Wednesday, October 22, 2025

Jauhi dari Kepercayaan dan Amalan Khurafat

Jauhi dari Kepercayaan dan Amalan Khurafat

Khurafat ialah kepercayaan karut, tahyul, atau cerita rekaan yang menyimpang daripada ajaran Islam. Ia boleh merangkumi pantang larang, ramalan, pemujaan, atau amalan yang tidak mempunyai asas agama dan dianggap syirik, seperti kepercayaan bahawa nasib seseorang dipengaruhi oleh perkara-perkara selain daripada Allah Subhanahuwata'ala. 

Khurafat (الخُرَافَةُ) berdasarkan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi Keempat merupakan suatu kepercayaan yang karut, dongeng, dan tahayul. Ia pada asalnya merupakan kata pinjaman yang diambil dari bahasa Arab. Justeru, terdapat beberapa makna yang diberikan dari takrifan bahasa Arab, antaranya; 

Menurut kamus al-Mu’jam al-Wasit mentakrifkan khurafat sebagai:

والْحَدِيث المستملح المكذوب

Maksudnya: ''Cerita-cerita yang mempesonakan yang dicampuradukkan dengan perkara dusta''. [Al-Mu’jam al-Wasīṭ]

Menurut kamus Lughah al-Fuqaha:

‌الخرافة: ج خرافات، الكلام الذي لا صحة له

Maksudnya: ''Al-Khurafat, jamaknya khurafāt ialah sebarang ucapan yang tiada kesahihan padanya''. [Mu’jam Lughah al-Fuqahā’]

Menurut kamus al-Munjid fi al-Lughah wa al-‘Alam:

الخرافة ج حرافات: الحديث الباطل مطلقا

Maksudnya: "Al-Khurafah, jamaknya khurafat, iaitu sebarang cerita-cerita yang dusta''. [Luis Ma’luf – Al-Munjid fī al-Lughah wa ‘Alām]

Menurut Kamus Al-Marbawi pula, khurafat ialah: cerita karut, karut marut. [Kamus Idris Marbawi (Arab-Melayu)]

Justeru, melalui makna-makna yang telah dinyatakan sebelum ini dapat disimpulkan bahawa khurafat merujuk kepada kepercayaan atau amalan yang tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam serta sering dikaitkan dengan kepercayaan karut, tahyul dan mitos yang bertentangan dengan akidah Islam yang murni.

Firman Allah Subhanahuwata'ala yang menyentuh tentang kisah khurafat oleh kaum Thamud. Disebutkan di dalam al-Furqan (pada surah Surah al-Naml ayat 45-47),

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ فَإِذَا هُمْ فَرِيقَانِ يَخْتَصِمُونَ

Maksudnya: ''Demi sesungguhnya Kami telah mengutuskan kepada kaum Thamud saudara mereka Nabi Soleh, lalu Baginda berkata kepada mereka: ‘Sembahlah Tuhan yang layak disembah iaitu Allah.’ Maka tidak semena-mena mereka berpecah menjadi dua golongan yang berbalah, Mukmin dan kafir". Al-Naml ayat 45

قَالَ يَا قَوْمِ لِمَ تَسْتَعْجِلُونَ بِالسَّيِّئَةِ قَبْلَ الْحَسَنَةِ ۖ لَوْلَا تَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: ''Nabi Soleh berkata: ‘Wahai kaumku! Mengapa kamu minta disegerakan azab berbanding minta kebaikan? Alangkah baiknya jika kamu memohon ampun kepada Allah nescaya kamu mendapat rahmat-Nya?''. Al-Naml ayat 46

قَالُوا اطَّيَّرْنَا بِكَ وَبِمَن مَّعَكَ ۚ قَالَ طَائِرُكُمْ عِندَ اللَّهِ ۖ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ تُفْتَنُونَ

Maksudnya: ''Mereka menjawab: ‘Kami ditimpa nasib malang gara-gara kamu dan orang yang bersama kamu!’ Nabi Soleh menjawab: ‘Sesungguhnya nasib malang kamu adalah ketetapan daripada Allah, malah sebenarnya kamu suatu kaum yang sedang diuji''. Al-Naml ayat 47

Antara khurafat yang menjadi budaya kaum Thamud dan masyarakat Arab yang lain ialah menilik nasib berdasarkan pergerakan burung. Islam melarang amalan seumpama itu dan ia daripada syirik. Dalam sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menjelaskan ciri-ciri orang yang bersih hatinya daripada kepercayaan khurafat melalui sabda Baginda Sallallahu'alaihiwasallam,

