Wednesday, February 5, 2025

Berilah Perigatan

 Berilah Perigatan

Allah Subhanahuwata'ala telah memerintahkan Rasul-Nya Sallallahu'alaihiwasallam untuk mengingatkan, malah Allah juga telah mensifatkannya sebagai seorang pemberi peringatan. Kemudian Allah Subhanahuwata'ala telah menjadikan peringatan itu sebahagian dari sifat-sifat kaum Mu'minin, yakni orang-orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah Subhanahuwata'ala dan takut kepada-Nya, serta suci dan bersih lahir dan batinnya. 

Berfirman Allah Subhanahuwata'ala,

فَذَكِّرْ إِنْ نَفَعَتِ الذِّكْرَىٰ. سَيَذَّكَّرُ مَنْ يَخْشَىٰ. وَيَتَجَنَّبُهَا الْأَشْقَى.

Ertinya:''Oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermanfaat, orang yang takut (kepada Allah) akan mendapat pelajaran, dan orang-orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya''. Al-A'la

Khithab(mesej) ayat ini ditujukan kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam; Ayat ini memerintahkan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam untuk menyampaikan peringatan kepada manusia. Reaksi manusia pula terbahagi kepada dua, sama ada menerima ataupun menolak. Reaksi mereka jugalah yang akan menentukan nasibnya kelak.

Menurut Az-Zuhaii, perkataan التًًََََََََّذْكِر bermaksud mengingatkan manusia pada sesuatu yang sebelumnya telah diketahui, kemudian dia terlupa. Perkataan ini boleh digunakan untuk mengekalkan ingatan. Masih menurut Az-Zuhaili, yang dimaksudkan oleh ayat ini adalah menyampaikan peringatan dan nasihat dengan Al-Quran.

Penjelasan yang sama juga diajukan oleh Al-Baghawi dan Al-Khazin yang memaknakan frasa tersebut sebagai, “Nasihatlah dengan Al-Quran.” Imam Al-Qurtubi juga berkata, “Nasihatilah kaummu dengan Al-Quran, wahai Muhammad”. 

Asy-Syaukani juga mentafsirkan ayat ini dengan kenyataan, “Sampaikanlah nasihat dengan apa yang Kami wahyukan kepada engkau, wahai Muhammad. Bimbinglah mereka kepada kebaikan dan tunjukilah mereka pada syariat-syariat agama”. 

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَىٰ تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ

Ertinya:''Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman''. Al-Zariyat ayat 55.

فَذَكِّرْ فَمَا أَنْتَ بِنِعْمَتِ رَبِّكَ بِكَاهِنٍ وَلَا مَجْنُونٍ

Ertinya:"Maka tetaplah memberi peringatan, dan kamu disebabkan nikmat Tuhanmu bukanlah seorang tukang tenung dan bukan pula seorang gila''. At-Tur ayat 29.

فَذَكِّرْ إِنَّمَا أَنْتَ مُذَكِّرٌ. لَسْتَ عَلَيْهِمْ بِمُصَيْطِرٍ.

Ertinya:''Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan. Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka''. Al-Ghasyiah ayat 21-22.

هُوَ الَّذِي يُرِيكُمْ آيَاتِهِ وَيُنَزِّلُ لَكُمْ مِنَ السَّمَاءِ رِزْقًا ۚ وَمَا يَتَذَكَّرُ إِلَّا مَنْ يُنِيبُ

Ertinya:''Dialah yang memperlihatkan kepadamu tanda-tanda (kekuasaan)-Nya dan menurunkan untukmu rezeki dari langit. Dan tiadalah mendapat pelajaran(dan tiadalah yang menerima peringatan) kecuali orang-orang yang kembali (kepada Allah)''. Al-Mu'min(Al-Ghaafir) ayat 13.

