Judi Dosa Besar
Para ulama telah mengkaryakan buku khusus berkenaan dosa-dosa besar. Antaranya Imam al-Zahabi melalui kitabnya al-Kabair dan juga Imam Ibn Hajar al-Haitami melalui kitabnya al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir. Mereka telah menerangkan satu persatu berkenaan dosa-dosa besar yang terangkum dalam al-Quran dan hadith serta menyebut balasan dan akibatnya.
Allah Subhanahuwata'ala berfirman,
وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ
Maksudnya: Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya''. Al-Syura ayat 37.
Allah Subhanahuwata'ala turut berfirman,
إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلًا كَرِيمًا
Maksudnya: Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)''. Al-Nisa’ ayat 31.
Ibnu Abbas R.Anhuma dalam menjelaskan ayat di atas berkata:
الكَبِيْرَةُ كُلُّ ذَنْبٍ خَتَمَهُ اللهُ بِنَارٍ، أَوْ غَضَبٍ، أَوْ لَعْنَةٍ، أَوْ عَذَابٍ
Maksudnya: “Dosa besar adalah yang Allah akhiri dengan ancaman neraka, atau kemurkaan, atau laknat atau azab seksa.” (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 5/59 dan Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/282)
Al-Hasan al-Basri menyatakan:
كُلّ ذَنْب نَسَبَهُ اللَّه تَعَالَى إِلَى النَّار فَهُوَ كَبِيرَةٌ
Maksudnya: ''Setiap dosa yang Allah nisbahkan dengan neraka maka itu adalah dosa besar''. Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/285.
Dalam hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam juga turut menyebut berkenaan adanya pembahagian dosa besar dan dosa kecil. Sabda Baginda Sallallahu'alaihiwasallam,
الصَّلاةُ الخمسُ والجمعةُ إلى الجمعةِ كفَّارةٌ لما بينَهنَّ ما لم تُغشَ الْكبائرُ
Maksudnya: “Solat lima waktu dan solat Jumaat ke solat Jum’at seterusnya, menghapuskan dosa-dosa di antara keduanya, selama mana tidak melakukan dosa besar''. Riwayat Muslim (233)
Imam al-Qurtubi mentakrifkan dalam kitab al-Mufhim sebagai penjelasan dalam menghuraikan dosa besar, iaitu:
كُلّ ذَنْب أُطْلِقَ عَلَيْهِ بِنَصِّ كِتَاب أَوْ سُنَّة أَوْ إِجْمَاع أَنَّهُ كَبِيرَة أَوْ عَظِيم أَوْ أُخْبِرَ فِيهِ بِشِدَّةِ الْعِقَاب أَوْ عُلِّقَ عَلَيْهِ الْحَدّ أَوْ شُدِّدَ النَّكِير عَلَيْهِ فَهُوَ كَبِيرَة
Maksudnya:''Setiap dosa yang diitlaqkan padanya dengan nas al-Quran, Sunnah, atau ijmak bahawa ia ialah dosa besar, dijanjikan hukuman yang berat, hukuman had, atau sangat diingkari atasnya, maka ia adalah dosa besar''. Lihat Fath al-Bari, 15/709.
Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menukilkan beberapa pandangan lain berkaitan maksud dosa besar. Antaranya:
Al-Rafi’e dalam al-Syarh al-Kabir berkata: “Dosa besar ialah dosa yang mewajibkan hukuman had. Ada juga pandangan menyatakan, ia ialah dosa yang diiringi balasan buruk kepada pelakunya berdalilkan al-Quran atau Sunnah.”
Ibn Abd al-Salam menyebut: “Dosa yang membuatkan pelakunya menjadi hina. Menurut beliau lagi, ada pandangan yang menyatakan dosa besar ialah dosa yang disertakan dengan balasan buruk atau laknat.”
Ibn al-Solah berkata: “Ada beberapa tanda yang menunjukkan suatu dosa termasuk daripada dosa besar iaitu; mewajibkan hukuman had, janji buruk dengan neraka menerusi dalil al-Quran dan sunah, pelakunya menjadi fasiq dan dilaknat.”
''Judi'' dalam bahasa Arab dikenali sebagai al-maisir atau al-qimar. Ia bermaksud permainan pertaruhan golongan Arab dengan menggunakan anak panah. Permainan judi juga ditakrifkan sebagai permainan dengan anak batu, atau dengan dadu atau segala jenis pertaruhan.