هُمُ الَّذِينَ لاَ يَسْتَرْقُونَ، وَلاَ يَتَطَيَّرُونَ، وَلاَ يَكْتَوُونَ، وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Maksudnya: ''Mereka ialah orang-orang yang tidak mengamalkan ruqyah yang kufur, tidak merasa malang berdasarkan pergerakan burung, tidak melakukan rawatan dengan menggunakan besi panas dan bertawakal kepada Tuhan mereka''.Riwayat al-Bukhari (5705) dan Muslim (220)

Justeru, sebagai orang Muslim, tidak seharusnya menjadikan pergerakan binatang tertentu atau kejadian tertentu sebagai sebab mendapat malapetaka atau selamat daripadanya. Ini kerana agama Islam berteraskan akidah tauhid. Justeru, segala amalan atau kepercayaan yang berunsur kesyirikan adalah ditegah sama sekali. Sebagai contoh, dilarang membuat dan menyimpan patung walaupun untuk tujuan perhiasan atau atas nama kesenian. Begitu juga mempercayai sesuatu objek, benda hidup atau seseorang pembawa malang atau tuah. Hal demikian bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam kerana Pemberi manfaat dan mudarat hanyalah daripada Allah Subhanahuwata'ala.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

لاَ طِيَرَةَ، وَخَيْرُهَا الفَأْلُ. قَالُوا: وَمَا الفَأْلُ؟ قَالَ: الكَلِمَةُ الصَّالِحَةُ يَسْمَعُهَا أَحَدُكُمْ

Maksudnya: “Tidak ada tiyarah (sebarang petanda daripada burung), dan yang paling baik adalah al-fa’l. Mereka berkata: ‘Apakah al-fa’l itu?’ Baginda Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: Perkataan yang baik yang didengari oleh salah seorang daripada kalian''. Riwayat al-Bukhari (5754) dan Muslim (2223)

Malangnya, sebahagian masyarakat melayu masih percaya kepada pengaruh “kenan” atau “badi” dalam banyak perkara antaranya ketika wanita mengandung. Kononnya, jika seseorang yang sedang mengandung pernah mengalami insiden berkaitan dengan binatang tertentu, kelak akan mendapat anak yang cacat dan menyerupai binatang tersebut. 

Islam menuntut kita untuk sentiasa memperkukuhkan keimanan dan keyakinan dengan menjadikan Allah Subhanahuwata’ala satu-satunya sandaran kehidupan kita. Dengan keyakinan ini, terbinalah iman yang utuh. Tanpanya, iman bakal layu dan pudar malah ditakuti hati akan dipenuhi dengan keraguan dan sandaran kepada selain daripada Allah Subhanahuwata’ala. Abdullah bin Abbas radhiallahu anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

 عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَقَالَ يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ قَالَ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

Maksudnya:''Dari Ibnu Abbas, ia berkata: "Pada suatu hari aku pernah berada di belakang Rasulullah ﷺ, kemudian beliau bersabda, 'Wahai Anak, aku akan mengajarimu beberapa kalimat; jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya engkau akan menemui-Nya di hadapanmu. Bila engkau ingin meminta, mintalah kepada Allah, dan bila engkau ingin meminta pertolongan, mintalah kepada Allah. Ketahuilah, bahawa seandainya bila ada suatu umat yang bersatu untuk memberimu manfaat, niscaya mereka tidak akan mampu memberimu manfaat apa pun selain apa yang telah Allah takdirkan untukmu. Dan seandainya bila mereka bersatu untuk membahayakanmu, mereka tidak akan mampu membahayakanmu sama sekali kecuali apa yang telah Allah takdirkan untukmu. Pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering (takdir telah ditetapkan -pent).'" Abu Isa berkata: Hadith ini hasan sahih. Riwayat Tirmizi (2440)

Syaikh Ibnu 'Allan as-Siddiqi asy-Syafi'e al-Asy'ari al-Makki rahimahullah ketika mensyarahkan hadih ini dalam kitabnya Dalil al-Falihin menjelaskan bahawa orang yang menjaga Allah iaitu dengan melazimi taqwa kepada-Nya dan menjauhkan diri daripada segala larangan serta tegahan-Nya, maka Allah akan menjaga dan menolong dirinya, keluarganya, urusan dunia dan agamanya lebih-lebih lagi ketika dia hendak meninggal dunia. 

