Friday, July 19, 2024

Keutamaan Haji dan Umrah serta hukumnya

Keutamaan Haji dan Umrah serta hukumnya


Haji dan umrah adalah dua ibadah yang mulia, yang dikerjakan di tanah suci Makkah. Bahkan ibadah haji adalah salah satu dari lima rukun Islam. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya ibadah tersebut. Haji dan Umrah juga merupakan dua ibadah yang menguji kita untuk mengorbankan harta, tenaga dan juga mengorbankan hawa nafsu.


Ulama sepakat bahawa ibadah haji hukumnya wajib ‘ain bagi yang mampu. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

Maksudnya:”Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barang siapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam”. Ali Imran ayat 97.

Sebagaimana dimaklumi, ibadah haji adalah salah satu rukun Islam. Dari Abdullah bin ‘Umar radhiallahu’anhu, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,

بُنِىَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya:”Islam dibangun di atas lima perkara: bersaksi tidak ada sesembahan yang berhak disembah selain Allah dan mengaku Muhammad adalah utusan-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, berhaji, dan berpuasa di bulan Ramadhan”. Riwayat Bukhari (8) dan Muslim (16).

Sebahagian ulama, seperti Al Hasan Al Basri, Nafi’, Ibnu Habib Al Maliki, menganggap kafirnya orang yang tidak berhaji padahal mereka mampu. Salah satu dalil mereka adalah riwayat dari Umar bin Khathab radhiallahu ‘anhu, beliau mengatakan,

مَن أطاقَ الحجَّ، فلم يحُجَّ فسواءٌ عليه مات يهوديًّا أو نصرانيًّا

Maksudnya:”Barangsiapa yang mampu berhaji namun tidak berangkat haji, maka sama saja apakah ia mati sebagai orang Yahudi atau sebagai orang Nasrani”. Ibnu Katsir dalam Tafsir-nya, 1: 387.

Perkataan semisal ini juga diriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib dan Abu Hurairah radhiallahu ‘anhuma. Namun, riwayat ini tidak secara tegas menunjukkan kafirnya orang yang tidak menunaikan ibadah haji. Oleh kerana itu, jumhur ulama tidak menganggap kafir orang yang tidak berhaji walaupun ia mampu. Dan ini adalah kesepakatan para sahabat Nabi. Abdullah bin Syaqiq Al ‘Uqaili rahimahullah mengatakan,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ شَقِيقٍ الْعُقَيْلِيِّ، قَالَ كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم لاَ يَرَوْنَ شَيْئًا مِنَ الأَعْمَالِ تَرْكُهُ كُفْرٌ غَيْرَ الصَّلاَةِ ‏.‏

Maksudnya:”Dahulu para sahabat Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam tidak memandang ada amalan yang boleh menyebabkan kekufuran jika meninggalkannya, kecuali solat”. Riwayat At-Tirmidzi (2622)


Syarat Wajib Haji


Para ulama menjelaskan bahawasanya ada lima syarat seseorang itu dikatakan telah dibebani dengan kewajipan haji. Jika lima syarat ini tidak terpenuhi, maka tidak ada kewajipan untuk berhaji. Syarat-syarat tersebut adalah:

  1. Beragama Islam

  2. Berakal, bukan orang gila

  3. Baligh, bukan anak kecil yang belum baligh

  4. Merdeka, bukan hamba sahaya

  5. Mampu (الاستطاعة): Berkemampuan di sini merujuk kepada aspek fizikal dan mental dalam melaksanakan ibadah haji dan umrah.


Orang gila dan kanak-kanak yang belum mencapai umur baligh tidaklah wajib untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah.


Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:


رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ


Maksudnya: “Tidak dicatat (amalan) dari tiga golongan: Kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga, dan orang yang gila sehinggalah dia sembuh”. Riwayat Abu Daud (4402)


Syarat mampu pula adalah sebagaimana difirmankan oleh Allah Subhanahuwata’ala,


وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا


Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya”. Surah ali-Imran ayat 97.


Dan hadith daripada Umar RA, seorang lelaki bertemu Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam dan berkata: 


يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا يُوجِبُ الْحَجَّ قَالَ: الزَّادُ وَالرَّاحِلَةُ 


Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Apakah antara sebab yang mewajibkan haji? Baginda bersabda: Ada bekalan dan kenderaan”. Riwayat at-Tirmizi (813) Ibn Majah (2896)


Berkemampuan yang dimaksudkan di sini ialah mampu menunaikan fardhu haji samada dengan sendirinya atau dengan pertolongan orang lain. Ini kerana ibadah haji dan umrah hanya diwajibkan ke atas orang yang berupaya dan berkemampuan.


