Wednesday, October 23, 2024

Manusia Sebagai Hamba Allah

Manusia Sebagai Hamba Allah

Sebagaimana Allah maha pencipta menjelaskan berkenaan asal kejadian atau unsur kejadian manusia, begitu juga dia menjelaskan berkenaan hakikat siapakah dia sebenarnya manusia itu. Hanya Allah sahaja, sebagai sifatnya Tuhan maha pencipta yang layak dan berhak memperkenalkan dan menjelaskan hakikat diri manusia. Ini kerana dengan pengenalan yang tepat dan benar kepada hakikat diri manusia itu dan ia menepati seperti yang dikehendaki oleh Allah maha pencipta maka konsep hidupnya akan tepat dan benar. Segala perbuatan dalam perjalanan dan matlamat hidupnya juga dapat dicapai. Demi kebaikan manusia sendiri dan demi kerana rahmat Allah kepada manusia maka Allah tidak sekali-kali menyerahkan usaha untuk mengenal sendiri yang diketahuinya mempunyai kelemahan-kelemahan dan kekurangan. Demi kerana keadilan Allah dan rahmatnya, Allah tidak menyerahkan kepada manusia yang sememangnya tidak mengetahuinya sekalipun dengan segala kemampuan kemanusiaannya dan sekali pun cuba mengusahakannya sejak zaman dahulu hingga ke Hari Kiamat.

Siapakah dia manusia itu pada hakikatnya? Manusia adalah hamba. Hamba kepada Allah maha pencipta kerana setiap yang dicipta itu pada hakikatnya adalah hamba kepada yang menciptanya. Sebagai hakikatnya seorang hamba ia tidak mempunyai apa-apa berkenaan dirinya atas tenaganya dan juga atas apa yang dihasilkan olehnya.Apabila manusia itu menjadi hamba kepada tuannya, seperti yang terkandung dalam undang-undang sivil Islam maka si hamba itu tidak mempunyai atau memiliki dirinya, tenaganya dan hartanya, Kesemuanya itu adalah menjadi hak milik kepada tuannya. Sekiranya itulah keadaan hamba tadi kepada manusia, apatah lagi keadaan seorang hamba kepada Tuhannya. Hidup dan matinya, sembahyang dan nusuknya, nyawa dan hartanya, anak dan isterinya adalah hak kepunyaan Allah yang sewajibnya diperlakukan untuk Allah dan kerana Allah.

Menepati dengan hakikat ini juga maka perjalanan hidup manusia di dunia ini akan selaras daripada perjalanan hidup segala makhluk Allah dan juga sebagai hamba. Ertinya, hidupnya serta segala kegiatan hidupnya itu dalam segala bidang pekerjaan dan tugas, dalam segala bidang keahlian dan kemahiran perlu diolah dalam acuan ibadah dan memperhambakan diri kepada Allah.

Menepati dengan hakikat manusia itu hamba yang mengabdi kepada Allah, maka hidupnya itu adalah pengabdian kepada Allah. Dunia ini adalah masjid yang luas sebagai medan pengabdian kepada Allah yang luas seluas usia hidup dan seluas muka bumi ini.

Menepati dengan hakikat ini juga maka perjalanan hidup manusia di dunia ini selaras daripada perjalanan hidup segala makhluk Allah yang juga sebagai hamba kepada Allah. Seterusnya ia akan selaras pula dengan perjalanan alam semesta seluruhnya yang juga adalah sebagai hamba Allah di bawah satu pemerintahan, satu kesultanan,satu kehakiman, satu sunah dan undang-undang. Inilah hakikat kesejahteraan yang mengisi tamadun dunia dan tamadun manusia.

Menepati dengan hakikat ini, sudah pasti manusia tunduk perlu patuh, taat setia mengikut dan menurut Allah maha penciptanya. Jelasnya manusia perlu sujud dan perlu menyerah diri kepada Allah.

Oleh kerana segala ciptaan di langit dan di bumi itu adalah hamba kepada Allah, maka kesemuanya adalah sujud kepada Allah. Berikutnya kesemuanya menyerah diri kepada Allah. Apabila segala ciptaan di langit dan di bumi ini pada hakikatnya menyerah diri kepada Allah, maka alangkah lebih layak dan berhak bagi seorang manusia yang menjadi hamba kepada Allah itu, sujud dan menyerah diri kepada Allah. Itu adalah inti pati atau sari pati Islam sebagai agama Allah.

