Wednesday, September 3, 2025

Integriti Hubungkait Dengan Amanah dan Itqan (bersungguh-sungguh)

Integriti Hubungkait Dengan Amanah dan Itqan (bersungguh-sungguh)

Integriti secara umum merujuk kepada kejujuran, keadaan sempurna dan utuh. Keutuhan; berintegriti atau mempunyai integriti (kejujuran, ketulusan dsb): pengarah yang pasti akan mempertahankan nama baik mereka atau bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Secara etimologi, kalimah yang berasal daripada perkataan Inggeris “integriti” yang diserap ke dalam bahasa Melayu ini berasal daripada kalimah Latin “integer” yang membawa maksud “penuh” (whole) “utuh” (intact).

Daripada “integer” ia berubah kepada “integritatem” (Latin) dan kemudiannya “integrité (French Lama) dan diserap ke dalam bahasa Inggeris sekitar 1400an sebagai “integrity” kata nama yang membawa maksud “tidak bersalah” (innocence), suci bersih (chastity and purity).

Integriti menurut Islam merujuk kepada salah satu dari cabang-cabang takwa. Perbincangan integriti dalam Islam kerap kali dikaitkan dengan konteks amanah dan itqan (bersungguh-sungguh).

Islam mengiktiraf konsep dan amalan integriti dengan budaya murni Islam khususnya sifat amanah dan itqan yakni (bersungguh-sungguh melakukan sesuatu pekerjaan) yang merupakan penghayatan kepada iman dan taqwa dalam kehidupan seseorang muslim. Terdapat dua ciri orang beriman yang disebutkan dengan jelas oleh Allah Subhanahuwata'ala melalui Firman-Nya dalam Surah al-Mukminun, ayat 8,

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya:''Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya''. Al-Mu' minun ayat 8

Berdasarkan kepada ayat di atas Islam mewajibkan umatnya untuk menjaga dan memelihara amanah dan janji yang diberikan dengan sebaik-baiknya sama ada antara seorang hamba dengan Allah Subhanahuwata'ala atau sesama manusia. Sebagai orang yang beriman, janganlah kita mengkhianati amanah dan janji kita terutama dengan Allah Subhanahuwata'ala, sama ada dengan melanggar larangan-Nya, mengabaikan perintah-Nya atau mensia-siakan petunjuk-Nya. Begitu juga dalam konteks perhubungan sesama manusia, segala perkara yang diamanahkan dan janji yang dilafazkan mestilah dilaksanakan dengan sempurna sama ada dalam hubungan kekeluargaan, bermasyarakat dan bernegara.

Islam juga menggalakkan umatnya untuk bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Ini kerana, bekerja merupakan salah satu wasilah atau cara untuk mendapatkan rezeki. Di dalam al-Qur’an Allah Subhanahuwata'ala telah berfirman,

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّـهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan''. Al-Taubah:105

Disamping itu, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam juga sangat menekankan sifat amanah dan itqan dalam bekerja. Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun''. Imam al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath. Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman tetapi dengan sanad yang berbeza (4929, 4930 dan 4931).

Hadith ini terdapat sokongan atau syahid (daripada hadith yang lain) yang menguatkannya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi: [Lihat: Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 106/3]

وَلَكِنَّ اللهَ يُحِبُّ مِنَ الْعَامِلِ إِذَا عَمِلَ أَنْ يُحْسِنَ

Maksudnya: “Tetapi Allah kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu amalan hendaklah melakukannya dengan baik''. Lihat: Sunan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (4932).

Itqan (tekun) dalam beramal atau bekerja bermaksud menyempurnakan atau melaksanakan satu tuntutan daripada sesorang sebagaimana yang dikehendaki oleh orang tersebut tanpa kurang sedikitpun dengan sesempurna mungkin disertai dengan usaha yang kuat agar tidak terlewat daripada waktu yang telah ditetapkan.

Sifat amanah dan bersungguh-sungguh dalam berkerja ini turut berkait-rapat dengan prestasi dan kecemerlangan tadbir-urus sesebuah organisasi.

