca mata insani, ia merupakan isu kemanusiaan sejagat yang boleh dinilai daripada naluri kemanusiaan. Maka, setiap jiwa yang memiliki sifat perikemanusiaan pastinya tidak tahan melihat saban hari ada sahaja serangan, pencerobohan, pembunuhan, dan penculikan yang dilakukan oleh rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin. Serangan roket yang dilakukan ke wilayah yang dijajah Israel oleh pejuang Palestin merupakan manifestasi tindak balas mereka terhadap segala kezaliman, penindasan dan pembunuhan yang berterusan selama bertahun-tahun oleh rejim zionis terhadap seluruh rakyat Palestin dan Gaza secara khususnya. Walaupun Rejim Zionis Israel mendakwa bahawa penduduk Palestin telah menganiaya mereka dengan serangan tersebut, namun hakikatnya, tindakan mereka lebih teruk lagi. Mereka mengebom tempat-tempat awam seperti rumah kediaman, sekolah, masjid, bahkan hospital.
Antaranya, ialah serangan udara terhadap Hospital al-Ahli di Bandar Gaza pada 18 Oktober 2023 yang lalu telah mengorbankan lebih daripada 500 orang termasuklah wanita dan kebanyakannya ialah kanak-kanak dan mencederakan ratusan orang.Menjadikan hospital dan sekolah sebagai sasaran serangan ketenteraan bukanlah perkara baru bagi rejim zionis Israel. Pada awal Oktober lalu serangan udara Israel telah memusnahkan sebuah sekolah di Kem Pelarian al-Maghazi yang dikendalikan oleh UNRWA iaitu sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa terhadap Pelarian Palestin dan telah mengorbankan lebih dari enam orang.
Pada 6 Januari 2009 pula, seramai lebih daripada 40 orang telah terbunuh dalam serangan oleh tentera Israel ke atas Sekolah al-Fakhura di Kem Jabalia. Di tempat yang sama pada tahun 2014, serangan Israel telah mengorbankan 15 orang dan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih daripada 100 orang. Serangan Israel ke atas Hospital al-Aqsa di Gaza pada tahun 2014 juga telah menyebabkan 4 orang terbunuh dan mencederakan puluhan yang lain.
Selain itu, krisis kemanusiaan di Gaza kini menjadi semakin parah apabila bekalan keperluan asas seperti makanan, minuman dan ubat-ubatan mula kehabisan kerana bekalan bantuan daripada luar masih tidak dibenarkan untuk memasuki sempadan Gaza.
Berita terbaru keadaan di Semenanjung Gaza; Rujuk:
https://www.astroawani.com/berita-dunia/dua-tahun-serangan-genosid-angka-korban-di-gaza-meningkat-kepada-67173-orang-541824
Bernama 07/10/2025 22:30 MYT
Sekurang-kurangnya 67,173 orang terbunuh dalam serangan genosid Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023 manakala 169,780 yang lain cedera, termasuk 20,179 kanak-kanak, 10,427 wanita, 4,813 warga emas dan 31,754 lelaki. - Gambar fail/REUTERS
GAZA: Sekurang-kurangnya 67,173 orang terbunuh dalam serangan genosid Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023 manakala 169,780 yang lain cedera, termasuk 20,179 kanak-kanak, 10,427 wanita, 4,813 warga emas dan 31,754 lelaki, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA) memetik sumber perubatan.
Sumber perubatan mendokumentasikan kesan malapetaka terhadap sistem kesihatan Gaza selepas dua tahun genosid yang berterusan.
Jumlah petugas perubatan yang syahid meningkat kepada 1,701 orang manakala 362 tahanan kini ditahan dalam keadaan kehilangan paksa dan penahanan yang dinafikan hak asasi mereka.
Daripada keseluruhan 38 hospital, 25 tidak lagi beroperasi manakala 13 lagi berfungsi sebahagiannya dalam keadaan amat mencabar. Sebanyak 103 daripada 157 pusat jagaan kesihatan utama telah musnah dan hanya 54 masih beroperasi secara separa.