Allah Subhanahuwata'ala menjelaskan di dalam Quran surah an-Nisa' ayat 125,

وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ وَاتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۗ وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا

Maksudnya:"Dan siapakah yang lebih baik agamanya dari pada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang diapun mengerjakan kebaikan, dan ia mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya''. Al-Nisa' ayat 125

Allah menjelaskan di dalam Quran,

إِنِّي وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا ۖ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya:"Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Rabb yang menciptakan langit dan bumi, dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan''. Al-An'am ayat 79.

Penyerahan diri kepada Allah meliputi penyerahan diri kepadanya dalam:

1. Akidah

2. Akhlak

3. Ibadah

4. Syariat

Manusia Sebagai Khalifah

Hakikat manusia sebagai hamba Allah bukan satu penghinaan atau satu kehinaan kepada manusia. Sebaliknya gelaran hamba Allah adalah satu gelaran yang paling tinggi kepada manusia seperti yang ditegaskan oleh Allah sendiri dalam Al-Quran kerana itulah gelaran yang diberikan kepada setiap nabi dan rasul. Kehambaan diri manusia kepada Allah adalah kemuliaan, keagungan dan kekuatan. Perlu dihuraikan dengan lebih mendalam dengan menyentuh soal pentadbiran sesama manusia yang memerlukan satu sistem tauhid iaitu penjelasan pendek membawa kepada ketiadaan ketaatan seorang manusia yang lain. Kehinaan yang paling hina adalah kehambaan manusia kepada sesama manusia atau makhluk. Inilah yang ditentang dan cuba dibasmi oleh Islam melalui asas dan konsep tauhid. Salah satu daripada keistimewaan atau kemuliaan manusia sebagaI hamba Allah adalah manusia sebenarnya hamba kepada Allah itu dianugerahkan tugas ataupun amanah yang tidak dimiliki oleh seluruh makhluk lainnya. Tugas itu adalah sebagai khalifatullah di muka bumi. Manusia sebagai hamba Allah dapat dilantik memegang jawatan khalifah Allah. Pelantikan itu adalah kerana kelayakan manusia memegang jawatan berkenaan. Antara kelayakan itu adalah bahawa antara hambanya maka manusia yang lebih hampir kepada Allah. Ini kerana manusia dilantik berdasarkan sifat-sifatnya.

Khalifah adalah satu keistimewaan besar yang hanya diberikan kepada manusia dan tidak diberikan kepada malaikat, jauh lagi untuk diberikan kepada jin. Daripada itu dapat diyakini bukan setiap hamba itu layak dan berhak menjadi hamba Allah. Seterusnya juga bukan setiap manusia yang pada hakikatnya hamba itu dengan sendirinya adalah khalifah. Walaupun daripada segi hakikatnya manusia itu hamba dan khalifah Allah, namun daripada segi konsep dan perlaksanaannya adalah tidak. Oleh kerana itu, manusia yang layak dan berhak menjadi khalifah itu adalah manusia yang melaksanakan konsep kehambaan diri kepada Allah dan melaksanakan konsep penyerahan diri kepada Allah dalam keempat-empat ciri seperti yang disebutkan sebelum ini (aqidah,akhlak,ibadah dan syariat).

Terkandung dalam pengertian khalifah adalah menguasai dan memerintah ataupun mempunyai sifat al-Siyadah atau ketuanan. Sifat ini diakui oleh Allah di dalam Quran. Sebagai khalifah manusia diberikan mandat oleh Allah seperti yang termaktub dalam perlembagaan suci Al-Quran untuk menjadi 'Tuan' ke atas segala makhluk dan segala ciptaan di atas muka bumi ini. Terapi sifat ini bukan menjadi sifat yang istimewa dan asasi dalam tugas khalifah. Sifat ini hanya sebagai alat ataupun jalan kepada manusia dalam melaksanakan tugas khalifah.

