Hikmah Hukuman Bunuh Ke Atas Golongan Murtad
Islam telah menetapkan hukuman bunuh ke atas orang yang murtad setelah mereka enggan kembali bertaubat walaupun telah dituntut untuk bertaubat (kembali kepada Islam) mengikut tempoh yang dihadkan, walaupun begitu had tempoh bagi orang murtad untuk kembali bertaubat adalah berbeza-beza kerana para ulama berselisih pendapat mengenainya. Hukuman berat yang telah dijatuhkan adalah bersesuaian dengan jenayah murtad itu sendiri. Hal ini kerana penentangan masyarakat Islam terhadap jenayah murtad ialah perkara utama yang melibatkan masalah akidah dan iman, ini kerana jenayah murtad melibatkan perkara usul iaitu akidah. Akidah merupakan pokok utama dalam diri individu dan masyarakat dan juga hakikat bagi sebuah kehidupan dalam menuju jalan yang diredhai Allah Subhanahuwata'ala.
Tanpa akidah dan ditambah pula dengan rasa tidak mempercayai akan ketuhanan Yang Esa akan mendorong manusia ke jalan yang sesat dan menjurus ke lembah kegelapan. Islam amat tegas dan melarang sama sekali umatnya untuk melakukan sesuatu perkara yang boleh merosakkan atau menceroboh akidah tidak kiralah sama ada pencerobohan yang dilakukan itu melalui iktiqad (kepercayaan), perkataan, perbuatan dan hati. Dapatlah diketahui bahawa jenayah murtad merupakan satu jenayah yang sangat tercela bahkan dikeji kerana menyebabkan manusia menjauhi jalan yang benar dan menceoboh akidah yang suci.
Jenayah murtad juga memberi kesan yang sangat bahaya ke atas umat dan masyarakat Islam. Dalam erti kata yang lain, jenayah murtad menceroboh lima bentuk hak yang patut dilindungi dan dijaga sebagaimana yang disuruh oleh Islam iaitu Agama, Jiwa, keturunan(maruah), Akal dan Harta.
Agama merupakan hak utama yang mesti dijaga dan dilindungi oleh umat Islam kerana para sahabat khususnya sanggup mengorbankan jiwa dan menggadaikan harta benda semata-mata untuk mempertahankan agama. Agama Islam tidak pernah sama sekali memaksa manusia untuk menganutinya (memeluk Islam) atau menyuruh penganut agama lain untuk keluar daripada agamanya dan memasuki agama mana yang disukainya. Bahkan tidak ada dalam sejarah Islam yang menceritakan pemerintah-pemerintah dan ulama-ulama lslam memaksa rakyatnya untuk memasuki lslam. Hal ini kerana iman yang terdapat dalam diri individu tersebut diukur berdasarkan pilihannya yakni rela hati tanpa ada paksaan.
Firman Allah Subhanuwata'ala,
وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَآمَنَ مَنْ فِي الْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا ۚ أَفَأَنْتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ
Maksudnya: Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?''.Yunus ayat 99
لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انْفِصَامَ لَهَا ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui''. al-Baqarah ayat 256.
Dalam masa yang sama, Islam melarang keras ke atas umatnya dalam perkara yang menjadikan agama sebagai mainan seperti yang dilakukan oleh Yahudi pada zaman dahulu. Mereka menganuti Islam pada hari sebelumnya dan keluar pula daripada Islam pada keesokan harinya. Mereka memasuki Islam demi kepentingan peribadi dan keluar daripada Islam kerana mendapati Islam tidak mengikuti kehendak nafsu mereka. Perihal mereka ini telah diceritakan oleh Allah Subhanuwata'ala dalam al-Quran melalui firman-Nya,
وَقَالَتْ طَائِفَةٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ آمِنُوا بِالَّذِي أُنْزِلَ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَجْهَ النَّهَارِ وَاكْفُرُوا آخِرَهُ لَعَلَّهُمْ
يَرْجِعُون
Maksudnya: Segolongan (lain) dari Ahli Kitab berkata (kepada sesamanya): "Perlihatkanlah (seolah-olah) kamu beriman kepada apa yang diturunkan kepada orang-orang beriman (sahabat-sahabat Rasul) pada permulaan siang dan ingkarilah ia pada akhirnya, supaya mereka (orang-orang mukmin) kembali (kepada kekafiran)". Ali Imran 3 ayat 72.
