Wednesday, October 8, 2025

Keimanan Kepada Hari Akhirat

Keimanan Kepada Hari Akhirat

Keimanan kepada Hari Akhirat adalah meyakini bahawa seluruh alam semesta akan hancur, manusia akan dibangkitkan dari kematian, dihisab (diperhitungkan) semua amal perbuatannya, lalu menerima balasan sesuai amal perbuatannya, iaitu syurga atau neraka. Kepercayaan ini adalah salah satu dari rukun iman dalam Islam dan memberikan hikmah agar berhati-hati dalam bertindak, kesedaran akan tanggung jawab, dan motivasi untuk memperbanyak amal kebaikan di dunia untuk kehidupan akhirat yang kekal. 

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا ۖ وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ ۗ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ

Maksudnya:''Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa''. Al-Baqarah ayat 177

Demikian juga, berdasarkan sebuah sabda Nabi Salallahu'alaihiwasallam yang diriwayatkan dari Sahabat Umar bin Khatab radhiyallahu ‘anhu, dalam hadithnya Jibril yang masyhur, yang mana beliau berkata: ''Rasulallah Salallahu'alaihiwasallam bersabda,

 أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ 

Mkasudnya:''...Engkau beriman kepada Allah, kepada para malaikat-malaikat-Nya, kepada kitab-kitab-Nya, kepada para rasul-Nya, kepada hari akhir, dan takdir yang baik dan yang buruk...". Riwayat Muslim (9)

Masa bergerak begitu pantas, berlalu tanpa menoleh ke belakang. Dunia kini dipenuhi dengan kemajuan yang melalaikan, hiburan yang memukau dan maklumat yang menyambar hanya dengan satu sentuhan jari. Namun, di sebalik kesibukan dan hiruk-pikuk ini, ramai manusia hanyut, leka dan terpedaya dengan bayangan keseronokan yang fana, hingga mereka alpa terhadap hakikat yang pasti iaitu suatu hari kelak, ajal akan datang menjemput tanpa sebarang amaran. Begitulah Allah Subhanahuwata'ala sebenarnya telah mengingatkan kepada kita tentang betapa hampirnya kita dengan hari kiamat sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Qamar ayat 1,

اقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ

Maksudnya:''Telah dekat datangnya saat itu dan telah terbelah bulan''. 

Ketika mentafsirkan ayat ini, Imam Ibnu Jarir al-Tabari rahimahullah menjelaskan bahawa Allah Subhanahuwata'ala mengingatkan hamba-Nya tentang kedatangan hari Kiamat dan hampir berakhirnya segala urusan dunia, dan perintah untuk mereka bersiap sedia dengan bekalan yang mencukupi bagi menghadapi kedahsyatan Kiamat sebelum ketibaannya sedangkan mereka berada dalam keadaan alpa daripadanya. Imam al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan daripada Sahl bin Sa’d radiallahu anhu bahawa Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bersabda,

بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةُ كَهَاتَيْنِ، وَيُشِيرُ بِإِصْبَعَيْهِ فَيَمُدُّ هُمَا

Maksudnya: “Jarak diutusnya aku dan hari Kiamat seperti dua (jari) ini.” Baginda memberikan isyarat dengan kedua jarinya (jari telunjuk dan jari tengah), lalu merenggangkannya''. Riwayat al-Bukhari (6504) dan Muslim (2951)

Makna hadith ini adalah sebagai isyarat dekat kerana hampirnya dua jari ini. Ia dengan maksud waktu yang berbaki adalah sedikit berbanding usia dunia yang sudah mencapai billion tahun. Justeru, tiadalah sama sesuatu di hadapan ilmu Allah yang menyamakan satu hari di sisi-Nya, dengan seribu tahun mengikut kiraan kita. Lihat Asyrat al-Sa’ah, hlm. 103.

Allah Subhanahuwata'ala berfirman,

وَإِنَّ يَوْمًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ

Maksudnya: "Sesungguhnya sehari disisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun menurut perhitunganmu''. Al-Haj ayat 47

Imam al-Qurtubi menyebut: Satu hari di sisi Tuhan kamu sama seperti seribu tahun mengikut kiraanmu. Ibn Abbas berkata -begitu juga Mujahid-: “Yakni hari-hari yang Allah ciptakan padanya langit dan bumi.” Ikrimah pula berkata: “Yakni hari-hari akhirat''. Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 12/78.

Ibn Kathir menyebut: Iaitu Allah Subhanahuwata'ala Maha Tinggi, Dia tidak mempercepatkan masa. Sesungguhnya kadar seribu tahun di sisi makhluk-Nya sama seperti sehari di sisi-Nya mengikut hukum-Nya. Ini kerana ilmu-Nya yang mampu membalas dan berkuasa, sedangkan sesuatu tidak luput darinya sekalipun dia menangguh dan menta’khirkannya. Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/238.

