Thursday, June 19, 2025

Ibadah Haji Lambang Perpaduan

Ibadah Haji Lambang Perpaduan 

Hidup ini adalah perjalanan panjang yang penuh dengan ujian dan cobaan. Setiap manusia pasti akan menghadapi berbagai ujian hidup yang datang dengan berbagai bentuk dan tingkat kesulitan. Hidup di dunia ini ibarat pelayaran di lautan yang luas. Setiap daripada kita adalah nakhoda yang mengemudi bahtera kehidupan menuju pelabuhan yang abadi. Dalam pelayaran ini, kita sering berhadapan dengan pelbagai badai dan gelombang ujian yang menguji keimanan dan ketabahan kita. Namun, dengan berpegang teguh kepada Islam yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah melalui huraian ulama yang muktabar, kita akan mampu mengharungi segala cabaran dengan tenang dan selamat. Seperti burung yang bebas terbang di langit, kita juga mempunyai kebebasan untuk memilih jalan kehidupan kita. Tetapi, ingatlah, burung yang bijak akan sentiasa mencari tempat yang aman dan selamat untuk berteduh. Begitu juga dengan kita, sebagai hamba Allah yang beriman, kita hendaklah sentiasa mencari keredaan-Nya dan berlindung di bawah naungan rahmat-Nya sentiasa.

Bagi umat Islam, pemahaman tentang makna dan tujuan di balik ujian hidup sangatlah penting. Firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ. الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ.

Maksudnya:''Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.(yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun". Al-Baqarah ayat155-156.

Ayat ini menggarisbawahi bahawa ujian hidup adalah bahagian dari rencana Allah, dan orang-orang yang sabar dalam menghadapinya akan mendapatkan berkah dan rahmat dari-Nya. Dalam Islam, ujian hidup adalah bahagian tak terpisahkan dari perjalanan manusia. Dengan memahami makna ujian dan mengambil langkah-langkah yang sesuai, kita dapat menghadapinya dengan tegar dan memperoleh berkah serta rahmat dari Allah. Ingatlah selalu bahawa ujian hidup adalah panggilan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan meningkatkan keimanan kita.

Islam adalah obor yang menerangi perjalanan kita dan payung yang melindungi kita daripada panasnya fitnah dunia. Islam, dengan ajaran-ajarannya yang bersumber dari Al-Quran dan Al-sunnah, berfungsi sebagai cahaya yang menerangi kehidupan seorang Muslim. Ia membimbing umat manusia dari kegelapan menuju jalan yang benar, memberikan petunjuk dalam setiap aspek kehidupan, dan membawa kebahagiaan dunia dan akhirat. Melalui Islam kita lebih memahami makna sebenar kehidupan ini dan lebih dekat kepada Allah Subhanahuwata'ala. Ajaran Islam berfungsi sebagai penerang dan panduan dalam menjalani kehidupan. Islam memberikan petunjuk dan nilai-nilai yang membimbing umatnya menuju kebaikan di dunia dan akhirat, seperti cahaya obor yang menerangi jalan dalam kegelapan.

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ ۖ فَبِهُدَاهُمُ اقْتَدِهْ ۗ قُلْ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا ۖ إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرَىٰ لِلْعَالَمِينَ

Maksudnya:''Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka ikutilah petunjuk mereka. Katakanlah: "Aku tidak meminta upah kepadamu dalam menyampaikan (Al-Quran)". Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan untuk seluruh ummat''. Al-An'am ayat 90

Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,

 عَنْ تَمِيمٍ الدَّارِيِّ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَيَبْلُغَنَّ هَذَا الْأَمْرُ مَا بَلَغَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ وَلَا يَتْرُكُ اللَّهُ بَيْتَ مَدَرٍ وَلَا وَبَرٍ إِلَّا أَدْخَلَهُ اللَّهُ هَذَا الدِّينَ بِعِزِّ عَزِيزٍ أَوْ بِذُلِّ ذَلِيلٍ عِزًّا يُعِزُّ اللَّهُ بِهِ الْإِسْلَامَ وَذُلًّا يُذِلُّ اللَّهُ بِهِ الْكُفْرَ وَكَانَ تَمِيمٌ الدَّارِيُّ يَقُولُ قَدْ عَرَفْتُ ذَلِكَ فِي أَهْلِ بَيْتِي لَقَدْ أَصَابَ مَنْ أَسْلَمَ مِنْهُمْ الْخَيْرُ وَالشَّرَفُ وَالْعِزُّ وَلَقَدْ أَصَابَ مَنْ كَانَ مِنْهُمْ كَافِرًا الذُّلُّ وَالصَّغَارُ وَالْجِزْيَةُ

