Wednesday, May 28, 2025

Mengurus Keewangan Menurut Islam dalam Era yang Mencabar

Mengurus Keewangan Menurut Islam dalam Era yang Mencabar

Segala pujian hanyalah bagi Allah Subhanahuwata’ala, Tuhan yang Maha Pemberi Rezeki kepada makhluk ciptaan-Nya, yang menciptakan kehidupan dan ujian padanya, agar manusia mengenal erti syukur, sabar dan taqwa. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam, ikutan kita dalam semua aspek kehidupan. Firman Allah Subhanahuwata’ala,

وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya:''Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang''. Al-Nahl ayat 18

Syukur pada istilah ialah seorang hamba menggunakan semua nikmat kurniaan Allah kepadanya untuk mentaati-Nya. Lihat Hasyiyah al-Syabramalisi, 1/22.

Bersyukur adalah diperintahkan oleh Tuhan. Allah Allah Subhanahuwata’ala berfirman,

وَاشْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya: ''Bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata''. Surah al-Nahl ayat 114.

Allah Subhanahuwata’ala melimpahkan nikmat-Nya setiap detik, setiap minit, setiap jam, setiap hari, setiap minggu, setiap bulan, setiap tahun dan setiap saat selama mana kita masih diberikan hidup di dunia ini. Mulai dari bangun tidur di pagi hari hingga kita memejamkan mata untuk tidur kembali di malam hari, nikmat Allah selalu dilimpahkan kepada kita. Oleh sebab itu, kita sebagai manusia yang selalu dibanjiri dan dilimpahi kenikmatan oleh Allah, kita harus senantiasa mensyukuri apapun yang Allah telah berikan. Ketika dipagi hari kita masih diberikan izin oleh Allah untuk menghirup udara pagi yang segar, dengan badan yang sihat dan penuh semangat untuk menjalani aktiviti kita di hari ini, itu merupakan nikmat yang terkadang dilupakan oleh manusia. Kondisi kita seperti ini mungkin saja dirindukan oleh orang-orang yang sedang diberikan ujian sakit kepala yang hanya dapat terbaring di tempat tidur. Ketika kita masih diberikan izin oleh Allah untuk merasakan nikmatnya rasa makanan, itu juga merupakan nikmat yang harus kita syukuri. Boleh jadi hal ini sangat diinginkan oleh orang yang sedang diberikan ujian sakit mulut ataupun sakit gigi. Hal ini seperti yang disampaikan dalam hadith riwayat Muslim,

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ؛ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: “Seorang mukmin itu sungguh menakjubkan, kerana setiap perkaranya itu baik. Namun tidak akan terjadi demikian kecuali pada seorang mu’min sejati. Jika ia mendapat kesenangan, ia bersyukur, dan itu baik baginya. Jika ia tertimpa kesusahan, ia bersabar, dan itu baik baginya''. Riwayat Muslim (7692)

Keadaan ekonomi dunia terus berubah-ubah. Nilai mata wang yang tidak stabil, harga barangan keperluan yang meningkat, dan tekanan kehidupan, kesan dari kos hidup yang semakin dirasai oleh setiap lapisan masyarakat. Situasi ini menuntut kita untuk bertindak dengan bijak dan berpandukan ajaran Islam dalam mengurus kehidupan serta tidak berlebih-lebihan dan berbelanja mengikut kemampuan.

Islam tidak sekadar agama ibadah, tetapi juga agama pengurusan. Islam mendidik umatnya agar menghindari pembaziran, walaupun ketika memiliki harta yang banyak. Firman Allah Subhanahuwata’ala, 

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan...”. Surah al-Isra’ ayat 27

Ibn Mas'ud dan Ibn Abbas R.anhuma berkata: Tabzir atau pembaziran adalah menginfaqkan sesuatu bukan pada jalan yang sebenar. Qatadah pula berpendapat yang dinamakan pembaziran adalah mengeluarkan nafkah dalam bentuk maksiat kepada Allah, pada jalan yang salah dan pada jalan untuk berbuat kerosakkan. Lihat Tafsir Ibn Kathir 8/474-475.

Begitu juga dengan hadith Rasulullah Sallallahu'alihiwasallam daripada al-Mughirah bin Syu’bah, Rasulullah Sallallahu'alihiwasallam bersabda,

إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الأُمَّهَاتِ، وَمَنْعًا وَهَاتِ، وَوَأْدَ البَنَاتِ، وَكَرِهَ لَكُمْ: قِيلَ وَقَالَ، وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ، وَإِضَاعَةَ المَالِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka Ibu bapa, membunuh anak perempuan, menegah daripada banyak kerenah, benci bercakap yang bukan-bukan dan banyak soal serta membazir harta''. Riwayat Bukhari (5975) dan Muslim (593)

Di sini jelas menunjukkan pembaziran harta kepada yang perkara tidak bermanfaat bahkan juga boleh memudaratkan. Imam Ibn Hazm dalam kitabnya Al-Muhalla (7/503) menyebut pemborosan dan pembaziran adalah haram. Antara maksud pemborosan ialah:

1-Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah sama ada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.