Peristiwa terbelahnya bulan yang telah berlaku pada zaman Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam adalah bukti mukjizat agung yang mengesahkan kebenaran risalah Baginda Sallallahu'alaihiwasallam. Peristiwa itu bukan sekadar mukjizat untuk menundukkan orang kafir Mekah, bahkan ia juga menjadi isyarat yang sangat jelas bahawa hari kiamat kian mendekat.

Firman Allah Subhanahuwata'ala.

اقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ. وَإِنْ يَرَوْا آيَةً يُعْرِضُوا وَيَقُولُوا سِحْرٌ مُسْتَمِرٌّ

Maksudnya:''Telah dekat datangnya saat itu dan telah terbelah bulan. Dan jika mereka (orang-orang musyrikin) melihat suatu tanda (mukjizat), mereka berpaling dan berkata: "(Ini adalah) sihir yang terus menerus". Al-Qamar ayat 1-2

Peristiwa ini berlaku menurut riwayat dari Anas ibnu Malik yang mengatakan bahawa penduduk Mekah (kaum musyrik) pernah meminta kepada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam untuk memperlihatkan suatu tanda (mukjizat), maka terbelahlah bulan, 

عَنْ أَنَسٍ سَأَلَ أَهْلُ مَكَّةَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آيَةً فَانْشَقَّ الْقَمَرُ بِمَكَّةَ مَرَّتَيْنِ فَقَالَ { اقْتَرَبَتْ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ وَإِنْ يَرَوْا آيَةً يُعْرِضُوا وَيَقُولُوا سِحْرٌ مُسْتَمِرٌّ 

Maksudnya:''Dari Anas para penduduk Makkah meminta bukti (tanda tanda kenabian Rasulullah ﷺ) pada Nabi ﷺ, maka terbelahlah rembulan di Makkah dua kali, maka Allah berfirman: 1. Telah dekat datangnya saat itu (hari kiamat) dan telah terbelah bulan 2. Dan jika mereka (orang-orang musyrikin) melihat suatu tanda (mukjizat), mereka berpaling dan berkata, (Ini adalah) sihir yang terus menerus (Al. Qomar: 1-2)''. Riwayat Ahmad(12227)

Kehidupan ini hanya benar-benar difahami maknanya apabila kita benar-benar yakin adanya hari kiamat. Selagi kita menyangka hidup ini panjang dan tiada kesudahan, kita akan terus leka. Tetapi apabila kita sedar bahawa kehidupan dunia ini pasti berakhir, barulah kita mengerti apa yang wajib dikejar dan apa yang mesti ditinggalkan. Ketahuilah bahawa kiamat bukan sekadar kematian, bahkan ia adalah permulaan kehidupan yang sebenar. Hari di mana bumi hancur berkecai, langit digulung, gunung-ganang berterbangan seperti kapas, lautan mendidih kepanasan, bintang-bintang berguguran, dan setiap manusia akan dibangkitkan lalu dihisab satu persatu tanpa pengecualian. Pada hari yang berlaku kiamat, manusia akan jadi seperti kalkatu yang berterbangan, kebingungan mengejar cahaya. Apabila  sudah dapat menghampiri cahaya lalu jatuh. Kemudian terbang lagi dalam kebingungan, akhirnya cahaya juga yang menjadi pilihan walaupun sedar ia kan membawa kepada kematiannya. Mahukah kita menjadi kalkatu yang kebingungan saat kiamat nanti?

Namun itulah gambaran keadaan manusia yang Allah berikan ketika kiamat berlaku. Firman Allah Subhanahuwata'ala,

الْقَارِعَةُ. مَا الْقَارِعَةُ. وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْقَارِعَةُ. يَوْمَ يَكُونُ النَّاسُ كَالْفَرَاشِ الْمَبْثُوثِ. وَتَكُونُ الْجِبَالُ كَالْعِهْنِ الْمَنْفُوشِ. فَأَمَّا مَنْ ثَقُلَتْ مَوَازِينُهُ. فَهُوَ فِي عِيشَةٍ رَاضِيَةٍ. وَأَمَّا مَنْ خَفَّتْ مَوَازِينُهُ. فَأُمُّهُ هَاوِيَةٌ

Maksudnya:''Hari Kiamat, apakah hari Kiamat itu?. Tahukah kamu apakah hari Kiamat itu?. Pada hari itu manusia adalah seperti anai-anai(kelkatu) yang bertebaran. dan gunung-gunung adalah seperti bulu yang dihambur-hamburkan'. Dan adapun orang-orang yang berat timbangan (kebaikan)nya. Maka dia berada dalam kehidupan yang memuaskan. Dan adapun orang-orang yang ringan timbangan (kebaikan)nya. Maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah''.Al-Qari'ah ayat 1-8

