Tiga Unsur Asas dalam Tauhid.
Aqidah yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam keseluruh alam mempunyai dua konsep yang cukup mendalam dan besar maknanya iaitu tiada Tuhan melainkan Allah Subhanahuwata'ala dan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam adalah pesuruh Allah Subhanahuwata'ala (لا إله إلا الله محمد رسول الله).
Ada pula unsur-unsur asas yang terdapat pada asas Tauhid untuk menerangkan lagi kehendak makna yang terdapat di dalam konsep “Tiada Tuhan melainkan Allah Subhanahuwata'ala/ لا إله إلا الله”.
Sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran ada tiga asas dalam kalimah Tauhid tersebut. Tiga unsur ini dimuatkan di dalam satu surah di dalam al-Quran,iaitu surah al-An’am.
1-Tidak ada tuhan melainkan Allah Subhanahuwata'ala,
قُلْ أَغَيْرَ اللَّهِ أَبْغِي رَبًّا وَهُوَ رَبُّ كُلِّ شَيْءٍ ۚ وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ مَرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ
Maksudnya:”Katakanlah: "Apakah aku akan mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia adalah Tuhan bagi segala sesuatu. Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudharatannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan". Al-An’am ayat 164.
2-Tidak ada wali pelindung melainkan Allah Subhanahuwata'ala,
قُلْ أَغَيْرَ اللَّهِ أَتَّخِذُ وَلِيًّا فَاطِرِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَهُوَ يُطْعِمُ وَلَا يُطْعَمُ ۗ قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ أَوَّلَ مَنْ أَسْلَمَ ۖ وَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Katakanlah: "Apakah akan aku jadikan pelindung selain dari Allah yang menjadikan langit dan bumi, padahal Dia memberi makan dan tidak memberi makan?" Katakanlah: "Sesungguhnya aku diperintah supaya aku menjadi orang yang pertama kali menyerah diri (kepada Allah), dan jangan sekali-kali kamu masuk golongan orang musyrik". Al-An’am ayat 14.
3-Tidak ada hukum yang wajib diikuti melainkan hukum Allah Subhanahuwata'ala,
أَفَغَيْرَ اللَّهِ أَبْتَغِي حَكَمًا وَهُوَ الَّذِي أَنْزَلَ إِلَيْكُمُ الْكِتَابَ مُفَصَّلًا ۚ وَالَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْلَمُونَ أَنَّهُ مُنَزَّلٌ مِنْ رَبِّكَ بِالْحَقِّ ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ
Maksudnya:” Maka patutkah aku mencari hakim selain daripada Allah, padahal Dialah yang telah menurunkan kitab (Al Quran) kepadamu dengan terperinci? Orang-orang yang telah Kami datangkan kitab kepada mereka, mereka mengetahui bahwa Al Quran itu diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenarnya. Maka janganlah kamu sekali-kali termasuk orang yang ragu-ragu”. Al-An'am ayat 114.
Unsur pertama
Tidak mengambil selain dari Allah Subhanahuwata’ala sebagai tuhan.
Unsur ini membawa maksud membatalkan atau menafikan segala benda yang didakwa sebagai tuhan kepada manusia samaada yang baharu atau lama bagi masyarakat di timur atau di barat. Sekaligus menafikan segala tuhan yang didakwa oleh manusia seperti pokok, batu, api, matahari, bulan, jin atau manusia.
Pada zaman kejahilan manusia iaitu di antara tempoh sebelum kebangkitan para Rasul, manusia sudah mula mempercayai kuasa ghaib malah menjadikannya sebagai tuhan contohnya api, pokok dan sebagainya.
Unsur ini membebaskan manusia daripada segala ikatan yang berteraskan ketuhanan sesama makhluk yang pada hakikatnya semua makhluk di bumi dan di langit ialah hamba Allah Subhanahuwata’ala belaka. Semuanya menyembah dan patuh kepada Allah Subhanahuwata'ala Tuhan yang Maha Esa.
Kalimah لا إله إلا الله dalam ‘syahadataini’ membawa maksud yang sangat luas. Kalimah ini membebaskan manusia daripada tunduk patuh, menghinakan diri serta tidak beribadah melainkan hanya kepada Penciptanya, Allah Subhanahuwata’ala.
Maka tidak harus manusia beribadah dan menyembah selain daripada-Nya. Oleh sebab itulah, Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam yang merupakan utusan yang terakhir menyeru seluruh manusia tanpa mengira perbezaan pangkat dan darjat seperti raja-raja, pendeta-pendeta dan golongan bangsawan daripada kaum Nasrani untuk mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala sebagai Tuhan Yang Esa tanpa ada yang lain selain-Nya sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran.
