Wednesday, June 4, 2025

Aidiladha Anugerah dari keimanan dan pengorbanan.

Aidiladha Anugerah dari keimanan dan pengorbanan.

Ketika Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam tiba di Madinah selepas menempuh perjalanan hijrah yang panjang, penduduk Madinah telah pun mempunyai dua hari kebesaran. Mereka menyambutnya dengan mengadakan permainan-permainan. Lalu Baginda Sallallahu'alaihiwasallam bertanya mereka;

“Hari apakah yang kamu sambut ini?”Mereka menjawab;“Dua hari yang kami biasa menyambutnya (dengan mengadakan permainan) pada masa jahiliyah.”Maka Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda kepada mereka;

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ

Maksudnya:"Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; Hari Raya Korban dan Hari Raya Fitra''. Riwayat Abu Daud(959)

Imam al-Son’ani menghuraikan hadith ini di dalam kitab سبل السلام bahawa hadith ini menjadi dalil menzahirkan kegembiraan-kegembiraan ketika hari raya adalah disunatkan dan ia juga merupakan syariat Allah kepada hamba-Nya.

Allah Subhanahuwata'ala berfirman,

قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ


Maksudnya:"Katakanlah: "Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan". Yunus ayat 58.

Aidiladha (Hari Raya Korban) adalah hari raya yang paling besar dan banyak kelebihannya. Hari raya ini dilakukan setelah kita sempurna menyelesaikan ibadah haji yang merupakan rukun Islam yang kelima. Apabila orang Islam selesai menunaikan haji mereka, maka diampunakan segala dosa mereka. Sesungguhnya menyempurnakan haji dengan wukuf di padang Arafah merupakan rukun haji yang sangat agung seperti sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,

الْحَجُّ عَرَفَةُ

Maksudnya: ''Haji itu berada di Arafah''.

Riwayat Ibnu Majah (3015),al-Nasaie (3016),Ibnu Khuzaimah (2822) di dalam Sohihnya,Imam Ahmad (18774) di dalam Musnad

Hari Arafah merupakan hari pelepasan daripada api neraka dengan Allah melepaskan daripada azab api neraka bagi mereka yang wukuf di Arafah dan kaum muslimin di negara lain yang tidak berwuquf. Oleh itu, hari yang selepasnya dijadikan hari perayaan bagi semua kaum Muslimin di tempat masing-masing, sama ada mereka yang pergi menunaikan haji atau tidak, disebabkan kesemuanya layak mendapat keampunan dosa dan terlepas daripada azab api neraka pada hari Arafah.

Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,

قَالَت عَائِشَةُ : إِنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ ، وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ، ثُمَّ يُبَاهِي بِهِمُ الْمَلَائِكَةَ ، فَيَقُولُ : مَا أَرَادَ هَؤُلَاءِ“

Maksudnya:''Aisyah radiallahu'anha berkata: Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: Hari yang paling ramai Allah bebaskan hamba-hambanya daripada neraka ialah hari Arafah. Dia akan menghampiri mereka, kemudian akan membanggakan mereka di hadapan malaikat, lalu berfirman: Apa yang mereka semua mahu?". Riwayat Muslim, Kitab al-Hajj (2410)

Imam Ibn Rajab Al-Hanbali berkata(Lihat Lathoif al-Maarif ms 234),

فمن طمع في العتق من النار و مغفرة ذنوبه في يوم عرفة فليحافظ على الأسباب التى يرجى بها العتق و المغفرة

Maksudnya:''Sesiapa yang berkeinginan untuk dibebaskan daripada api neraka dan memperolehi keampunan pada hari Arafah. Dia hendaklah memelihara sebab-sebab untuk mendapat pembebasan dan keampunan'':

فمنها : صيام ذلك اليوم ففي ;صحيح مسلم  عن أبي قتادة عن النبي صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ قال : وَسُئِلَ عن صَوْمِ يَومِ عَرَفَةَ، فَقالَ: يُكَفِّرُ السَّنَةَ المَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ.