2-Pembaziran yang tidak ada keperluan dan tidak diperlukan.

3-Membazirkan wang walaupun dalam jumlah yang kecil tanpa tujuan adalah sia-sia.

Islam menganjurkan prinsip wasatiyyah iaitu kesederhanaan dan keseimbangan dalam segala hal, termasuk dalam berbelanja. Jangan turutkan hawa nafsu, sebaliknya utamakan keperluan dan manfaat. Beli apa yang perlu, bukan apa yang kita mahu semata-mata. Firman Allah Subhanahuwata’ala,

وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا

Maksudnya:''Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian''. Al-Furqan ayat 67

Ayat ini seharusnya menjadi panduan dalam kehidupan kita menguruskan sumber kekayaan dan sumber kewangan dengan kaedah yang mampu menyelamatkan diri daripada terjebak dalam kesukaran di kemudian hari.Allah mendidik para hamba-Nya agar menjalani kehidupan di dunia ini dengan cara berderhana dan tidak melampaui batas.

Malahan, Baginda Sallallahu'alihiwasallam turut sama memperingatkan umatnya supaya memilih jalan hidup yang sederhana. Daripada Mutharrif bin Abdillah berkata:

خَيْرُ الْأُمُورِ أَوْسَاطُهَا

Maksudnya: “Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan''. Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (6176). Dhaif

Walaupun dari sudut status hadith ini adalah dhaif, tetapi maknanya adalah tepat kerana Islam melarang umatnya bersifat melampau (ekstrim). Ini kerana, terdapat hadith yang menunjukkan larangan untuk seseorang itu bersifat melampau dalam beragama. Antaranya adalah:

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi Sallallahu'alihiwasallam bersabda sebanyak tiga kali:

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ

Maksudnya: “’Musnahlah golongan yang melampau''. Riwayat Muslim (2670)

Imam al-Nawawi ketika menafsirkan maksud “الْمُتَنَطِّعُونَ” ialah mereka yang terlalu teliti, melampau dan melepasi had atau batasan dalam perkataan dan perbuatan mereka. Lihat: al-Minhaj, 220/16.

Justeru, dalam persoalan menguruskan harta kekayaan dan sumber kewangan, seharusnya kita memilih jalan tengah yang sentiasa mengambil jalan bersederhana tanpa memboros dan melampau. Menjalani dan mendepani cabaran kehidupan dunia dengan cara berhemah yang penuh kesederhanaan merupakan jalan yang ditunjukkan oleh Islam. Hal demikian bukan bermakna Islam melarang atau menegah umatnya memperoleh kekayaan dan menggunakannya, sebaliknya apa yang Islam tegah hanya perbuatan dan amalan hidup yang melampau batas hingga lupa bahawa sumber nikmat yang dikecapi itu adalah amanah Allah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Kalau di dunia, kita akan menghitung dan mengambil penuh cakna setiap sen dan ringgit yang kita keluarkan, maka sedemikianlah halnya di akhirat nanti, setiap sen dan ringgit turut dipertanggungjawabkan dan diambilkira untuk hitungan dosa dan pahala.

Dari Abu Barzah al-Aslami, Nabi Sallallahu'alihiwasallam bersabda,

لاَ تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَا فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَا أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ.

Maksudnya:''Tidak akan bergeser dua telapak kaki(tertahan dalam hisab) seorang hamba pada hari kiamat sampai dia ditanya (dimintai pertanggungjawaban) tentang umurnya kemana dihabiskannya, tentang ilmunya bagaimana dia mengamalkannya, tentang hartanya; dari mana diperolehnya dan ke mana dibelanjakannya, serta tentang tubuhnya untuk apa digunakannya''. Riwayat Tirmizi(2341)

Menjalani dan mendepani cabaran kehidupan dunia dengan cara berhemah yang penuh kesederhanaan merupakan jalan yang ditunjukkan oleh Islam. Hal demikian bukan bermakna Islam melarang atau menegah umatnya memperoleh kekayaan dan menggunakannya, sebaliknya apa yang Islam tegah hanya perbuatan dan amalan hidup yang melampau batas hingga lupa bahawa sumber nikmat yang dikecapi itu adalah amanah Allah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Kalau di dunia, kita akan menghitung dan mengambil penuh cakna setiap sen dan ringgit yang kita keluarkan, maka sedemikianlah halnya di akhirat nanti, setiap sen dan ringgit turut dipertanggungjawabkan dan diambilkira untuk hitungan dosa dan pahala.