Firman Allah Subhanahuwata’ala,
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ ۚ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ
Maksudnya:”Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah". Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)". Ali Imran ayat 64.
Maka dengan itu, kalimah bahawa Allah Subhanahuwata'ala sahaja tuhan yang selayaknya untuk disembah adalah kalimah yang menghapuskan segala bentuk kekuasaan di atas mula bumi ini selain dari Allah Subhanahuwata'ala. Hal ini, demikian kerana pada zaman dahulu, mereka yang mempunyai kekuatan, kekuasaan, pengaruh dan kekayaan mendakwa dirinya sebagai tuhan kerana memiliki segala kelengkapan dan hajat yang diingini oleh sekelian manusia. Manusia hidup bersistemkan sistem rimba. Yang mempunyai kelebihan akan memerintah manakala yang lemah dan mempunyai kekurangan akan diperintah. Maka kalimah ini didatangkan untuk melenyapkan segala bentuk dakwaan-dakwaan yang sesat ini.
Maka dengan itulah sejak zaman dahulu pembawa-pembawa risalah tauhid ini mendapat kencaman dan ancaman daripada pihak-pihak yang tidak mahu menerima akan kalimah tauhid ini.
Sejarah telah membuktikan apabila Nabi Musa a s. mendapat ancaman untuk dibunuh oleh Firaun yang merupakan pemerintah yang paling berkuasa di Mesir ketika itu.
Firman Allah Subhanahuwata’ala,
وَقَالَ رَجُلٌ مُؤْمِنٌ مِنْ آلِ فِرْعَوْنَ يَكْتُمُ إِيمَانَهُ أَتَقْتُلُونَ رَجُلًا أَنْ يَقُولَ رَبِّيَ اللَّهُ…..
Maksudnya:”Dan seorang laki-laki yang beriman di antara pengikut-pengikut Fir'aun yang menyembunyikan imannya berkata: "Apakah kamu akan membunuh seorang laki-laki karena dia menyatakan: "Tuhanku ialah Allah….”. Ghafir ayat 28.
Kerana inilah, Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam dan para sahabat diseksa, dimaki, diancam dan dihalau dari tempat tinggal masing-masing.
الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَنْ يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ ۗ….
Maksudnya:”(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali karena mereka berkata: "Tuhan kami hanyalah Allah".....”. Al-Hajj ayat 40.
Unsur kedua
Tidak mengambil selain Allah Subhanahuwata'ala sebagai wali (pelindung).
Iaitu tidak menjadikan selain Allah Subhanahuwata'ala sebagai tempat bergantung, tempat berharap dan tempat meminta pertolongan. Jadi unsur kedua ini menafikan segala bentuk wali atau segala bentuk pertolongan selain daripada Allah Subhanahuwata'ala.
Tidaklah dinamakan tauhid sekiranya seseorang itu mendakwa Allah Subhanahuwata'ala sebagai tuhannya namun dalam masa yang sama pengharapannya, kecintaannya dan permintaanya sesama makhluk yakni selain dari Allah Subhanahuwata'ala. Malah lebih teruk lagi jika ada yang sanggup memberikan pengharapan dan kesetiaanya kepada musuh-musuh Islam.
Firman Allah Subhanahuwata’ala,
لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۖ….
Maksudnya:”Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin….”. Ali Imran ayat 28.
Hakikat sebenar dari tauhid adalah beriman kepada Allah Subhanahuwata'ala sebagai tuhannya dengan mengikhlaskan dirinya kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan menyerahkan segala pengharapan, kesetiaan dan mengambil Allah Subhanahuwata'ala sebagai walinya serta kepada sesiapa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahuwata'ala untuk berwalikan dengannya.
Firman Allah Subhanahuwata’ala,
إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ.وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ.
Maksudnya:”Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang”. Al-Maidah ayat 55-56.
Berdasarkan ayat di atas, jelas al-Quran menegah kaum musyrikin yang pada ketika itu yang telah membahagikan hati mereka antara Allah Subhanahuwata'ala dan seteru-seteru Allah Subhanahuwata'ala. Kaum musyrikin pada zaman dahulu menyembah berhala-berhala yang mereka anggap sebagai tuhan. Pada anggapan mereka penyembahan itu adalah sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada tuhan. Sehingga pada zaman jahiliyah, setiap kabilah Arab mempunyai sekurang-kurangnya sebuah patung berhala untuk menjadikan penyembahan. Mereka menganggap menyembah patung tersebut sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada tuhan.
