Solat Jumaat; Tuntutan dan Kelebihan serta adabnya
Menghadiri solat Jumaat adalah fardu ain ke atas setiap lelaki Islam yang mukallaf, merdeka (bukan hamba), tidak berada dalam keadaan musafir atau bermukim mahupun keuzuran yang dibenarkan oleh syarak. Meninggalkannya tanpa keuzuran adalah haram dan berdosa besar, seperti apa yang dimaklumi hukumnya adalah fardhu ain dan bukan fardhu kifayah. Wanita, kanak-kanak, hamba sahaya, dan orang sakit dikecualikan daripada kewajipan ini, namun mereka dibolehkan untuk hadir jika memenuhi syarat-syarat tertentu seperti ketersediaan ruang.
Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan dalam kitabnya al-Majmu' syarh al-Muhazzab bahawa tuntutan wajib ini adalah berdasarkan kepada ayat al-Quran, hadith dan juga ijma' ulama.
Firman Allah Subhanahuwata'ala di dalam Surah al-Jumu'ah ayat 9,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya:''Wahai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jum'at, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui''.
Maksud ‘فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ’ (segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah), para ulama mentafsirkannya dengan maksud segera untuk mendengar khutbah jumaat dan melakukan solat Jumaat selepasnya. Lihat Tafsir Ayat al-Ahkam oleh Syeikh Ali al-Sobuni, 2/362.
Islam melarang segala bentuk aktiviti melalaikan apabila muazin telah mengumandangkan azan kedua berdasarkan firman Allah Subhanahwata'ala di atas. Syeikh Jalaluddin al-Mahalli menyatakan: “Haram bagi mereka yang wajib Jumaat menyibukkan diri dengan jual beli dan selainnya selepas muazzin mula mengumandangkan azan yang kedua di hadapan khatib. Allah berfirman: “Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu).
Perkataan perintah dalam ayat tersebut menunjukkan kepada kewajipan, dalam konteks ini dengan cara meninggalkan jual beli, maka haram melakukannya. Diqiyaskan dengan jual beli, iaitu segala aktiviti yang telah kami jelaskan, kerana secara maknanya sama dengan jual beli dalam isu melalaikan Jumaat. Lihat Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Thalibin, 1/ 334.
Begitu juga melalui hadith yang sahih sanadnya daripada Toriq bin Syihab radiallahu' anhu yang berbunyi,
عَنْ طَارِقِ بْنِ شِهَابٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
فِي جَمَاعَةٍ إِلَّا أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوْ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيض
Maksudnya: Dari Thariq bin Syihab dari Nabi ﷺ beliau bersabda, "Jumaat itu wajib bagi setiap muslim dengan berjamaah, kecuali empat golongan, iaitu: hamba sahaya, wanita, anak-anak dan orang yang sakit''. Riwayat Abu Daud (901)
Disamping itu, telah berlaku ijma’ dalam kalangan ulama’ berkenaan kewajipan solat Jumaat ke atas orang lelaki, muslim, baligh, yang bermukim di sesuatu tempat dan tiada keuzuran baginya yang membolehkan dia meninggalkan solat Jumaat secara berjemaah. (Rujuk Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 27:193). Berdasarkan dalil dan hujah di atas, jelaslah kepada kita tentang kewajipan solat Jumaat yang dilaksanakan secara berjemaah.
Oleh sebab itu, Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam telah memberi amaran kepada mereka yang mengabaikan solat Jumaat tanpa sesuatu uzur yang dibenarkan oleh syarak. Abi al-Ja'di ad-Dhomri radiallahu'anhu meriwayatkan daripada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam,
مَنْ تَرَكَ ثَلاَثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ
Maksudnya : Sesiapa yang meninggalkan tiga kali solat jumaat kerana mengambil mudah akannya, nescaya Allah akan mengunci jantung hatinya''. Riwayat Abu Daud (1052)
Manakala dalam sebuah riwayat yang lain daripada Jabir bin Abdillah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda :
مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلاَثًا مِنْ غَيْرِ ضَرُورَةٍ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ
Maksudnya : ''Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali tanpa sebarang dharurat maka Allah akan mengunci mati jantung hatinya''.Riwayat Al-Nasa’ie (1370)
Kedua riwayat hadith di atas jelas menunjukkan kepada kita ancaman dan amaran yang terdapat di dalam hadith tersebut terikat dengan keadaan meninggalkan solat Jumaat kerana mengambil enteng, meremehkan ia, serta meninggalkan perlaksanaannya tanpa sebarang dharurat.