Islam tidak mengenakan hukuman bunuh terhadap individu yang murtad secara sembunyi-sembunyi yang tidak diketahui oleh masyarakat umum. Yang dimaksudkan di sini ialah mereka yang murtad dan tidak diketahui langsung oleh sesiapa pun dan tidak menyebarkan mahupun memberitahu akan kemurtadannya. Hal inI kerana manusia tidak dapat membaca hati manusia dan manusia melaksanakan bukuman berdasarkan apa vang mampu diketahui oleh perkara zahir. Perkara-perkara yang melibatkan perkara batin, itu terserah kepada Allab SUbhanahuwata'ala yang Maha Mengetahui perkara yang sembunyi mahupun terang.
Hukuman mereka ditangguhkan pada hari Akhirat kelak apabila mereka mati dalam keadaan yang kafir. Segala amalan yang mereka kerjakan di dunia sewaktu masih bersama lslam akan terhapus. Bahkan mereka merupakan golongan yang sangat rugi kelak (yakni tidak memasuki Syurga dan dicampakkan ke dalam Neraka untuk tempoh yang kekal).
Firman Allah Subhanuwata'ala,
وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya: ''Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya''. Al-Baqarah ayat 217
Tidak dapat dinafikan bahawa hukuman bunuh dijatuhkan ke atas mereka yang murtad secara terang-terangan lebih-lebih lagi sekiranya mereka (orang murtad) menyebarkan anasir-anasir yang membawa kepada jenayah murtad demi menjaga hakikat, asas dan kesatuan (perpaduan) bagi sesebuah masyarakat tersebut. Tidak ada di dunia ini, mana-mana masyarakat yang membenarkan mana-mana pihak untuk menceroboh tiga hak yang asas dalam sesebuah masyarakat iaitu hakikat bermasyarakat (perpaduan), anutan (kepercayaan iaitu agama) dan ketaatan (kepada kepimpinan yang sedia ada). Maka tidak ada masyarakat dalam sesebuah negara yang akan menerima apa-apa jua pencerobohan ke atas tiga asas utama seperti yang telah dinyatakan tadi.
Meminta bantuan daripada musuh negara dengan menjalinkan hubungan baik secara sulit dan juga membocorkan rahsia-rahsia negara bukan sahaja dikira satu jenayah yang besar tetapi juga merupakan satu pengkhianatan kepada negara. Tidak ada seorang pun yang mengharuskan penyerahan hak negara kepada pihak lain untuk ditukar corak pemerintahan mengikut cita rasa dengan sewenang-wenangnya. Apatah lagi perkara-perkara yang melibatkan akidah.
Jenayah murtad bukanlah suatu perkara yang kecil yang hanya melibatkan penukaran agama semata-mata bahkan merupakan satu jenayah yang membawa kepada pencerobohon ke atas hak-hak sesebuah masyarakat dan negara. Hal ini kerana orang yang murtad sudah tentu menukarkan anutan kepercayaan kepada anutan yang lain. Kesetiaannya kepada pemerintahan Islam juga secara automatik akan berubah kepada pemerintahan thaghut. Begitu juga dengan negara, daripada negara Islam akan bertukar kepada negara yang kufur. Orang yang murtad seolah-olah mencabut dirinya daripada masyarakat Islam yang merupakan sebahagian anggotanya sewaktu berada dalam Islam. Orang yang murtad akan menanam jiwa dan pemikirannya bukan kepada Islam tetapi musuh Islam. Inilah keadaan yang telah diterangkan dalam hadith-hadith Nabi Muhammad Sallallahu'alaiwasallam.