Di dalam al-Mu’jam al-Wasith, judi disebut sebagai setiap permainan yang mengandungi pertaruhan dari kedua belah pihak. Lihat al-Mu’jam al-Wasith, hlm. 7589.
Dari segi istilah, terdapat beberapa takrifan yang dikemukakan oleh para ulama antaranya:
1-Ibn Hajar al-Haitami menyebut judi adalah merujuk kepada sebarang jenis pertaruhan. (Lihat al-Zawajir 'an Iqtiraf al-Kaba'ir, 2/200)
2-Al-Mahalli mengatakan judi adalah sebuah bentuk pertaruhan yang diharamkan, yang terdedah untuk menang atau kalah. (Lihat Syarh al-Minhaj, 4/226)
3-Al-Mawardi menyebut judi ialah suatu pertandingan yang menjadikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada menjadi pemenang (mengambil) atau tewas (menyerahkan) hadiah yang dipertaruhkan. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 13/379)
4-Ibn Qudamah pula mengatakan judi ialah pertandingan yang tidak sunyi salah satu daripada keduanya untuk menang atau kalah. (Lihat al-Mughni, 10/171)
5-Syeikh Ali al-Sabuni menyebut, judi adalah setiap permainan yang memberikan keuntungan bagi satu pihak dan kerugian bagi pihak yang lain. (Lihat Rawa'i al-Bayan fi Tafsir Ayat al-ahkam min al-Quran, 1/279)
Daripada takrifan yang dikemukakan oleh para ulama di atas, maka dapat kita fahami bahawa judi ialah satu permainan yang mengandungi pertaruhan daripada pihak bertanding di mana ia mengakibatkan kemenangan pada sebelah pihak manakala pihak yang lain mengalami kerugian.
Pengharaman judi dalam al-Quran adalah berlaku secara berperingkat. Pada awalnya, ayat 219 dari surah al-Baqarah menyebut,
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…”.Al-Baqarah ayat 219
Imam Ibn Jarir al-Tabari menyebut bahawa meskipun terdapat manfaat daripada keduanya (iaitu arak dan judi) namun dosa keduanya adalah lebih besar dari manfaatnya. Ini sepertimana yang berlaku kepada orang yang meminum arak dengan merasakan kelazatan yang diteguknya namun akibat dari mabuk menyebabkan seseorang itu boleh memaki-hamun, mencederakan serta membawa kepada pertumpahan darah terhadap orang lain. Begitu juga dengan judi yang penuh dengan keseronokan dan juga menjanjikan kekayaan (yang belum pasti), namun dengan berjudi menjadi asbab seseorang itu menipu dan menzalimi orang lain. Manfaatnya ada namun mafsadah yang timbul daripadanya lebih besar. Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 2/489.
Imam al-Alusi pula dalam mentafsirkan ayat di atas menyebut beberapa contoh dosa atau keburukan yang dibawa oleh judi, antaranya: memakan harta secara batil; boleh menyebabkan penjudi terjebak ke dalam jenayah curi; mencederakan jiwa; mensia-siakan keluarga; melakukan perkara yang keji dan hina; serta rasa permusuhan yang timbul baik secara tersembunyi atau terang-terangan. Lihat Ruh al-Ma’ani, 16/262.
Pada peringkat seterusnya, turun ayat 90 dari Surah al-Ma’idah yang menyebut,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya". Al-Maidah ayat 90
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:
إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيَّ ، أَوْ حُرِّمَ الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْكُوبَةُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan keatasku, atau diharamkan arak, judi, al-kubah (sejenis permainan yang menggunakan papan, buah dan dadu, juga dikenali sebagai tabal atau nard).”
Riwayat Abu Daud (3696), Al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (21519), Ahmad (2476) dan Ibn Hibban (5365)
Imam al-Khattabi berkata: Al-kubah ditafsirkan dengan gendang dan dikatakan kubah adalah dadu. Lihat Ma’alim al-Sunan, 4/267.
Islam mengajar umatnya untuk mencari rezeki yang halal dan menjauhi sumber pendapatan yang haram. Di antara sumber pendapatan yang haram termasuklah hasil daripada aktiviti perjudian. Judi ialah permainan yang mengandungi pertaruhan daripada pihak bertanding di mana ia mengakibatkan kemenangan pada sebelah pihak manakala pihak yang lain mengalami kerugian. Aktiviti perjudian pada masa kini sangat banyak serta diadakan dengan pelbagai kaedah. Sama ada yang berbentuk konvensional seperti sabung ayam, tikam nombor ekor, atau dalam talian (online). Teknologi telah mengubah cara seseorang berjudi. Menurut satu kajian, aktiviti perjudian semakin beralih ke perkhidmatan dalam talian.