Pertama: Berpuasa pada hari tersebut. Dalam Sahih Muslim direkodkan: Abu Qatadah meriwayatkan Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda(ditanya): Puasa hari Arafah, aku berharap agar Allah akan mengampunkan dosa-dosa setahun sebelum dan selepasnya. Riwayat Muslim(1977)

ومنها : حفظ جوراحه عن المحرمات في ذاك اليوم ففي مسند الإمام أحمد :

Kedua: Menjaga anggota badan daripada melakukan perkara-perkara yang haram pada hari tersebut. Direkodkan dalam Musnad Ahmad :

ابْنَ عَبَّاسٍ ، قَالَ : كَانَ فُلَانٌ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَرَفَةَ ، قَالَ : فَجَعَلَ الْفَتَى يُلَاحِظُ النِّسَاءَ ، وَيَنْظُرُ إِلَيْهِنَّ ، قَالَ : وَجَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْرِفُ وَجْهَهُ بِيَدِهِ مِنْ خَلْفِهِ مِرَارًا ، قَالَ : وَجَعَلَ الْفَتَى يُلَاحِظُ إِلَيْهِنَّ ، قَالَ : فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” ابْنَ أَخِي ، إِنَّ هَذَا يَوْمٌ مَنْ مَلَكَ فِيهِ سَمْعَهُ ، وَبَصَرَهُ ، وَلِسَانَهُ ، غُفِرَ لَهُ “

Maksudnya:''Ibnu Abbas berkata: Seorang lelaki membonceng Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam pada hari Arafah. Pemuda itu menyedari kehadiran kaum wanita lalu melihat ke arah mereka. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam pun memalingkan wajah (pemuda tersebut) ke belakang dengan tangannya berulang kali. Pemuda itu mengulangi pandangannya. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda kepada pemuda itu: Wahai anak saudaraku, hari ini sesiapa yang menjaga pendengarannya, penglihatannya, dan percakapannya, dia akan diampuni". Musnad Ahmad,  Dari Abdullah bin Abbas (2922), Shaikh Syu’aib al-Arnaouth berkata: Isnadnya dhaif .

ومنها : الإكثار من شهادة التوحيد بإخلاص و صدق فإنها أصل دين الإسلام الذي أكلمه الله تعالى في ذلك اليوم و أساسه وفي المسند [ عن عبد الله بن عمر قال : كان أكثر دعاء النبي صلى الله عليه وسلم يوم عرفة : لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد بيده الخير وهو على كل شيء قدير ] وأخرجه الترمذي و لفظه : [ خير الدعاء دعاء يوم عرفة وخير ما قلت أنا والنبيون من قلبي : لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد و هو على كل شيء قدير[

Ketiga: Memperbanyak syahadat tauhid dengan ikhlas dan jujur pada hari tersebut. 

Ini kerana ia merupakan asal agama ini yang mana Allah sempurnakannya pada hari Arafah dan ia merupakan asasnya. Diriwayatkan dalam Musnad (ramai ulama menyatakan riwayat ini dhaif) bahawa ‘Abdullah Bin ‘Umar radiallahu ‘anhu berkata: Doa yang paling banyak Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam baca pada hari Arafah ialah : Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu untuknya, bagi Pemilikan (seluruh alam), baginya segala pujian, di Tangan-Nya segala kebaikan, dan Dia Berkuasa di atas segala sesuatu. Direkodkan dalam Sunan at-Tirmizi (Imam at-Tirmizi berkata ia gharib): Sebaik-baik doa adalah doa hari Arafah, dan sebaik-baik perkataan yang aku dan nabi-nabi sebelum ku katakan adalah: Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu untuknya, bagi Pemilikan (seluruh alam), baginya segala pujian, dan Dia Berkuasa di atas segala sesuatu.