Maka setiap jenayah yang dilakukan oleh mereka, kita tidak mampu untuk membelah hati mereka untuk mengetahuinya, kita juga tidaklah disuruh untuk menghendap di rumah-rumah mereka, dan kita juga tidaklah dapat menahan mereka melainkan apa yang mereka zahirkan secara terang iaitu melalui perbuatan, perkataan dan penulisan yang boleh membawa mereka ke arah kekufuran secara terang-terangan. Maka selain daripada itu, tidak ada ruang untuk mentakwil atau memungkinkannya. Mana-mana syak yang berlaku dalam perkara tersebut, maka akan ditafsir dan dihukum bagi kemaslahatan ke atas orang yang didakwa dengan jenayah murtad.
Memandang remeh terhadap hukuman yang dikenakan kepada golongan yang murtad lebih-lebih lagi golongan murtad yang menyeru umat Islam yang lain ke arah jenayah murtad akan mendedahkan masyarakat kepada bencana dan bahaya yang sangat besar bahkan akan membuka pintu-pintu fitnah yang membawa kepada impak negatif vang tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan Allah Subhanahuwata'ala.
Bencana dan fitnah yang dibawa oleh golongan murtad ini tidak mengambil masa yang lama. Bahkan lebih cepat daripada sangkaan terutamanya apabila jenayah murtad ini berlaku dalam kalangan mereka yang lemah dan orang awam. Kesan daripada tindakan mereka inilah akan terbentuknya satu jemaah atau kelompok yang akan bertindak menentang masyarakat Islam yang sedia ada. Mereka akan mengambil tindakan yang radikal dengan meminta bantuan daripada pihak luar khususnya musuh Islam untuk menghadapi masyarakat Islam dalam menyempurnakan misi mereka (memurtadkan kesemua umat Islam).
Kesannya, masyarakat Islam akan menghadapi kekalutan dan kekecohan dalam bentuk penentangan secara zahir mahupun fikrah termasuklah dari sudut sosial mahupun politik. Bahkan lebih parah lagi apabila berlakunya keadaan yang mungkin akan membawa kepada peperangan senjata seperti yang telah berlaku kepada negara-negara Islam yang lainnya.
Inilah realiti yang pernah berlaku di Afghanistan suatu ketika dahulu. Sebilangan pemuda Islam yang telah keluar daripada agama Islam (murtad) dan menganut kepercayaan komunis yang mereka ikut kerana terpengaruh sewaktu berada di Rusia. Akhirnya mereka menyertai barisan atau parti komunis dalam waktu yang terlalu singkat, mereka telah berjaya menerkam sistem pemerintahan yang dijalankan di tanah air mereka, yang pada ketika itu jelas menjalankan pemerintahan Islam.
Mereka menggunakan kuasa dan peluang yang telah berjaya dirampas dengan mengubah sistem pemerintahan Islam kepada sistem pemerintahan komunis. Keadaan ini tidak disambut baik oleh rakyat Afghanistan yang lain bahkan mereka bangun menentang dan terus menentang untuk menegakkan kembali hak Islam yang telah dinodai. Maka berlakulah penentangan yang besar dan hebat. Rakyat Afghanistan yang berani dan berkemampuan telah keluar berjihad, bertarung sehingga ke titisan darah yang terakhir. Berjihad menghadapi kaum murtad dan komunis. Segala bentuk serangan telah dilancarkan dan saling berbalas daripada pihak mujahidin dan golongan murtad. Daripada sekecil-kecil serangan sehinggalah sebesar-besar serangan. Daripada serangan yang hanya melibatkan pistol sehingga serangan melalui kereta kebal, bom dan kapal terbang. Maka, berlaku peperangan dalaman di Afghanistan yang dahsyat.
Rakyat jelata yang lemah dan tidak berdosa menjadi korban peperangan. Peperangan ini berlanjutan sehingga bertahun-tahun. Angka korban meningkat sehingga ke ratusan ribu. Anak-anak yatim, janda-janda malah binatang ternakan dan hasil tanaman semuanya tidak terlepas daripada bencana peperangan ini.
