Manusia
Siapakah Manusia?
Walaupun manusia telah mengkaji dan mencari-cari dan terus mengkaji dan mencari hakikat dirinya, hasil daripada naluri ingin mengetahui yang sedia ada dalam dirinya, namun manusia tetap tidak akan mengenal dirinya selama manusia itu tidak mahu menerima hakikat kejadian dirinya seperti yang dikemukakan oleh maha penciptanya. Yang mencipta itu sahaja yang mengetahui, maka logiknya Allah Subhanahuwata'ala yang mencipta manusia sahaja, dialah yang mengetahui hakikat kejadian diri manusia. Allah Subhanahuwata'ala menjelaskan di dalam al-Quran surah al-Mulk ayat 14,
أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ
Maksudnya:''Apakah Allah Yang menciptakan itu tidak mengetahui (yang kamu lahirkan atau rahasiakan); dan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui?''.
Allah juga menjelaskan di dalam Al-Quran surah an-Najm ayat 32
الَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ ۚ هُوَ أَعْلَمُ بِكُمْ إِذْ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَإِذْ أَنْتُمْ أَجِنَّةٌ فِي بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ ۖ فَلَا تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ
Maksudnya:''(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil. Sesungguhnya Tuhanmu maha luas ampunan-Nya. Dan Dia lebih mengetahui (tentang keadaan)mu ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu; maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa''.
Allah yang mencipta manusia maka dialah yang mengetahu asal kejadiannya, kelemahan-kelemahan dan kesempurnaannya tugas dan risalahnya, kedudukan dan jawatannya, matlamat dan kewujudan dan falsafah hidupnya, juga mengetahui mengenai kepastian daripada kehidupannya yang abadi. Walaupun manusia sudah, sedang dan akan terus mencari untuk mengetahui ciri-ciri itu, namun pengetahuan mereka jauh sekali dan kesempurnaan serta ketepatan seperti pengetahuan ataupun pengenalan yang dikemukakan oleh Maha Pencipta alam semesta dan Maha Pencipta manusia.
Hakikat Kejadian Manusia
Menurut al-Quran sebagai kalamullah yang disampaikan kepada manusia menerusi rasul dan nabinya menegaskan bahawa manusia dicipta oleh Allah daripada dua unsur iaitu unsur jasmani dan unsur rohani.
Unsur jasmani
Al-Quran menceritakan secara terperinci berkenaan proses kejadian manusia sama ada manusia yang pertama (Adam) ataupun zuriat keturunannya dan sudut unsur jasmaninya.
Berkenaan proses kejadian Adam, Quran menyebutkan beberapa istilah-istilah:
1. Daripada air.
2. Daripada tanah al-Turab.
3. Daripada pati tanah.
4. Daripada tanah tin yang liat dan sebati.
5. Daripada tanah yang panas dan berbau.
6. Daripada tanah yang keras seperti tembikar.
7. Daripada tanah bumi.
8. Menjadikan bentuk dan rupa.
Berkenaan proses kejadian zuriat keturunan Adam pula Quran menjelaskan begitu jelas melalui istilah:
1. Janin dalam perut ibu kamu
2. Zuriat keturunannya dan pati air yang hina. 3. Mencipta kamu berperingkat-peringkat
4. Menciptakan kamu dalam perut ibu-ibu seperingkat-
seperingkat (ciptaan) dalam tiga kegelapan.
5. Nufah atau air benih.
6. Air mani.
7. Alaqah.
8. Mudghah.
9. Tulang.
10. Daging.
11. Satu ciptaan lain (dalam bentuk manusia).
12. Menyempurnakan penciptaan bentuk rupa manusia.
Ringkas dan jelasnya unsur jasmani manusia dicipta daripada tanah di bumi. Ilmu sains membuktikan terdapat dalam diri manusia unsur-unsur yang juga ada pada bumi. Walaupun penemuan sains itu tidak boleh dianggap hakikat ilmiah yang mutlak sehingga dapat mentafsirkan hakikat al-Quran dengan tepat, namun ia dapat menjelaskan sebahagian dan hakikar al-Quran yang mutlak dan sempurna.