Sekiranya ketuanan dan kekuasaan itu digunakan bukan bagi melaksanakan tugas khalifatullah di muka bumi maka manusia itu tidak lagi lulus sebagai khalifah tetapi manusia yang menentang dan melawan, menderhaka dan memberontak kepada Allah, kepada kekuasaan Allah, kepada pemerintahan Allah, kepada kesultanan dan kehakiman Allah, alangkah kerdilnya manusia untuk melakukan perbuatan itu.

Jelas di sini, apa yang ditegaskan dahulu bahawa bukannya setiap hamba Allah itu dengan sendirinya atau semestinya menjadi Khalifah. Walaupun manusia pada hakikatnya hamba tetapi oleh kerana ia tidak melaksanakan konsep pengabdian kepada Allah dalam hidupnya maka dengan sendiri ia bukan khalifah Allah. Jadi manusia yang layak dan berhak menjadi khalifatullah adalah manusia yang menerima dan mengakui kehambaan dirinya dan melaksanakan konsep pengabdian. Tegasnya konsep penyerahan diri kepada Allah. Menepati dengan hakikat tadi maka bagi mempergunakan ketuanan dan kekuasaan yang diberikan demi menguasai alam benda dan alam semesta ini bagi faedah dan kepentingan tugasnyı itu, manusia memerlukan ilmu.

Al-Quran dengan jelas sekali mengakui salah satu dan asas terpenting dalam melaksanakan tugas khalifah adalah ilmu. Ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu berkenaan alam benda dalam menguasai alam benda ini bagi dipergunakan untuk melaksanakan tugas khalifah dan untuk melaksanakan konsep pengabdian dan penyerahan.

Pengubahan kepada kedudukan ilmu bererti mengubah kedudukannya yang tabiie dan semula jadi, yang dengan sendiri-nya mengakibatkan kepincangan, kerosakan dan kedengkian. Ini kerana ilmu yang selayaknya menjadi 'nur' atau cahaya sudah bertukar corak kepada ilmu yang menjadi 'api' yang membahang dan memusnahkan manusia dan tamadunnya.

Ilmu

Kedua, adalah ilmu yang menjadi asas penting kepada manusia dalam menjalankan tugas khalifah, yang menjadi kompas panduan dan menjadi tali penghubung dengan Allah yang meletakkan tugas ataupun amanah khalifah.

1. Pertama ilmu tentang alam syahadah, kedua ilmu berkenaan alam ghaib,

2. Ataupun ilmu berkenaan alam fizik dan ilmu berkenaana alam metafizik,

3. Ataupun ilmu berkenaan alam benda dan ilmu berkenaan pencipta alam benda.

Itulah yang dimaksudkan dalam surah al-Baqarah ayat 31 ,

وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَٰؤُلَاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya:"Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu mamang benar orang-orang yang benar!''. Al-Baqarah ayat 31

Allah menjelaskan di dalam al-Quran surah al-Rahman ayat 1 hingga 4,

الرَّحْمَٰنُ. عَلَّمَ الْقُرْآنَ. خَلَقَ الْإِنْسَانَ. عَلَّمَهُ الْبَيَانَ.

Maksudnya:"(Tuhan) Yang Maha Pemurah,Yang telah mengajarkan al Quran.Dia menciptakan manusia.Mengajarnya pandai berbicara". Al-Rahman ayat 1 hingga 4

Antara dua ilmu itu ilmu Al-Quran atau ilmu wahyu dan kenabian perlu diletakkan pada tempatnya yang tabiie seperti yang ditentukan oleh Allah iaitu sebagai asas kepada ilmu al-Bayan atau ilmu kemanusiaan. 

Kesimpulannya, hanya dengan Islam manusia berhak menjadi khalifah di dunia. Tanpa Islam manusia menentang dan memberontak pada kekuasan pemerintahan dan kesultanan serta kehakiman Allah. Hanya dengan Islam yang berpandukan kepada dua jenis ilmu tadi manusia dapat mencapai kesejahteraan yang menjadi sari pati tamadun umat manusia. Tanpa ilmu, manusia tidak dapat mencapai hakikat tamadun kerana antara Islam dengan erti kesejahteraan tidak dapat dipisahkan. Hakikatnya akan lebih jelas dirasakan manakala Allah menegaskan kepada umat manusia Islam itu adalah fitratullah atau sunnatullah pada alam ciptaannya, Islam itu juga fitrah manusia dan fitrah alam semesta, penafian dan keingkaran manusia kepada Islam sebagai asas falsafah tamadunnya adalah bertentangan dengan sifat fitrah kemanusiaannya yang pasti mengakibatkan kerosakan dan penderitaan manusia sendiri.

