Friday, March 7, 2025

Pergolakan Umur Tua Bangka dan Liku-likunya

Pergolakan Umur Tua Bangka dan Liku-likunya

Seseorang itu akan berpindah dari masa tua kepada masa tua bangka dan bongkok; iaitu dari usia tujuh puluhan sehinggga akhir umur yang diberikan Allah Subhanahuwata'ala, menurut kategori Ibnul Jauzi. Seorang manusia akan terus dinamakan 'orang tua' meskipun ia mencapai umur lebih jauh dari itu, hinggalah ia menemui ajalnya. 

Ibnul Jawzi telah membahagikan peringkat-peringkat umur itu kepada lima kategori, iaitu: 

(1) Masa kanak-kanak,iaitu dari peringkat umur bayi hingga seseorang itu mencapai umur lima belas tahun. 

(2) Masa muda, iaitu dari peringkat umur lima belas tahun, hingga umur tiga puluh lima tahun. 

(3) Masa dewasa, iaitu dari peringkat umur tiga puluh lima tahun, hingga umur limapuluh tahun.

(4) Masa tua, iaitu dari peringkat umur lima puluh tahun, hingga umur tujuh puluh tahun. 

(5) Masa tua bangka, iaitu dari peringkat umur tujuh puluh tahun, hinggalah ke akhir umur yang dikurniakan Tuhan. 

Dalam peringkat umur tua Bangka ini, biasanya kelemahan menguasai seluruh tubuh manusia, dan seterusnya kepada semua pancainderanya dan anggotanya, sehingga ada kalanya ia tidak ada daya upaya atau kekuatan lagi. 

Allah Subhanahuwata'ala telah berfirman,

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْقَدِيرُ

Ertinya:''Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa". Al-Rum ayat 54

Sesudah itu, berpindah pula manusia itu kepada umur tua bangka, dimana Allah Subhanahuwata'ala telah berfirman mengenainya,

وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ ثُمَّ يَتَوَفَّاكُمْ ۚ وَمِنْكُمْ مَنْ يُرَدُّ إِلَىٰ أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْ لَا يَعْلَمَ بَعْدَ عِلْمٍ شَيْئًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ قَدِيرٌ

Ertinya:''Allah menciptakan kamu, kemudian mewafatkan kamu; dan di antara kamu ada yang dikembalikan kepada umur yang paling lemah (pikun), supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang pernah diketahuinya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa''. AI-Nahl ayat 70

Al-Syaukani berkata: ‘ يُرَدُّ إِلَىٰ أَرْذَلِ الْعُمُرِ ’, yakni ketika manusia menjadi nyanyuk, seperti anak kecil yang belum berakal. Lihat Fath al-Qadir, 3/223

Umur tua bangka yang dimaksudkan di sini ialah umur nyanyuk, dan tidak menentu lagi fikiran. Umur yang serupa itulah yang sering Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam minta perlindungan dari Allah Subhanahuwata'ala dalam doanya,

Hadith daripada Sa’d bin Abi Waqqas R.A:

أَنَّهُ كَانَ يَأْمُرُ بِهَؤُلاَءِ الخَمْسِ: وَيُحَدِّثُهُنَّ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ العُمُرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ»

Maksudnya: “Beliau memerintahkan lima perkara dan menyatakan bahawa itu daripada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam,

 اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ العُمُرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ’

Ertinya:''(Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada sifat kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut, aku berlindung kepada-Mu daripada dilanjutkan kepada usia nyanyuk, aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah dunia dan aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur)''.Riwayat al-Bukhari (6370)

Dalam berbagai-bagai hadith yang lain, ada disebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sering minta perlindungan daripada disampaikan kepada umur yang sangat tua,

وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَرَمِ

Ertinya:''...aku berlindung kepada-Mu daripada dilanjutkan umur hingga nyanyuk...''. Riwayat al-Bukhari (6371)

Diriwayatkan daripada Hudzaifah Ibnul Yamani r.a. katanya:

 قَلُوا يَارَسُولَ اللهِ مَاأَعْمَارُ أُمَّتِك قَالَ مَصَارِعُهُمْ مًا بَيْنَ السِّتٍّيْنَ إِلَى السَّبْعِيْنَ قَلُوا يَارَسُولَ اللهِ فَأَبْنَاءُ الثّمَانِيْنَ قَال قَلَّ مَنْ يَبْلُغُهَا مِنْ أُمَّتي رَحِمَ الله أَبْْنَاءَ السَّبْعِيْنَ وَرَحِمَ اللهُ أَبْنَاءَ الثَّمَانِيْنَ 

