Thursday, August 15, 2024

Tiada Tuhan Melainkan Allah(لا إله إلا الله)

Tiada Tuhan Melainkan Allah

(لا إله إلا الله)

Aqidah Islam umpama tembok yang menjadi pemisah antara yang hak dan yang batil. Dengan aqidah Islam kita dapat mengenali individu atau masyarakat tertentu samaada mereka itu Islam ataupun kafir. 


Aqidah ini mendatangkan dua konsep yang sangat ringkas namun memberi makna yang sangat luas dan mendalam. Dua konsep tersebut diadaptasi dalam dua kalimah yang disebut dalam Bahasa Arab “syahadataini”.


Bermula dengan dua kalimah inilah, individu yang memperakuinya akan ditaklifkan hukum-hukum sebagaimana seseorang yang bergelar Muslim. Namun bagi mereka yang ingkar iaitu kafir, mereka tidak akan ditaklifkan hukum-hukum tersebut di dunia ini tetapi akan dipersoalkan di Akhirat kelak. Mereka tidak ditaklifkan, kerana mereka tidak menganut Islam. Akan tetapi mereka tetap akan dipersoalkan akan taklifan tersebut kerana mereka ingkar akan Islam dan agama Islam ini diturunkan untuk sekelian alam.


Syahadataini membawa maksud:


لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ,


Maksudnya:”.....Tidak ada tuhan yang layak disembah selain Allah Subhanahuwata'ala Dan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam merupakan pesuruh Allah Subhanahuwata'ala”.... Riwayat Muslim (9)


Aqidah ini memimpin manusia untuk melihat(memerhati dan berfikir) bahawa alam semesta ini tidak mungkin wujud dengan sendirinya (semulajadi) tanpa ada Penciptanya. Mengajar sekalian manusia bahawa alam ini milik Penciptanya.


Bahkan mengingatkan manusia akan kehidupan di dunia dan kehidupan selepas kematian.


Dengan kata lain, aqidah ini memimpin manusia kearah perspektif yang lebih meluas untuk melihat sambil berfikir mengenai makhluk dan Penciptanya, dunia dan akhirat, alam yang nyata dan alam yang ghaib.


Mengajar manusia berfikir bahawa alam ini tidak mungkin wujud dengan sendirinya tanpa ada pencipta.


Secara logik manusia sendiri tidak dapat menerima kenyataan bahawa diri, gunung-ganang, pokok-pokok, batu bata dan alam ini terjadi atau tercipta dengan sendirinya. Catatan sejarah membuktikan sejak dahulu lagi manusia telah pun mencari-cari siapakah Pencipta bagi alam ini. 


Hal ini menyebabkan munculnya pemikir-pemikir iaitu orang bijak pandai Yunani yang mula berbicara secara meluas mengenai ketuhanan. Contohnya Aristotle dan Plato. Kedua-duanya merupakan pemikir atau ahli falsafah di Yunani pada waktu dahulu.


Mereka Cuba mengemukakan pendapat mengenai penciptaan alam ini. Walaupun begitu akhirnya sebahagian daripada kalangan pemikir-pemikir ini juga yang menafikan prinsip ketuhanan kerana kedangkalan akal dalam mendapatkan bukti bagi mencari pencipta sebenar bagi alam ini. Hal ini secara tidak langsung telah membuktikan bahawa sejak dahulu lagi akal manusia tidak dapat menerima kenyataan bahawa alam ini wujud dengan sendirinya tanpa ada pencipta.


Maka, alam yang terbentang luas ini, dan lapisan langit sebagai bumbungnya yang tidak bertiang, malah segala isi di dalamnya, batu bata, tumbuh-tumbuhan, haiwan, manusia bahkan jin dan malaikat, semuanya tidak wujud dengan sendirinya atau secara semulajadi sebagaimana yang dikatakan oleh pemikir-pemikir pada zaman dahulu, bahkan tidak pula mereka (seluruh alam) yang mencipta diri mereka sendiri. Justeru itu, tidak dapat tidak, mesti ada pencipta yang gagah, berkuasa dan mengetahui yang mencipta segalanya.


Tidak ada pencipta selain-Nya. Dia yang menentukan segala-galanya. Menentukan kadar putaran planet-planet di atas paksi masing-masing.


Tidak terjadi walaupun sedetik planet-planet tersebut berputar melawan kehendak pencipta-Nya. Lihat sahaja pada bumi, sebuah planet yang diciptakan khas untuk kita sebagai tempat kediaman dan menjalani kehidupan sejak zaman Nabi Adam a.s, sehingga ke hari ini, bumi berputar di atas paksinya iaitu 24 jam sehari. Tidak pernah bertambah mahupun berkurang. Semuanya berlaku dengan kehendak Pencipta-Nya.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


أَفَلَا يَنْظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ. وَإِلَى السَّمَاءِ كَيْفَ رُفِعَتْ. وَإِلَى الْجِبَالِ كَيْفَ نُصِبَتْ. وَإِلَى الْأَرْضِ كَيْفَ سُطِحَتْ. فَذَكِّرْ إِنَّمَا أَنْتَ مُذَكِّرٌ.

Maksudnya:”Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana dia diciptakan,Dan langit, bagaimana ia ditinggikan?. Dan gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan?. Dan bumi bagaimana ia dihamparkan?. Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan”. Al-Ghasyiyah ayat 17-21.