Oleh kerana asal kejadian manusia daripada sudut unsur jasmani itu adalah daripada tanah, maka segala tuntutan dan keperluan hidup yang bersifat jasmani adalah juga dan tanah. Tuntutan dan keperluan hidup manusia yang bersifat jasmani terkumpul dalam tiga perkara pokok iaitu makanan dan minuman, pakaian dan perhiasan, kediaman dan keamanan.
Hakikat ini dibayangkan oleh al-Quran dalam surah Taha ayat 117 hingga 119,
فَقُلْنَا يَا آدَمُ إِنَّ هَٰذَا عَدُوٌّ لَكَ وَلِزَوْجِكَ فَلَا يُخْرِجَنَّكُمَا مِنَ الْجَنَّةِ فَتَشْقَىٰ. إِنَّ لَكَ أَلَّا تَجُوعَ فِيهَا وَلَا تَعْرَىٰ. وَأَنَّكَ لَا تَظْمَأُ فِيهَا وَلَا تَضْحَىٰ.
Maksudnya:''Maka Kami berkata: "Hai Adam, sesungguhnya ini (iblis) adalah musuh bagimu dan bagi isterimu, maka sekali-kali janganlah sampai ia mengeluarkan kamu berdua dari surga, yang menyebabkan kamu menjadi celaka. Sesungguhnya kamu tidak akan kelaparan di dalamnya dan tidak akan telanjang, dan sesungguhnya kamu tidak akan merasa dahaga dan tidak (pula) akan ditimpa panas matahari di dalamnya".
Tidaklah keterlaluan apabila dikatakan fabrik-fabrik dan kilang-kilang industri di dunia ini tidak terkeluar daripada menyediakan tuntutan dan keperluan jasmani manusia semata-mata. Manusia yang hanya mengakui unsur jasmaninya sahaja dalam hidupnya, itulah yang disebut manusia sebagai kebendaan. Manusia ini tidak lebih daripada benda, bahkan lebih rendah daripada benda, yang selayaknya menjadi tuan kepada benda, yang menguasai benda menurun kepada taraf hamba benda yang dikuasai oleh benda.
Manusia kebendaan ini adalah manusia yang ingin kekal di dunia dan mereka ini diumpamakan oleh Al-Quran sebagai anjing yang sentiasa termengah-mengah dalam keadaan yang menjelirkan lidah. Sama ada dihalau ataupun dibiarkan ia tetap menjelirkan lidah dan termengah-mengah. Islam didatangkan kepada manusia adalah untuk memelihara manusia supaya kekal dalam tahap keinsanan atau kemanusiaannya menepati dengan kedudukan yang termaktub dalam perlembagaan Ilahi. Menurut yang ditetapkan oleh Islam, unsur jasmani serta tuntutan dan keperluan jasmani atau kebendaan itu hanya sebagai jalan atau wasilah atau means kepada unsur rohani. Jasmani atau kebendaan hanya alat atau khadam atau kenderaan bagi mencapai matlamat rohani.
Unsur rohani
Berkenaan dengan unsur kerohanian ini, al-Quran menegaskan dalam surah al-Hijr ayat 29,
فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِنْ رُوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ
Maksudnya:''Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniup kan kedalamnya ruh (ciptaan)-Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud''.
Pada ayat di atas Allah menegaskan bahawa Allah meniupkan roh pada jasmani Adam atau jasmani zuriat keturunannya selepas dijadikan bentuk rupanya sebagai insan (adalah insan yang serupa bentuk insan kini). Allah tidak menceritakan kepada kita berkenaan bagaimana cara atau kaifiat Allah meniupkan dari rohnya itu. Cara atau kaifiat ini dirahsiakan oleh Allah yang hanya menjadi hak keistimewaannya sahaja sebagai Tuhan maha pencipta.
Aqidah yang benar dan terjamin selamat adalah disebabkan Allah meniupkan daripada rohnya dengan cara atau kaifat yang layak dengan keagungan Allah, dengan Maha Suci Allah dan dengan kesempurnaan Allah. Kita tidak selayaknya dan tidak seharusnya mempergunakan akal kita ataupun memaksa akal kita bagi mengkaji dan mencari jawapannya kerana Allah yang Maha Pencipta manusia sendiri tidak pun membayangkan keharusan akal dalam mengharunginya.