Fitrah secara ringkasnya adalah kejadian asal manusia yang diciptakan oleh Allah Subhanahuwata'ala di atasnya, yang dengan kesucian-Nya manusia mampu dan bersedia untuk menerima kebenaran Islam. Rujuk أنوار التنزيل وأسرار التأويل

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ

Maksudnya: ''(Turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya''. Al-Rum ayat 30.

Jika dikatakan ajaran Islam bersesuaian dengan fitrah manusia, maka pernyataan tersebut sangat tepat dan benar. Hal ini kerana ajaran Islam meraikan apa yang menjadi keperluan bagi seseorang manusia serta menekan kesempurnaan diri manusia daripada sudut zahir dan batinnya. Rujuk Akidah Tahawiyyah. 

Maka dari sudut ini boleh dikatakan bahawa Islam ialah fitrah dengan maksud ia bersesuaian dengan asal kejadian manusia. Rujukالتفسير الوسيط للقرآن الكريم

Manusia dan Ujian Allah

Apakah falsafah hidup insan? Itu adalah salah satu soalan yang begitu menarik minat manusia bahkan menjadi bahan pemikiran manusia. Seterusnya ia menjadi medan bagi menonjolkan kebolehan dan kemampuan masing-masing. Pada hakikatnya asas falsafah hidup insan bukanlah ciptaan atau rekaan manusia sendiri dan bukanlah hak manusia. Sebagaimana manusia itu dicipta oleh Allah maka falsafah hidupnya yang menepati dengan hakikat kejadian itu adalah menjadi hak Allah. Hanya falsafah hidup manusia yang disediakan oleh maha penciptanya itu sahaja, sebagai asas falsafah hidup manusia yang konkrit, kukuh dan sempurna.

Allah menegaskan dalam surah al-Mulk ayat 2

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Maksudnya:''Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun''. al-Mulk ayat 2

Kehidupan manusia di dunia ini adalah untuk menerima dan menghadapi segala keadaan dan suasananya dengan segala corak dan warnanya itu adalah ujian Allah. Ini adalah asas falsafah hidup manusia yang hakiki seperti yang dikehendaki olch Allah.

Ayat yang umum ini dijelaskan secara terperinci oleh Al-Quran dalam ayat-ayat lain yang menerangkan:

1.Segala yang di atas muka bumi adalah hiasan indah untuk menjadi ujian kepada manusia.

2. Pangkat dan kedudukan adalah ujian kepada manusia

3. Kesenangan dan kekayaan ataupun kesusahan dan kemiskinan adalah ujian kepada manusia.

Berdasarkan kepada hakikat ini Allah adalah penguji, manusia adalah yang diuji, dunia ini adalah medan ujiannya, usia hidupnya adalah masa menjalani ujian, sementara segala kandungan hidup itu pula adalah bahan-bahan atau soalan ujiannya. Semakin manusia itu tinggi, mulia dan sempurna maka semakin besar dan hebat ujiannya. Begitu juga seterusnya mengikut kedudukan, pangkat, ilmu dan kemampuan yang dimilikinya.

Ujian Allah kepada manusia bukan sekali-kali mahu merendah dan menghina manusia. Sebaliknya ujian Allah kepada manusia adalah bagi kesempurnaan manusia itu sendiri. Allah tidak menguji manusia di luar kemampuannya.

Allah menguji manusia bagi kesempurnaan manusia itu sendiri dalam taraf kemampuan manusia dan selepas disediakan dengan segala alat kelengkapan pada dirinya. Bahkan disediakan dengan panduan-panduan dan perunjuk Ilahi yang jelas dan sempurna schingga tidak ada hujah yang dapat dijadikan alasan bagi melepaskan diri daripada hakikat ujian Allah.

No comments:

Post a Comment

Berdakwah Satu Kewajipan

Berdakwah Satu Kewajipan Dakwah adalah satu wasilah yang Allah Subhanahuwata'ala tentukan dalam menyampaikan ajaran-Nya kepada umat man...