Wednesday, September 17, 2025

Arak Dosa Besar

Arak Dosa Besar

Para ulama telah mengkaryakan buku khusus berkenaan dosa-dosa besar. Antaranya Imam al-Zahabi melalui kitabnya al-Kabair dan juga Imam Ibn Hajar al-Haitami melalui kitabnya al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir. Mereka telah menerangkan satu persatu berkenaan dosa-dosa besar yang terangkum dalam al-Quran dan hadith serta menyebut balasan dan akibatnya.

Allah Subhanahuwata'ala berfirman,

وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ

Maksudnya: Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya''. Al-Syura ayat 37.

Allah Subhanahuwata'ala turut berfirman,

إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلًا كَرِيمًا

Maksudnya: Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)''. Al-Nisa’ ayat 31.

Ibnu Abbas R.Anhuma dalam menjelaskan ayat di atas berkata:

الكَبِيْرَةُ كُلُّ ذَنْبٍ خَتَمَهُ اللهُ بِنَارٍ، أَوْ غَضَبٍ، أَوْ لَعْنَةٍ، أَوْ عَذَابٍ

Maksudnya: “Dosa besar adalah yang Allah akhiri dengan ancaman neraka, atau kemurkaan, atau laknat atau azab seksa.” (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 5/59 dan Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/282)

Al-Hasan al-Basri menyatakan:

كُلّ ذَنْب نَسَبَهُ اللَّه تَعَالَى إِلَى النَّار فَهُوَ كَبِيرَةٌ

Maksudnya: ''Setiap dosa yang Allah nisbahkan dengan neraka maka itu adalah dosa besar''. Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/285.

Dalam hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam juga turut menyebut berkenaan adanya pembahagian dosa besar dan dosa kecil. Sabda Baginda Sallallahu'alaihiwasallam,

الصَّلاةُ الخمسُ والجمعةُ إلى الجمعةِ كفَّارةٌ لما بينَهنَّ ما لم تُغشَ الْكبائرُ

Maksudnya: “Solat lima waktu dan solat Jumaat ke solat Jum’at seterusnya, menghapuskan dosa-dosa di antara keduanya, selama mana tidak melakukan dosa besar''. Riwayat Muslim (233)

Imam al-Qurtubi mentakrifkan dalam kitab al-Mufhim sebagai penjelasan dalam menghuraikan dosa besar, iaitu:

كُلّ ذَنْب أُطْلِقَ عَلَيْهِ بِنَصِّ كِتَاب أَوْ سُنَّة أَوْ إِجْمَاع أَنَّهُ كَبِيرَة أَوْ عَظِيم أَوْ أُخْبِرَ فِيهِ بِشِدَّةِ الْعِقَاب أَوْ عُلِّقَ عَلَيْهِ الْحَدّ أَوْ شُدِّدَ النَّكِير عَلَيْهِ فَهُوَ كَبِيرَة

Maksudnya:''Setiap dosa yang diitlaqkan padanya dengan nas al-Quran, Sunnah, atau ijmak bahawa ia ialah dosa besar, dijanjikan hukuman yang berat, hukuman had, atau sangat diingkari atasnya, maka ia adalah dosa besar''. Lihat Fath al-Bari, 15/709.

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menukilkan beberapa pandangan lain berkaitan maksud dosa besar. Antaranya:

Al-Rafi’e dalam al-Syarh al-Kabir berkata: “Dosa besar ialah dosa yang mewajibkan hukuman had. Ada juga pandangan menyatakan, ia ialah dosa yang diiringi balasan buruk kepada pelakunya berdalilkan al-Quran atau Sunnah.”

Ibn Abd al-Salam menyebut: “Dosa yang membuatkan pelakunya menjadi hina. Menurut beliau lagi, ada pandangan yang menyatakan dosa besar ialah dosa yang disertakan dengan balasan buruk atau laknat.”

Ibn al-Solah berkata: ''Ada beberapa tanda yang menunjukkan suatu dosa termasuk daripada dosa besar iaitu; mewajibkan hukuman had, janji buruk dengan neraka menerusi dalil al-Quran dan sunah, pelakunya menjadi fasiq dan dilaknat''.

Arak merupakan salah satu minuman amalan tradisi masyarakat Arab pada zaman Jahiliyah. Setelah kedatangan Islam, Syariat telah mengharamkan perbuatan meminum arak. Pengharaman arak telah  dijelaskan  di  dalam  nas  al-Quran  secara  berperingkat.  

Peringkat  pertama, Allah  Subhanahuwata'ala menyatakan bahawa pada arak itu terdapat kebaikan dan keburukan, namun keburukannya lebih besar. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala dalam al-Baqarah ayat 219,

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: "Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya". Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: "Yang lebih dari keperluan". Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir''. 