Semuanya ini tidak lain dan tidak bukan ialah hasil daripada rentetan kelalaian akibat terlepas pandang terhadap jenayah murtad, sikap tidak endah terhadap hukuman yang sepatutnya dijatuhkan ke atas golongan tersebut serta sikap berdiam diri sejak dari awal lagi. Andai kata langkah pencegahan segera diambil dengan memandang serius terhadap jenayah murtad ini dan menjalankan hukuman terhadap golongan murtad, maka peperangan yang mengorbankan ratusan ribu nyawa yang tidak berdosa dan kehancuran harta benda mungkin dapat dielakkan.
Perkara-perkara Penting yang Perlu Diperhatikan
Dibentangkan beberapa perkara yang berkait rapat dengan jenayah murtad dan perlu dipandang serius sebagai langkah pencegahan sebelum gejala tersebut merebak dengan lebih parah.
1.Tuduhan atau dakwaan murtad ke atas individu Islam tertentu
Perkara ini perlu dijaga supaya tidak menjadi mainan mulut dalam kalangan umum kerana akan menjerumus kepada bahana bencana yang dahsyat (fitnah dan kafir mengkafirkan antara satu sama lain) seterusnya mengakibatkan tercetusnya perpecahan dan permusuhan. Sebagaimana yang kita maklumi, jenayah murtad membawa kepada perpecahan dari segenap sudut sama ada dalam kekeluargaan mahupun masyarakat. Perpecahan dalam keluarga misalnya akan melibatkan hubungan antara suami, isteri dan anak. Tidak halal bagi wanita Islam untuk berada di bawah naungan suami yang kafir. Begitu juga anak-anak yang Islam, tidak dikira aman jika berada di bawah asuhan ibu atau bapa yang kafir. Lebih-lebih lagi, apabila perkara ini melibatkan hukum pembahagian ke atas harta benda perkongsian bersama sebagaimana mengikut ijmak para ulama.
Atas kepentingan perkara ini, langkah berjaga-jaga perlu diambil ketika menjatuhkan hukuman ke atas dakwaan yang mengkafirkan seseorang Muslim (menafikan keislaman seseorang seperti mendakwa sescorang Muslim telah murtad) yang masih lagi diyakini akan keislamannya. Dalam Islam terdapat kaedah feqh yang masyhur yang telah digaris panduannya iaitu ''sesuatu keyakinan tidak akan hilang disebabkan oleh sesuatu yang hanya dengan syak'':
اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ
Maksudnya : Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan).
Maksudnya seseorang Muslim yang masih diyakini akan keislamannya tidak boleh dikatakan murtad semata-mata kerana syak akan keislamannya.
2.Menentukan siapa yang benar-benar layak untuk menjatuhkan hukuman
Orang yang benar-benar layak untuk menjatuhkan hukuman bahawa telah kafirnya seseorang Muslim tersebut ialah orang yang benar-benar mempunyai ilmu yang mendalam berkaitan dengan permasalahan ini, malah individu tersebut mestilah mempunyai kelebihan dalam membezakan antara perkara yang qat'ie dan zanni, hukuman yang jelas dan hukuman yang samar-samar, dan dapat menentukan antara perkara yang boleh diterima takwilan atau tidak.
Hukuman tidak akan dijatuhkan ke atas individu Muslim tersebut sehingga terbukti padanya beberapa bukti dan kenyataan yang jelas lagi terang. Misalnya, individu Muslim tersebut mengingkari dan tidak mempercayai perkara-perkara yang dhoruri dalam Islam seperti menafikan bahawa solat lima waktu itu wajib. Ataupun individu Muslim tersebut mempermain-mainkan aqidah dan syariat seperti mencaci Allah, Rasul-Nya dan kitab-Nya (al-Quran).