Ertinya:''Mereka berkata: Wahai Rasulullah! Berapakah ketetapan umur-umur umatmu? jawab baginda: Yang paling tinggi antara enampuluh hingga tujuhpuluh. Mereka bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan umur delapanpuluh? Jawab baginda: Sedikit sekali orang yang dapat mencapainya dari umatku. Moga-moga Allah merahmati orang-orang yang mencapai umur tujuhpuluh dan moga-moga Allah merahmati orang-orang yang mencapai umur delapanpuluh''. Dhaif

Sekali peristiwa, Ma'an bin Zaidah(w:70h) datang mengadap Khalifah al Ma'mun, lalu Khalifah bertanya kepadanya: Bagaimana keadaanmu, bila menjadi tua seumpama ini? Jawabnva: Aku mudah tersembam lantaran terlanggar sebuah kerikil. dan boleh diikat dengan hanya sehelai rambut. Tanya Khalifah: Bagaimana keadaan makan minum dan tidur? Jawabnya: Bila aku lapar, aku marah! Bila aku makan, aku bosan! Bila aku dalam majlis, aku mengantuk! Bila aku di atas katil, mataku celik! Tanya Khalifah seterusnya: Bagaimana keadaanmu dengan wanita pula? Jawabnya: Yang tua dan buruk. aku tidak ingin kepadanya! Yang cantik molek pula, mereka tiada ingin kepadaku! Ujar Khalifah sesudah itu: Orang seumpama kau ini tidak patut menjadi tua, Baginda lalu memerintahkan agar digandakan gajinya, dan dilarang keluar dari umah. Biarlah orang ramai saja yang datang mendapatkan nya, dan jangan sampai dia berpergian untuk mendapatkan mereka. Dipetik dari kitab Rabi'ul abraar.

Ketahuilah, bahwasanya panjang umur di dalam ketaatan Allah itu memanglah baik dan dituntut. Daripada Abi Bakrah RA berkata, telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang terbaik?.” Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menjawab:

مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ

Ertinya: “Siapa yang panjang usianya dan baik amalannya''.Riwayat al-Tirmizi (2330)[Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih]

Tambahan pula, jika Allah Subhanahuwata'ala melanjutkan usia atau umur seseorang itu adalah bertujuan agar mereka berfikir serta mempelajari agama ini. Hal ini disebutkan di dalam al-Quran menerusi firman Allah Subhanahuwata'ala,

أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُم مَّا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَن تَذَكَّرَ

Ertinya: “Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir''. Al-Fatir ayat 37.

Syeikh Sayyid al-Tantawi menyatakan ketika menafsirkan ayat ini bahawa Allah Subhanahuwata'ala menegur insan-insan yang terus kekal dan lalai dengan kehidupan dunia sedangkan usia mereka itu mampu untuk mencari kebenaran atau cahaya keimanan. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 352/11]

Walaupun begitu, makruh pula bagi seseorang berdoa kepada Allah agar dimatikan kerana tidak tahan menanggung sakit yang dihadapinya. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

لاَ يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ

Ertinya: “Janganlah seorang daripada kamu menginginkan dan bercita-cita untuk mati disebabkan kemudaratan yang menimpanya.''Riwayat Muslim (6990)

Dalam hadith yang lain, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

لاَ يَتَمَنَّى أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ وَلاَ يَدْعُ بِهِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَهُ إِنَّهُ إِذَا مَاتَ أَحَدُكُمُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ وَإِنَّهُ لاَ يَزِيدُ الْمُؤْمِنَ عُمْرُهُ إِلاَّ خَيْرًا

Ertinya: Janganlah salah seorang di antara kamu mengharapkan kematian. Janganlah meminta kematian sebelum datang waktunya. Apabila salah seorang di antara kamu meninggal, maka terputuslah amalnya. Sesungguhnya tidak bertambah umur seorang mukmin kecuali kebaikan''.Riwayat Muslim (6995)

