Aqidah Islam
Aqidah memainkan peranan utama dalam pembentukan masyarakat ke arah Islam. Aqidah Islam juga merupakan suatu kepercayaan yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam yang diwahyukan oleh Allah Subhanahuwata'ala selaku Tuhan dan pencipta sekelian alam untuk disebarkan keseluruh alam demi mengeluarkan manusia daripada kegelapan (kejahilan) kepada sinaran Islam. Aqidah ini menafikan wujudnya tuhan selain Allah dan mengiktiraf bahawa Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam ialah pesuruhnya.
Selepas Nabi Isa ‘alaihissalam diangkat kelangit, manusia kembali terjerumus kelembah kejahilan. Mereka mula melakukan perkara-perkara terlarang sebagaimana ketika kehidupan mereka sebelum diutuskan Nabi dan Rasul. Para Ahli kitab pula khususnya telah menyelewengkan isi kandungan kitab injil.
Dalam tempoh itu, manusia berada dalam kesesatan yang nyata sehinggalah Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan.
Bangsa Arab membunuh anak-anak perempuan mereka yang baru dilahirkan, kerana mereka mempercayai bahawa anak perempuan apabila telah dewasa akan mendatangkan kepapaan dan keaiban kepada keluarga mereka.
Kaum wanita pula dijadikan alat permainan yang hanya berfungsi sebagai alat pemuas nafsu lelaki semata. Wanita diletakan pada martabat paling bawah, mereka tidak dapat mewarisi harta apabila suami mereka mati, bahkan mereka pula akan diwarisi oleh anak-anak mereka pada zaman jahiliyah. Anak lelaki akan mengambil ibu mereka menjadi salah seorang isteri mereka apabila ayah mereka meninggal. Namun setelah kedatangan Islam, maka Islam telah mengharamkan perbuatan ini.
Khamar (arak) pula menjadi tradisi dalam masyarakat Arab. Meminum arak menjadi satu kebanggaan bahkan menjadi keaiban kepada masyarakat Arab jahiliyah apabila tetamu yang bertandang ke rumah tidak disajikan dengan arak. Melihat manusia sudah melencong dari aqidah yang sebenar, nilai-nilai moral yang murni telah terhakis dan kejahilan mendorong manusia melakukan kemaksiatan tanpa segan silu, maka Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan sebagai rahmat kepada sekelian alam.
Firman Allah Subhanahuwata’ala,
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
Maksudnya:”Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. Anbiya ayat 107.
Muslimin dan muslimat, tanpa ada pengecualian adalah wajib menyakini aqidah yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam tersebut secara jazam atau secara pasti tanpa ada sedikitpun keraguan dalam diri masing-masing. Bahkan dalam masyarakat yang bergelar Islam, aqidah tersebut mesti ditanam, dijaga dan dipelihara didalam diri setiap individu. Tidak cukup dengan itu sahaja, aqidah Islam ini mestilah disebarkan keseluruh pelosok dunia agar sekelian manusia dapat melihat cahayanya.
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya:”Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui”. Saba’ ayat 28
Agama Islam merupakan agama sekelian umat manusia, bukan kepada bangsa-bangsa tertentu sahaja. Dengan hanya satu tujuan iaitu untuk mengeluarkan manusia daripada dunia
kejahilan yang menyembah partung-patung, api dan matahari kesuatu alam yang diredhai Allah dengan mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala.
Aqidah Islam menyeru sekalian manusia supaya beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala, para Malaikat-Nya, kitab-kitab yang diturunkan-Nya, para Rasul sebagai utusan-Nya, hari Akhirat serta qada dan qadar.
Firman Allah Subhanahuwata’ala,
آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْ رُسُلِهِ ۚ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ
Maksudnya:”Rasul telah beriman kepada Al Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeza-bezakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat". (Mereka berdoa): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali”. Al-Baqarah ayat 285.
Hadith yang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab, menceritakan pada suatu hari,para sahabat berkumpul bersama-sama Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, Malaikat Jibril ‘alaihissalam datang dalam bentuk seorang lelaki yang sangat kemas rupa aras dan pakaiannya, lalu bertanya kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mengenai Iman . Daripada Umar al-Khattab RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:
فَأَخْبِرْنِي عَنِ اْلإِيْمَانِ قَالَ: أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ وَمَلاَئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ
Maksudnya: “Jibril bertanya Nabi Sallallahu'alaihiwasallam: Beritahu kepadaku apakah yang dimaksudkan dengan Iman?. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menjawab: “Iman adalah kamu beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, hari akhirat serta beriman kepada taqdir Allah yang baik dan juga yang buruk”. Riwayat Muslim (1907)
Aqidah Islam merupakan suatu kepercayaan yang menyeru manusia untuk bersatu dan tidak berpecah belah. Malah, aqidah ini langsung tidak mengajar atau menyuruh manusia membeza-bezakan antara para Rasul yang diutuskan.
Umat Islam tidak disuruh untuk beriman kepada Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sahaja dan mengabaikan para Rasul yang lain. Aqidah Islam menyeru agar manusia beriman dengan setiap utusan Allah Subhanahuwata’ala tanpa ada sebarang pengecualian walaupun satu.
Bukanlah yang dimaksudkan dengan beriman dengan semua urusan Allah Subhanahuwata’ala ialah dengan kita menghafal nama-nama mereka satu persatu, akan tetapi yang dimaksudkan dengan beriman dengan semua Rasul ialah apabila kita menyakini dan tidak menafikan kerasulan mereka yang diutuskan oleh Allah Subhanahuwata'ala di muka bumi ini untuk menyebarkan aqidah yang membawa kepada maksud mengesakan tuhan iaitu Allah Subhanahuwata’ala. Berbeza dengan agama Kristian, penganut-penganut mereka hanya beriman dengan kenabian Nabi Isa ‘alaihissalam namun dalam masa yang sama menafikan sifat kenabian yang ada pada Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sebagai utusan-Nya yang akhir.
Firman Allah Subhanahuwata’ala,
لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْ رُسُلِهِ
Maksudnya:".....Kami tidak membeda-bedakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya”. Al-Baqarah ayat 285.
No comments:
Post a Comment