Wednesday, June 25, 2025

Haji Mabrur Yang Didambakan

Haji Mabrur Yang Didambakan

Marilah kita merenung sejenak nikmat-nikmat yang Allah Subhanahuwata'ala telah kurniakan kepada kita. Nikmat Allah adalah segala pemberian dan kebaikan yang diberikan oleh Allah Subhanahuwata'ala kepada hamba-Nya. Mencari keredhaan Allah pula, adalah tujuan utama seorang Muslim dan ini dapat dicapai melalui berbagai amal ibadah dan perbuatan baik. Dengan menjalankan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Seorang Muslim berupaya mendapatkan keredhaan Allah yang merupakan puncak kebahagiaan dan keberuntungan di dunia dan akhirat. 

Firman Allah Subhanahuwata'la,

وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya:''Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang''.Al-Nahl ayat 18

Mencari keredhaan Allah adalah matlamat utama dalam kehidupan seorang Muslim. Ini melibatkan penggunaan nikmat-nikmat Allah, seperti kesihatan, rezeki, dan masa, untuk melakukan amal soleh dan mendekatkan diri kepada-Nya. Dengan bersyukur atas nikmat-nikmat tersebut dan menggunakannya di jalan yang benar, seseorang itu berusaha untuk mendapatkan keredhaan Allah.

Kehidupan kita di dunia ini adalah sementara dan setiap detik yang berlalu tidak akan kembali. Setiap hela nafas yang kita hirup adalah pinjaman daripada Allah Subhanahuwata'ala, dan setiap langkah yang kita ambil haruslah menuju kepada keredhaan-Nya. Allah Subhanahuwata'ala berfirman,

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ

Maksudnya:''Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya karena mencari keredhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya''. Al-Baqarah ayat 207

Menurut al-Tabari dalam tafsirnya  Jami' al-Bayan 'an Ta'wil al-Quran, orang-orang yang mengharapkan keredaan Allah Subhanahuwata'ala, mereka sanggup membeli dirinya (يَشْرِي نَفْسَهُ) dengan segala harta dan kesenangan hidup dunia semata-mata untuk membebaskan diri daripada bergantung harap kepada sesuatu selain Allah Subhanahuwata'ala. Dalam perkataan lain, segala harta sanggup dikorbankan demi untuk menyerahkan dirinya semata-mata kepada Allah Subhanahuwata'ala dan tidak mengharapkan sesuatu apa pun di sebaliknya.

Mencari keredhaan Allah merupakan salah satu daripada ciri atau sifat yang terpuji. Kita dituntut untuk sentiasa mencari keredhaan Allah Subhanahuwata'ala, ini berdasarkan kepada sebuah hadith,

مَنِ التَمَسَ رِضَاءَ اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ كَفَاهُ اللَّهُ مُؤْنَةَ النَّاسِ، وَمَنِ التَمَسَ رِضَاءَ النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ وَكَلَهُ اللَّهُ إِلَى النَّاسِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mencari redha Allah sekalipun memperolehi kemurkaan manusia, maka Allah akan cukupkan kebergantungannya terhadap manusia. Barangsiapa yang mencari redha manusia sekalipun memperolehi kemurkaan Allah, maka Allah akan serahkannya kepada manusia". Riwayat al-Tirmizi (2414), Hadith ini disahihkan oleh Imam Ibn Hibban tetapi dengan lafaz yang sedikit berbeza dan beliau menukilkan hadith ini di dalam kitab sahihnya.

Syeikh al-Mubarakfuri berkata ketika mensyarahkan hadith ini, maksud Allah Subhanahuwata'ala akan menyerahkannya kepada manusia adalah Allah Subhanahuwata'ala akan membiarkan manusia menguasainya dirinya sehingga dia itu akan disakiti atau dizalimi oleh manusia (yang menguasai dirinya itu). Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 82/7.

