Thursday, August 28, 2025

Nikmat Kemerdekaan

Nikmat Kemerdekaan

Menurut Kamus Dewan Bahasa, merdeka bermaksud bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan sebagainya. Ia juga bermaksud lepas daripada tebusan atau tuntutan serta berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Di dalam bahasa Arab, kemerdekaan disebut sebagai ‘استقلال’ iaitu bersendiri dalam memiliki kemuliaan, berdikari dan bangkit daripada penindasan atau melepaskan diri daripada sesuatu ikatan.

Merdeka bukan sekadar bebas daripada cengkaman kuasa dan minda penjajah, tetapi juga bermaksud menghayati anugerah nikmat merdeka itu dengan sepenuh hati dan sanggup berkorban untuk mempertahankannya dengan apa cara sekalipun.

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. Ali Imran ayat 26

Malaysia telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan kerana itu kita melafazkan lafaz yang diajar oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sempena menyambut kemerdekaan ini dengan: “الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ” sebagai tanda syukur terhadap nikmat kemerdekaan ini. 

Kemerdekaan negara yang dinikmati ini adalah anugerah Allah Subhanahuwata'ala yang wajib disyukuri dan dipelihara. Pelbagai nikmat telah dirasai oleh kita sebagai rakyat hasil daripada kemerdekaan.

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Maksudnya:"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". Ibrahim Ayat 7

Penjajahan adalah sebagai musuh utama kepada kemerdekaan mental dan fizikal. Sifat inginkan kemerdekaan dimiliki oleh semua manusia. Mereka sanggup berperang sehingga ke titisan darah terakhir dan berkorban apa sahaja semata-mata untuk meraih kemerdekaan. Rakyat yang terdiri daripada para perajurit, wira negara, pemimpin, ulama, wartawan, sasterawan, penulis, petani, bahkan pengayuh beca (abang beca) dan lain-lainnya telah berjuang ratusan tahun untuk menuntut kemerdekaan dari belenggu penjajahan asing.

Kewajipan ke atas kita semua untuk mensyukuri nikmat kemerdekaan ini setelah sekian lama kita dijajah serta menghargai segala jasa dan pengorbanan para pejuang kemerdekaan tanah air. Mereka telah memberikan sumbangan jasa dan bakti yang tidak ternilai harganya dalam menyediakan asas yang kukuh bagi segala kemakmuran, pembangunan dan keharmonian yang kita semua nikmati pada hari ini. Sesungguhnya, segala sumbangan, perjuangan dan jasa mereka itu merupakan satu legasi yang seharusnya diketahui dan dipertahankan. Justeru, pengisian yang bermakna perlu diteruskan dan disambung oleh generasi pada masa kini dan generasi muda yang mewarisi kita kelak demi mencapai wawasan Maju dan Makmur.

Kemerdekaan bukan hanya sejarah yang dikenang, tetapi perjuangan yang diteruskan. Negara yang kita cintai ini perlu terus dibangunkan, bukan hanya dari sudut fizikal dan ekonomi, bahkan dari aspek pembangunan insan. Malah, insan terutamanya generasi muda adalah pemain utama dalam proses pembangunan dan pembinaan sesebuah tamadun yang tinggi. Mereka tampil sebagai agen perubahan, berperanan aktif dalam bidang pendidikan, teknologi, ekonomi dan sosial. Justeru, mereka perlu dipersiapkan agar menjadi pewaris negeri yang bertanggungjawab, berwawasan dan berpaksikan nilai-nilai murni Islam. Antara pengisian yang penting bagi menyediakan generasi baharu yang kukuh dan kuat peribadinya ialah:

Pertama: Pengukuhan akidah, ibadah dan akhlak.

Manusia sememangnya disediakan oleh Allah Subhanahuwata'ala dengan kesediaan yang mencukupi untuk menjalankan tugas sebagai pembina tamadun. Namun, tinggi atau rendah kualiti sesuatu tamadun yang terbina itu, banyak bergantung sepenuhnya kepada nilai peribadi manusia itu sendiri. 

Oleh sebab itu, manusia yang jati dirinya berpaksi pada aspek kerohanian dirinya itu, mestilah dibimbing dengan secukupnya agar dapat dihasilkan peribadi-peribadi berakhlak mulia yang teguh imannya dan sentiasa melakukan amal soleh. Individu-individu berakhlak mulia inilah yang akan dapat diletakkan harapan untuk menghasilkan kemajuan dan pembangunan berkualiti tinggi yang boleh menjamin kemajuan dan kemakmuran sesebuah negeri atau negara.

Sesungguhnya, peranan, tanggungjawab serta matlamat kehadiran manusia di alam ini adalah terfokus kepada pelaksanaan dua tugas utama iaitu melakukan ibadah kepada Allah Subhanahuwata'ala dan memakmurkan planet bumi yang mereka diami. Hal ini terungkap jelas dalam Surah adz-Dzariyat, ayat 56:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.