Syeikh Badruddin al-‘Aini dalam syarahan beliau terhadap hadith riwayat Abu Daud di atas berkata : ‘’Bab ini menjelaskan tentang kerasnya ancaman bagi perbuatan meninggalkan solat Jumaat tanpa sebarang keuzuran’’. Beliau menambah, perkataan تَهَاوُنًا بِهَا membawa maksud : ‘’(Meninggalkannya) kerana malas serta culas dalam melakukannya’’. Rujuk Syarah Abi Daud, Badr al-Din al-‘Aini (4/371).
Manakala Mulla ‘Ali al-Qari ketika mengulas hadith tersebut menukilkan kata-kata Al-Thibi yang menyebut : ‘’(Iaitu meninggalkannya dengan tujuan menghina)’’. Kemudian dinukilkan pendapat ulama lain yang menyebut : ‘’Meninggalkannya kerana mengambil mudah’’. Rujuk Mirqaat al-Mafatih, Mulla ‘Ali al-Qari (3/1024).
Maka jelas kepada kita bahawa ancaman yang dimaksudkan di dalam hadith di atas merupakan ke atas mereka yang meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan di sisi syarak. Manakala mereka yang meninggalkan solat Jumaat disebabkan ada keuzuran, maka mereka tidak termasuk dalam ancaman tersebut. Sebaliknya, diberikan ganjaran sama seperti yang disebutkan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
Maksudnya : ''Apabila seseorang hamba itu sakit atau bermusafir, akan ditulis buat dirinya ganjaran sama seperti yang diamalkannya semasa bermukim atau sihat''.Riwayat Al-Bukhari (2996)
Hari Jumaat adalah hari yang mulia di sisi umat Islam. Terdapat banyak hadith yang menceritakan tentang kelebihan yang ada pada hari Jumaat. Antaranya, hadith daripada Abu Hurairah radiallahuanhu bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
الصَّلَاةُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ، مَا لَمْ تُغْشَ الْكَبَائِرُ
Maksudnya: “Solat lima waktu, Jumaat kepada Jumaat berikutnya merupakan kaffarah (penghapus dosa) di antara keduanya selagimana tidak melakukan dosa besar''. Riwayat Muslim (233)
Imam al-Nawawi menyatakan setiap yang disebut di dalam hadith tersebut boleh menghapuskan dosa sekiranya terdapat dosa kecil untuk dihapuskan. Sekiranya tidak terdapat dosa kecil atau besar maka akan dicatat baginya kebaikan dan diangkat darjatnya. Sekiranya terdapat dosa besar dan tidak terdapat dosa kecil, mudah-mudahan perkara tersebut dapat meringankan dosa besar yang dilakukan. Lihat: al-Minhaj, 3/113
Adalah sangat digalakkan bagi setiap Muslim untuk menyegerakan diri hadir ke masjid pada hari Jumaat. Ini kerana terdapat banyak kelebihan dan ganjaran yang besar bagi orang yang datang awal, sebagaimana yang disebut dalam pelbagai hadith sahih. Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: Abu Hurairah radiallahu anhu, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الجُمُعَةِ غُسْلَ الجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الخَامِسَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ حَضَرَتِ المَلاَئِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ
Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera pergi ke masjid, maka seakan-akan berkorban dengan unta, sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, maka seakan-akan dia berkorban dengan lembu, dan sesiapa pergi pada masa yang ketiga, maka seakan-akan dia berkorban dengan biri-biri jantan yang bertanduk, dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat seakan-akan dia berkorban dengan seekor ayam, dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seakan-akan dia berkorban dengan sebiji telur dan apabila imam telah keluar (untuk berkhutbah) maka para malaikat turut hadir untuk mendengar peringatan (khutbah)''. Riwayat al-Bukhari (881) dan Muslim (850)
Menurut kitab al-Muktamad dalam mazhab al-Syafie, dikira masa-masa tersebut di atas bermula dari terbitnya fajar kerana ia merupakan permulaan pensyariatan (solat Jumaat) dan padanya juga dibolehkan untuk mandi sunat Jumaat. Berkaitan dengan masa pertama dan kedua bukanlah diiktibar tempoh masa tertentu , bahkan ia dikira dengan siapa yang datang dahulu akan mendapat kelebihan tersebut daripada yang datang kemudian. Adapun imam disunatkan untuk melewatkan kehadiran sehingga hampir masuk waktu Jumaat kerana mengikut perbuatan Nabi Sallallahu'alaihiwasallam dan para khulafa’ Baginda Sallallahu'alaihiwasallam dengan tujuan mempersiapkan khutbah (yang akan dibacakan). Begitu juga bagi orang yang uzur (sukar untuk datang awal ke masjid) disunatkan melewatkan kehadiran. Lihat: al-Muktamad, 528,529/1.