Maksud berkemampuan dengan sendirinya ialah:


  1. Mampu mengadakan bekalan dan perbelanjaan untuk diri dan saraan nafkah mereka yang di dalam tanggungan dan yang ditinggalkan.

  2. Mampu mendapatkan kenderaan pergi dan balik.

  3. Aman perjalanan bagi diri dan harta daripada musuh dan wabak penyakit.

  4. Sihat tubuh badan.

  5. Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah. (Rujuk al-Idhah fi Manasik al-Haj, 1/96, al-Fiqh al-Manhaji, 2/123)


Manakala berkemampuan dengan pertolongan orang lain bermaksud seseorang itu telah cukup semua syarat untuk mengerjakan ibadah haji tetapi dia uzur kerana sakit dan tiada harapan sembuh atau terlalu tua dan orang yang telah meninggal dunia dan mampu mengerjakan haji semasa hayatnya. Maka mereka boleh mewakilkan kepada orang lain untuk menunaikan fardhu haji bagi pihak dirinya. (al-Fiqh al-Manhaji, 2/124)


Hukum Mahram


Manakala hukum menunaikan haji dan umrah tanpa mahram adalah terkait dengan hukum seorang wanita bermusafir tanpa mahram. Hukum asal bagi seorang wanita bermusafir tanpa mahram adalah tidak dibolehkan berdasarkan kepada beberapa hadith yang sahih. Di antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A. Beliau berkata bahawa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :


لَا تُسَافِرْ الْمَرْأَةُ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ


Maksudnya : “ Seorang wanita tidak boleh bermusafir tanpa ada mahram.”

Riwayat Al-Bukhari (1729) & Muslim (2391)


Begitu juga dengan riwayat yang lain bahawa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :


لا يَحِلُّ لامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ تُسَافِرُ مَسِيرَةَ يَوْمٍ إِلا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ


Maksudnya : “ Tidak boleh bagi seorang perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk bermusafir sejauh sehari perjalana kecuali bersamanya ada mahram”.

Riwayat Muslim (1339)


Di antara alasan tidak membenarkan wanita untuk bermusafir tanpa mahram adalah untuk menjaga keselamatan, memelihara kehormatan serta menjauhkan para wanita daripada fitnah sekiranya tiada mahram yang menemaninya. Namun jika perjalanan tersebut aman dan selamat, maka sebahagian para ulama membenarkannya. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith tersebut. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/500)


Para ulama ketika membincangkan berkenaan kemampuan untuk menunaikan haji dan umrah, mereka membahagikannya kepada dua iaitu kemampuan secara langsung iaitu yang terkait kepada dirinya seperti mempunyai kesihatan dan kewangan yang cukup.Yang kedua adalah kemampuan tidak langsung iaitu mempunyai kewangan yang cukup tapi tidak mampu untuk pergi kerana sakit dan sebagainya. Dia wajib untuk mengupah seseorang menunaikan bagi pihaknya.


Bagi wanita, para ulama menambahkan beberapa syarat iaitu yang pertama ditemani suami atau mahram atau wanita lain yang boleh dipercayai dengan jumlah paling kurang dua orang. Syarat yang kedua adalah wanita tersebut tidak berada di dalam iddah jika telah diceraikan. (Rujuk Fiqh Al-Manhaji ‘Ala Mazhab Al-Imam Al-Syafi’i, 1/150-151).


Namun begitu para ulama berbeza pandangan tentang syarat mahram untuk menunaikan haji dan umrah. Sebahagian ulama dari kalangan fuqaha mazhab Hanbali dan Hanafi menyebut bahawa disyaratkan bagi seorang wanita yang ingin menunaikan haji dan umrah untuk ditemani oleh suami atau mahram. Manakala ulama dari kalangan mazhab Syafi’i , Maliki, Al-Auza’i dan lain-lain tidak mensyaratkan mahram bahkan yang disyaratkan adalah aman dari segala ancaman. (Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/500).


