Masyarakat Islam dan Jenayah Murtad
Perkara yang sangat berbahaya yang menimpa ke atas orang Islam pada zaman ini ialah perkara yang mengancam kewujudan maknawi iaitu mengancam akidah. Jenayah murtad (kufur selepas Islam) merupakan ancaman yang sangat bahaya ke atas masyarakat Islam.
Murtad iaitu keluar daripada agama Islam yang juga merupakan agenda utama musuh-musuh lslam. Pelbagai penipuan yang sangat halus dan licik telah dilakukan sejak berkurun lamanya. Mereka menipu individu Islam sama ada yang masih kecil ataupun yang telah dewasa dengan menggunakan pelbagai tipu muslihat seperti mempamerkan kekuatan melalui peperangan, senjata dan lain-lain lagi. Mereka juga menyerang masyarakat Islam dari sudut dalaman dengan pelbagai helah melalui penipuan fakta, media massa, hiburan dan sebagainya. Malah, kerja-kerja memurtadkan orang Islam seperti sudah menjadi suatu kewajipan kepada pihak musuh dan mereka akan sentiasa melakukannya untuk selama-lamanya.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَنْ دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا ۚ وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya: ''Mereka tidak berhenti memerangi kamu sehingga mereka (dapat) mengembalikan kamu daripada agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barang siapa yang murtad antara kamu daripada agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di Akhirat, dan mereka itulah penghuni Neraka, mereka kekal di dalamnya''. Al-Baqarah ayat 217
Kegiatan pihak kafir ini telah pun Allah Subhanahuwata'ala gambarkan dalam al-Quran sebagai kegiatan yang menyerupai pihak Yahudi. Allah Subhanahuwata'ala mengingatkan Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam dan umat Islam kesemuanya bahawa pihak Yahudi tidak akan sesekali redha ke atas Islam sehinggalah umat Islam mengikut mereka, barulah mereka akan meredhainya. Ini menunjukkan rancangan-rancangan jahat yang dilakukan tidak akan berhent sehinggalah hasrat mereka tercapai.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ
Maksudnya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka Katakanlah,"Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)."Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kehendak mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu''.Al-Baqarah ayat 120.
Pada zaman sekarang, masyarakat Islam terdedah kepada serangan-serangan secara zahir dan juga ancaman halus yang merosakkan akhlak. Serangan-serangan tersebut tidak lain dan tidak bukan hanyalah bertujuan untuk mencabut jiwa Islam daripada akar umbi agar terus lenyap daripada individu Islam. Perumpamaan demikian dapat kita lihat pada kerja-kerja membaptiskan (menjadikan seseorang bersifat dengan kelakuan dan perangai orang Kristian) masyarakat Islam iaitu mengkristiankan orang Islam yang terselindung di sebalik rancangan penjajahan kaum Barat yang diuar-uarkan sebagai bangsa yang membawa kepada pembangunan dan kemodenan.
Tanpa kita sedari, penjajahan berkurun lamanya yang dilakukan oleh mereka mempunyai tujuan utama yang tersirat iaitu memurtadkan orang Islam. Penjajahan bagi memurtadkan orang islam tidah pernah berhenti malah berterusan secara aktif di dunia umat Islam. Lebih malang lagi, penjajahan ini lebih menyeluruh tanpa mengira golongan minoriti mahupun golongan asing yang mendiami di negara-negara Islam. Tujuannya hanya satu iaitu untuk membaptiskan (mengkristiankan) umat Islam sebagaimana yang telah dirancang oleh pihak kafir dalam sidang muktamar mereka yang diadakan pada tahun 1978. Perkara yang dibincangkan ialah rancangan untuk memperluaskan kerja-kerja pembaptisan tersebut dalam kalangan umat Islam di serata dunia. Sebanyak 1000 juta dolar telah diperuntukkan untuk kerja-kerja tersebut dan akan ditubuhkan sebuah institusi khas bagi melahirkan para pendakwah mereka yang akan dihantar bagi memurtadkan umat Islam. Tujuannya hanyalah satu iaitu untuk melenyapkan Islam di dunia dengan mencabut nilai Islam yang tertanam di jiwa umat Islam.