Contoh yang boleh dibawa berdasarkan keterangan tersebut sebagaimana realiti yang pernah berlaku ialah para ulama bersepakat dengan mengatakan Salman Rushdi telah jatuh kufur. Hal ini demikian kerana dia telah mempertikaikan Al-Sunnah (hadith Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam dan tidak mempercayainya. Kemudian, tidak mempercayai dua ayat al-Quran pada akhir surah at-Taubah, Kemuncaknya, beliau mengaku bahawa dirinya (Salman Rushdi) merupakan utusan Allah dengan mengatakan bahawa Nabi Muhammad Sallallahu'alaiwasallam merupakan penutup segala nabi, bukan penutup bagi rasul, Keterlampauan Salman Rushdi telah sampai kemuncaknya, oleh itu ulama-ulama antarabangsa telah bersepakat dengan mengeluarkan kenyataan bahawa"Salman Rushdi telah kufur!".
Tidak seharusnya meninggalkan ruang seperti perkara yang disebutkan tadi (mengenai Salman Rushdi) kerana golongan yang melampau dan golongan yang cetek ilmu akan mengambil kesempatan untuk bercakap mengenai Allah sedangkan mereka tidak mengetahuinya. Mereka akan bercakap mengenai rasul dan Islam, sedangkan mereka jahil. Perkara sebegini merupakan perkara yang sangat bahaya dan akan menjerat orang awam yang tidak tahu apa-apa untuk turut terjerumus sekali. Banyak perkara sebegini telah kita dengar dan bukanlah sesuatu yang mustahil lagi. Inilah golongan sesat seperti ayah pin dan lain-lain , yang menyeleweng daripada landasan yang asal, iaitu Islam
3.Pihak yang layak untuk menjalankan hukuman
Orang yang layak untuk menjalankan hukuman terhadap jenayah murtad selepas terbuktinya individu tersebut telah murtad ialah pihak berkuasa. Tidak kiralah apa sahaja nama yang dipakai pada pihak berkuasa sama ada presiden, raja mahupun perdana menteri. Hanya pihak berkuasa ini yang layak untuk menjalankan hukuman terse-but. Orang awam tidak dibolehkan untuk menjalankan hukuman ini secara individu mahupun berkumpulan tanpa ada kebenaran daripada pihak yang berkuasa kerana akan menimbulkan kekacauan dan kekecohan.
Maka, pihak yang berkuasa perlulah menjalankan hukuman yang menepati intipati dua masdar (rujukan] utama dalam Islam iaitu kitab (al-Quran) dan sunnah. Kedua-dua masdar ini hendaklah menjadi tempat rujukan dan panduan dalam kehidupan Muslim daripada sekecil-kecil perkara sehingga sehesar-besar perkara kerana Islam itu meliputi dan menyeluruh.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ ۖ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya''. Al-Nisa' ayat 59)
Perkara yang perlu diketahui ialah setiap kadi atau orang yang layak untuk menjalankan hukuman tersebut hendaklah daripa-da kalangan ahlI ijtihad (alim ulama). Sekiranya tidak ada pihak berkuasa yang terdiri daripada kalangan alim ulama, hendaklah ia mendapatkan pertolongan daripada alim ulama supaya hukuman yang dijalankan mengikut nas-nas al-Quran dan as-Sunnah, bukannya mengikut hawa nafsu. Hal ini demikian kerana orang vang berilmu (alim dalam agama) adalah orang yang sebenar-benarnya takut kepada Allah Subhanahuwata'ala.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَاۤبِّ وَالْاَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ اَلْوَانُهٗ كَذٰلِكَۗ اِنَّمَا يَخْشَى اللّٰهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمٰۤؤُاۗ اِنَّ اللّٰهَ عَزِيْزٌ غَفُوْرٌ
Maksudnya:''Dan demikian (pula) di antara manusia, makhluk bergerak yang bernyawa dan haiwan-haiwan ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya, hanyalah para ulama. Sungguh, Allah Mahaperkasa, Maha Pengampun''. Fathir ayat 28)
Justeru itu, perlunya kadi atau pihak berkuasa yang jahil untuk berdampingan dengan para ulama, kerana kadi yang jahil akan memberikan fatwa dan menjalankan hukuman mengikut hawa nafsu.