Ringkasan AI;
1-Serangan Israel di Gaza sejak 7 Okt 2023 mengorbankan lebih 67,000 orang dan mencederakan hampir 170,000, termasuk ribuan wanita dan kanak-kanak.
2-Sistem kesihatan Gaza lumpuh 25 hospital musnah, bekalan ubat dan peralatan perubatan kehabisan stok, serta kadar kebuluran dan penyakit meningkat kritikal.
3-Sekatan Israel menghalang rawatan perubatan dan vaksinasi, menyebabkan ribuan pesakit, termasuk kanak-kanak, gagal mendapat rawatan di luar Gaza.
Sesungguhnya, perjuangan penduduk palestin mempertahankan negara mereka merupakan suatu pembuktian kepada sabdaan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Dalam sebuah hadith, Abu Umamah radiallahu anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيْنَ هُمْ قَالَ بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ
Maksudnya:''Dari Abu Umamah berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, "Akan ada sekelompok umatku yang senantiasa berada di atas kebenaran, menang dan mengalahkan musuh mereka, orang yang menentang mereka tidaklah membahayakan mereka kecuali cobaan yang menimpa mereka hingga urusan Allah tiba dan mereka seperti itu." Mereka bertanya; Wahai Rasulullah! Dimana mereka? Rasulullah ﷺ bersabda, "Di Baitulmaqdis dan di sisi-sisi Baitulmaqdis''. Riwayat Ahmad(21286)
Negara Palestin merupakan sebuah negara Islam yang berdaulat dan termaktub dalam peta dunia manakala tertubuhnya negara haram Israel ialah dengan cara yang tidak bertamadun pernah dicatatkan dalam lembaran sejarah dunia. Kaum Yahudi sememangnya disebutkan oleh Allah Subhanahuwata'ala sebagai bangsa yang sering melampau dan sering memungkiri janjinya.
Perkataan Israel pada asalnya bererti pilihan dan la merupakan satu sebutan khusus bagi Nabi Yaakub A.S. Justeru, Bani Israel merupakan susur galur keturunan Nabi Yaakub A.S. Namun, sekarang Bani Israel lebih dikenali dengan sebutan Yahudi atau Zionis. Sebagai bangsa pilihan, mereka telah dianugerahkan pelbagai limpahan nikmat Allah Subhanahuwata'ala yang tidak diberikan kepada bangsa-bangsa lain. Di antara nikmat tersebut ialah ramai para nabi dan rasul berasal daripada kalangan mereka, mereka telah diselamatkan daripada kezaliman Firaun dan bala tenteranya, diturunkan makanan dari syurga iaitu man dan salwa dan lain-lain daripada nikmat Ilahi yang tidak terhitung. Kesemua nikmat itu Allah rakamkan di dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya:
يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَوْفُوا بِعَهْدِي أُوفِ بِعَهْدِكُمْ وَإِيَّايَ فَارْهَبُونِ
Maksudnya: “Wahai Bani Israel! Ingatlah segala nikmat yang telah Aku berikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian kamu dengan-Ku, agar Aku juga menyempurnakan perjanjian-Ku dengan kamu, dan hendaklah kamu merasa takut hanya kepada-Ku''. Al-Baqarah ayat 40.