Serangan-serangan komunis bagi menyebarkan anutan Marks yang dilakukan di negara-negara Asia dan juga di Eropah, tujuannya hanyalah satu iaitu untuk melenyapkan Islam di dunia dengan mencabut nilai Islam yang tertanam di jiwa umat Islam sehingga tidak ada lagi nilai Islam yang tertanam walaupun sebesar debu dan juga melahirkan generasi yang buta Islam yakni generasi yang tidak kenal akan Islam walaupun namanya.
Sabda Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam,
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.
Maksudnya:''Dari Abu Umamah Al Bahili dari Rasulullah ﷺ bersabda; Ikatan-ikatan Islam akan terburai satu demi satu, setiap kali satu ikatan terburai, orang-orang bergantungan pada ikatan selanjutnya. Yang pertama kali terburai adalah masalah hukum syariat dan yang terakhir adalah solat".Riwayat Ahmad (21139)
Serangan sekular(sekularisme) yang memisahkan agama dan urusan ke hidupan ini juga sentiasa berterusan dengan motifnya dengan memisahkan agama dan urusan kehidupan di dada para pemimpin umat Islam dan rakyatnya. Mereka menerima Islam mengikut cita rasa dan membuang Islam apabila tidak sesuai dengan hawa nafsu mereka. Perkara ini merupakan serangan paling bahaya yang harus dihadapi oleh masyarakat Islam kerana,merupakan serangan yang sangat halus dan licik.
Maka, menjadi kewajipan bagi masyarakat Islam dalam menghadapi gejala murtad untuk bangun menentang perkara ini dari setiap penjuru dan setiap bentuk serangan, tanpa meninggalkan ruang bagi mereka walaupun sebesar zarah supaya jenayah ini tidak tersebar dengan lebih meluas sebagaimana tersebarnya api pada rumput-rumput yang kering.
Inilah yang telah dilakukan oleh khalifah Islam yang pertama iaitu Sayidina Abu Bakar As-Siddiq ketika beliau bangun memerangi golongan murtad yang mengikuti rasul palsu iaitu Musailamatul Al-Kazzab dan pihak-pihak lain seperti Sujah dan Al-Asadi yang melakukan pendustaan yang sangat besar bagi memurtadkan umat Islam pada ketika itu.
Antara bahaya yang dihadapi oleh masyarakat Islam ialah bala yang menimpa mereka dengan jenayah murtad yang tersebar luas akan tetapi tidak ada mana-mana golongan atau individu yang berani bersemuka dan menentang. Disebabkan perkara ini, seorang ulama sastera Arab menyifatkan jenayah murtad yang berlaku pada hari ini sebagai amat kritikal sebagaimana kata-katanya,"Tidak ada Abu Bakar yang bangun menentang jenayah murtad ini''.
Jenayah ini mesti disekat dan dikekang agar tidak tersebar dan menambahkan padah yang sedia ada dengan berlakunya murtad secara besar-besaran. Hal ini demikian kerana jenayah murtad merupakan antara perkara mungkar yang sangat bahaya kesannya kepada individu dan masyarakat sehingga boleh menimbulkan perpecahan dan kecohan.
Para ulama telah berijmak akan hukuman bagi golongan yang murtad. Jumhur (kebanyakan) mereka mengatakan bahawa golongan ini wajib dijatuhkan hukum bunuh. Itulah pendapat imam yang empat (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali), bahkan mazhab yang lapan"
Di sana, tedapat beberapa hadith yang menguatkan lagi hujah bagi pelaksanaan hukuman bunuh tersebut seperti yang diriwayatkan oleh para sahabat, antaranya Ibnu Abbas, Abu Musa, Muaz, Ali, Uthman, Ibnu Mas'ud, Anas, Aisyah, Abu Hurairah dan Mu'awiyah Walaupun hadith yang didatangkan dalam bentuk lafaz yang berbeza-beza namun kesemua memberikan makna yang satu.
Contoh seperti hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas,
مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوه
Maksudnya: ''Sesiapa yang menukarkan agamanya (murtad) maka bunuhlah ia''.