Allah Subhanahuwata'ala merupakan Pencipta Yang Maha Agung, Maha Bijaksana dan Maha berkuasa atas segala-galanya. Firman Allah Subhanahuwata'ala,


لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ وَإِنْ تُبْدُوا مَا فِي أَنْفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُمْ بِهِ اللَّهُ ۖ فَيَغْفِرُ لِمَنْ يَشَاءُ وَيُعَذِّبُ مَنْ يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya:”Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan, niscaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendaki-Nya dan menyiksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”. Al-Baqarah ayat 284.


Allahlah yang menentukan putaran planet-planet tersusun dengan bijaksana. Masa dan waktu yang tidak pernah lewat mahupun sesaat. Segala makhluk di langit dan di bumi bertasbih kepada-Nya. Firman Allah Subhanahuwata’ala,


قُلْ لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي ضَرًّا وَلَا نَفْعًا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ ۗ لِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۚ إِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ فَلَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya:”Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan kemudharatan dan tidak (pula) kemanfaatan kepada diriku, melainkan apa yang dikehendaki Allah". Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukan(nya)”. Yunus ayat 49.


Allahlah pencipta langit dan bumi untuk kita. Bumi sebagai dataran yang rata untuk kita diami dan menjadikan kehidupan siang dan malam, untuk meneroka apa yang terdapat di dalamnya yang Allah telah menjadikan nikmat dan rezeki yang pelbagai di dalamnya. Langit yang berdiri tegak tanpa sebarang tiang dan berfungsi sebagai bumbung memayungi. Dialah tuhan bagi segala sesuatu, tuhan bagi  makhluk-Nya. Tidak ada yang sama bagi-Nya pada zat, sifat Dan perbuatan-Nya. Dialah yang kekal, manusia bumi dan segalanya akan binasa melainkan Dia. Firman Allah Subhanahuwata'ala,


كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ. وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

Maksudnya:”Semua yang ada di bumi itu akan binasa. Dan tetap kekal Dzat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan”. Al-Rahman ayat 26-27

Maha Suci Allah, hanya bagi-Nya segala sifat kesempurnaan. Maha Suci Allah yang tidak bersifat dengan sifat kekurangan apatah lagi bersifat dengan sifat kekejian. Dialah Yang Maha Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan. Semua makhluk bergantung dan menohon perlindungan kepada-Nya. Firman Allah Subhanahuwata'ala,


قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ. اللَّهُ الصَّمَدُ. لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ. وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ.

Maksudnya:”Katakanlah: "Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia". Al-Ikhlas ayat 1-4.


هُوَ الْأَوَّلُ وَالْآخِرُ وَالظَّاهِرُ وَالْبَاطِنُ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya:”Dialah Yang Awal dan Yang Akhir Yang Zhahir dan Yang Bathin; dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu”. Al-Hadid ayat 3.


فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَمِنَ الْأَنْعَامِ أَزْوَاجًا ۖ يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ ۚ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya:”(Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak pasangan-pasangan (pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dialah yang Maha Mendengar dan Melihat”. Asy-Syura ayat 11.


Setiap benda yang wujud menjadi bukti dan hujah atas keesaan-Nya. Hanya Allah Subhanahuwata'ala yang mencipta, mentadbir dan mengurus. 


Memberikan kepatuhan dalam apa jua bentuk yang dianggap sebagai patuh dan taat. Begitu juga dengan kecintaan iaitu segala bentuk yang dikira sebagai cinta dan kasih. Hasil gabungan makna dari kedua-dua perkataan inilah yang dinamakan ibadah. 


Hal ini demikian kerana ibadah yang sempurna mempunyai perasaan patuh, takut dan cinta kepada Allah Subhanahuwata’ala. Maka kita tidak dianggap melakukan seratus peratus melakukan ibadah yang ikhlas jika wujud dalam diri kita hanya sifat cinta tanpa takut dan patuh akan Allah Subhanahuwata’ala begitu juga sebaliknya.


Inilah yang dikatakan makna tepat bagi kalimah لا إله إلا الله, iaitu tiada Tuhan melainkan Allah Subhanahuwata'ala dan dengan erti kata lain makna tiadalah sebenar-benar ibadah melainkan kepada Allah Subhanahuwata'ala dan tidak ada sebenar-benar kepatuhan melainkan kepada-Nya.


Maka hanya suruhan-Nya yang layak kita patuhi secara mutlak, untuk disembah akan kebesaran dan keagunga-Nya, untuk kita basahi lidah dengan puji-pujian atas kesempurnaan-Nya dan untuk kita menurut akan hukum-Nya dengan jiwa dan raga kita.


Makna bagi kalimah لا إله إلا الله, iaitu tiada Tuhan melainkan Allah Subhanahuwata'ala ialah kita membuang segala bentuk  ibadah atau kepatuhan dan ibadah kepada segala kekuasaan melainkan kekuasaan-Nya, segala perundangan-Nya, segala seruhan melainkan suruhan-Nya.

Dan membuang segala wala’ (kesetian) melainkan kepada-Nya serta kasih dan cinta melainkan kepada-Nya. 




No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...