Al-Bujairimi di dalam hasyiahnya menyebut jika perjalanan tersebut aman maka harus untuk wanita tersebut bermusafir seorang diri. (Rujuk Al-Tajrid Linnaf’i Al-‘Abid Hasyiah Al-Bujairimi ‘Ala Minhaj Al-Tullab, 6/35). 


Jika dilihat pada masa kini perjalanan menunaikan umrah atau haji tidak lagi seperti dahulu. Jika dahulu perjalanan terpaksa menempuh padang pasir atau menaiki kapal yang mengambil masa berbulan-bulan. Akan tetapi sekarang mereka yang ingin menunaikan umrah atau haji hanya perlu menaiki kapal terbang yang mengambil masa kurang dari 24 jam.


Adapun bagi mereka yang menunaikan haji atau umrah untuk kali kedua dan seterusnya, maka disyaratkan ada mahram bersamanya. Ini adalah pandangan jumhur para ulama (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 8/334 ; Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/104).


Dari keterangan di atas dapat disimpulan bahawa harus bagi seorang wanita untuk pergi menunaikan haji dan umrah tanpa mahram dengan syarat ditemani paling kurang oleh dua orang wanita yang boleh dipercayai. Adapun bagi mereka yang menunaikan umrah bagi kali kedua dan seterusnya maka mengikut jumhur para ulama perlu untuk ditemani oleh suami atau mahram.


Hukum Umrah


Para ulama sepakat bahawa ibadah umrah adalah ibadah yang disyariatkan dalam Islam. Namun mereka berbeza pendapat tentang hukumnya. Ulama Syafi’iyah dan Hanabilah berpendapat hukumnya wajib bagi yang mampu. Ulama Malikiyah dan Hanafiyah berpendapat hukumnya sunat. Pendapat yang rajih, umrah hukumnya wajib bagi yang mampu. Berdasarkan firman Allah Subhanahuwata’ala,


وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ


Maksudnya:”Sempurnakan haji dan umrah untuk Allah semata”. Al Baqarah ayat 196.


Dalam ayat ini, umrah digandingkan dengan haji yang hukumnya wajib. Demikian juga didahului dengan fi’il amr (kata perintah). Demikian juga dalam hadith dari ‘Aisyah radhiallahu ‘anha, beliau bertanya kepada Rasulullah Sallalallahu‘alaihiwasallam,


يَا رَسَوْلَ اللهِ، هَلْ عَلَى النِّسَاءِ جِهَادٌ؟ قَالَ: جِهَادٌ لاَ قِتَالَ فِيْهِ، اَلْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ.


Maksudnya:”Wahai Rasulullah, apakah ada jihad bagi wanita?” Beliau menjawab, “Bagi mereka ada jihad yang tidak ada peperangan di dalamnya, iaitu haji dan umrah”. Riwayat Ibnu Majah (2901).


Pada Hadith ini, umrah juga digandingkan dengan haji. Ini semua menunjukkan bahawa umrah hukumnya wajib bagi yang mampu. 


Justeru itu, bagi kaum Muslimin yang belum mampu berhaji namun mampu berumrah, hendaklah mereka tidak menunda-nunda untuk menunaikan ibadah umrah. Adapun yang mampu berhaji, dapat sekaligus menjalankan haji dan umrah dalam sekali perjalanan.


Syarat Wajib Umrah


Syarat-syarat mewajibkan seseorang itu untuk mengerjakan umrah sama adalah seperti syarat-syarat wajib haji.


Kewajipan Haji dan Umrah sekali seumur hidup


Kewajipan haji dan umrah, bagi yang mampu melakukannya, adalah hanya sekali seumur hidup. Dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


أَيُّهَا النَّاسُ قدْ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ الحَجَّ، فَحُجُّوا، فَقالَ رَجُلٌ: أَكُلَّ عَامٍ يا رَسولَ اللهِ؟ فَسَكَتَ حتَّى قالَهَا ثَلَاثًا، فَقالَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ: لو قُلتُ: نَعَمْ لَوَجَبَتْ، وَلَما اسْتَطَعْتُمْ، ثُمَّ قالَ: ذَرُونِي ما تَرَكْتُكُمْ، فإنَّما هَلَكَ مَن كانَ قَبْلَكُمْ بكَثْرَةِ سُؤَالِهِمْ وَاخْتِلَافِهِمْ علَى أَنْبِيَائِهِمْ، فَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بشيءٍ فَأْتُوا منه ما اسْتَطَعْتُمْ، وإذَا نَهَيْتُكُمْ عن شيءٍ فَدَعُوهُ