Pada peringkat yang seterusnya, Allah Subhanahuwata'ala melarang perbuatan minum arak sebelum menunaikan solat lantaran ia merupakan suatu amalan yang kotor (رجس). Allah juga telah menjelaskan bahawa arak termasuk dalam salah satu antara perbuatan keji dan merupakan amalan syaitan sebagaimana firman Allah Subhanahwata'ala dalam al-Maidah ayat 90,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: ''Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan''.

Akhir  sekali,  Allah Subhanahuwata'ala menegaskan  bahawa  arak  itu  dapat  menimbulkan  permusuhan  sesama manusia dan boleh menghalang seseseorang dari mengingati Allah dan solat. Melalui peringkat yang terakhir ini juga, Allah telah melarang manusia dari melakukan perbuatan itu sebagaimana disebut di dalam dalil al-Quran, al-Maidah Ayat 91,

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ

Maksudnya:'' Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)''.

Syariat Islam telah mengharamkan penggunaan ''arak'' sebagai minuman dan telah menetapkan hukuman hudud kepada pesalah. Isu permasalahan yang timbul adalah dengan adanya pelbagai jenis minuman selain arak pada masa kini yang juga boleh memabukkan baik dengan prosesnya secara mutlak seperti bir mahupun perubahannya secara semula jadi seperti perapan anggur. Isu tersebut telah dibahaskan oleh para ulama’ fuqaha’ 4 mazhab. Arak bukan sahaja minuman yang dihasilkan dari perahan buah anggur, malah para ulama’ fuqaha’ empat Mazhab juga mendefinisikan arak sebagai segala minuman yang memabukkan.

Islam sentiasa mementingkan kebaikan umatnya. Lantaran itu, arak diharamkan bagi menjaga kesihatan akal manusia terutamanya. Pengharaman arak ini adalah selari dengan Maqasid Syariah yang menjaga kesempurnaan akal manusia bagi menutup segala jalan-jalan keburukan yang mungkin berlaku sekiranya ia diharuskan. Sifat arak yang memabukkan menjadi ‘illah atau sebab pengharamannya. Oleh kerana pengharamannya dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran maka didatangkan juga dalil bagi hukuman had kepada pesalah. Beberapa kaidah-kaidah fiqh juga dapat diaplikasikan dalam menentukan hukum  bagi  permasalahan  yang  berkaitan.

Lantaran itu, arak diharamkan bagi menjaga kesihatan akal manusia terutamanya. Pengharaman arak ini adalah selari dengan Maqasid Syariah yang menjaga kesempurnaan akal manusia bagi menutup segala jalan-jalan keburukan yang mungkin  berlaku  sekiranya  ia  diharuskan.  Sifat  arak  yang  memabukkan  menjadi  ‘illah  atau  sebab pengharamannya.  Oleh  kerana  pengharamannya  dinyatakan  secara  jelas  di  dalam  al-Quran  maka didatangkan juga dalil bagi hukuman had kepada pesalah. Beberapa kaidah-kaidah fiqh juga dapat diaplikasikan dalam menentukan hukum bagi permasalahan yang berkaitan

Arak menurut Kamus Dewan edisi keempat, arak didefinisikan sebagai sejenis minuman yang mengandungi alkohol dan memabukkan. Ia juga sering disebut sebagai minuman keras. Di dalam perkataan Arab pula, arak disebut sebagai khamar ( خمر ). Dari segi bahasa, khamar membawa maksud menutup, iaitu menutup  akal  fikiran  manusia  dari  kewarasan.  Dari  segi  istilah,  para  fuqaha  telah  bersepakat mendefinisikan khamar sebagai semua minuman hasil dari perahan buah anggur, yang haram diminum kerana kesannya yang memabukkan. Dr Yusuf Qardawi mendefinisikan arak sebagai semua minuman yang  memabukkan  yang  diperbuat  dari  biji-bijian  atau  buah-buahan  dengan  diproses  sehingga mencapai kadar alkohol yang memabukkan (Qardawi, Ysuf 1998: 349)

Ini berdasarkan hadith daripada Nabi Sallallahu'alaiwasallam,

كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: ''Semua yang memabukkan adalah haram''.

Riwayat Bukhari (5263) dan Muslim (2001)

Hadith ini menjelaskan maksud arak, iaitu semua perkara yang memabukkan. Semua benda yang memabukkan walau apa pun namanya, hukum meminumnya adalah sama dengan hukum arak, iaitu haram.

Terdapat beberapa jenis arak yang kebiasaan diminum pada masa kini. Antaranya ialah: 

1.Wine : Ia merupakan hasil perapan buahan terutamanya anggur. 

2.Beer : Ia merupakan sejenis minuman dari perapan tumbuhan seperti barli atau gandum. 

3.Wiski : Ia merupakan perapan gandum, barli, jagung atau bijian. 

4.Cider : Ia merupakan hasil perapan buah epal.

5.Vodka : Sejenis arak yang berasal dari Rusia. Ia dihasilkan dari pemerapan bijian, gandum, kentang, anggur atau gula ubi. Teksturnya lebih neutral dan tidak berbau. 6.Brandy : Ia dihasilkan melalui proses penyulingan buah anggur.