Mereka juga menyerahkan kecintaan dan kepatuhan mereka kepada berhala-berhala yang mereka sembah sebagaimana mereka mencintai Allah Subhanahuwata'ala dan patuh kepada-Nya dalam masa yang sama.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَتَّخِذُ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَنْدَادًا يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ اللَّهِ ۖ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ ۗ وَلَوْ يَرَى الَّذِينَ ظَلَمُوا إِذْ يَرَوْنَ الْعَذَابَ أَنَّ الْقُوَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا وَأَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعَذَابِ.
Maksudnya: ”Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahwa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahawa Allah amat berat siksaan-Nya (nescaya mereka menyesal)”. Al-Baqarah ayat 165.
Sesungguhnya Allah Subhanahuwata'ala tidak akan menerima sifat syirik yang wujud di dalam hati orang-orang yang beriman. Maka tidak harus untuk diserahkan sebahagian hatinya untuk Allah Subhanahuwata'ala dan sebahagian lain untuk taghut ( syaitan dan segala benda yang menyeru kepada kesesatan). Juga tidak harus meletakkan sebahagian pengharapan kepada Allah Subhanahuwata'ala dan sebahagian yang lain pula kepada makhluk ciptaan-Nya.
Sesungguhnya segala pengharapan dan hati sepenuhnya hanyalah kepada Allah Subhanahuwata'ala, tiada yang lain selain dia. Dialah pemilik sekelian makhluk, segala urusan hanyalah terserah kepada-Nya. Ini perbezaan antara orang beriman dengan musyrik.
Orang beriman menyerahkan segala-galanya kepada Allah semata-mata dan melakukan ibadah kerana Allah Subhanahuwata'ala tanpa ada selain-Nya.
Manakala orang musyrik pula membahagi-bahagikan keyakinan mereka antara Allah Subhanahuwata'ala dan selain Allah Subhanahuwata'ala. Sebab itulah orang musyrik dinamakan musyrikin kerana mereka membahagi-bahagikan atau menyegutukan Allah Subhanahuwata'ala dengan benda-benda yang lain. Berbeza dengan orang-orang yang dinamakan kafir, kerana mereka langsung tidak mengiktiraf atau tidak mengakui Allah Subhanahuwata'ala sebagai tuhan.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.
Maksudnya:”Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam”. Al-An’am ayat 162.
ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا رَجُلًا فِيهِ شُرَكَاءُ مُتَشَاكِسُونَ وَرَجُلًا سَلَمًا لِرَجُلٍ هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلًا ۚ الْحَمْدُ لِلَّهِ ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ.
Maksudnya:” Allah membuat perumpamaan (iaitu) seorang laki-laki (budak) yang dimiliki oleh beberapa orang yang berserikat yang dalam perselisihan dan seorang budak yang menjadi milik penuh dari seorang laki-laki (saja); Adakah kedua budak itu sama halnya? Segala puji bagi Allah tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui”. Al-Zumar ayat 29.
Unsur ketiga
Tidak mencari hukum selain daripada hukum yang diturunkan oleh Allah Subhanahuwata'ala sebagai undang-undang dalam kehidupan.
Wajib bagi sekalian manusia untuk membuang atau menolak kepatuhan bagi segala hukum hakam selain hukum Allah Subhanahuwata'ala, segala suruhan selain suruhan Allah Subhanahuwata'ala, segala peraturan selain peraturan Allah Subhanahuwata'ala, segala undang-undang selain undang-undang Allah Subhanahuwata'ala dan segala ikutan selain ikutan Allah Subhanahuwata'ala.
Sesiapa yang mengambil sesuatu selain daripada yang diturunkan dan ditetapkan oleh Allah Subhanahuwata'ala, samaada dari segi peraturan, undang-undang mahupun ikutan. Maka secara automatik telah terbatal satu unsur dari unsur-unsur asas dalam aqidah Tauhid. Hal ini demikian kerana dia telah mencari sesuatu yang lain selain Allah Subhanahuwata'ala. Dia telah mengambil hakim yang lain selain daripada Allah Subhanahuwata'ala dalam kehidupannya. Dia juga telah menolak hukum syariat yang didatangkan daripada Allah Subhanahuwata'ala.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
مَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِهِ إِلَّا أَسْمَاءً سَمَّيْتُمُوهَا أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ بِهَا مِنْ سُلْطَانٍ ۚ إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ ۚ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya:”Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu membuat-buatnya. Allah tidak menurunkan suatu keteranganpun tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui". Yusuf ayat 40
Maka sesiapa yang mengambil manusia yakni apa-apa sahaja selain dari Allah Subhanahuwata'ala sebagai hakim dalam mentaati suruhan dan larangan secara mutlak, menghalal dan mengharamkan mengikut kesukaannya, malah memberikan ketaatan kepada perkara yang tidak sepatutnya walaupun menghalalkan perkara yang haram seperti judi, arak, zina dan sebagainya, maka dia telah membuang hukum yang telah diturunkan oleh Allah Subhanahuwata'ala. Selain turut mengharamkan perkara yang halal seperti nikah, talak, poligami dan sebagainya. Atau menolak dari sudut kewajipan seperti sistem khalifah, zakat, amar makruf, nahi mungkar dan sebagainya.