Di akhir hadith, dinyatakan bahawa malaikat akan mendengar khutbah apabila imam telah keluar. Ini menunjukkan bahawa barangsiapa yang hadir selepas daripada imam keluar tidak akan memperolehi ganjaran orang yang hadir awal ke solat Jumaat. Di samping itu, tuntutan datang awal ke masjid adalah bagi menggalakkan orang untuk mendapatkan fadhilat yang disebutkan di dalam hadithو mendapatkan kelebihan saf pertama, menunggunya serta menyibukkan diri dengan perkara-perkara sunat dan berzikir atau seumpama dengannya. Ini semuanya tidak akan diperolehi dengan pergi ke masjid selepas gelincirnya sebahagian daripadanya (matahari) dan tidak juga mendapat kelebihan jika datang selepas daripada tergelincirnya (matahari) kerana ketika itu seruan (azan) dikumandangkan. [Lihat: al-Minhaj, 541/4]
Hadith yang menjelaskan tentang waktu para malaikat menutup catatan kehadiran pada hari Jumaat ialah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
إِذَا كَانَ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، كَانَ عَلَى كُلِّ بَابٍ مِنْ أَبْوَابِ الْمَسْجِدِ مَلَائِكَةٌ، يَكْتُبُونَ الْأَوَّلَ فَالْأَوَّلَ، فَإِذَا جَلَسَ الْإِمَامُ طَوَوْا الصُّحُفَ، وَجَاؤُوا يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ.
Maksudnya: “Apabila tiba hari Jumaat, para malaikat berdiri di setiap pintu masjid mencatat orang yang datang terlebih dahulu, kemudian yang selepasnya. Apabila imam telah duduk, mereka menutup buku catatan itu dan datang untuk mendengar peringatan''. Riwayat al-Bukhari (3039), Muslim (850)
Para ulama menjelaskan bahawa penutupan catatan oleh para malaikat berlaku apabila imam duduk di atas mimbar, iaitu duduk sebagai persediaan untuk menyampaikan khutbah. Inilah waktu di mana azan kedua dikumandangkan. Maka, apabila azan kedua selesai, khutbah pun dimulakan.
Perlu difahami bahawa duduk yang dimaksudkan dalam hadith tersebut adalah duduk sebelum memulakan khutbah rasmi. Oleh itu, catatan para malaikat ditutup sejurus selepas imam duduk di atas mimbar untuk memulakan khutbah Jumaat yang sebenar, bukan sebelum itu.
Ibn al-Mulaqqin berkata: “Dan sabda Nabi: (Apabila imam duduk di atas mimbar), ini adalah satu sunnah, dan inilah pendapat umum para ulama''. Lihat al-Taudih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih, 7/517.
Ibn al-Mulaqqin berkata lagi: “Dalam hadith ini, disebutkan bahawa kehadiran para malaikat adalah berkait rapat dengan kemunculan imam untuk berkhutbah, yang mengandungi zikir kepada Allah, nasihat dan peringatan, serta mendengarnya sebagaimana yang telah disebut. Bukan untuk mendengar perkara-perkara baru yang diada-adakan dan seumpamanya. Perkara-perkara seperti ini akan dicatat oleh malaikat pencatat amal terhadap orang yang melakukannya dan yang redha dengan perbuatannya secara terang-terangan. Adapun orang yang hanya redha dalam hati, maka Allah yang Maha Mengetahui lebih mengetahui isi hatinya, dan tidak dicatat oleh malaikat''. Lihat al-I‘lam bi Fawaid ‘Umdah al-Ahkam, 4/175.
Ayat al-Quran juga menjelaskan maksud keadaan tersebut. Allah Subhanahuwata'ala berfirman:,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah''. Al-Jumu‘ah ayat 9.