ومنها : كثرة الدعاء بالمغفرة و العتق فإنه يرجى إجابة الدعاء فيه

Keempat: Membanyakkan doa memohon keampunan dan pembebasan daripada neraka pada hari tersebut

Aidiladha merupakan anugerah daripada Allah Subhanahuwata'ala kepada hamba-hamba-Nya yang di jiwanya sentiasa menghayati nilai keimanan dan pengorbanan dalam kehidupan mereka. Sebagaimana kaitan kisah keimanan dan pengorbanan Nabi Ibrahim alaihissalam, isterinya Saidatina Hajar serta anaknya, Nabi Ismail alaihissalam. Sangat jelas terpancar daripada kehidupan mereka sifat sabar iaitu keteguhan mereka dalam mempertahankan keyakinan bahawa Allah Subhanahuwata’ala akan membantu dan menjaga mereka ketika itu. Nabi Ibrahim alaihissalam berpegang kuat dengan akidah ketauhidan kepada Allah Subhanahuwata'ala sejak muda lagi. Sejarah menceritakan kisah baginda yang menghancurkan berhala sembahan Namrud dan kaumnya yang menyebabkan baginda dihukum dengan cara dibakar tetapi diselamatkan oleh Allah Subhanahuwata'ala. 

Baginda rela menghadapi segala apa juga pun kerana menegakkan agama Allah Subhanahuwata'ala. Nabi Ibrahim tetap tenang, kerana dadanya telah dipenuhi dengan iman. Kisah ketabahan Nabi Ibrahim AS diabadikan dalam al-Quran melalui firman-Nya. Meskipun kaumnya dengan begitu bersemangat untuk membakar dirinya, namun Nabi Ibrahim AS tetap tabah dan menyerahkan segala perkara kepada Allah Subhanahuwata'ala. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,

قَالَ أَتَعْبُدُونَ مَا تَنْحِتُونَ ﴿٩٥﴾ وَاللَّـهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ ﴿٩٦﴾ قَالُوا ابْنُوا لَهُ بُنْيَانًا فَأَلْقُوهُ فِي الْجَحِيمِ ﴿٩٧﴾ فَأَرَادُوا بِهِ كَيْدًا فَجَعَلْنَاهُمُ الْأَسْفَلِينَ

Maksudnya: (Bagi menjawab bantahan mereka), ia berkata: "Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat? "Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!" (Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu". Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya)''. Surah al-Saffat ayat 95-98.

Setelah tua, Nabi Ibrahim alaihissalam dikurniakan seorang anak bernama Ismail alaihissalam melalui isteri keduanya iaitu Saidatina Hajar. Kegembiraannya itu tidak lama kerana diuji oleh Allah Subhanahuwata’ala dengan memerintahkannya supaya menghantar dan menempatkan Saidatina Hajar dan Ismail alaihissalam di lembahyang tandus lagi gersang. Demi mentaati perintah Allah Subhanahuwata’ala, Nabi Ibrahim alaihissalam dengan kerelaan dan pada waktu yang sama dengan nada keperihatinan, memanjatkan doa seperti yang dirakamkan di dalam Surah Ibrahim ayat 37,

رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

Maksudnya:''Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan shalat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur''.

Pengorbanan Saidatina Hajar juga amat besar, ditinggal suami tanpa manusia lain kecuali Nabi Ismail alaihissalam yang masih kecil.Saidatina Hajar reda sepenuh jiwa dan raganya berkorban demi mentaati perintah Allah subhanahu wata’ala. Pada suatu hari Saidatina Hajar kehabisan bekalan air hingga tidak dapat menyusukan anaknya Ismail. Oleh kerana risau keselamatan anaknya, dia sanggup bersusah-payah berlari-lari berusaha mencari air antara bukit Safa dan Marwah sebanyak 7 kali. Kemudian Allah Subhanahuwata’ala mengurniakan pertolongan dengan menerbitkan mata air berdekatan Kaabah yang dikenali sebagai telaga Zam Zam.

Berkat daya tahan keimanan, maka Allah Subhanahuwata'ala telah memelihara mereka. Doa yang mereka pohonkan kepada Allah Subhanahuwata'ala telah dimakbulkan apabila sebuah kawasan tandus yang bernama Makkah telah menjadi sebuah kota yang dicintai oleh jutaan manusia dan menjadi sebuah kota yang penuh keberkatan disisi-Nya sehinggalah ke hari ini, seperti yang dimohon oleh Nabi Ibrahim alaihissalam dalam doanya.