Riwayat Bukhari (2794)
Dan hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas'ud,
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَحِلُّ دَمُ رَجُلٍ يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ إِلَّا إِحْدَى ثَلَاثَةِ نَفَرٍ النَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالثَّيِّبُ الزَّانِي وَالتَّارِكُ لِدِينِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ
Maksudnya: Dari Abdullah ia berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, "Tidak halal darah seseorang yang bersaksi bahawa tidak ada sesembahan yang berhak disembah selain Allah, kecuali salah satu dari tiga orang, yaitu: orang yang dibunuh kerana membunuh jiwa, janda (duda) yang berzina, orang yang meninggalkan agamanya dan memisahkan diri dari jamaah''. Riwayat Darimi (2339)
Hadith yang sama, terdapat juga lafaz yang berlainan daripada Sayidina Utsman:
رَجُلٌ كَفَرَ بَعْدَ إِسْلَامِهِ أَوْ زَنَى بَعْدَ إِحْصَانِهِ أَوْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ
Maksudnya:''...Seseorang yang kafir setelah masuk Islam, atau berzina setelah menikah, atau membunuh jiwa (manusia tanpa hak)...''.Riwayat al-Nasaei (3953)
Berkata Ibnu Rajab bahawa hukum membunuh bagi tiga golongan yang telah disebutkan dalam hadith tersebut ialah perkara yang telah disepakati dalam kalangan umat Islam. Sayidina Ali ra. telah melaksanakan hukum bunuh terhadap satu kaum dengan mencampak mereka ke dalam api selepas menasihati dan memberi amaran kepada mereka, namun mereka tetap juga tidak mahu bertaubat. Maka dicampakkan mereka ke dalam api sebagai hukum bunuh.
Namun Ibnu Abbas tidak sependapat dengan perlaksanaan Sayidina Ali ra. atas hukuman bunuh bagi orang yang murtad dengan mencampakkan individu itu ke dalam api kerana ada hadis lain yang menyebut,
لَا تُعَذِّبُ بِعَذَبِ اللهِ
Maksudnya: "Janganlah kamu menyeksa dengan seksaan azab Allah".
Riwayat Abdul Razak (9430)
Bagi Ibnu Abbas hukuman ke atas orang yang murtad ialah bunuh tetapi bukan dengan cara membakar mereka. Namun, Ibnu Abbas tetap bersependapat dengan Sayidina Ali ra. mengenai hukuman bagi orang yang murtad iaitu bunuh cuma cara perlaksanaannya yang berbeza.
Begitu juga perlaksanaan hukum bunuh yang telah dilakukan oleh Abu Musa dan Muaz ke atas orang Yahudi di Yaman setelah Yahudi tersebut kufur selepas dia menganuti Islam. Ketika perlaksanaan hukuman tersebut, Muaz ada menyebut, "Inilah hukuman daripada Allah dan rasul-Nya,
مُعَاذُ بْنُ جَبَلٍ بِالْيَمَنِ فَإِذَا رَجُلٌ عِنْدَهُ قَالَ مَا هَذَا قَالَ رَجُلٌ كَانَ يَهُودِيًّا فَأَسْلَمَ ثُمَّ تَهَوَّدَ وَنَحْنُ نُرِيدُهُ عَلَى الْإِسْلَامِ مُنْذُ قَالَ أَحْسَبُهُ شَهْرَيْنِ فَقَالَ وَاللَّهِ لَا أَقْعُدُ حَتَّى تَضْرِبُوا عُنُقَهُ فَضُرِبَتْ عُنُقُهُ فَقَالَ قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَنَّ مَنْ رَجَعَ عَنْ دَيْنِهِ فَاقْتُلُوهُ أَوْ قَالَ مَنْ بَدَّلَ دَيْنَهُ فَاقْتُلُوهُ
Maksudnya:''Mu'az bin Jabal mendatangi Abu Musa di Yaman, sedang seseorang berada di dekatnya. Muadz berkata, Siapa dia? Abu Musa menjawab, Seseorang yang dulunya Yahudi kemudian masuk Islam lalu kembali menjadi Yahudi lagi, kami menginginkannya tetap memeluk Islam sejak dua bulan saya tahan. Berkata Mu'adz, 'Demi Allah aku tidak akan singgah sebelum kau memenggal lehernya.' Kemudian orang itu pun dipenggal lehernya, kemudian Mu'adz berkata, 'Allah dan rasul-Nya menetapkan, barang siapa yang meninggalkan agamanya maka bunuhlah dia.' Atau berkata, 'Barang siapa yang mengubah agamanya maka bunuhlah dia". Riwayat Ahmad (21007)
Murtad dibahagikan kepada riddah ghalizah (murtad yang berat) dan riddah khafifah (murtad yang ringan). Begitu juga pada perihal golongan yang murtad dibahagikan kepada al-murtaddin ad-da'iyah (golongan yang menyebarkan jenayah murtad) dan al-murtaddin ghaira ad-da'iyah (golongan yang tidak menyebarkan jenayah murtad).