Para mufassir menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan “seruan solat” (النداء) dalam ayat ini ialah azan kedua, dan yang dimaksudkan dengan “zikrullah” (ذِكْرِ اللَّهِ) ialah khutbah Jumaat.
Imam al-Tabari berkata: “Apabila diseru untuk solat pada hari Jumaat [al-Jumu‘ah: 9] – iaitu seruan yang disampaikan (azan) untuk memanggil orang ramai menunaikan solat Jumaat ketika imam telah duduk di atas mimbar untuk menyampaikan khutbah… Adapun ‘zikrullah’ yang Allah Subhanahuwata'ala perintahkan hamba-Nya yang beriman untuk bersegera kepadanya ialah nasihat dan peringatan yang disampaikan oleh imam dalam khutbahnya''. Lihat Jami‘ al-Bayan, 22/637,642.
Diriwayatkan daripada al-Sa’ib bin Yazid, katanya:
كَانَ النِّدَاءُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوَّلُهُ إِذَا جَلَسَ الإِْمَامُ عَلَى الْمِنْبَرِ، عَلَى عَهْدِ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا
Maksudnya: “Pada zaman Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, Abu Bakar dan Umar, azan pada hari Jumaat dilakukan hanya apabila imam duduk di atas mimbar''.Riwayat al-Bukhari (870)
Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Azan yang dilakukan pada zaman Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, Abu Bakar dan Umar adalah azan yang dilakukan di hadapan imam ketika imam duduk di atas mimbar, dan perkara ini tiada khilaf di kalangan para ulama''. Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Rajab, 8/215.
Berdasarkan huraian para ulama dan hadith-hadith yang sahih, dapat difahami bahawa waktu para malaikat menutup catatan kehadiran pada hari Jumaat ialah apabila imam duduk di atas mimbar sebelum azan kedua dilaungkan, dan bukan semasa penyampaian ucapan awal atau nasihat dalam bahasa tempatan sebelum khutbah bermula. Maka sesiapa yang hadir sebelum imam duduk di atas mimbar, dia masih dikira hadir awal dan dicatat dalam senarai kehadiran malaikat.
Bagi memperolehi ganjaran dan kelebihan yang sempurna daripada solat Jumaat yang dilaksanakan, maka marilah kita bersama-sama menjaga adab-adab solat Jumaat. Antaranya;
Pertama: Mandi sunat Jumaat setelah masuk waktu fajar hari Jumaat dan sebaik-baiknya sebelum pergi solat Jumaat.
Kedua: Membersihkan tubuh daripada kekotoran dan bau busuk, memotong kuku dan mengemas rambut, serta memakai minyak dan wangi-wangian.
Ketiga: Memakai pakaian yang terbaik dan sebaik-baiknya jubah yang berwarna putih.
Keempat: Bersegera ke masjid dan solat sunat tahiyyatul masjid.
Kelima: Diam dan mendengar dengan penuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan serta tidak melakukan perkara yang lain yang boleh menghilangkan tumpuan kepada khutbah.
Daripada Abu Hurairah radiallahu anhu, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ وَزِيَادَةُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا
Maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari jumaat (yang akan datang), serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha''. Riwayat Muslim (857)
Berdasarkan hadith di atas, dapatlah difahami bahawa perbuatan bermain-main batu kecil ketika khatib sedang berkhutbah adalah dilarang, serta menjadikan pelakunya lagha. Hal ini diluaskan lagi kepada perbuatan-perbuatan lain yang menyebabkan hilangnya fokus dan tumpuan dalam mendengar khutbah. Ia seperti bermain telefon bimbit, tidur, makan dan minum tanpa sebab dan seumpamanya.
Berdasarkan kepada hadith tadi, perkara-perkara yang lagha perlu dielakkan semasa khutbah disampaikan oleh khatib. Lagha adalah perbuatan atau percakapan yang sia-sia atau tidak ada faedah kerana menghilangkan tumpuan seseorang kepada khutbah yang disampaikan.