Maksudnya:''Dari Tamim Ad-Dari, ia berkata, saya pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, "Sungguh agama Islam ini akan menjangkau segala penjuru yang dapat dijangkau oleh siang dan malam, dan tidaklah Allah membiarkan satu rumah pun disuatu kota atau pedalaman, kecuali Allah akan memasukkan agama ini dengan kemuliaan (yang didapatkan oleh) seorang yang mulia (kerana berpegang teguh atas islam) atau dengan kehinaan (yang didapatkan oleh) seorang yang hina (kerana menolak agama islam). Suatu kemuliaan yang mana Allah memuliakan Islam dan suatu kehinaan yang mana Allah menghinakan kekufuran." Tamim Ad-Dari berkata, "Saya telah mengetahui itu telah terjadi pada keluargaku, orang yang telah masuk Islam mendapatkan kebaikan dan kemuliaan, sedang orang yang kafir telah mendapatkan kehinaan, kerendahan dan membayar jizyah''. Riwayat Ahmad (16344)

Hadith ini menyatakan satu berita gembira bahawa Islam akan masuk ke setiap rumah di muka bumi ini. Masih banyak tempat yang belum dimasuki sepenuhnya oleh Islam seperti, wilayah Eropah Barat, Amerika, Australia, Cina dan banyak wilayah di Afrika. Masuknya Islam ke setiap rumah bermaksud dalam bentuk penduduknya masuk Islam (Tunduk pada ajaran Islam) atau masih belum Islam tetapi tunduk kepada sistem Islam atau hukum Islam dengan membayar Jizyah.

Kita berada dalam musim ibadah haji. Umat Islam dari seluruh pelusuk dunia datang ke Makkah al-Mukarramah untuk menyahut seruan Nabi Ibrahim alaihis salam bagi menunaikan ibadah haji yang merupakan rukun Islam yang kelima. Kedatangan jemaah haji ke Makkah al-Mukarramah tanpa mengira jauhnya perjalanan yang mereka perlu tempuhi, banyaknya perbelanjaan yang perlu dibelanjakan, betapa payahnya kesusahan yang perlu ditanggung, adalah lambang ketaatan mereka kepada Allah Subhanahu wata’ala dan Rasul-Nya Sallallahu'alaihiwasallam serta kesatuan ummah dan perpaduan dalam Islam. Sesungguhnya, kesatuan ummah, atau perpaduan dalam kalangan setiap individu umat Islam, adalah asas yang amat penting dalam Islam. Umat yang bersatu padu adalah umat yang mesra dan muhibbah serta saling membantu antara satu sama lain, saling menyayangi, sentiasa menginginkan dan mendoakan kebaikan untuk saudaranya yang lain, prihatin kepada mereka yangmemerlukan bantuannya, sentiasa bersedia untuk memberi kemaafan atas kesalahan dan kesilapan orang lain kepada dirinya, sentiasa memandang kebaikan saudaranya, tegur-menegur, nasihat-menasihati dan ajak-mengajak kepada melakukan kebaikan. Dalam erti kata yang lain, falsafah persaudaraan dan perpaduan dalam Islam laksana pelbagai bahagian yang berbeza pada tubuh badan kita. Apabila salah satu anggota sakit, maka pasti seluruh badan akan merasa sakit juga. Hal ini dijelaskan di dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir RA dan Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ، تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Maksudnya: Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama tubuh. Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam''.Riwayat Muslim(2586)

Hadith di atas menekankan kepentingan untuk menjaga hak sesama manusia dan saling bantu membantu jika sebahagian mereka menghadapi kesukaran atau dizalimi. Selain itu juga setiap individu di dalam kelompok masyarakat bertanggungjawab dalam menerapkan sikap berbuat baik antara satu sama lain. Lihat al-Tathriz Riyadh al-Solihin: 1/173.

Apabila kita melihat secara teliti kepada amal ibadah yang disyariatkan dalam Islam, maka kita akan dapati bahawa falsafah perpaduan atau kesatuan ummah ini antara unsur penting yang diterapkan dalam ibadat-ibadat itu. Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam kebanyakan ibadat yang disyariatkan, dan tidak terkecualiibadah haji. Dalam ibadah haji, penerapan falsafah perpaduan ummah ini dapat dilihat antaranya :

Pertama: 

Menghidupkan hakikat persaudaraan Islam dan menzahirkannya di alam realiti. Islam telah menetapkan bahawa setiap orang Islam adalah saudara kepada orang Islam yang lain. Hakikat ini ditegaskan oleh Allah Subhanahuwata’ala melalui firman-Nya dalam Surah al-Hujurat ayat 10,

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya:''Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat". 