Islam juga memberi penekanan kepada perancangan dan pengurusan kewangan, bukan hanya untuk individu, malah untuk masyarakat dan negara. Lihatlah bagaimana kisah Nabi Yusuf alaihissalam menjadi salah satu teladan terulung dalam merancang dan mengurus sumber kewangan dan makanan ketika Mesir bakal menghadapi kemarau panjang. Firman Allah Subhanahuwata’ala,

 قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدْتُمْ فَذَرُوهُ فِي سُنْبُلِهِ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّا تَأْكُلُونَ

Maksudnya:''Yusuf berkata: "Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan dibulirnya kecuali sedikit untuk kamu makan''. Surah Yusuf ayat 47

Inilah salah satu kisah terbaik dalam merancang dan mengurus kewangan. Ketika baginda menjadi menteri kewangan di Mesir, baginda telah merancang dengan teliti menghadapi tujuh tahun kemakmuran dan tujuh tahun kemarau. Inilah prinsip perancangan dan pengurusan kewangan jangka panjang yang bijak. Nabi Yusuf alaihissalam bukan sahaja berhemat dalam penggunaan hasil, tetapi merancang dan menyimpan untuk menghadapi masa depan. 

Mesir telah berjaya bertahan dan mendepani cabaran kemarau teruk untuk tempoh tujuh tahun. Kejayaan Mesir ini turut dikongsi oleh seluruh Timur Tengah yang mendapatkan bantuan Mesir yang juga berdepan dengan situasi yang sama termasuk Palestin.

Melihat kejayaan Mesir dalam usaha berhadapan dengan krisis kemarau panjang yang berlarutan, ia adalah hasil usaha dan idea Nabi Yusuf AS yang dilantik sebagai Menteri Kewangan Mesir. Beberapa formula telah disusun oleh Nabi Yusuf AS agar Mesir mampu bertahan ketika musim kemarau tersebut.

Inilah yang perlu kita contohi dan seharusnya diamalkan pada hari ini. Menyimpan semasa senang untuk digunakan semasa susah. Kisah ini sangat relevan dengan keadaan kita hari ini. Kita tidak hanya bekerja keras mencari rezeki, bahkan perlu membuat perancangan dan mengurusnya seperti membuat simpanan perbelanjaan serta hidup bersederhana agar tidak tertekan apabila menghadapi krisis.

Apa jua yang yang kita usahakan dalam keberadaan kita di dunia ini, taqwa merupakan kunci utama dalam menjalani kehidupan termaksuklah mencari rezeki yang halal dan diberkati kerana ianya adalah tuntutan agama. Rezeki yang Allah kurniakan untuknya iaitu yang telah menjadi miliknya menurut syarak, hendaklah diurus dan digunakan mengikut syariat Islam untuk kegunaan diri sendiri dan keluarganya sama ada urusan dunia apatah lagi urusan agamanya. Carilah rezeki halal lagi berkat dan uruskanlah kewangan dengan bijak sebagai tanda bersyukur kepada Allah Subhanahuwataala. Firman Allah Subhanahuwata’ala,

...وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا. وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ...

Maksudnya:''...Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya...." Surah At-Talaq ayat 2-3

Sedarlah bahawa, segala nikmat yang Allah beri adalah amanah. Kita akan dipertanggungjawabkan atas bagaimana kita menggunakan rezeki tersebut. Maka, perbaikilah pengurusan kewangan kita. Didiklah diri, keluarga dan anak-anak supaya berdisiplin dalam perbelanjaan dan mengutamakan simpanan untuk masa hadapan. 

Hayatilah makna sabdaan Rasulullah Sallallahu'alihiwasallam. Daripada Syaddad bin Aus R.A, bahawa Rasulullah Sallallahu'alihiwasallam pernah bersabda:

الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ

Maksudnya: Orang yang cerdik, siapa yang merendahkan dirinya dan beramal untuk bekalan selepas mati. Sedangkan orang yang lemah, siapa yang mengikut hawa nafsunya dan hanya bercita-cita kepada Allah". Riwayat al-Tirmizi (2459) dan Ibn Majah (4260)

Sekiranya kita terlalu memikirkan punca masalah tanpa memikirkan cara penyelesaiannya, dibimbangi kita akan kalah dengan hasutan syaitan dan akhirnya tidak melakukan apa-apa usaha dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Kita tidak boleh mengubah sesuatu takdir yang berlaku, tetapi kita boleh mengubah cara kita melihat setiap takdir yang berlaku.

No comments:

Post a Comment

Aidiladha Anugerah dari keimanan dan pengorbanan.

Aidiladha Anugerah dari keimanan dan pengorbanan. Ketika Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam tiba di Madinah selepas menempuh perjal...