Beliau menjelaskan lagi bahawa, ''Ini adalah penetapan dan penegasan untuk mengesakan Allah Subhanahuwata'ala pada mendatangkan manfaat dan mudarat dengan bukti dan penerangan yang paling jelas, dan galakan supaya bertawakkal dan meletakkan sepenuh sandaran kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam segenap urusan…''.

Jelas, bahawa hadith di atas mengajarkan kepada kita kepentingan untuk kita sedar bahawa segala usaha dan langkah yang kita ambil, sewajarnya kita pasrah akan hasilnya dan natijahnya kepada ketentuan Allah Subhanahuwata’ala. Tugas kita bekerja kuat dan keputusannya diserahkan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Tiada jalan pintas dalam mencapai sesuatu kejayaan dalam kehidupan ini. Apa yang lebih penting, kita bersabar dan meredai apa saja keputusan Allah Subhanahuwata’ala untuk kita, kerana Dia Maha Mengetahui atas segala sesuatu dan mengetahui hikmah di sebaliknya.

Kita menyaksikan, bukan sahaja di zaman ini, tetapi daripada dulu lagi, terdapat sebahagian individu yang terkesan dengan perkara khurafat iaitu kepercayaan tahayul dan amalan yang karut-marut yang tidak mempunyai dasar sama sekali dalam ajaran Islam, yang menjanjikan jalan pintas bagi mencapai segala kehendak dan tujuan. Mereka menyangka bahawa amalan-amalan tersebut dapat menolong mereka untuk meraih apa yang diingini.

Amalan-amalan karut-marut seperti meminta menggunakan tangkal yang tidak difahami maknanya, meminta ramalan untuk mengetahui untung nasib baik atau buruk pada masa depan, mandi dengan air yang direndam bersama kertas atau papan yang ditulis dengan ayat-ayat tertentu untuk menolak bala pada bulan Safar dan lain-lain lagi.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud R.Anhuma, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

Maksudnya:''Sesungguhnya jampi-jampi,tangkal-tangkal dan ‘tiwalah’ itu adalah syirik''. Riwayat Imam Ahmad (3615), Abu Daud (3883) dan Ibnu Majah (3530)

Imam al-Munawi berkata: Menggunakan tangkal dianggap syirik kerana bererti seseorang itu meyakini ia dapat memberi pengaruh (ta’thir) dan ini boleh membawa syirik kepada Allah.

Al-Tibi pula berkata: Maksud syirik pada hadis di atas adalah apabila seseorang meyakini bahawa ia (jampi, tangkal dan tiwalah) mempunyai kekuatan dan mampu memberi kesan (dalam mempengaruhi/mengubah sesuatu) dan perkara tersebut adalah jelas bertentangan dengan tawakkal kepada Allah. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/121)

Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 

لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ

Maksudnya:"Tidak ada  penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu". Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.

Kata Imam al-Nawawi (w.676 H) :"

Sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam ‘Tidak ada safar’ ada dua tafsiran : Tafsiran yang pertama bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan berperang.Inilah yang dilakukan oleh Bangsa Arab Jahiliyyah.Ini adalah pendapat Malik dan Abu ‘Ubaidah.Tafsiran yang kedua,yang dimaksudkan dengan safar adalah binatang yang wujud di dalam perut iaitu ulat.Arab Jahiliyyah percaya bahawa di dalam perut ada satu binatang yang berlegar ketika lapar.Berkemungkinan ianya boleh membunuh tuan punya perut.Mereka mengatakan bahawa ianya lebih teruk dan berjangkit berbanding penyakit kulit.Inilah tafsiran yang betul. Pandangan ini telah dikemukakan oleh al-Mutarrif, Ibnu Wahbin, Ibnu Habib, Abu ‘Ubaid dan sebahagian besar para ulama. Pandangan ini juga disebutkan oleh Imam Muslim yang dinukilkan daripada Jabir salah seorang perawi hadith ini". Rujuk al-Minhaj Syarh Sohih Muslim (13/379)

Dapat kita fahami bahawa safar yang dimaksudkan dalam hadith adalah kepercayaan karut yang dianuti oleh masyarakat Arab Jahiliyyah yang dilarang oleh Nabi Sallallahu'alaihiwasallam untuk mempercayainya. Antaranya adalah mereka mempercayai bahawa apabila tibanya bulan Safar,akan berlakulah perkara buruk. Kepercayaan ini hampir serupa dengan kepercayaan orang melayu di dalam amalan mandi safar di mana mereka melakukan upacara tersebut untuk menolak bala dan musibah dan ianya dilakukan hanya pada bulan Safar. Tidakkah ia memberi isyarat bahawa adanya kepercayaan bahawa bulan itu adalah bulan sial dan musibah sepertimana yang dipercayai oleh masyarakat arab Jahiliyyah. Ini adalah satu perbuatan yang ditegah Nabi Sallallahu'alaihiwasallam. Ditambah pula dengan amalan karut marut yang mengiringi temasya mandi safar ini.

