Agama
Manusia memerlukan agama. Manusia dan agama adalah ibarat irama dan lagu, jasad dan roh. Kedua duanya tidak dapat dipisahkan. Sejak dahulu hingga kini, walaupun di mana sahaja manusia berada pasti memerlukan agama. Mengapa? Rasa ingin beragama adalah fitrah dan tabiat semula jadi yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia. Mereka yang memilih untuk tidak beragama cuba melawan fitrah. Kesannya, jiwa mereka kosong. Hidup mereka tiada pedoman dan panduan.
Oleh kerana itu, Allah Subhanahuwata'ala menurunkan agama kepada manusia bagi dijadikan panduan dan pedoman dalam perjalanan hidup manusia di dunia yang sementara ini sebelum ke dunia yang kekal abadi. Sekiranya Allah tidak menurunkan agama, sudah tentu manusia sesat kerana fikiran dan pengalaman manusia terbatas. Manusia tidak mempunyai kemampuan bagi memahami erti kehidupan, matlamat hidup, cara terbaik untuk hidup, persoalan ketuhanan, persoalan kehidupan selepas mati, perkara-perkara ghaib seperti malaikat, syurga dan neraka, pembalasan amal dan sebagainya.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَنْ يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ
Maksudnya:''Sesungguhnya agama (yang diridhai) disisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang telah diberi Al Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya". Ali Imran ayat 125
Agama atau kepercayaan kepada Allah yang Maha Esa yang pertama sekali terdapat di dunia ini adalah pemberitahuan dan peraturan yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Adam. Kemudian wahyu itu diperkuatkan dengan pelantikan putera Nabi Adam bernama Sahiz menjadi nabi. Agama Allah yang disesuaikan dengan jumlah manusia dan kebudayaan pada masa itu memang diikuti dan dipatuhi oleh Ibu Hawa dan sebahagian besar dan anak cucunya. Agama diturunkan kepada manusia bagi membimbing mereka kepada jalan yang benar supaya mereka mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat dengan mempercayai Allah yang Maha Esa selaku pencipta alam semesta dan mematuhi segala suruhan dan menjauhi segala larangannya.
Sekiranya Allah tidak menurunkan agama, sudah tentu manusia akan sesat kerana fikiran manusia dan pengalamannya terbatas. Manusia tidak mempunyai kemampuan memahami masalah ketuhanan, masalah kehidupan selepas mati, perkan perkara ghaib seperti malaikat, syurga dan neraka, pembalasan amal dan sebagainya. Oleh kerana itulah Allah mengutus dan mengangkat ratusan ribu jumlah nabi dan ribuan rasul yang dimulakan dengan Nabi Adam dan disudahi dengan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam.
Dalam perjalanan sejarah tamadun manusia yang lama itu, memang ramai manusia yang terus menerus menentang serta membantah pengajaran-pengajaran Allah yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul itu. Lalu dengan kehormatan dan belas kasihan Allah menurunkan kitabnya supaya manusia dapat membaca dan memahami kalimah-kalimah Allah. Tujuannya yang utama adalah menegakkan kepercayaan Tauhid (percaya kepada Allah Yang Maha Kuasa), menghindarkan mereka daripada syirik, pengaruh hawa nafsu yang liar dan mengajar mereka supaya mematuhi segala ajaran Allah serta menjauhkan diri daripada semua larangannya.
Tugas rasul-rasul dan nabi-nabi di dalam ajaran keimanan adalah sama walaupun ada perbezaan daripada segi syariat dan hukum antara mereka yang selaras dengan keadaan dan zaman masing-masing. Allah menjelaskan di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 285,
آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْ رُسُلِهِ ۚ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ
Maksudnya:''Rasul telah beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeda-bedakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat". (Mereka berdoa): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembal''.
Nabi yang terakhir yang diutuskan kepada seluruh umat manusia adalah Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam. Allah menjelaskannya di dalam al-Quran surah al Taubah ayat 33,
هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ
Maksudnya:''Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai''.
Dengan limpah rahmat Allah selepas kebangkitan Nabi Muhammad yang membawa agama terakhir, maka melihat berjuta-juta kaum Muslimin termasuk ulama-ulama, ahli-ahli dakwah Islamiah bertebaran di muka bumi untuk mengajar al-Quran dan segala ilmu Islam di segenap dunia bagi meneruskan kegiatan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam yang disampaikan sejak 14 abad yang silam. Bagi menyelamatkan manusia, masyarakat, negara dan dunia adalah terserah kepada agama yang benar. Agama yang benar yang berdasarkan kepada tauhid yang murni, keadilan yang mutlak, hukum-hukum seimbang yang ditetapkan Allah adalah menghubungkan antara manusia dengan Allah yang menjadi pengawal, pengadang, yang sentiasa melihat segala gerak geri setiap insan.
Orang-orang yang beriman kepada Allah yang maha esa tidak berani menipu sama ada dalam terang dan tersembunyi, kerana perbuatannya tidak terlindung daripada Allah. Orang yang beriman penuh kepada Allah tidak berani mencuaikan kewajipannya sama ada dalam terang dan tersembunyi kerana Allah mengetahuinya, orang yang jujur beragama tidak berani melakukan maksiat seperti mengumpat, hasad dengki, menipu, khianat, rasuah, berjudi, minum arak, zina, berdusta, bermuka-muka dan sebagainya, kerana perkara-perkara ini akan dibalas olch Allah di akhirat kelak.
Maka agamalah yang menjadi sebesar-besar tenaga untuk membentuk peribadi yang baik dan akhlak yang tinggi, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak'. 'Riwayat Ahmad (8952)
Allah menetapkan bagi kehidupan manusia sejak diciptak Nabi Adam bagi memakmurkan dan membangunkan dunia Kata-katanya di dalam Quran surah al-Baqarah ayat 37-38,
فَتَلَقَّىٰ آدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ فَتَابَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ. قُلْنَا اهْبِطُوا مِنْهَا جَمِيعًا ۖ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنْ تَبِعَ هُدَايَ فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ.
Maksudnya:''Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.Kami berfirman: "Turunlah kamu semuanya dari surga itu! Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barang siapa yang mengikuti petunjuk-Ku, niscaya tidak ada kekhawatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati".
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda bersabda,
لَا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَسْرِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِينَ يَشْرَبُهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ
Maksudnya: “Tidaklah seorang penzina itu berzina sedangkan dia dalam keadaan dia beriman. Tidaklah seorang pencuri itu mencuri sedangkan dia dalam keadaan dia beriman dan tidaklah seorang peminum arak itu meminum arak dalam keadaan dia beriman''. Riwayat al-Bukhari (5578) dan Muslim (100)
Maksudnya orang yang beriman penuh dengan Allah Subhanahuwata'ala dan berpegang kepada ajaran agama Allah tidak berani melakukan kekejaman, keburukan dan sebarang maksiat, kerana malu dan takut kepada Allah yang maha melihat, maha mengetahui, maha mendengar akan gerak geri, laku perbuatan tiap-tiap seorang hamba.
No comments:
Post a Comment