Wednesday, January 29, 2025

Tumbuhnya rambut putih

Tumbuhnya rambut putih

Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah mengkhabarkan usia kebanyakan umatnya hanya berkisar antara 60-70 tahun. Penyebutan kelaziman angka umur umat akhir zaman ini tidak menafikan mereka yang wafat sebelum mencapai atau sesudah melewati kisaran umur tersebut. Meskipun ada yang berusia melebihi 70 tahun, jumlah mereka sangat kecil.

Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَعْمَارُ أُمَّتِي مَا بَيْنَ السِّتِّينَ إِلَى السَّبْعِينَ وَأَقَلُّهُمْ مَنْ يَجُوزُ ذَلِكَ

Ertinya, “Dari Abu Hurairah, ia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: "Umur umatku antara enam puluh hingga tujuh puluh tahun, dan hanya sedikit dari mereka yang melebihi batas itu''. Riwayat Al-Tirmidzi(3473)

Abdurra’uf Al-Munawi dalam Faidhul Qadir mengatakan bahawa “umatku” yang disebut dalam hadith di sini bukan hanya pemeluk agama Islam (ummatul ijābah) sahaja, tetapi manusia secara umum yang hidup di zaman Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam dan seterusnya (ummatud da’wah). Adapun umat manusia terdahulu memiliki usia, kekuatan fisik, dan rezeki yang berlipat ganda dari umat manusia akhir zaman. Sebahagian orang terdahulu berusia 1000 tahun. Tinggi badan mereka mencapai 80 hasta bahkan lebih atau kurang sedikit. Mereka menikmati dunia dengan fisik seperti itu. Dengan usia demikian, mereka membuat kerosakan di atas muka bumi, mereka juga menjadi angkuh dan sombong serta berpaling dari kebenaran. Sehingga Allah Subhanahuwata'ala mencambuk mereka dengan cemati azab.

Firman Allah Subhanhuwata'ala,

الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ. فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ. فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ.

Ertinya:''Yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri,lalu mereka berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu,kerana itu Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab''. Al-Fajri ayat ayat 13. 

Sejak zaman mereka itu, fisik dan rezeki serta umur umat manusia terus berangsur-ansur menurun, hingga sampai kepada umat ini sebagai umat manusia akhir zaman. Mereka hanya menerima sedikit rezeki dengan fisik yang lemah dan usia yang relatif pendek agar mereka tidak menjadi angkuh dan ini adalah bentuk rahmat Allah Subhanahuwata'ala. Sebahagian ulama membagikan empat peringkat usia manusia, iaitu masa bayi dan kanak-kanak, masa remaja dan masa muda, masa dewasa dan masa tua sebagai akhir usia mereka yang umumnya berkisar antara 60-70 tahun. Pada masa tua itu, tampak turunnya daya fisik dan berkurangnya sisi lain pada dirinya. Pada saat ini pula, ia sangat dianjurkan untuk mempersiapkan diri untuk menuju akhirat kerana mustahil untuk kembali pada kekuatan dan ketangkasannya seperti semula saat muda dahulu. Lihat Al-Munawi, Kitab Faidhul Qadir.

Umur umat Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam relatif singkat, umumnya 60-70 tahun. Mereka tidak seperti umat terdahulu yang memiliki usia 1000 tahun. Tinggi badan umat terdahulu ada yang sampai 100 hasta dan lebar 10 hasta. Mereka menikmati dunia, makanan, minuman dan pakaian sesuai keperluan besar fisik dan panjang usia mereka. Di tengah limpahan itu semua, nikmat yang diperolehi oleh umat terdahulu tetap terbilang sedikit. Alasannya, yang dinamakan dengan dunia, halalnya menuntut untuk hisab di hari akhirat nanti dan yang haramnya pula menescayakan azab sebagaimana keterangan dari hadith. 

Sebaliknya, Allah memuliakan umat Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sebagai umat akhir zaman ini dengan sedikit seksa dan hisab yang dapat menghalangi mereka dari masuk neraka. Oleh kerana itu, mereka adalah umat pertama yang akan masuk syurga. Dari sana kemudian Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, “َنَحْنُ الْآخِرُونَ الْأَوَّلُون” atau kami adalah umat akhir zaman yang awal (masuk syurga). Ini termasuk khabar Rasulullah yang terbilang sebagai mukjizat. Lihat Abdurra’uf Al-Munawi, At-Taysir bi Syarhil Jami’is Shaghir. 

 عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَحْنُ آخِرُ الْأُمَمِ وَأَوَّلُ مَنْ يُحَاسَبُ يُقَالُ أَيْنَ الْأُمَّةُ الْأُمِّيَّةُ وَنَبِيُّهَا فَنَحْنُ الْآخِرُونَ الْأَوَّلُونَ

Ertinya:''Dari Ibnu Abbas bahwa Nabi ﷺ bersabda, "Kita adalah umat terakhir dan yang pertama kali akan di hisab, dikatakan, "Manakah umat yang Nabinya buta huruf?" Maka kita adalah umat terakhir dan yang pertama (akan di hisab)''. Riwayat Ibnu Majah(4280)

أَبَا هُرَيْرَةَ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ نَحْنُ الْآخِرُونَ السَّابِقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Ertinya:''Abu Hurairah, ia mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, "Kita adalah orang-orang yang datang terkemudian, namun kita yang terlebih dahulu ke syurga pada hari kiamat''. Riwayat Al-Bukhari (6941)

Ibnu Hajar dalam Kitab Fathul Bari bi Syarhi Shahihil Bukhari mengatakan bahwa hadith ini (أَعْمَارُ أُمَّتِي مَا بَيْنَ السِّتِّينَ إِلَى السَّبْعِين)mengisyaratkan genapnya usia 60 sebagai dugaan selesainya umur seseorang. Pada usia tua ini dengan segala kekurangan yang ada, seseorang itu seyogianya menyibukkan diri sedapat mungkin dengan aktiviti persiapan menuju akhirat kerana mustahil untuk kembali pada kekuatan dan ketangkasannya seperti semula saat muda dahulu. Sebahagian ulama mazhab Syafi’i menarik sebuah simpulan hukum bahawa orang yang genap memasuki usia 60 tahun dan belum berhaji kerana kelalaiannya–''padahal ia mampu''–, maka ia berdosa jika kemudian wafat sebelum menunaikan ibadah haji. Lihat Ibnu Hajar, Fathul Bari.

Apabila seseorang mula sampai ke umur ini, maka rambut putih pun mula tumbuh di sana-sini di kepalanya dan dia itu ialah cahaya orang Muslim, sebagaimana tersebut di dalam sebuah Hadith,

عَنْ عَمْرِو بْنِ عَبَسَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ شَابَ شَيْبَةً فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَانَتْ لَهُ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Ertinya:''Dari Amru bin Abasah bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, "Barang siapa tumbuh satu bulu uban di jalan Allah, maka bulu uban tersebut akan menjadi cahaya baginya pada hari kiamat''. Riwayat Tirmizi (1559)

Uban itu walaupun tumbuh sendiri, tidak melibatkan usaha manusia, namun ketika dia muncul sebab sesuatu yang dilakukan manusia, semisal karena memikirkan perjuangan agama, atau karena takut kepada Allah, maka tumbuhnya uban tersebut didudukkan pada kedudukan amal yang dilakukan manusia. Dengan demikian tumbuhnya uban dinilai sebagai amal ibadah yang bermanfaat di akhirat.

Hadith semisal diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu’bul Iman:

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرو قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:  اَلشَّيْبُ نُوْرُ الْمُؤْمِنِ لَا يَشِيْبُ رَجُلٌ شَيْبَةً فِي الْإِسْلَامِ إِلَّا كَانَتْ لَهُ بِكُلِّ شَيْبَةٍ حَسَنَةٌ وَرُفِعَ بِهَا دَرَجَةٌ

Ertinya:''Dari Abdullah bin Amr berkata: Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, “Uban adalah cahaya seorang mukmin, tidaklah seorang beruban dalam Islam, kecuali setiap uban akan bernilai kebaikan baginya, dan meninggikan derajatnya”.

Hadith tersebut menjelaskan bahawa setiap helai uban akan berniai kebaikan dalam syurga dan dapat meninggikan darjat dalam syurga, kerana sesungguhnya syurga itu bertingkat-tingkat.

Uban atau rambut itu walaupun tumbuh sendiri dan tidak melibatkan usaha manusia, namun ketika dia muncul sebab bagi sesuatu yang dilakukan manusia, seperti memikirkan perjuangan agama, atau kerana takut kepada Allah, maka tumbuhnya uban tersebut didudukkan pada kedudukan amal yang dilakukan manusia. Dengan demikian tumbuhnya uban dinilai sebagai amal ibadah yang bermanfaat di akhirat.Rambut putih itu mengingatkan kita akan ketibaan ajal dan menutup semua jalan cita-cita dan angan-angan. la juga menandakan bahawa masa untuk berangkat sudah hampir, dan tidak berapa lama lagi kita akan berpindah. Ada yang mengatakan pula, bahawa rambut putih itu merupakan pertanda bagi ketibaan ajal dan penghapusan segala cita-cita. 