Dan firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah Hud, ayat 61:

وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا ۚ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ ۖ هُوَ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَاسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ ۚ إِنَّ رَبِّي قَرِيبٌ مُجِيبٌ

Maksudnya:''Dan kepada Tsamud (Kami utus) saudara mereka Soleh. Soleh berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia. Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya, kerana itu mohonlah ampunan-Nya, kemudian bertobatlah kepada-Nya, Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya)''.

Berdasarkan kepada ayat tadi, dapatlah difahami bahawa kerja-kerja lain selain ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji, yang dikaitkan secara langsung proses dengan pemakmuran bumi adalah juga sebenarnya termasuk dalam konsep ibadah kepada Allah Subhanahuwata'ala. Sebabnya, kerja tersebut juga termasuk dalam suruhan Allah Subhanahuwata'ala.

Dalam pendidikan Islam, akidah berfungsi sebagai dasar keyakinan yang menggerakkan tindakan, sementara akhlak adalah manifestasi dari keyakinan tersebut dalam perilaku. Ini seperti hubungan antara jiwa dan raga, keduanya tidak dapat dipisahkan. Akidah adalah keyakinan dan kepercayaan mendalam kepada Allah Subhanahuwata'ala dan rukun iman, manakala akhlak adalah perilaku dan budi pekerti mulia yang mencerminkan penghayatan akidah tersebut. Kedua-duanya adalah asas penting dalam membentuk peribadi Muslim yang unggul dan bertakwa, di mana akidah yang mantap akan menghasilkan akhlak yang mulia, menjadikan seseorang Muslim sebagai teladan dan mencerminkan keindahan Islam. 

Dalam erti kata lain juga, akidah adalah aspek yang menjadi asas benteng kekuatan diri, keluarga dan masyarakat dalam menempuh cabaran-cabaran yang mendatang. Akidah yang mantap akan melahirkan amal kebaikan yang diamalkan secara sempurna, menyeluruh dan berterusan. Amal ibadah ini seterusnya dihayati dalam kehidupan sebenar dengan menterjemahkan akhlak yang mulia melalui nilai-nilai taqwa, ikhlas, amanah, bertanggungjawab, jujur dan sebagainya. Nilai-nilai yang terhasil dari ibadah-ibadah ini akan membentuk individu, keluarga dan masyarakat yang cintakan agama, bangsa dan negara.

Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا

Maksudnya:''Dari Abu Hurairah ia berkata, "Rasulullah ﷺ bersabda, "Mukminin yang paling baik imannya adalah yang paling baik akhlaknya''. Riwayat Abu Daud (4062)

Makna dan pengajaran hadith ini adalah keimanan seseorang tidak hanya diukur melalui pengakuan hati atau ibadah semata, tetapi juga sangat bergantung pada akhlak dan budi pekerti yang diamalkan dalam kehidupan seharian. 

Musuh yang paling besar pula, ialah kejahilan agama dalam diri umat Islam sehingga lemahnya iman mereka. Hal ini demikian kerana, mendedahkan seseorang itu kepada godaan syaitan dengan mudah dan mengheret mereka kepada kesesatan sehingga menjadi bala tentera syaitan.

Hal ini disebutkan oleh firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا ۚ وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ ۖ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ

Maksudnya:"Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, yaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dan jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia). Jikalau Tuhanmu menghendaki, niscaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan''. Al-An'am ayat 112

Kedua: Pencapaian tahap pendidikan, penguasaan ilmu dan kemahiran serta teknologi terkini.

Apabila kita meneliti catatan sejarah, kita akan mendapati bahawa kejahilan adalah punca utama sesuatu bangsa itu mudah dikuasai dan dijajah. Tanpa ilmu, sesuatu masyarakat itu akan mudah ditundukkan, dan dipaksa menurut kehendak mereka yang berilmu. Justeru, umat Islam perlu mempertingkatkan keupayaan diri dengan penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mantap dan menyeluruh, khususnya dalam ilmu fardu ain dan fardu kifayah agar mampu bersaing dan dihormati oleh bangsa lain di sekelilingnya dan di dunia.

Sebagai umat yang terbaik, umat Islam sewajarnya lebih berperanan sebagai penggerak utama dalam pembangunan dan kemajuan tamadun manusia sejagat. Oleh sebab itu, kita semua, terutamanya para belia Islam, hendaklah bersiap sedia dengan menimba ilmu dan kemahiran dengan secukup-cukupnya dan seluas-luasnya agar umat Islam dapat maju dan menjadi penyumbang, bukan sekadar penumpang kepada kemajuan yang akan dikecapi.

Allah Subhanahuwata'ala memberikan pesanan dan amaran kepada seluruh manusia agar mereka tidak hidup dalam kejahilan sebagaimana firman-Nya,

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Maksudnya:''Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya''. Al-Isra ayat 36

Berhati-hatilah apabila kejahilan melanda; Pada zaman kini, media musuh Islam selaku penjajah menjadikan senjata yang paling penting kepada syaitan-syaitan yang berkeliaran untuk menggoda manusia dengan kata-kata yang indah dan menarik. Tujuan mereka supaya masyarakat terpesong daripada Islam dengan dilakukan pelbagai uslub dan pendekatan yang halus lagi beracun.