Para jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia khususnya ibu bapa kita, saudara mara, sahabat handai telah berjaya menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Ujian dan cabaran melaksanakan manasik haji di Arafah, Muzdalifah dan Mina, benar-benar menguji kesabaran, keikhlasan, kesungguhan serta kekuatan fizikal dan mental demi menzahirkan ketaatan dan kepatuhan melaksanakan perintah Allah. Dalam masa yang sama, bagi kita yang berada di tanah air, pelaksanaan ibadah korban turut menguji keikhlasan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahuwata’ala. Inilah contoh keimanan dan ketakwaan yang perlu diikuti, sebagaimana ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail alaihimassalam. Firman Allah dalam Surah al-Hajj ayat 27 hingga 28,

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ. لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۖ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Maksudnya:''Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh. supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir''.

Untuk menunaikan ibadah haji ianya memerlukan pengorbanan dalam pelbagai aspek. Ia bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi juga melibatkan pengorbanan harta, masa, tenaga, dan kesabaran. Pengorbanan ini penting untuk mencapai haji yang mabrur dan mendapat keredhaan Allah. Diantara perkara penting yang perlu diberi perhatian:

Pertama: Ibadah haji memerlukan perjuangan dan pengorbanan yang sangat besar dalam pelaksanaannya untuk memperoleh manfaat ukhrawi yang disediakan oleh Allah Subhanahuwata'ala. 

Kedua: Haji yang mabrur ialah haji yang sempurna pelaksanaannya sebagaimana yang dituntut oleh Allah Subhanahuwata'ala dan Rasul-Nya, segala dosa diampunkan dan tidak ada balasan melainkan syurga di akhirat kelak. 

Ketiga: Mendaftar haji adalah salah satu usaha untuk menyokong niat melaksanakan ibadah haji.

Haji merupakan ibadah yang telah disyariatkan sejak zaman ajaran Nabi Ibrahim Alaihissalam yang masih berlaku dan diketahui oleh keturunannya.Sebagaimana telah ditetapkan waktu pelaksanaan haji pada bulan-bulan yang telah dimaklumi, iaitu bulan Syawal, Zulqo'dah, dan 10 hari dari bulan Zulhijjah. Serta ditetapkan pula peraturan bagi sesiapa yang telah memantapkan niat Haji atas dirinya pada bulan-bulan tersebut dengan memasukinya dalam keadaan berihram, maka diharamkan atas dirinya untuk berjimak dan segala aktiviti yang boleh membawa kepada jimak baik berbentuk perkataan mahupun perbuatan. Begitu juga haram pula atas dirinya keluar dari ketaatan kepada Allah dengan berbuat maksiat-maksiat, dan perdebatan dalam berhaji yang dapat menyeret kepada emosi kemarahan dan kebencian. Dan apapun kebaikan yang diperbuat nescaya Allah mengetahuinya serta akan membalas sesuai dengan amal perbuatannya. Firman Allah Subhanahuwata'ala.

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ ۚ فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ

Maksudnya:''(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats, berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal''. Al-Baqarah ayat 197

Haji pula ada kaitan yang erat dengan mabrur. Secara bahasa, "mabrur" berasal dari kata "al-birr" yang berarti kebaikan, ketaatan, dan ketulusan. Dalam konteks haji,  ''Haji Mabrur'' adalah haji yang diterima dan diredhai oleh Allah Subhanahuwata'ala, bererti haji yang dilaksanakan dengan sempurna sesuai syariat, penuh keikhlasan, dan tidak ternoda oleh dosa atau perbuatan maksiat. 

Haji mabrur telah ditakrifkan oleh ramai ulama seperti yang dinukilkan dalam Fath al-Bari oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani sebagaimana berikut:

1-Ibn Khalawaih berkata: “Haji mabrur ialah haji makbul yang diterima oleh Allah Subhanahuwata'ala''.

2-Al-Qurtubi berkata: ''Semua pendapat hampir sama iaitu haji yang memenuhi semua hukum yang dilaksanakan dengan sempurnanya''.