Sekiranya kita merujuk kepada tradisi Islam, antara contoh amalan khurafat yang pernah ditegah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam adalah konsep Thiyarah, yang selalu diamalkan oleh masyarakat Arab sebelum Islam. Ia adalah amalan meramal nasib melalui suatu petanda. Seperti melihat arah terbang seekor burung, mendengar suara binatang, melihat bintang, melihat garis-garis di telapak tangan, dan sebagainya. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam mengingatkan bahawa mempercayai keburukan itu datangnya daripada sesuatu selain daripada Allah adalah syirik. 

Imam Ibnu Majah rahimahullah meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 

 عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الطِّيَرَةُ شِرْكٌ وَمَا مِنَّا إِلَّا وَلَكِنَّ اللَّهَ يُذْهِبُهُ بِالتَّوَكُّلِ

Maksudnya:''Dari Abdullah dia berkata, "Rasulullah ﷺ bersabda, "Thiyarah (berfirasat buruk/menggangtungkan nasib)adalah perbuatan syirik, dan hal itu hanyalah prasangka kita, akan tetapi Allah akan menghilangkan dengan tawakkal''. Riwayat Ibnu Majah(3528)

Ingatlah, Islam telah pun mengajar kepada kita bahawa hanya kepada Allah sahajalah tempat kita sewajarnya meminta dan memohon segala kebaikan dan keselamatan daripada segala keburukan. Namun, apabila seseorang itu percaya kepada selain Allah iaitu makhluk juga boleh mendatangkan kebaikan dan kemudaratan, maka akan tergugat dan lenyaplah keimanannyakepada rukun Islam yang keenam iaitu percaya kepada qadak dan qadar Allah Subhanahuwata’ala.

Sesunguhnya, kepercayaan dan amalan khurafat yang masih membelenggu umat Islam hari ini berpunca daripada akidah yang tidak mantap dan tidak mempunyai kefahaman yang jelas tentang syariat Islam yang meliputi aqidah, fikah dan akhlak atau tasawuf. 

Justeru, umat Islam perlu memperteguhkan kefahaman dan penghayatannya kepada perkara-perkara yang merupakan fardhu ain yang merangkumi pegangan aqidah Ahlus Sunnah wal Jama'ah aliran Asya‟irah dan Maturidiah, fekah berasaskan Mazhab Imam Syafie, dan akhlak atau tasawuf berasaskan aliran Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali rahimahumullah.

Kepercayaan khurafat adalah perkara yang tidak mempunyai sebarang dalil atau sandarannya. Dan kepercayaan terhadapnya secara melampau boleh menjerumuskan seseorang ke dalam kancah syirik. Maka hendaklah kita berhati-hati dalam menerima sebarang maklumat, amalan dan apa jua kepercayaan. Pastikanlah kita mempunyai dalil yang sahih serta sandaran yang kukuh sebelum mula beramal atau mepercayai sesuatu.

Tolaklah bala dengan doa. Seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi Sallallahu'alaihiwasallam di dalam kebanyakan hadith.Antaranya adalah doa yang sentiasa kita ulangi di dalam solat Subuh, 

وَقِنِيْ شَرَّ مَا قَضَيتَ

Maksudnya:”lindungi dan jauhkanlah aku dari kejahatan yang telah Engkau tetapkan". 

Riwayat al-Nasaie (1725),Abu Daud (1214) di dalam al-Sunan,al-Baihaqi (427) di dalam Sunan al-Sughra,Ibnu Hibban ( 950) di dalam Sohihnya,Ahmad (1625) di dalam Musnad

Semoga Allah sentiasa menunjukkan kita ke jalan yang benar dan diredhai-Nya,

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin". 

No comments:

Post a Comment

Jauhi dari Kepercayaan dan Amalan Khurafat

Jauhi dari Kepercayaan dan Amalan Khurafat Khurafat ialah kepercayaan karut, tahyul, atau cerita rekaan yang menyimpang daripada ajaran Isla...