Kisah keluarga Nabi Ibrahim alaihissalam ini mengingatkan kita akan kesan daya kekentalan dan kekuatan iman. Keadaan ini mampu menggerakkan manusia untuk mencapai perkara yang luar kotak fikiran biasa. Sama ada dalam mengharungi kesulitan dalam pengorbanan dan mengatasi segala cabaran kehidupan, mahupun mencapai kejayaan demi kejayaan, keimanan dan pengorbanan adalah pemangkin serta pencetus kepadanya.

Daya tahan keimanan ini bukanlah dicerminkan melalui bentuk amalan tertentu, ataupun dengan berpeluk tubuh dan bergantung harapan atau berdoa sahaja. Sebenarnya, ia melahirkan sifat pengorbanan dan disiplin dalam diri yang mendorong kita sentiasa mencari huraian serta mengukir kejayaan di dunia ini lagi dan di akhirat kelak. Sehubungan itu juga, dalam membicarakan keimanan dan pengorbanan ini apabila perhatian kita dibawa kepada tragedi yang menimpa saudara kita di Palestin pada masa kini, maka kita dengan segera dapat melihat secara jelas gambaran keteguhan iman yang meresap dalam diri mereka. Segala penindasan, pembunuhan dan kezaliman yang mereka alami, dan segala kesusahan serta penderitaan yang ditanggung, dihadapi oleh mereka dengan penuh kesabaran dan ketabahan, demi nilai sebuah pengorbanan untuk mempertahankan kedaulatan tanahair mereka. Inilah manifestasi pengorbanan yang dicetuskan oleh kekuatan iman apabila telah meresap kukuh dalam jiwa. Daripada Abu Umamah radiallahu anhu, sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الباهِلِيِّ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: “لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ، لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ: “بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ” – رواه الإمام أحمد

Maksudnya:''Daripada Abi Umamah Al-Bahili RA meriwayatkan: Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, “Akan sentiasa wujud daripada umatku, sekumpulan yang terus menegakkan kebenaran dan tegas mendepani musuh. Tidak memudaratkan perjuangan mereka walaupun dipinggirkan dan dirintangi kesusahan, melainkani semua itu hanyalah  ujian, sehinggalah datang ketentuan Allah. Mereka akan tetap sedemikian”. Sahabat bertanya, “Di mana mereka itu?” Baginda menjawab, “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di kawasan sekitarnya". Riwayat Imam Ahmad(21286)

Ujian yang menimpa diri kita boleh melahirkan kebaikan dan peluang apabila kita memhami bahawa setiap ujian ini adalah daripada Allah Subhanahuwata'ala. Ingatlah bahawa Allah Subhanahuwata'ala tidak akan menguji kita kecuali Allah Subhanahuwata'ala maha mengetahui kita mempunyai potensi bagi mengatasinya. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah al-Baqarah ayat 286,

....لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ

Maksudnya:''Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya...". Al-Baqarah ayat 286

Ummah yang beriman adalah mereka sering bermuhasabah dan berfikir dan tidak hanya menerima sesuatu tanpa penilaian. Daya tahan keimanan juga bermakna kita menyibukkan diri dengan perkara yang bermanfaat, yang membawa kebaikan dan kesejahteraan, dan menjaga kebajikan diri dan masyarakat.  

Firman Allah Subhanahuwata’ala 

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya:''Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya". Al-A'raf ayat 96

Akhirnya dalam perjalanan kehidupan kita di dunia yang fana ini, kita akan kembali menghadap Allah subhanahu wata'ala. Usia kita, adalah perjalanan dunia, pencarian ke syurga. Segala amalan kita akan diperhitungkan, dan kemudian akan disempurnakan balasannya oleh Allah Subhanahuwata'ala. Marilah kita meneruskan segala usaha yang baik, dan memperbaiki segala kekurangan pada diri kita. Semoga Allah subhanahu wata'ala membekalkan kita dengan daya tahan keimanan yang dapat membantu kita mengharungi segala ujian di dunia. Semoga Allah Subhanahuwata'ala juga sentiasa membimbing kita ke arah yang diredai-Nya dan sekaligus tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang berjaya di dunia dan di akhirat. آمين.


No comments:

Post a Comment

Keteguhan Iman

Keteguhan Iman Dari segi bahasa, iman berarti "percaya" atau "membenarkan". Iman bermaksud kepercayaan atau keyakinan ya...