Dalam memahami perkara ini, ada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah dan Abdul Rahman bin Sakhr Radiallahu'anhuma sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,

مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمَ وَلَدَتْهُ أُمُّه

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan haji,kemudian tidak melakukan rafath[1]dan fasiq, nescaya keluar dosanya[2] seperti baru dilahirkan oleh ibunya''.Riwayat al-Bukhari (1819)

[1]Ibn Hajar berkata: Rafath adalah jimak. Sedangkan al-Azhari berkata: Rafath ialah nama bagi keinginan nafsu syahwat antara lelaki dan perempuan.

[2]Iaitu dosa-dosa kecil sahaja. Ada pendapat mengatakan bahawa ianya termasuk dosa besar dan segala dosa kecil iaitu yang membabitkan kezaliman kepada hamba-hamba Allah Subhanahuwataala. Inilah pendapat al-Qurtubi ‘Iyadh. Tetapi al-Tabari berkata: Ia ditanggung kepada kezaliman di mana orang tersebut bertaubat dan lemah daripada menunaikannya kembali (minta maaf dan membayar ganti rugi). Ini juga pendapat Ibn Nujaim.

Haji Mabrur adalah satu-satunya haji yang diterima oleh Allah Subhanahuwataala. Barang siapa yang memperolehinya, maka balasan syurga telah menanti untuknya di akhirat nanti. Dalam satu hadith daripada Abu Hurairah Radiallahu'anhu bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah bersabda:

اَلْعُمْرَةُ إِلَى اَلْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا, وَالْحَجُّ اَلْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا اَلْجَنَّةَ

Maksud: “Umrah ke satu umrah menghapuskan apa yang ada antara kedua-duanya, dan haji mabrur tidak ada balasan (yang layak) baginya melainkan syurga''.Riwayat al-Bukhari, (1773) dan Muslim, (1349)

Bagi kita yang telah menyempurnakan ibadah haji, janganlah mengulangi dan mengotori kehidupan dengan dosa-dosa. Sebaliknya hendaklah kita memelihara semangat dan roh ibadah pada tahap yang tertinggi yang pernah kita lakukan semasa melakukan ibadah haji itu. Rehlah keimanan ibadah haji sebenarnya menjadi titik perubahan diri kita ke arah yang lebih baik dan menjadi impak perubahan diri yang menjadi tauladan kepada orang lain. Ia juga menjadi titik perubahan diri kita daripada keburukan kepada kebaikan dalam segala aspek kehidupan. Istiqamah dalam beribadah terus dipraktikkan dan ditingkatkan melebihi tahap sebelum ini.

Dalam Surah Al-Zalzalah ayat 7 dan 8, Allah Subhanahuwata'ala berpesan melalui firman-Nya,

فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ. وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ.

Maksudnya:''Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya.Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula. Al-Zalzalah ayat 7 dan 8.

Kepada Muslimin yang belum menunaikan haji, dinasihatkan agar menanamkan niat yang benar serta azam yang kuat untuk melaksanakannya. Cukupkanlah tabungan dan mendaftar serta berdoalah kepada Allah subhanahuwataala agar diberikan peluang menunaikan ibadah haji.

Semoga Allah kurniakan kepada dhuyuf al-Rahman dengan haji yang mabrur.

اَللّٰهُمَّ اجْعَلْهُ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ. يَا عَزِيْزُ يَا غَفُوْرُ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: ''Ya Allah, jadikanlah hajiku ini haji yang mabrur, sa’i yang diterima, dosa yang diampuni dan amal shaleh yang dikabulkan dan perdagangan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.wahai Tuhan yang maha pengampun, Tuhan sekalian alam''.










No comments:

Post a Comment

Haji Mabrur Yang Didambakan

Haji Mabrur Yang Didambakan Marilah kita merenung sejenak nikmat-nikmat yang Allah Subhanahuwata'ala telah kurniakan kepada kita. Nikmat...