Imam Ahmad meriwayatkan dari Ibn Umar radiallahu anhuma , Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

 ابْنَ عُمَرَ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَنْظُرَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُ رَأْيُ عَيْنٍ فَلْيَقْرَأْ إِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ وَإِذَا السَّمَاءُ انْفَطَرَتْ وَإِذَا السَّمَاءُ انْشَقَّتْ وَأَحْسَبُهُ أَنَّهُ قَالَ سُورَةَ هُودٍ

Maksudnya:''Ibnu Umar mengatakan, "Rasulullah ﷺ bersabda, "Barang siapa ingin melihat hari kiamat seperti melihat dengan pandangan mata, hendaklah ia membaca; IDZASY SYAMSU KUWWIRAT (surah At Takwir), IDZAS SAMA`UN FATHARAT (surah Al Infithaar) dan IDZAS SAMA`UN SYAQQAT (surat Insyiqaaq)." Dan aku kira beliau juag membaca surah Hud''. Riwayat Ahmad(4575)

Inilah gambaran yang membuatkan para sahabat Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam begitu takut dan insaf apabila mendengar ayat-ayat al-Quran serta sabda Baginda Sallallahu'alaihiwasallam tentang kedahsyatan kiamat. Hati mereka gementar, air mata mereka mengalir deras, bahkan ada yang jatuh pengsan kerana takutkan azab Allah subhanahu wata'ala. Begitu juga para ulama, seperti Abdullah bin Mubarak rahimahullah yang menangis teresak-esak di waktu malam kerana kegelapan itu mengingatkannya pada suasana hari kebangkitan yang penuh huru-hara.

Maka, persediaan menuju hari itu bukanlah mainan. Ia menuntut kita bersungguh-sungguh menjaga solat, menyempurnakan ibadah, mendidik anak-anak mencintai akhirat lebih daripada hiburan, menunaikan tanggungjawab memberi kefahaman agama kepada keluarga, serta menjaga diri daripada apa sahaja yang Allah Subhanahuwata'ala haramkan. Itulah bekal sebenar yang akan menyelamatkan kita pada hari yang amat dahsyat itu.

Dunia ini hanyalah singgahan sementara, ibarat kapal yangberlabuh sebentar sebelum meneruskan pelayaran jauh. Namun, ramai manusia tertipu dengan hiasannya, sibuk mengejar kemewahan dan keseronokan, lalu kembali kepada Allah dalam keadaan tanpa bekal. Allah Subhanahuwata‘ala telah mengingatkan dalam Surah al-Hasyr ayat 18,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya:''Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan''.

Ayat di atas seakan-akan menyeru kita: “Perhatikanlah bekalmu, adakah ia cukup untuk menghadapi hari kebangkitan?”

Sehebat mana pun nikmat dunia, semuanya akan lenyap. Yang kekal hanyalah amal yang dibawa menghadap Allah Subhanahuwata'ala. Maka siapkanlah bekalan dengan akidah yang murni, bersih daripada syirik, penuh keyakinan kepada keesaan Allah Subhanahuwata'ala. Iringilah akidah itu dengan ibadah yang ikhlas, terutama solat lima waktu.

Basuhlah dosa-dosa lalu dengan taubat yang benar, lahir daripada penyesalan yang mendalam dan tekad untuk tidak mengulanginya. Hidupkan hati dengan zikir, bacaan al-Quran dan doa, agar Allah menutup hayat kita dengan husnul khatimah. Jangan lupa menjaga hubungan sesama manusia dengan akhlak mulia, saling memaafkan dan menjauhi perpecahan. Dan perbanyakkanlah amal jariah seperti sedekah, wakaf, ilmu yang bermanfaat, serta doa anak-anak yang soleh kerana itulah bekal yang terus mengalir meskipun jasad sudah berada di liang lahad.

Marilah kita menangisi kelemahan diri. Sudahkah kita benar-benar bersedia menghadapi hari yang paling dahsyat itu? Hari ketika ibu melupakan anak, sahabat tidak lagi mengenal sahabat, setiap manusia hanya memikirkan nasib dirinya di hadapan Allah Rabbul Jalil.

Lihatlah ke dalam hati, adakah kita membawa cukup bekal taubat, amal soleh dan iman yang tulus? Atau kita masih lalai mengejar dunia yang akan ditinggalkan? Jangan sampai saat kematian menjemput, barulah kita menyesal kerana pulang dalam keadaan tangan kosong.