Menurut ijma’ ulama’, pengharaman arak adalah kerana ia memabukkan. Oleh itu, pengharaman tersebut mestilah sama atas semua minuman yang memabukkan tanpa perbezaan walau apa jua asalnya.

Ini berdasarkan hadith daripada Abu Malik bin al-Asy’ari RA, dia mendengar Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam bersabda.

لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِى الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا

Maksudnya: ''Demi sesungguhnya manusia di kalangan umatku akan minum arak yang mereka menamakannya dengan nama yang lain''.

Riwayat Abu Daud (3688) dan Ibn Majah (4020)

Maksud mabuk ialah pemikiran terlalu kacau, yang menghalang fungsi akal kerana tidak dapat mengawal dengan bijak dan sepatutnya. Maksud memabukkan pula ialah sesuatu yang diminum itu biasanya menyebabkan seseorang mabuk tanpa mengira kadarnya. Oleh itu, tidak harus sama sekali mengambil sesuatu yang pasti memabukkan peminumnya sama ada kadar yang diminum itu sampai had yang memabukkan ataupun tidak, dan sama ada peminum itu mabuk ataupun tidak.

Ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA:

مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ

Maksudnya: “Apabila benda yang banyak memabukkan, maka yang sedikit pun adalah haram''. Riwayat Abu Daud (368), al-Tirmizi (1866) dan Ibn Majah (3393)

Hadith seterusnya daripada Aisyah R.Anha, katanya, sabda Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam,

كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ مَا أَسْكَرَ الْفَرَقُ مِنْهُ فَمِلْءُ الْكَفِّ مِنْهُ حَرَامٌ

Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah haram, sesuatu yang kadarnya satu faraq (فرق) boleh memabukkan, maka segenggam daripadanya pun haram.”

Riwayat al-Tirmizi (1867) dan Abu Daud (2687)

Menurut Mazhab al-Syafie, arak dan minuman yang memabukkan adalah najis. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya''.Al-Maidah ayat 90.

Perkataan رِجْسٌ dengan makna kotor dan najis.

Ulama’ sepakat menyatakan bahawa meminum minuman yang memabukkan dengan sengaja adalah berdosa besar. Pada hari Kiamat, balasannya amat dahsyat selagi tidak mendapat pengampunan dan kemaafan daripada Allah Subhanahuwata'ala. Ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA ,sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam,

إِنَّ عَلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ عَهْدًا لِمَنْ يَشْرَبُ الْمُسْكِرَ أَنْ يَسْقِيَهُ مِنْ طِينَةِ الْخَبَالِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَمَا طِينَةُ الْخَبَالِ؟ قَالَ: عَرَقُ أَهْلِ النَّارِ أَوْ عُصَارَةُ أَهْلِ النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menjanjikan azab kepada peminum arak dengan minuman lumpur kebinasaan (طينة الخبال). Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah lumpur kebinasaan itu?” Baginda menjawab: “Peluh penghuni neraka atau perahan ahli neraka''.Riwayat Muslim (2002)

Allah Subhanahuwata'ala mengurniakan nikmat yang berbagai-bagai kepada manusia dan yang paling utama ialah nikmat akal yang membezakan manusia, bahkan memuliakannya berbanding dengan makhluk yang lain.

Kestabilan hidup manusia sama ada sebagai individu atau sebagai anggota masyarakat bergantung kepada kesempurnaan dan kekuatan akal.

Semua minuman yang memabukkan merosakkan akal dan menyebabkan manusia kehilangan banyak faedah dan kelebihannya. Hal ini mengakibatkan jiwa mereka menjadi lemah, dikuasai oleh hawa nafsu, timbul rasa benci-membenci dan persengketaan di kalangan orang Islam, sehingga putus hubungan persaudaraan dan hilang rasa kasih sayang.

Lebih dahsyat lagi, kesan minum arak menghalang manusia mengingati Allah dan menjauhi mereka daripada rahmat, kurniaan dan ihsan-Nya.

Hal ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala,

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?''. Al-Maidah ayat 91.

Begitu juga hadith daripada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,

اجْتَنِبُوْا الخَمْرَ فَإِنَّهَا مِفْتَاحُ كُلِّ شَرٍّ

Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan''. Riwayat al-Hakim (4/145)

Begitu juga, hadith daripada Uthman RA secara mauquf:

اجْتَنِبُوا الْخَمْرَ فَإِنَّهَا أُمُّ الْخَبَائِثِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak kerana ia punca segala kejahatan dan kerosakan''.Riwayat al-Nasaie (8/315)

Itulah sebahagian hikmah pengharaman arak dan semua jenis makanan atau minuman yang memabukkan.


No comments:

Post a Comment

Arak Dosa Besar

Arak Dosa Besar Para ulama telah mengkaryakan buku khusus berkenaan dosa-dosa besar. Antaranya Imam al-Zahabi melalui kitabnya al-Kabair dan...