Adapun umur yang paling baik sekali ialah umur yang diberkati Allah Ta'ala, yang diberikan taufiq untuk mengerjakan amalan soleh, dan kebajikan-kebajikan yang lain, samada yang umum mahupun yang khusus. Adakalanya Allah Subhanahuwata'ala meletakkan berkat-Nya pada umur yang pendek kepada setengah-setengah hamba-Nya yang terpilih, sehingga amalannya lebih banyak yang baik, dan lebih umum manfaatnya daripada orang-orang yang dipanjangkan umurnya. Sebagai contoh Imam Syafie rahimahullah, beliau berumur hanya 54 tahun saja. Demikian pula dengan Hujjatulislam Imam Ghazali rahimahullah, beliau meninggal dunia dalam usia 55 tahun saja. Yang lain lagi ialah Imam Khalifah yang soleh Umar bin Abdul Aziz, beliau wafat sedang umurnya di bawah empatpuluh tahun. Selain mereka ada banyak lagi Imam-imam besar yang lain yang tidak dipanjangkan Allah umur umur mereka, akan tetapi mereka telah dapat menyebarkan kebajikan-kebajikan yang banyak, dan telah berlaku di dalam tangan mereka bermacam macam keberkatan yang meliputi seantero negeri dan seumum rakyat, dan manfaat dari usaha mereka telah menyeluruh kepada orang kota dan kampung. Itulah kelebihan dari Allah Subhanhuwata'ala yang dikurniakan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. 

Umat Muhammad ini sentiasa mendapatkan keberkatan yang besar dari Allah Subhanahwata'ala, disebabkan kedudukannya yang utama, yang mana selain umat ini, tidak mempunyai keutamaan yang sama sepertinya. Akan tetapi, pada umumnya, mereka mempunyai umur yang pendek dan masa yang sedikit dalam kehidupan, iika dibandingkan dengan umat umat sebelum nya. Rasulullah membezakan dua lelaki yang panjang umur tetapi tidak digunakan kelebihan usianya dengan amalan yang baik. Perkara ini direkodkan ketika Rasulullah ditanya oleh seorang lelaki. Kata lelaki itu,

يَاعَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ النَّاسِ خَيْرٌ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ قَالَ فَأَيُّ النَّاسِ شَرٌّ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَسَاءَ عَمَلُهُ 

Ertinya;'' Dari Abdurrahman bin Abi Bakrah, dari ayahnya, bawasanya pernah ada seseorang yang bertanya kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah, siapakah sosok orang terbaik itu?" Beliau menjawab: "Orang yang panjang umur dan baik amalnya." Ia bertanya kembali: "Lalu siapakah sosok orang yang terburuk itu?" Beliau menjawab: "Orang yang panjang umur, namun buruk amalnya".  Riwayat al-Tirmizi (2252)

Atas dasar itu Saidina Ali lebih menyukai lelaki yang mati setelah usia yang panjang yang digunakan untuk mengenali Tuhannya berbanding kanak-kanak yang meninggal kecil walaupun akan masuk ke syurga tanpa hisab. Kata Saidina Ali,

مَوْتُ الإِنْسَانِ بَعْدَ أَنْ كَبِرَ وَعَرَفَ رَبَّهُ خَيْرٌ مِنْ مَوْتِهِ طِفْلا بِلا حِسَابٍ فِي الآخِرَةِ

Ertinya:''Kematian manusia setelah panjang usianya dalam keadaan dia mengenal Tuhannya adalah lebih baik daripada kematian kanak-kanak kecil walaupun (akan ke syurga) tanpa hisab di akhirat kelak''.Disebutkan oleh al-Imam al-Tibi.

Ini menunjukkan, usia yang panjang mestilah digunakan sebaiknya untuk mengenal Allah dan mengabdikan diri kepadanya. Janganlah disia-siakan masa yang diberikan dengan perkara yang tidak disukai Allah. Kita bimbang akan tergolong dalam golongan yang disebutkan dalam hadith di atas, iaitu mereka yang dikurniakan usia yang panjang tetapi semakin rosak amalan kita. 

Dalam berbagai-bagai Hadith yang lain, ada disebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sering meminta perlindungan daripada disampaikan kepada umur yang sangat tua.

Semoga Allah Subhanahuwata'ala selamatkan kita daripada mati dalam keadaan nyanyuk dan tua yang amat sebagaimana yang diajar kepada kita untuk berdoa oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَرَمِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ البُخْلِ

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada sifat malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut, aku berlindung kepada-Mu daripada dilanjutkan umur hingga nyanyuk dan aku berlindung kepada-Mu daripada sifat kedekut''.Riwayat al-Bukhari (6371)








No comments:

Post a Comment

Salaf Al-Soleh(السلف الصالح) Sering Takut Dari Su’ul Khatimah

Salaf Al-Soleh(السلف الصالح) Sering Takut Dari Su’ul Khatimah  Para Salaf al-soleh (السلف الصالح) sering bimbang dan takut dari su’ul khatim...