4. Cara perlaksanaan hukuman
Jumhur ulama telah bersepakat bahawa wajib menasihati orang yang telah murtad untuk bertaubat sebelum menjatuhkan hukuman bunuh. Malah hukum wajib untuk menasihati orang yang telah murtad itu merupakan ijmak para sahabat. Kesimpulannya, wajib untuk menasihati dahulu orang yang telah murtad. Jika enggan barulah dijalankan hukuman bunuh.
Tidak ada perselisihan lagi pada wajibnya menasihati untuk bertaubat, yang menjadi perselisihan para ulama ialah had atau tempoh yang diperuntukkan kepada orang yang murtad untuk bertaubat. Sebahagian mengatakan tiga hari. Ada yang mengatakan kurang daripada tiga hari, ada yang mengatakan lebih. Ada juga pendapat yang mengatakan selama-lamanya, dan dikecualikan kafir zindiq. Hal ni demikian kerana kafir zindik ialah golongan yang telah jelas kekufurannya, tidak ada keraguan lagi. Maka tidak ada peluang baginya untuk bertaubat. Begitu juga orang yang telah mencaci dan menghina Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam, kehormatan dan kesucian Baginda. Maka, tidak ada peluang padanya untuk bertaubat.
Yang dimaksudkan menasihati dengan memberi peluang ke-pada individu murtad untuk bertaubat adalah dengan memberikan satu tempoh untuk mereka berfikir kembali dan merenung mengenai jenayah murtad itu dengan menghilangkan segala keraguan serta memberikan hujah-hujah yang jelas mengenai kesucian agama Islam agar mereka boleh berfikir sendiri untuk menerima atau tidak.
Ada dalam kalangan ulama pada masa kini yang menyatakan bahawa taubat orang murtad yang diterima ialah taubat dari segi zahir. Dari segi batinnya, sama ada orang yang murtad itu telah benar-benar bertaubat atau tidak, maka hanya Allah Subhanahuwata'ala yang mampu menilainya. Sebagai manusia biasa, kita tidak mampu untuk menghukum perkara batin manusia.
Kita disuruh untuk menghukum manusia mengikut yang zahir kerana hanya Allah Subhanahuwata'ala sahaja yang tahu perkara ghaib dan yang tersembunyi. Sesiapa yang menyebut dua kalimah syahadah maka darah dan hartanya akan dipelihara, maka perhitungan yang sebenar adalah kepada Allah Subhanahuwata'ala. laitu hanya Allah Subhanahuwata'ala dapat menghitung segala yang tersirat dalam hati seseorang individu.
Nabi Muhammad Sallallahu'alaiwasallam ada bersabda,
أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُوْلُ اللهِ، وَيُقِيْمُوا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوا الزَّكاَةَ، فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللهِ تَعَالىَ
Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, menegakkan solat, menunaikan zakat. Jika mereka melakukan hal itu maka darah dan harta mereka akan dilindungi kecuali dengan hak Islam dan perhitungan mereka ada pada Allah Subhanahuwata'ala''. Riwayat al-Bukhari (25) dan Muslim (20)
Antara keempat-empat perkara tersebut yang perlu diambil perhatian ialah mengenai pemberian hak secara umum: ke atas individu tertentu untuk menjatuhkan dakwaan terhadap seseorang Muslim yang murtad. Hal ini kerana hukuman yang telah ditentukan ke atas jenayah murtad iaitu bunuh akan membawa kepada kekecohan kerana melibatkan nyawa dan maruah seseorang. Pemberian hak secara umum kepada setiap individu akan menyebabkan individu yang bukan daripada kalangan orang yang berilmu, bukan ahli mufti (orang yang layak untuk mengeluarkan fatwa) dan bukan orang yang berkuasa akan bertindak sewenang-avenangnya dalam menghukum dan menjalankan hukuman bunuh ke atas orang yang murtad).
Bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku, ke empat-empat perkara yang telah dinyatakan ini perlu diberikan perhatian yang serius agar hukuman yang dijatuhkan bertepatan dengan nas-nas syarie dalam keadaan adil dan saksama.
No comments:
Post a Comment