Di dalam sebuah pepatah Arab berbunyi dikatakan, dosa sekecil apa pun sangat buruk ketika rambut telah memutih, 

  ما أًقْبَحَ غَشْيَانَ الَّلَمَمِ إذا أَلَمَ الشَيْبُ بالِّمَمِ

Ertinya: “Alangkah buruknya perbuatan dosa betapa pun kecilnya bila rambut telah mulai beruban.” Pepatah ini sangat penting diperhatikan oleh siapa saja yang sudah tumbuh uban di kepala agar jangan sampai mengalami apa yang disebut tua-tua keladi ''makin tua makin menjadi-jadi'', sebab hal ini jika dipandang secara akhlak ianya sangat buruk. 

Berkata al-Khatib Ibnu Nubatah: Sesungguhnya uban itu umpama perbatasan hidup vang tidak dapat disekat, dan kerosakannya tidak dapat mengubah zaman. la laksana cahaya yang memancar dari suatu jiwa yang sedang tenggelam, yang akan memimpin setiap insan ke tempat longgokan tulang-belulang. Moga-moga kamu sekalian akan dirahmati Allah Ta'ala!. Lantaran itu, janganlah sampai kamu membakar cahaya uban kamu itu dengan api dosa dosa kamu pula! 

Bersabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dalam sebuah Hadith Qudsi,

وعن أنس رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال: «يقول الله:» وَعِزَّتِي وَجَلَالِيْ وَفَاقَةِ خَلْقِي إِلَيًّ إِنِّّيْ لَأَسْتَحْيِ مِنْ عَبْدِيْ وَأَمَتِيْ يَشِيْبَانِ فِى الإِسْلاَمِ أَنْ أُعَذِّبَهُمَا «ثُمَّ بَكَى»، فَقِيْلَ لَهُ: مَا يُبْكِيْكَ يا رسول الله؟ فقال: «أًبْكِيْ مِمَّنْ يَسْتَحْيِ اللهْ مِنْهُ وَهُوَ لاَ يَسْتَحْيِ مِنً اللهِ تَعَالٰى٠

 أى ابن الجوزي فى الموضوعات) وقال عنه ضعيف: قلت )أى الفتني( أخرجه البيهقي )وله شاهد(تذكرة الموضوعات1\ 877

Ertinya:"Telah berfirman Allah Ta'ala: Demi kemuliaan-Ku dan kebesaran-Ku dan keperluan sekalian makhluk-Ku kepada-Ku, Sesungguhnya Aku merasa malu terhadap hamba-Ku, baik lelaki atau wanita, yang masing-masing telah mencapai umur tua di dalam Islam untuk Aku menyiksa mereka pula. Kemudian Rasululiah Sallallahu'alaihiwasallam menangis. Lalu dikatakan kepadanya: Apa sebab engkau menangis, duhai Rasulullah? Jawab baginda: Aku menangiskan orang tua yang Tuhan malu kepadanya, sedang dia tidak pula malu kepada Allah Ta'ala''. Dhaif

Diantara perkara yang sangat dituntut ialah memuliakan orang tua. Daripada Anas bin Malik RA, dikatakan bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا

Ertinya: “Bukanlah daripada kalangan kami orang yang tidak menyayangi orang yang lebih muda daripada kami dan menghormati orang yang lebih berusia daripada kami'.'Riwayat al-Tirmizi (1919).

Daripada Anas bin Malik RA, dikatakan bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

مَا أَكْرَمَ شَابٌّ شَيْخًا لِسِنِّهِ إِلَّا قَيَّضَ اللَّهُ لَهُ مَنْ يُكْرِمُهُ عِنْدَ سِنِّهِ

Ertinya: “Tidaklah orang yang muda itu apabila dia memuliakan orang yang tua disebabkan usianya, melainkan Allah akan menetapkan pada usia tuanya nanti akan ada orang yang memuliakannya'.'Riwayat al-Tirmizi (2022).

Berkata Imam Ghazali rahimahullah mengomentar Hadith di atas: Dalam hal ini terdapat suatu jaminan bahawa orang yang sering menghormati orang tua akan diberkati Allah umurnya, di samping ia memperoleh banyak pahal kebaikan itu. Adalah mustahab (harus) mewarnakan uban itu dengan warna kuning, ataupun merah. 

No comments:

Post a Comment

Tumbuhnya rambut putih

Tumbuhnya rambut putih Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah mengkhabarkan usia kebanyakan umatnya hanya berkisar antara 60-70 tah...