Pada asasnya, terdapat beberapa hadith yang menunjukkan larangan terhadap perkataan dan perbuatan yang menyebabkan hilangnya fokus dalam mendengar khutbah Jumaat. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ
Maksudnya: Apabila kamu mengucapkan; ‘’Diamlah kamu’’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat dalam keadaan Imam sedang berkhutbah, maka kamu telah lagha''. Riwayat al-Bukhari (934)
Begitu juga sebuah hadith yang turut diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang bermain-main dengan batu kecil (semasa khutbah Jumaat) sesungguhnya dia telah lagha''. Riwayat Muslim (857)
Kedua-dua hadith di atas ini merupakan larangan ke atas dua perkara semasa khutbah Jumaat sedang berlangsung. Iaitu larangan berkata-kata dan juga larangan bermain batu kecil semasa khutbah. Dapatlah kita fahami hikmah larangan tersebut adalah kerana keduanya mengganggu seseorang itu untuk mendengar khutbah yang sedang disampaikan.
Terdapat beberapa pendapat yang disebutkan oleh para ulama berkenaan maksud lagha yang terdapat dalam kedua hadis di atas. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: Ada pendapat yang menyatakan lagha bermaksud: Batal fadhilat Jumaat kamu. Manakala pendapat lain menyebut: Jumaat kamu berubah menjadi zohor. Lihat Fath Al-Bari, 2/414
Meskipun para ulama berbeza pendapat akan kesan ancaman lagha tersebut terhadap implikasi hukum, dalam erti kata sebahagian fuqaha mazhab menyatakan hukum bagi kedua perbuatan itu (bercakap dan bermain batu kecil semasa khutbah) adalah makruh manakala pendapat fuqaha mazhab yang lain menyatakan keduanya adalah haram. Namun apa yang pasti ianya adalah perbuatan yang dilarang, kerana mengganggu tumpuan dalam mendengar khutbah Jumaat yang sedang disampaikan.
Justeru, perbuatan menonton video di saluran youtube, berwhatsapp, bermain game online dan seumpamanya ketika khatib sedang berkhutbah perlu dielakkan kerana termasuk dalam perkara lagha. Begitu juga dengan perbuatan mengarahkan jamaah untuk memenuhkan saf, atau mengarahkan kanak-kanak diam dan tidak bermain ketika khatib sedang menyampaikan khutbah, atau memungut derma ketika bacaan khutbah sedang berlangsung.
Dinukilkan kata-kata Imam al-Nawawi yang menyebutkan,
يُسْتَحَبُّ لِلْقَوْمِ أَنْ يُقْبِلُوا عَلَى الْخَطِيبِ مُسْتَمِعِينَ وَلَا يَشْتَغِلُوا بِغَيْرِهِ حَتَّى قَالَ أَصْحَابُنَا يُكْرَهُ لَهُمْ شُرْبُ الْمَاءِ لِلتَّلَذُّذِ ولا بأس يشربه لِلْعَطَشِ لِلْقَوْمِ وَالْخَطِيبِ
Maksudnya: Disunatkan kepada kaum (orang ramai) untuk menghadap ke arah khatib dalam keadaan mendengar (khutbah yang disampaikan) dan tidaklah mereka itu sibuk dengan perkara lain. Sehinggakan para ashab kami telah berkata: Dimakruhkan bagi kaum (para jemaah) untuk meminum air bagi tujuan talazzuz (bersedap-sedap), tetapi tidak mengapa untuk jemaah dan juga khatib untuk meminum air sekiranya disebabkan dahaga''. Lihat al-Majmu’, 4/529
Selain daripada itu, perbuatan sengaja datang lewat ke masjid atau tidak terus masuk ke dalam masjid sebaliknya duduk di luar masjid sambil berbual-bual juga perlu diubah kerana menyebabkan pelakunya terlepas peluang untuk memperolehi ganjaran dan pahala yang khusus daripada ibadah solat Jumaatnya.
Hari Jumaat adalah hari yang mulia dan ia juga mempunyai banyak keistimewaan, kemuliaan dan kelebihan berbanding hari-hari yang lain. Untuk itu, kita sebagai seorang muslim samada lelaki atau wanita perlulah mengambil berat berkaitan perkara ini. Di samping itu, marilah sama-sama kita mengamalkan sunnah ini di dalam kehidupan seharian kita agar mendapatkan kelebihan-kelebihan yang terdapat di dalam hadith-hadith di atas. Akhirnya, semoga Allah Subhanahuwata'ala memberi kesempatan serta mengurniakan kita waktu-waktu yang istimewaan seperti ini kepada kita. آمين.
No comments:
Post a Comment