Ini tidak bererti Islam merendahkan daya kemampuan akal manusia, tetapi sebaliknya dengan tindakan ini Islam menghormati akal manusia dengan meletakkan akal pada batas daerah kemampuan serta menegaskan batas daerah yang di luar kemampuannya. Persoalan bagaimana Allah meniupkan dari rohnya adalah persoalan yang di luar daripada kemampuan akal manusia.
Orang-orang kafir dari kalangan ahli kitab bertanya kepada Nabi Muhammad Sallallahu'alaihuwasallam, maka Allah memerintahkan RasulNya untuk menjawab pertanyaan mereka dengan Firman-Nya,
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
Maksudnya:''Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: "Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit". Al-Isra' ayat 85
Daripada nas-nas yang dibentangkan oleh Allah tadi terbukti dengan jelas manusia dicipta daripada dua unsur iaitu jasmani yang berpunca daripada tanah dan kedua daripada unsur rohani yang berpunca daripada urusan ketuhanan atau daripada alam ketinggian dan kekudusan, daripada sisi Allah.
Cantuman daripada dua unsur yang berbeza dan berlainan rabiat, sumber dan arah matlamatnya terciptalah insan atau manusia dengan kekuasaan dan kehendak Allah.
Tuntutan rohani
Sebagaimana unsur jasmaninya mempunyai tuntutan atau keperluan yang sesuai dengan tabiat kejasmaniannya, maka begitu juga unsur rohani yang mempunyai tuntutan atau keperluan yang sesuai dengan tabiat kerohaniannya. Sebagaimana tuntutan jasmani itu berpunca daripada tanah, maka begitu juga tuntutan rohani itu berpunca daripada alam ketinggian dan kekudusan lain terangkum pada aqidah, akhlak dan pengabdian atau ringkasnya yang tersimpul dalam perkataan 'Islam'.
Menepati dengan hakikat ini, Allah menegaskan bahawa agama Islam itu adalah firratullah atau fitrah semula jadi manusia. Ini bererti Allah menjadikan manusia daripada tanah dan menciptakan pula agama Islam untuk panduan hidupnya sebagai suatu cara hidup yang lengkap, sesuai dengan tabiat semula jadi manusia itu sendiri.
Keindahan dan Kesempurnaan Insan
Allah menegaskan kejadian insan adalah sebaik dan seindah kejadian iaitu keindahan yang dikehendaki adalah keindahan dalam kedua-dua unsurnya iaitu jasmani dan rohani. Bentuk lahir atau jasmaninya memang indah dan sempurna. Bentuk keindahan ini secara langsung adalah daripada ciptaan Allah.
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
Maksudnya:''Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Al-Tin ayat 4
Tetapi keindahan dalam bentuk lahirnya yang diistilahkan oleh al-Quran itu belum menepati keindahan dan kesempurnaan insan seperti yang dikehendaki oleh Allah Maha Penciptanya. Keindahan dan kesempurnaan insan memerlukan juga kepada pembentukan keindahan rohani yang diistilahkan oleh al-Quran dengan al-Khalaq.
Keindahan al-Khalaq memerlukan keindahan al-Khuluq supaya ia benar menepati dengan فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ iaitu dalam sebaik-baik kejadian. Tanpa keindahan al-Khuluq dan keindahan rohani maka manusia akan jatuh ke taraf yang paling rendah daripada segala yang rendah.
Bagi mendapatkan keindahan rohani, maka usaha itu diserahkan kepada manusia supaya membentuk diri kerohaniannya atau keperibadiannya itu mengikut 'acuan' yang ditentukan oleh Allah Maha Penciptanya. Ringkasnya manusia perlu meleburkan unsur kerohaniannya ke dalam 'Acuan Allah'.
Kesimpulannya, walaupun manusia dicipta daripada dua unsur yang berbeza dan bercanggah tetapi dengan kekuasaan Allah yang memiliki unsur-unsur dan undang-undangnya mencantumkan kedua-dua unsur ini dalam satu bentuk kejadian yang dinamakan manusia. Kegiatan kedua-dua unsur ini hanya dapat melukiskan 'ciptaan' seni hidup yang indah dan bernilai sekiranya berpandukan acuan yang ditentukan oleh Maha Penciptanya. Tanpa panduan daripada formula atau kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh Allah maka sudah pasti akan melahirkan lukisan hidup yang tidak ada seni dan bernilai bagi mengisi tamadun manusia.
No comments:
Post a Comment