Antaranya disuntik racun ke dalam pemikiran mereka yang tidak mempunyai kematangan berfikir bersama petunjuk Allah Subhanahuwata'ala dan tidak mempunyai ketahanan jati diri beriman dan berakhlak. Termasuklah dalam kalangan mereka yang merasakan dirinya sangat bijak, tetapi bersifat takabur seperti Iblis. Oleh itu, golongan tersebut tidak layak mendapat hidayah Allah Subhanahuwata'ala walaupun sebenarnya bijak. Apatah lagi dalam kalangan mereka itu sebenarnya jahil murakkab (tidak sedar dirinya jahil).

Malah, terdapat ramai dalam kalangan manusia yang bersedia menjadi alat atau tentera upahan musuh untuk menyesatkan manusia khususnya umat Islam semata-mata untuk mencari makan tanpa mempunyai wawasan yang sebenar. Akhirnya, ia menjadi perniagaan yang menghasilkan harta haram yang dimasukkan ke dalam jasad diri dan keluarga masing-masing. Hal ini dinyatakan sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,

الَّذِينَ يَسْتَحِبُّونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا عَلَى الْآخِرَةِ وَيَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَيَبْغُونَهَا عِوَجًا ۚ أُولَٰئِكَ فِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ

Mkasudnya:''(iaitu) orang-orang yang lebih menyukai kehidupan dunia dari pada kehidupan akhirat, dan menghalang-halangi (manusia) dari jalan Allah dan menginginkan agar jalan Allah itu bengkok. Mereka itu berada dalam kesesatan yang jauh''. Ibrahim ayat 3

Antara pendekatan yang diambil oleh musuh-musuh Islam ialah menimbulkan keraguan dan salah faham terhadap Islam, dengan menyasarkan hukum-hukum Islam yang tertentu untuk diragukan tanpa menyatakan proses pelaksanaan dan hikmah hukum tersebut. Keraguan tersebut dilakukan dengan sengaja atau secara jahil.

Adapun mereka yang berwaspada dalam perjalanan hidup mereka akan sentiasa mencari penjelasan dan menemui kebenaran tanpa tertipu atau tergoda, tidak tersesat dan tidak berlaku zalim. Mereka itu berpegang kepada peringatan Allah Subhanahuwata'ala melalui firman-Nya,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya:''Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu''. Al-Hujurat ayat 6

Ketiga: Penjagaan perpaduan dan silaturrahim, berbaik sangka dan muhibbah sesama manusia.

Islam amat menitikberatkan hubungan baik sesama manusia dan persaudaraan sesama Islam untuk mencapai kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat. Keharmonian yang kita warisi kini tidak akan dapat dipertahankan seandainya kita berpecah-belah dan tidak bersatu hati. Oleh itu, memupuk persefahaman dan amalan berbaik-baik sesama semua manusia adalah tanggungjawab umat Islam dalam mengekalkan ciri-ciri keamanan, kestabilan dan kemajuan di dalam negeri dan negara yang merdeka. Ingatlah, ‘bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat’, ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Maksudnya:''Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk''. Ali-Imran ayat 103

Ayat ini menyeru umat Islam agar berpegang teguh kepada ajaran Allah dan tidak berpecah-belah, menjauhi perselisihan yang boleh menjejaskan kekuatan mereka, sepertimana yang berlaku kepada umat terdahulu yang binasa kerana perpecahan. Ayat ini juga mengingatkan umat Islam akan nikmat Allah yang menyatukan hati mereka selepas zaman bermusuh-musuhan, menjadikannya sebuah iktibar supaya tidak kembali berpecah-belah. Perpecahan di kalangan umat Islam akan menyebabkan mereka menjadi lemah, gentar, dan kehilangan kekuatan untuk membangunkan diri dan negara. 

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya:''Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa''. Al-An'am ayat 153

Allah Subhanahuwata'ala memberikan peringatan kepada orang-orang yang beriman supaya sentiasa beristiqamah atas jalan Islam, dan jangan sekali-kali terpesong daripadanya. Setiap penganut Islam diminta berdoa dalam setiap rakaat solat supaya tidak terpesong daripada petunjuk Islam.

Petunjuk yang nyata terkandung dalam Kitab al-Quran yang dipelihara oleh Allah Subhanahuwata'ala dan berpandukan kebijaksanaan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam yang menjadi teladan kepada seluruh umat untuk berpegang teguh dengan kedua-duanya. 

Akhirnya, marilah kita bersama-sama menghayati firman Allah Subhanahuwata’ala dalam surah al-An’am, ayat 165,

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ ۗ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya:''Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa derajat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaan-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang''. Al-An'am ayat 165



No comments:

Post a Comment

Judi Dosa Besar

Judi Dosa Besar Para ulama telah mengkaryakan buku khusus berkenaan dosa-dosa besar. Antaranya Imam al-Zahabi melalui kitabnya al-Kabair dan...