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَذِكْرَىٰ لِمَنْ كَانَ لَهُ قَلْبٌ أَوْ أَلْقَى السَّمْعَ وَهُوَ شَهِيدٌ

Ertinya:''Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya''. Qaf ayat 37

Ada suatu riwayat yang mengatakan, bahawa apabila turun firman berikut,

فَتَوَلَّ عَنْهُمْ فَمَا أَنْتَ بِمَلُومٍ

Ertinya:''Maka berpalinglah kamu dari mereka dan kamu sekali-kali tidak tercela''. Al-Zariyat ayat 54

Ternyata Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam merasa amat sedih. Baginda bimbang kalau kalau azab Allah Subhanahuwata'ala sudah hampir akan menimpa kaumnya, disebabkan terdapatnya putusasa untuk menarik mereka kepada petunjuk Allah Subhanahuwata'ala, maka segera-lah turun firman ini pula untuk menenteramkan hati baqinda, iaitu,

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

Ertinya:''Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin''. Al-Taubah ayat 128

Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,

عَنْ تَمِيمٍ الدَّارِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الدِّينَ النَّصِيحَةُ إِنَّ الدِّينَ النَّصِيحَةُ إِنَّ الدِّينَ النَّصِيحَةُ قَالُوا لِمَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ لِلَّهِ وَكِتَابِهِ وَرَسُولِهِ وَأَئِمَّةِ الْمُؤْمِنِينَ وَعَامَّتِهِمْ أَوْ أَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

Ertinya:''Dari Tamim Ad Dari ia berkata, "Rasulullah ﷺ bersabda, "Sesungguhnya agama itu adalah nasihat, sesungguhnya agama itu adalah nasihat, sesungguhnya agama itu adalah nasihat." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, bagi siapa?" Beliau menjawab, "Bagi Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin kaum mukminin dan orang-orang awam (rakyat) mereka, atau beliau mengatakan, "Pemimpin kaum muslimin dan orang-orang awam (rakyat) mereka''. Riwayat Abu Daud(4293)

Namun budaya memberi ingat dan memberi nasihat ini semakin asing mutakahir ini. Sering kali peringatan dan nasihat dipandang serong.Peringatan disambut curiga dan nasihat didakwa sinis. Akhirnya fenomena ini bakal melahirkan sebuah masyarakat yang gersang dari peringatan dan kontang daripada nasihat.

Tanpa peringatan dan nasihat inilah akhirnya membawa masyarakat menjadi buas dan sukar diasuh. Mereka akan jadi keras jiwa dan payah dilentur.Ini adalah implikasi mudah apabila peringatan dan nasihat diprediksikan sebagai sindiran, kritikan, ancaman biarpun seikhlas mana ia diutarakan.

Sayugianya semua pihak sedia memberi dan menerima peringatan mahupun nasihat. Justeru semua pihak tidak terpelihara dari salah dan silap kecuali Nabi kita Mustafa Sallallahu'alaihiwasallam.Apatah lagi peringatan dan nasihat dikemukakan oleh pihak yang berauthoriti seperti para alim ulama, cendikiawan Islam atau siapa jua dalam kalangan insan yang soleh.

Sebetulnya tidak hilang bisa untuk kita menerima peringatan dan nasihat meskipun ia datang dari orang biasa-biasa, sebagaimana tidak hilang bisa ular yang menyusur akar.Indahnya hidup bermasyarakat yang tumbuh dalam keharmonian dan sangka baik. Masing-masing ikhlas dalam menghulur peringatan dan menyambut nasihat.

Rasulullah mengajar kita asas untuk memperbetulkan masyarakat bukan bermula dengan ekonomi, jalan raya, rumah, jambatan, elektrik ataupun air terlebih dahulu, tetapi membetulkan perkara yang lebih utama daripada semua itu iaitu akidah.

Di dunia ini, kaya atau miskin bukan masalah kerana itu semua hanya ujian dari Allah yang tetap akan berlaku, yang lebih penting sejauh mana keimanan kepada Allah dalam menghadapi ujian tersebut.

Sayang sekali, bila di kehidupan ini kita dikurniakan badan yang sihat, harta yang banyak dan umur yang panjang, tapi akhirnya kita dimasukkan ke dalam neraka dan hidup di dalam api. Sebab apa? Sebab kita tidak berpegang pada akidah yang benar.

Hakikat perjuangan yang dihadapi manusia sejak dahulu, kini dan selama-lamanya bukan masalah ekonomi atau pembangunan, tetapi ianya berakar umbi daripada masalah akidah. Akidah manusia yang tidak percaya dan tidak yakin kewujudan hari akhirat. Sebenarnya, tidak ada satu pun amalan di dunia melainkan berkait dengan amalan akhirat. Dunia adalah kebun akhirat dan jambatan ke syurga. Maka jadikanlah setiap amalan dunia asbab untuk ganjaran pahala di akhirat.

Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

مَوْضِعُ سَوْطٍ فِي الْجَنَّةِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Maksudnya: “Satu tempat di syurga yang sebesar cemeti lebih baik daripada dunia dan seisinya''. Riwayat al-Bukhari (6415)

Manakala dalam hadith daripada Abdullah R.A, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

الْجَنَّةُ أَقْرَبُ إِلَى أَحَدِكُمْ مِنْ شِرَاكِ نَعْلِهِ وَالنَّارُ مِثْلُ ذَلِكَ

Maksudnya: "Syurga itu lebih dekat kepada salah seorang di antara kamu daripada tali sandalnya. Dan neraka juga demikian''.Riwayat al-Bukhari (6488)

Tugas Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam yang pertama adalah menceritakan kepada orang kafir tentang hari akhirat. Baginda bermati-matian menceritakan tentang hari akhirat sehingga dimaki, dicerca, dituduh gila dan sebagainya. Perbezaan antara orang kafir dengan orang beriman adalah orang beriman tidak mungkin bermain-main dengan kehidupan dunia. Kerana Allah Subhanahuwata'ala telah memberi peringatan bahawa wujudnya manusia di dunia bukan untuk main-main atau sia-sia. Semuanya akan dihisab dan diberi balasan yang setimpal dengan perbuatan masing-masing di dunia. 

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya: Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya''. Al-Hadid ayat 20.

Kata Sayyid Qutb;

Kehidupan dunia apabila diukurkan dengan ukuran dunia dan ditimbangkan dengan neraca dunia, maka ia akan dilihat dan dirasakan sebagai satu kehidupan yang amat agung dan besar. Akan tetapi, apabila diukur dengan ukuran alam buana dan ditimbangkan dengan neraca Akhirat, maka ia akan kelihatan sangat kecil dan kerdil. Gambaran kehidupan dunia di sini kelihatan seperti mainan-mainan kanak-kanak yang kecil sahaja jika dibandingkan dengan kebesaran dan kesungguhan kehidupan Akhirat, di mana berakhirnya kesudahan untung nasib manusia setelah selesainya permainan hidup di dunia.

Permainan, hiburan, berbangga-bangga, berlumba-lumba membanyakkan harta dan anak merupakan hakikat kehidupan dunia walaupun pada lahirnya kelihatan merupakan satu kehidupan yang penuh dengan kesungguhan dan kesibukan. Kemudian al-Quran terus membandingkan kehidupan dunia dengan satu perbandingan yang menarik mengikut cara al-Quran yang amat seni, iaitu kehidupan dunia ini adalah:

كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ

Maksudnya:''...Samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya...''. Al-Hadid ayat 20

Kata-kata “الْكُفَّارَ” bererti penanam-penanam yang melindungkan biji-bijian dan menutupnya dengan timbusan tanah. Tetapi pemilihan kata-kata di sini mengandungi maksud sindiran untuk menunjukkan bahawa orang-orang yang kafir itu amat tertarik dengan kehidupan dunia.

Beliau berkata lagi: Inilah hakikat kenikmatan dunia yang sebenar apabila seseorang berfikir secara mendalam untuk mencari hakikat yang sebenar. Tetapi tujuan al-Quran mengemukakan hakikat ini bukanlah untuk menggalakkan manusia supaya memencilkan diri mereka dari kehidupan dunia dan mengabaikan tugas pembangunan dan khalifah memerintah bumi yang telah diserahkan kepada makhluk manusia itu, malah tujuannya ialah untuk membetulkan ukuran perasaan dan penilaian jiwa manusia terhadap kehidupan itu, juga untuk mengingatkan manusia supaya jangan terpesona dengan kenikmatan dunia yang penuh dengan tipu daya itu, dan jangan terkongkong dengan tarikan yang mengikatkan manusia dengan bumi. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 15/525)



No comments:

Post a Comment

Berilah Perigatan

 Berilah Perigatan Allah Subhanahuwata'ala telah memerintahkan Rasul-Nya Sallallahu'alaihiwasallam untuk mengingatkan, malah Allah j...