Perjudian dalam talian merangkumi pelbagai aktiviti seperti pertaruhan sukan, permainan kasino seperti blackjack, permainan kad dan judi rolet yang kebanyakannya boleh diakses dalam talian. Individu boleh berjudi dengan mudah kerana mereka hanya perlu memiliki alat elektronik dan Internet. Malah, seseorang itu tidak perlu berulang-alik ke kedai loteri dan beratur di hadapan kedai untuk menunggu gilirannya membeli tiket loteri. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat ribuan laman sesawang perjudian haram asing yang mencari pelanggan dari seluruh dunia termasuk Malaysia. Menurut laporan akhbar pada tahun lepas, sebanyak 1,996 serbuan oleh pihak polis telah dijalankan dalam Ops Dadu pada tahun 2022berbanding 2,152 serbuan pada 2021. Jumlah individu yang ditangkap berkait kegiatan perjudian pula adalah seramai 2,621 orang pada 2022 berbanding 3,183 orang pada 2021. Manakala nilai rampasan aktiviti perjudian pada tahun 2022 adalah sebanyak RM578,973 berbanding RM794,126 pada tahun 2021.
Sesungguhnya, Allah Subhanahuwata'ala telah mengingatkan kita berkaitan keburukan judi. Antaranya, firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah al-Maidah ayat 91,
إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ
Maksudnya:''Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)''.
Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya Mafatih al-Ghaib ketika membincangkan berkenaan hikmah daripada larangan dan pengharaman judi menyebut bahawa dosa dan keburukan maysir (judi) dan qimar (pertaruhan) adalah ia boleh membawa kepada kepada permusuhan, mengutuk-ngutuk dan pertelingkahan; serta merupakan suatu bentuk mengambil harta orang lain secara batil; di samping melalaikan manusia dari mengingati Allah dan mengerjakan solat.
Tambah beliau lagi, pertaruhan di dalam qimar dan maysir juga menimbulkan perasaan ingin cuba menang, terutama setelah mengalami kekalahan sehingga semua harta akhirnya habis digunakan untuk berjudi sehinggakan sanggup menggadaikan isteri dan anak-anak pula. Tentunya si kalah judi ini akan jatuh miskin dan menyimpan dendam kesumat terhadap lawannya yang telah menang dan merampas harta bendanya, sehingga berlakulah permusuhan dan benci-membenci yang berpanjangan di dalam masyarakat.
Dari segi agama pula, si penjudi akan jauh hatinya dari mengingati Allah dan mengerjakan solat kerana disibukkan dengan harapan untuk menang, atau marah kerana kalah judi. Bahkan sekiranya dia menang sekalipun, nescaya kemenangannya itu akan terus menenggelamkannya di dalam kesibukan demi kesibukan, sehingga tidak ingat selain dari harta yang dimenanginya itu sahaja. Lihat Mafatih al-Ghaib 6/49 dan 12/82.
Jelaslah bahawa perbuatan judi hanya merugikan kehidupan manusia, menjadi punca kehilangan harta benda, membawa pertelingkahan sesama manusia, memporak perandakan rumah tangga, meruntuhkan moral dan akhlak, merosakkan institusi masyarakat dan menjadi asbab kepada pengabaian terhadap perintah Allah subhanahu wata'ala. Bayangkan, apabila kerosakan seperti ini semakin berleluasa, apa yang bakal berlaku kepada sesebuah negara?
Walaupun sesetengah mereka yang terlibat dengan aktiviti perjudian memperoleh keuntungan hasil daripada pertaruhan, namun sedarlah bahawa sumber pendapatan daripadanya adalah haram dan tiada keberkatan. Malah, makanan yang disuapkan ke dalam tubuh menggunakan hasil perjudian pasti akan dibakar di neraka kelak. Daripada Ka’ab bin ‘Ujrah radiallahu anhu bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
...يَا كَعْبَ بْنَ عُجْرَةَ إِنَّهُ لَا يَرْبُو لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ إِلَّا كَانَتْ النَّارُ أَوْلَى بِهِ...