Daripada maksud hadith di atas, jelas menunjukkan kepada kita betapa Islam amat menitikberatkan sikap bersungguh-sungguh dalam melaksanakan setiap usaha dan pekerjaan. Pada masa yang sama, sentiasa berpegang dengan semua nilai kebaikan yang tinggi termasuk amanah dan mengamalkan integriti pada setiap masa dan pekerjaan.

Apabila nilai-nilai ini diterapkan dan ditanamkan dalam jiwa para pekerja, sudah tentu sesebuah organisasi itu mampu untuk menghasilkan perkhidmatan yang efisyen dan produk yang berkualiti, serta mengoptimumkan daya saing mereka dalam apa jua industri.

Sebaliknya, sifat-sifat negatif seperti khianat, tidak amanah, memberi atau menerima rasuah, suka membuang masa, mencuri tulang dan seumpamanya pula akan memberi kesan dan menjejaskan kredibiliti sesebuah organisasi.

Ini kerana apabila sesebuah organisasi yang dipalit dengan masalah intergriti seperti ini, sudah tentu tidak mendapat kepercayaan dan hormat daripada masyarakat.

Sifat-sifat ini dicirikan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sebagai sifat golongan munafiq, sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang menyebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاَثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ ‏

Maksudnya: “Ciri-ciri orang munafik itu tiga. Apabila dia bercakap dia berdusta, apabila dia berjanji dia memungkiri janji dan apabila dia diberikan amanah dia mengkhinatinya''. Riwayat Bukhari(33) dan Muslim(59).

Menurut Ibn Khaldun dalam bukunya “Muqaddimah“, salah satu punca kejatuhan tamadun adalah kemerosotan nilai integriti dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan dengan itu, pelbagai cabaran integriti yang berlaku di dalam sesebuah negara, antaranya:

1-Rasuah

2-Birokrasi

3-Tekanan dan tanggungjawab yang besar

4-Tidak tekun dan sambil lewa

5-Berita atau maklumat palsu

6-Gangguan seksual

7-Pengurusan masa

Dalam mencari solusi, Islam ada jawapannya, kerana segalanya bermula dari diri sendiri.

Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sebagai Uswatun Hasanah(أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ) telah mendidik nilai-nilai integriti sepanjang hayat baginda dari pekerjaan mengembala kambing, kemudian sebagai seorang peniaga, menjadi seorang suami, sebagai ayah, lalu dilantik menjadi Rasul, sekali gus membawa amanah dan tanggungjawab yang besar sebagai pemimpin, juga sebagai panglima di medan perang.

Nabi mempraktikkan nilai amanah dan itqan sepanjang hayatnya, namun apakah modal utama untuk melahirkan amanah dan itqan? Jawapannya ialah takwa.

Sifat taqwa dapat memelihara diri daripada melakukan sebarang dosa kerana keyakinan terhadap akhirat, perkara aib, dosa, pahala dan hari pembalasan.

Untuk mendapatkan takwa, seorang muslim perlu belajar dan mendidik diri tentang nilai Ihsan, yakni kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, tetapi jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu. Sebagaimana maksud dari hadith berikut,

....قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنِ الإِحْسَانِ قَالَ ‏”‏ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ....

Maksudnya:''...Beritahukan kepadaku tentang Ihsan.’ Lalu Baginda Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: ‘Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau''. Riwayat Muslim (8)

''Ihsan dalam konteks integriti adalah merupakan satu kemahiran''

Maka yang perlu dijawab ialah bagaimanakah menggunakan perasaan dalaman dan hati nuraninya sendiri untuk membersihkannya, termasuk ajaran agama dan budaya hidupnya sendiri, untuk membina peribadinya yang menghayati sifat mulia dan baik?

Allah Subhanahuwata'ala berfirman,

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُون

Maksudnya:''Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran''. Al-Nahl Ayat 90

Pembudayaan nilai integriti merupakan satu sifat terpuji yakni sifat mahmudah yang harus diterapkan dalam kehidupan seseorang insan seperti mana yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam. Baginda Sallallahu'alaihiwasallam sentiasa mengamalkan dan menunjukkan contoh ikutan yang terbaik kepada umatnya, sehingga dikenali dengan gelaran 'al-Amin', yang bererti 'yang sangat dipercayai'. Empat nilai keperibadian dan sifat terpuji Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam yang menjadi teras kepada nilai integriti iaitu as-Sidiq (sangat benar), amanah (dipercayai), tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana).

Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah al-Ahzab, ayat 21,

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya:''Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah''. 

Tanpa integriti seperti tidak beramanah dan tidak berlaku jujur serta sentiasa bergelumang dengan sifat mazmumah dalam diri seseorang itu, akan menyebabkan kedudukannya terjejas di sisi Allah Subhanahuwata'ala malah akan mendapat kebinasaan di dunia ini dan di akhirat nanti. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah al-Anfal ayat 27,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui''.

Manusia yang tidak menegakkan nilai-nilai integriti dalam diri mereka akan menyebabkan mereka mudah melakukan perbuatan dosa yang dimurkai oleh Allah subhanahu wata'ala, seperti mengamalkan rasuah, pecah amanah, penyelewengan dana awam, ketidakpatuhan peraturan, tidak berdisiplin, cuai melaksanakan tugas dan seumpamanya. Akibatnya, seperti yang diceritakan melalui suatu kisah yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas radiallahu anhuma semasa zaman Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam di mana selepas tamatnya Peperangan Khaibar, beberapa orang sahabat Baginda Sallallahu'alaihiwasallam telah berkata kepada sahabat yang telah gugur syahid “fulan ini telah syahid”, “fulan ini telah syahid” sehingga sampai kepada seorang lelaki dan mereka berkata “fulan ini telah syahid”. Tetapi Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam kemudian bersabda yang maksudnya:“Sesekali tidak. Sesungguhnya aku melihatnya di dalam neraka kerana jubah yang dicurinya.”

Sumber di atas dari hadith berikut,

قَالَ حَدَّثَنِي عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ قَالَ لَمَّا كَانَ يَوْمُ خَيْبَرَ أَقْبَلَ نَفَرٌ مِنْ صَحَابَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا فُلَانٌ شَهِيدٌ فُلَانٌ شَهِيدٌ حَتَّى مَرُّوا عَلَى رَجُلٍ فَقَالُوا فُلَانٌ شَهِيدٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلَّا إِنِّي رَأَيْتُهُ فِي النَّارِ فِي بُرْدَةٍ غَلَّهَا أَوْ عَبَاءَةٍ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا ابْنَ الْخَطَّابِ اذْهَبْ فَنَادِ فِي النَّاسِ أَنَّهُ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ إِلَّا الْمُؤْمِنُونَ قَالَ فَخَرَجْتُ فَنَادَيْتُ أَلَا إِنَّهُ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ إِلَّا الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya:''Telah menceritakan kepada kami Umar bin al-Khaththab dia berkata, "Ketika terjadi perang Khaibar, maka sejumlah sahabat menghadap Nabi ﷺ seraya berkata, 'Fulan mati syahid, fulan mati syahid', hingga mereka melewati seorang laki-laki lalu berkata, 'fulan mati syahid.' Maka Rasulullah ﷺ bersabda, "Tidak demikian, sesungguhnya aku melihatnya di neraka dalam pakaian atau mantel yang dia ambil (sebelum dibagi).' Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda lagi: 'Wahai Ibnu al-Khaththab, pergi dan serukanlah kepada manusia bahwa tidak akan masuk surga kecuali orang-orang yang beriman.' Maka Umar berkata, 'Aku keluar seraya berseru, 'Ketahuilah, tidak akan masuk surga kecuali orang mukmin''. Riwayat Muslim(165)

Perlakuan tidak jujur dan tidak amanah, mengakibatkan seseorang itu tidak terlepas dari azab dan hukuman di atas perbuatannya itu.

Justeru itu, kita dituntut untuk berintegriti, amanah dan itqan atau tekun dalam setiap perkara yang kita lakukan. Ini kerana, sifat tekun ini merupakan salah satu lambang atau tanda keislaman. Tambahan pula, kita sebagai seorang yang beragama Islam dituntut untuk ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam setiap amal ibadah, sikap dan kehidupan kita. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala,

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam''. Al-An’am:162






No comments:

Post a Comment

Judi Dosa Besar

Judi Dosa Besar Para ulama telah mengkaryakan buku khusus berkenaan dosa-dosa besar. Antaranya Imam al-Zahabi melalui kitabnya al-Kabair dan...