Namun wahai hamba Allah Subhanahuwata'ala, jangan berputus asa. Pintu taubat masih terbuka, rahmat Allah Subhanahuwata'ala jauh lebih luas daripada dosa-dosa kita. Hari ini masih ada kesempatan untuk kembali, memperbanyakkan istighfar, mendekatkan diri dengan al-Quran, menghadiri majlis ilmu, dan menjadikan setiap hela nafas sebagai ladang pahala untuk dituai di akhirat.

Perhatikanlah perintah Allah Subhanahuwata'ala kepada kita supaya bertaubat,

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya''. Al-Nur (31)

Ibn Kathir berkata: Lakukanlah apa yang aku perintahkan kamu dengannya, dan semua sifat-sifat yang mulia dan akhlak yang terpuji. Pada saat yang sama, tinggalkanlah perangai ahli jahiliyyah dan sifat buruk mereka. Ini kerana kejayaan dan kemenangan yang sebenar dengan melaksanakan perintah Allah dan Rasul serta meninggalkan larangan-Nya. Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 6/50.

Begitu juga dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا اعْتَرَفَ بِذَنْبِهِ ثُمَّ تَابَ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya hamba, jika dia mengakui dosanya dan kemudian dia bertaubat, nescaya Allah Subhanahuwata'ala menerima taubatnya''.Riwayat al-Bukhari (2661)

Mulla Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih (4/1616) menyebut: Iaitu seseorang yang menyedari keadaan dirinya yang berdosa, kemudian dia bertaubat dengan memenuhi segala rukun dan syarat-syaratnya seperti menyesal, meninggalkannya, berazam dan berusaha memperbaiki diri maka Allah Subhanahuwata'ala akan menerima taubatnya berdasarkan firman-Nya,

وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ

Maksudnya: Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya (yang bertaubat)''. Al-Syura ayat 25.

Al-Qurtubi berkata: Allah pasti mengampunkan sebarang bentuk dosa iaitu dari perlakuan syirik sebelum mereka Islam. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan dari kebaikan dan kejahatan. Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran, 7/27.

Telah disebut oleh Ibn Rajab,

أَنَّ مَنْ تَابَ إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا، وَاجْتَمَعَتْ شُرُوطُ التَّوْبَةِ فِي حَقِّهِ، فَإِنَّهُ يُقْطَعُ بِقَبُولِ اللَّهِ تَوْبَتَهُ، كَمَا يُقْطَعُ بِقَبُولِ إِسْلَامِ الْكَافِرِ إِذَا أَسْلَمَ إِسْلَامًا صَحِيحًا، وَهَذَا قَوْلُ الْجُمْهُورِ، وَكَلَامُ ابْنِ عَبْدِ الْبَرِّ يَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ إِجْمَاعٌ

Maksudnya:''Orang yang bertaubat kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan taubat nasuha, memenuhi semua syarat taubat bagi dirinya, maka boleh dipastikan Allah Subhanahuwata'ala menerima taubat dirinya. Ini sepertimana boleh dipastikan Islam orang kafir yang masuk Islam dengan benar. Inilah pendapat majoriti ulama’. Keterangan Ibn Abd al-Bar menunjukkan bahawa perkara tersebut telah menjadi kesepakatan ulama’. Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/418.

Antara dalil mereka ialah firman Allah Subhanahuwata'ala,

إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya)''. Al-Nisa’ (48)

Ibn Kathir berkata: Allah Subhanahuwata'ala memberitahu bahawa Dia tidak mengampuni perbuatan syirik dengan maksud Dia tidak mengampuni seseorang hamba yang menemui-Nya (mati) dalam keadaan musyrik. Sebaliknya Allah Subhanahuwata'ala mengampuni dosa yang selain itu bagi mereka yang dikehendaki-Nya daripada kalangan hamba-Nya. Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/327

Hidup ini singkat, tetapi peluang untuk meraih syurga masih ada. Bangkitlah dengan semangat, penuhi hari-hari kita dengan amal soleh, didik keluarga dengan agama, sebarkan kebaikan, dan jauhkan diri daripada maksiat. Semoga Allah Subhanahuwata'ala mengurniakan kita husnul khatimah, meringankan langkah kita di padang mahsyar, dan menghimpunkan kita bersama Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam di dalam syurga-Nya yang penuh kenikmatan.

Justeru, marilah sama-sama kita meningkatkan amalan dan memperbanyakkannya dengan penuh keikhlasan agar kita membawa bekalan sebaik-baiknya di hadapan Allah pada hari akhirat kelak. Benarlah firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ

Maksudnya: ''Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah)''.

No comments:

Post a Comment

Keimanan Kepada Hari Akhirat

Keimanan Kepada Hari Akhirat Keimanan kepada Hari Akhirat adalah meyakini bahawa seluruh alam semesta akan hancur, manusia akan dibangkitkan...