Maka golongan yang menyebarkan jenayah murtad seperti Salman Rushdi, yang mana beliau menyebarkan jenayah murtad kepada individu lain melalui percakapan dan penulisannya, maka memang layak unuk dikenakan hukuman yang berat den-gan mengambil hukuman yang disepakati oleh jumhur ulama dan zahir hadith bagi membendung jenayah yang disebarkan dan menutup ruang-ruang fitnah. Maka, mereka tergolong dalam kalangan orang yang memerangi Allah Subhanahuwata'ala dan Rasul-Nya.
Sesungguhnya orang murtad yang menyeru manusia lain kepada jenayah murtad, mereka bukanlah semata-mata murtad daripada Islam, bahkan mereka seolah-olah memerangi umat Islam. Maka, mereka tergolong dalam kalangan orang yang memerangi Allah Subhanahuwata'ala dan Rasul-Nya. Malah, melakukan kefasidan (Kerosakan dan keburukan) di atas muka bumi ini.
Peperangan dibahagikan kepada dua jenis iaitu peperangan dengan tangan dan peperangan dengan lisan. Peperangan dengan lisan dalam konteks keagamaan lebih bahaya daripada peperangan dengan tangan dan kerana inilah Nabi Muhammad Sallallahu'alaiwasallam memerangi mereka yang berperang dengan lisan dan membiarkan sebahagian mereka yang berperang dengan tangan. Rujuk dalam kitab karangan Prof Dr. al-Qaradhawi yang bertajuk Kitab Jarimatul Riddah wa 'Uqubatuha (Jenayah Murtad Dan Kesannya).
Begitu juga kefasidan (kerosakan) kadang-kadang dilakukan dengan tangan dan kadang-kadang dilakukan dengan lisan. Dan kefasidan yang dilakukan dengan lidah lebih berganda kesannya daripada dilakukan dengan tangan. Maka dengan itulah, memerangi Allah Subhanahuwata'ala dan Rasul-Nya dengan lidah adalah lebih bahaya manakala melakukan kefasidan di atas muka bumi ini dengan lidah pula adalah lebih dahsyat. Pena atau penulisan dikategorikan sebagai lisan, sebagaimana yang dikatakan oleh para hukama.
Bahkan pena dan penulisan itu lebih bahaya dan dahsyat daripada lisan lebih-lebih lagi pada zaman ini yang mana penulisan lebih mudah disebarkan di serata dunia tanpa ada had dan batasan. Bagi golongan murtad yang masih berada dalam kemurtadan dan tidak mahu kembali kepada Islam, mereka ini dihukumkan sebagai orang yang tidak berada dalam kebersamaan jemaah Islam Mereka tidak dibenarkan untuk mendapatkan wala' (kesetiaan), kasih sayang dan pertolongan daripada jemaah. Hal ini demikian kerana orang yang murtad sudah tidak dikira berada dalam kelom-pok orang Islam.
Dalam satu hadis Nabi Sallallahu'alaiwasallam yang diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud ra, bahawasanya orang yang murtad merupakan orang yang keluar daripada jemaah Islam.
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَّا بِإِحْدَى ثَلَاثٍ الثَّيِّبُ الزَّانِي وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالتَّارِكُ لِدِينِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ
Maksudnya:"Dari Abdullah dia berkata, "Rasulullah ﷺ bersabda, "Tidak halal darah seorang muslim yang telah bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak untuk disembah selain Allah dan aku adalah utusan Allah, kecuali satu dari tiga orang berikut ini; seorang janda yang berzina, seseorang yang membunuh orang lain dan orang yang keluar dari agamanya, memisahkan diri dari jamaah (murtad)". Riwayat Muslim (3175).
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya:''Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim". Al-Maidah ayat 51
No comments:
Post a Comment