Dalam hal ini, perbezaan warna kulit, bahasa, budaya dan adat resam tidak menjadi halangan kepada hakikat persaudaraan ini. Bagi menjadikan ketetapan ilahi ini sebagai satu perkara yang benar-benar dapat dirasai oleh semua penganut Islam di serata dunia, maka setiap umat Islam yang berkemampuan diwajibkan sekali seumur hidupnya berkumpul di satu tempat yang sama di Makkah al-Mukarramah dan kawasan di sekitarnya bagi menunaikan ibadah yang sama iaitu ibadah haji.

Kedua: 

Mendidik rasa persamaan antara sesama orang Islam.Melalui ibadah haji, pelbagai faktor yang membezakan antara sesama manusia dan menyebabkan satu pihak merasa megah dan tinggi berbanding dengan orang Islam yang lain akan dapat diubati 

atau diatasi. Semasa berada di Arafah dan di Mina, sewaktu melontar Jamrah dan ketika tawaf serta sai, semuanya memakai pakaian yang sama warna dan rupanya, sehinggakan tiada kelihatan perbezaan antara yang kaya dengan yang miskin. Mereka semua berada dalam suasana limpahan rohani yang satu, iaitu keinginan untuk mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wata’ala dan memperolehi keredhaan-Nya. 

Inilah suasana yang cukup indah yang mengingatkan kepada permulaan manusia berada di dunia, iaitu sewaktu seseorang itu dilahirkan ke dunia oleh ibunya. Semuanya dalam keadaan yang sama, tiada beza antara mereka. Hal ini juga mengingatkan kepada hari akhirat sewaktu manusia berdiri di hadapan Allah Subhanahuwata’ala dalam keadaan berkaki ayam, tidak berpakaian, tanpa pangkat dan kedudukan. Malah akan subur pula rasa tawaduk dan sifat hormat kepada orang Islam yang lain tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang termaktub dalam surah al-Hijr ayat 88,

لَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِنْهُمْ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:''Janganlah sekali-kali kamu menunjukkan pandanganmu kepada kenikmatan hidup yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (orang-orang kafir itu), dan janganlah kamu bersedih hati terhadap mereka dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman''.

Ketiga: 

Tempat pertemuan dan perhimpunan orang Islam.Sesungguhnya, perpaduan dan kesatuan dalam kalangan umat ini dapat dibentuk dan diperkukuhkan melalui pertemuan dan perjumpaan yang berterusan antara sesama mereka. Melalui ibadah haji, perhimpunan raksasa umat Islam dari seluruh dunia akan dapat diadakan. Umat Islam yang datang dari seluruh dunia untuk menunaikan ibadah haji akan dapat berkenal-kenalan antara satu sama lain, yang seterusnya akan menguatkan dan memperkukuhkan lagi hubungan persaudaraan dan perpaduan antara umat Islam yang ada di seluruh dunia. Firman Allah Subhanahuwata’ala di dalam surah al-Hujurat ayat 13,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya:''Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal''.

Jelaslah kepada kita bahawa melalui ibadah haji itu, banyak peluang dan ruang untuk mengupayakan umat Islam ke arah kekuatan perpaduan dan persaudaraan. Oleh sebab itu, bagi mereka yang belum menunaikan ibadah haji, marilah kita menanamkan azam dan tekad untuk meluangkan masa dan mengumpul bekalan, bukan saja dalam bentuk wang ringgit untuk belanja, tetapi juga bekal ilmu pengetahuan yang berkaitan ibadah haji agar pada suatu hari nanti dapat terpilih untuk menjadi tetamu Allah Subhanahuwata’ala di bumi suci Makkah al-Mukarramah.

Bagi yang telah pun menunaikan ibadah haji yang unggul ini, marilah kita bersama-sama menyegarkan kembali keinsafan dan kesungguhan kita dalam menyuburkan perpaduan dan persaudaraan Islam itu dalam diri kita khasnya dan masyarakat Islam amnya, kerana itulah antara matlamat besar Perhimpunan Raksasa yang dinamakan 'Haji' ini.

Akhir sekali, marilah kita bersama-sama menghayati firman Allah Subhanahuwata’ala dalam surah Ali Imran ayat 97,

فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَقَامُ إِبْرَاهِيمَ ۖ وَمَنْ دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا ۗ وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

Maksudnya:''Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim; barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam".







No comments:

Post a Comment

Ibadah Haji Lambang Perpaduan

Ibadah Haji Lambang Perpaduan  Hidup ini adalah perjalanan panjang yang penuh dengan ujian dan cobaan. Setiap manusia pasti akan menghadapi ...