Maksudnya:''...Wahai Ka'ab bin 'Ujrah, tidaklah daging manusia tumbuh dari barang yang haram, kecuali Neraka lebih berhak atasnya...''. Riwayat Tirmizi(558)
Ingatlah bahawa makan yang haram menyebabkan manusia akan dihumban ke dalam neraka bersama-sama dengan syaitan. Sebab itulah syaitan berusaha bersungguh-sungguh siang dan malam tanpa henti, tanpa jemu untuk memesongkan manusia daripada jalan kebenaran agar menjadi temannya di dalam neraka. Syaitan berusaha agar kita terlibat dengan pekerjaan yang haram, beroleh rezeki yang haram dan memasukkan makanan yang haram ke dalam mulut kita dan keluarga lalu mengalirlah darah yang haram ke seluruh tubuh badan kita serta nanti akan dihumban bersamanya dalam neraka.
Syaitan (yakni iblis) berkata tatkala perkara hisab telah diselesaikan, kemudian orang-orang yang berhak masuk syurga dimasukkan ke dalam syurga dan orang-orang yang berhak masuk neraka dimasukkan ke dalam neraka, lalu mereka semuanya mengerumuni iblis,
وَقَالَ الشَّيْطَانُ لَمَّا قُضِيَ الْأَمْرُ إِنَّ اللَّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ الْحَقِّ وَوَعَدْتُكُمْ فَأَخْلَفْتُكُمْ ۖ وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيْكُمْ مِنْ سُلْطَانٍ إِلَّا أَنْ دَعَوْتُكُمْ فَاسْتَجَبْتُمْ لِي ۖ فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوا أَنْفُسَكُمْ ۖ مَا أَنَا بِمُصْرِخِكُمْ وَمَا أَنْتُمْ بِمُصْرِخِيَّ ۖ إِنِّي كَفَرْتُ بِمَا أَشْرَكْتُمُونِ مِنْ قَبْلُ ۗ إِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya:''Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekedar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamupun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu". Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat siksaan yang pedih''. Ibrahim ayat 22
Walaupun keburukan daripada aktiviti perjudian sangat banyak, namun, penawaran perkhidmatan judi terus berleluasa. Dewasa ini, aktiviti perjudian diperkenalkan dalam pelbagai bentuk dan jenama seperti mesin slot, loteri, tikam, kasino atas talian, pertaruhan sukan secara atas talian dan sebagainya. Amat membimbangkan sekiranya umat Islam juga terlibat dalam kegiatan tersebut. Jauhilah sikap yang suka mereka cipta pertaruhan-pertaruhan dalam apa jua perkara kerana ia adalah perbuatan yang dilarang oleh agama.Sebagai masyarakat muslim, kita mestilah turut sama memainkan peranan dalam memastikan kawasan kediaman dan komuniti kita bebas daripada aktiviti perjudian. Jadilah mata-mata pihak berkuasa dengan melaporkan segera sekiranya terdapat aktiviti perjudian dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu di kawasan tempat tinggal kita.
Ingin menegaskan bahawa belum terlewat untuk mereka yang terlibat atau pernah terlibat dengan aktiviti perjudian untuk segera kembali ke pangkal jalan. Usah memperjudikan nasib hidup dengan perkara yang dimurkai Allah Subhanahuwata'ala. Carilah sumber pendapatan yang halal. Biarpun tidak lumayan, asalkan hidup kita dilimpahi keberkatan dan diredai Allah Subhanahuwata'ala. Mulakan langkah dengan niat yang bersungguh untuk berhenti berjudi lalu dekatkan diri dengan Allah Subhanahuwata'ala melalui ibadah seperti solat, zikir, mendalami ilmu dan bersedekah. Mohonlah kepada-Nya agar dikurniakan kekuatan untuk menjauhi aktiviti terlarang. Ambillah pengajaran bahawa berjudi lebih banyak memudaratkan kehidupan.Ingatlah, berjudi bukan hanya mendorong seseorang untuk dibebani dengan masalah kewangan dan keberhutangan yang serius, bahkan mampu meruntuhkan kebahagiaan sesebuah institusi kekeluargaan akibat daripada pengabaian nafkah keluarga dan tanggungjawab terhadap anak-anak.
Marilah kita bersama-sama menghayati firman Allah Subhanahuwata’ala dalam Surah al-Maidah ayat 90,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya:''wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan''.
No comments:
Post a Comment