Maksudnya:”Wahai manusia, telah diwajibkan atas kalian berhaji, maka berhajilah”. Kemudian ada seorang yang bertanya, “Apakah setiap tahun, wahai Rasulullah?” Beliau tidak menjawabnya, sehingga orang tadi bertanya lagi hingga tiga kali. Barulah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menjawab, “Jika aku katakan “ya”, maka nescaya akan diwajibkan setiap tahun dan belum tentu kalian sanggup melakukannya. Maka tidak perlu membahas apa yang aku tidak singgung kepada kalian. Kerana sesungguhnya orang-orang sebelum kalian binasa akibat banyak bertanya dan banyak menentang para Nabi mereka. Jika aku perintahkan sesuatu, kerjakanlah darinya sesuai dengan kemampuan kalian. Jika aku telah melarang sesuatu atas kalian, maka tinggalkanlah”. Riwayat Muslim (1337).


Hadith ini menunjukkan bahawa kewajipan haji hanya sekali seumur hidup. Demikian juga umrah, kerana umrah disebut sebagai الحج الأصغر (haji kecil). Apabila seseorang itu telah menunaikan haji atau umrah yang wajib tersebut, maka ibadah haji dan umrah tetap boleh dilakukan kembali namun hukumnya adalah sunat.


Keutamaan Haji dan Umrah


1- Orang yang beribadah haji dijanjikan syurga dan umrah menggugurkan dosa.


Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahwa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


العمرةُ إلى العمرةِ كفَّارَةٌ لمَا بينَهمَا ، والحجُّ المبرورُ ليسَ لهُ جزاءٌ إلا الجنَّةُ


Maksudnya:”Satu umrah hingga umrah berikutnya adalah penggugur dosa-dosa di antara keduanya. Dan haji yang mabrur, tiada ganjaran bagi pelakunya melainkan syurga”. Riwayat Bukhari (1773) dan Muslim (1349).


2- Haji menghapuskan dosa-dosa.


Dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu, bahwa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


مَنْ حَجَّ لِلَّهِ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ


Maksudnya:”Siapa yang berhaji ke Ka’bah, lalu tidak berkata-kata seronok dan tidak berbuat kefasikan, maka dia pulang ke negerinya sebagaimana ketika dilahirkan oleh ibunya”. Riwayat Bukhari (1521).


3- Haji dan umrah menghilangkan kefakiran.


Dari Abdullah bin Mas’ud radhiallahu’anhu, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


تَابِعُوا بَيْنَ الْحَجِّ وَالْعُمْرَةِ فَإِنَّهُمَا يَنْفِيَانِ الْفَقْرَ وَالذُّنُوبَ كَمَا يَنْفِى الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ وَالذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَلَيْسَ لِلْحَجَّةِ الْمَبْرُورَةِ ثَوَابٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ


Maksudnya:”Iringi umrah dengan haji atau sebaliknya, kerana keduanya menghilangkan kemiskinan dan dosa-dosa sebagaimana pembakaran menghilangkan karat pada besi, emas, dan perak. Dan tidak ada pahala bagi haji yang mabrur kecuali syurga”. An-Nasa’i (2629).


Umrah adalah Haji kecil


Al-Hafizh Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan,


واختلف في المراد بالحج الأصغر، فالجمهور على أنه العمرة


Maksudnya:”Para ulama berbeza pendapat tentang apa yang dimaksud dengan الحج الأصغر (haji kecil). Jumhur ulama mengatakan bahawa maksudnya adalah umrah” (Fathul Bari, 8: 178).


5- Mendapat keutamaan dari berbagai ibadah yang agung.


Dalam ibadah haji atau umrah ada berbagai ibadah yang agung yang memiliki keutamaan-keutamaan. Di antaranya: mengucapkan talbiyah, tawaf di Ka’bah, sa’i, minum air zam-zam, solat di Masjidil Haram, tahallul, dan ibadah-ibadah lainnya.


Demikian penjelasan ringkas tentang hukum dan keutamaan dari ibadah haji dan umrah. Semoga Allah Subhanahuwata’ala memudahkan kita untuk beribadah kepada-Nya dengan baik, termasuk memudahkan kita untuk berhaji dan umrah.














No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...