Biarpun kenikmatan demi kenikmatan Allah Subhanahuwata'ala limpahkan kepada bangsa Yahudi tersebut, namun mereka tetap berubah menjadi bangsa yang lupa din sombong, mempermainkan ayat-ayat Allah Subhanahuwata'ala dan ajaran agama, bahkan mereka juga tergamak membunuh para da’i dan para nabi mereka sendiri yang sentiasa menyeru mereka kebaikan dan kesejahteraan hidup. Dalam hal ini, Allah Subhanahuwata'ala berfirman:
إِنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ حَقٍّ وَيَقْتُلُونَ الَّذِينَ يَأْمُرُونَ بِالْقِسْطِ مِنَ النَّاسِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya golongan yang mengingkari ayat-ayat Allah yang diturunkan kepada mereka, membunuh para nabi tanpa suatu alasan yang benar dan membunuh orang orang yang kepada mereka khabar gembira tentang azab yang amat pedih''. Ali Imran: 21)
Demikianlah juga perilaku kaum Yahudi pada zaman Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam yang hampir sama dengan jejak langkah nenek moyang mereka yang terdahulu. Mereka sangat membenci dan dengki terhadap Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dan para sahabatnya. Oleh itu, mereka telah berusaha keras dengan pelbagai cara dan helah, sama ada secara terang-terangan mahupun tersembunyi agar kaum Muslimin meninggalkan ajaran agama mereka dan kembali menjadi kufur seperti mereka. Perilaku jahat kaum Yahudi ini, telah dirakamkan di dalam al-Quran sebagai satu pengajaran kepada umat Islam selepasnya serta bertujuan untuk mendedahkan sikap dan perilaku sebenar mereka sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,
وَدَّ كَثِيرٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُم مِّن بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِّنْ عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ ۖ فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya: “Ramai dalam kalangan ahli Kitab yang berharap agar mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir selepas kamu beriman kerana hasad dengki yang ada dalam diri mereka walaupun sebenarnya kebenaran Islam itu sudah jelas kepada mereka. Maka maafkanlah mereka dan berlapang dadalah sehingga Allah memberikan perintah berkenaan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu''. Al-Baqarah Ayat 109.
Sejarah Islam juga telah mencatatkan bahawa kaum Yahudi terkenal dengan sifat khianat dan mungkir janjinya di mana hampir semua perjanjian yang telah termeteral antara mereka dengan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dikhianati mereka. Oleh kerana itu, bukanlah suatu perkara yang menghairankan, jika sekarang pun rejim Yahudi di Israel masih tetap mengulangi perbuatan khianat dan mungkir janji sepertimana yang dilakukan oleh nenek moyang mereka terdahulu. Mereka bukan sahaja telah mengkhianati seluruh isi perjanjian damai dengan bangsa Palestin, malahan mereka dengan bongkaknya tidak mahu tunduk kepada resolusi-resolusi yang telah diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenal isu perdamaian Timur Tengah.
Kisah pengkhianatan kaum Yahudi dahulu dan sekarang ini sekaligus membuktikan kebenaran wahyu ilahi yang mendedahkan tembelang dan sikap mereka sebenarnya terhadap isu keagamaan, kemanusiaan dan keamanan sejagat. Mereka merupakan golongan yang tidak boleh dipercayai sama sekali.
Justeru itu,kita bertanggungjawab menyatakan pendirian dan sokongan serta memberikan bantuan terhadap penduduk Palestin yang bermati-matian mempertahankan dan membebaskan negara mereka dari cengkaman zalim rejim zionis Israel kerana mereka berhak mendapatkan kebebasan di tanah air mereka yang telah dirampas.
Isu Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa bukan isu untuk rakyat palestin sahaja. Ia bukan semata-mata isu individu. Ia adalah isu yang melibatkan umat Islam keseluruhannya. Isu yang berlaku kepada Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa khususnya tidak boleh dipandang remeh. Memandangkan ia adalah kawasan suci ketiga bagi umat Islam, ia perlu diberikan perhatian khusus. Kelalaian umat Islam terhadap isu yang berlaku di Palestin akan menyebabkan musuh mudah untuk menguasainya. Pihak-pihak yang cuba mencemarkan kesuciannya wajib untuk dikecam dan diambil tindakan.
Bagi umat Islam, sejarah Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa harus sentiasa didendangkan. Anak-anak bangsa perlu diperingatkan tentang sejarah tanah suci ini. Jika ini tidak dilakukan, kita akan melihat isu Palestin dipandang sepi oleh umat Islam satu hari nanti. Pihak kerajaan harus memainkan peranan agar isu Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa sentiasa segar di mata umat Islam.
Semoga Allah menyelamatkan Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman Zionis Israel. Kita berdoa agar Allah menyelamatkan dan melindungi saudara kita yang berada di sana. Semoga satu hari nanti bumi Palestin bebas daripada kezaliman dan penindasan. Wahai Al-Aqsa kami sentiasa bersama kamu!!
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka''. Riwayat al-Bukhari (2965)
اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya:'' Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman''. Riwayat al-Bukhari (6393)
No comments:
Post a Comment