Hakikatnya dengan perbuatan tersebut, mereka telah mengiktiraf tuhan selain dari Allah Subhanahuwata'ala sebagai hakim dalam menetapkan segala peraturan dan urusan hidup, walaupun pada zahirnya mereka tidak menyembahnya. Perkara begini ada disebutkan didalam al-Quran.
Allah Subhanahuwata'ala berfirman dalam surah al-Taubah,
اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَٰهًا وَاحِدًا ۖ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ.
Maksudnya:”Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan”. Al-Taubah ayat 31.
Menjadi persoalan, bagaimana yang dimaksudkan dengan “Kaum Nasrani” yang mengambil para rahib mereka sebagai tuhan sedangkan mereka, iaitu Kaum Nasrani tidak menyembah para rahib mereka sebagaimana orang-orang Musyrik menyembah berhala secara jelas.
Persoalan ini terjawab dengan jawapan yang diberikan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmizi dan Ibnu jarir dari kisah pengislaman ‘Adi bin Hatim al-Tha’i. Pada zaman jahiliyyah beliau penganut agama Kristian sebagaimana kaum Nasrani yang lain. Suatu hari beliau datang ke Madinah. Beliau pun memberitahu hajat kedatangan ke Madinah kepada orang ramai. Maka beliau pun menuju kesuatu tempat untuk berjumpa dengan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Apabila mengadap Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mendapati dilehernya lambang salib yang di perbuat daripada perak. Baginda pun membacakan firman Allah Subhanahuwata'ala,
اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَٰهًا وَاحِدًا ۖ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
Maksudnya:”Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan”. Al-Taubah ayat 31.
Maka berkata ‘Ady bahawa sesungguhnya orang-orang Nasrani tidak menyembah rahib-rahib mereka. Jadi bagaimana boleh dikatakan orang-orang Nasrani menjadikan rahib mereka sebagai tuhan? Lalu Baginda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menjawab kembali. “Benar (mereka tidak menyembahnya), akan tetapi rahib-rahib mereka menghalalkan perkara yang haram Dan mengharamkan perkara yang halal Dan mereka mengikutinya, Maka ini adalah serupa dengan menyembahnya.
Telah berkata Ibnu Katsir,” Huzaifah Ibnu al-Yaman dan Ibnu Abbas telah mentafsirkan ayat tersebut sebagaimana berikut,iaitu mereka (orang Nasrani) mengikuti para rahib mereka dalam mengharamkan perkara halal dan menghalalkan perkara yang haram”.
Telah berkata al-Suddiy, “ Sekumpulan lelaki datang untuk meminta nasihat dan dalam masa yang sama mereka itu mencampakkan al-Quran di belakang punggung mereka (membelakangi al-Quran dalam melaksanakan sesuatu perkara) iaitu nasihat tersebut membelakangi al-Quran”. Maka Allah Subhanahuwata'ala menurunkan ayat,
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَٰهًا وَاحِدًا
Maksudnya:”Mereka tidak disuruh menyembah melainkan Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak untuk disembah) selain Dia”. Al-Taubah ayat 31.
Setiap perkara yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata'ala, Maka perkara tersebut adalah haram. Setiap perkara yang dihalalkan oleh Allah Subhanahuwata'ala, maka perkara tersebut adalah halal, dan setiap perkara yang disyaratkan-Nya, Maka wajib dituruti. Setiap perkara yang dipetintahkan-Nya, maka wajib dilaksanakan.
“Tidak ada tuhan melainkan Allah Subhanahuwata'ala, Maha Suci Allah Subhanahuwata'ala dari apa yang mereka sekutukan”.
Maka inilah makna yang terdapat dalam kalimah Syahadah yang pertama iaitu tiada Tuhan melainkan Allah Subhanahuwata'ala. Terdapat tiga konsep asas bagi merealisasikan kalimah Syahadah yang pertama iaitu tiada Tuhan melainkan Allah, tiada wali (pertolongan dan pengharapan) selain Allah dan tiada hakim selain Allah, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al-Quran pada ayat-ayat yang jelas.
No comments:
Post a Comment