Haji Mabrur
Ajaran Islam dalam semua aspeknya mempunyai hikmah dan tujuan tertentu. Hikmah dan tujuan ini diistilahkan oleh para ulama dengan maqashid syari’ah, iaitu berbagai maslahat yang dapat diraih oleh seorang hamba, baik di dunia mahupun di akhirat.
Adapun maslahat akhirat, orang-orang soleh ditunggu oleh kenikmatan yang tiada tara sebagaimana terangkum dalam Hadith Qudsi, sabda Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam,
قَالَ اللَّه: أَعْدَدْتُ لِعِبَادِى الصَّالِحِينَ مَا لاَ عَيْنَ رَأَتْ ، وَلاَ أُذُنَ سَمِعَتْ ، وَلاَ خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ
Maksudnya:”Allah berfirman (yang ertinya): Telah Aku siapkan untuk hamba-hambaKu yang soleh kenikmatan yang tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengar telinga, dan tidak pernah terdetik di hati manusia”. Riwayat Bukhari (3073) dan Muslim (2824)
Secara khusus bagi ibadah Haji, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,
والْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ
Maksudnya:”Haji yang mabrur tidak lain pahalanya adalah syurga”.Riwayat Bukhari (1683) dan Muslim (1349)
Adapun di dunia, banyak maslahat yang dapat diperoleh oleh umat Islam dengan menjalankan ajaran agama mereka. Dan untuk ibadah haji khususnya, ada beberapa contoh yang dapat kita sebut; seperti menambah teman, bertemu dengan ulama dan keuntungan berdagang.
Di samping itu, Allah juga memberikan tanda-tanda diterimanya amal seseorang, sehingga ia dapat menyegerakan kebahagiaan di dunia sebelum akhirat dan agar ia semakin bersemangat untuk beramal.
Tidak Semua Orang Meraih Haji Mabrur
Setiap orang yang pergi berhaji mencita-citakan haji yang mabrur. Haji mabrur bukanlah sekadar haji yang sah. Mabrur bererti diterima oleh Allah, dan sah bererti menggugurkan kewajipan. Boleh jadi, haji seseorang sah sehingga kewajipan berhaji baginya telah gugur, namun belum tentu hajinya diterima oleh Allah Subhanahuwata’ala.
Justeru itu, tidak semua yang hajinya sah terhitung sebagai haji mabrur. Ibnu Rajab al-Hanbali mengatakan, “Yang hajinya mabrur sedikit, tapi mungkin Allah memberikan kurnia kepada jamaah haji yang tidak baik lantaran jamaah haji yang baik”. Lihat Lathaiful Ma’arif Fima Li Mawasimil ‘Am Minal Wazhaif 1/68.
Tanda-Tanda Haji Mabrur
Bagaimanakah mengetahui mabrurnya haji seseorang?
Apa perbezaan antara haji yang mabrur dengan yang tidak mabrur?
Sudah tentu yang menilai mabrur tidaknya haji seseorang adalah Allah semata. Kita tidak dapat memastikan bahawa haji seseorang adalah haji yang mabrur atau tidak. Para ulama menyebutkan ada tanda-tanda mabrurnya haji seseorang itu, berdasarkan keterangan al-Quran dan al-Hadith, namun ianya tidak dapat memberikan kepastian samada mabrur tidaknya haji seseorang.
Di antara tanda-tanda haji mabrur yang telah disebutkan oleh para ulama adalah:
Pertama: Belajar Manasik Haji
Ini amat penting agar ibadat haji yang kita lakukan ‘عَلَى بَصِيرَة’ dengan penuh yakin dan ilmu. Banyak sekali ibadah dilakukan tetapi akhirnya sia-sia. Ini kerana dilakukan dalam keadaan jahil dan taqlid buta tanpa asas ilmu yang sebenar.
Cukuplah gesaan Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam dalam hadith yang sahih:
خُذُوا عَنِّي مَنَاسِكَكُمْ
Maksudnya: Ambillah ibadat hajimu daripadaku.
Hadith riwayat Ahmad, Muslim dan al-Nasaie
Kedua: Harta yang digunakan untuk haji adalah harta yang halal.
Harta yang digunakan untuk haji adalah harta yang halal. (Lihat Ihya Ulumiddin 1/261), kerana Allah tidak menerima kecuali yang halal, sebagaimana ditegaskan oleh sabda Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam,
إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا
Maksudnya:”Sungguh Allah baik, tidak menerima kecuali yang baik”. Riwayat Muslim (1015)
Orang yang ingin hajinya mabrur mestilah memastikan bahawa seluruh harta yang ia pakai untuk haji adalah harta yang halal, terutama kepada mereka yang selamamana mempersiapkan biaya pelaksanaan ibadah haji yang tidak lepas dari transaksi dengan bank. Jika tidak, maka haji mabrur bagi mereka hanyalah jauh panggang dari api. Ibnu Rajab mengucapkan sebuah syair. Lihat Lathaiful Ma’arif 2/49:
Jika anda haji dengan harta tak halal asalnya.
Maka anda tidak berhaji, yang berhaji hanya rombongan anda.
Allah tidak terima kecuali yang halal saja.
Tidak semua yang haji mabrur hajinya.
Ketiga: Amalan-amalannya dilakukan dengan ikhlas dan baik, sesuai dengan tuntunan Nabi Sallalahu‘alaihiwasallam.
Paling tidak, rukun-rukun dan kewajipannya mesti ditunaikan, dan semua larangan mesti ditinggalkan. Jika berlaku kesalahan, maka hendaknya segera melakukan penebusnya seperti yang telah ditentukan.
Di samping itu, haji yang mabrur juga memperhatikan keikhlasan hati, yang seiring dengan majunya zaman semakin sulit dijaga. Mari kita renungkan perkataan Syuraih al-Qadhi, “Yang (benar-benar) berhaji sedikit, meskipun jamaah haji ramai. Alangkah banyak orang yang berbuat baik, tapi alangkah sedikit yang ikhlas kerana Allah”. Lihat Lathaiful Ma’arif 1/257.
Pada zaman dahulu ada orang yang menjalani ibadah haji dengan berjalan kaki setiap tahun. Suatu malam ia tidur di atas tilamnya, dan ibunya memintanya untuk mengambilkan air minum. Ia merasakan berat untuk bangkit memberikan air minum kepada sang ibu. Ia pun teringat perjalanan haji yang selalu ia lakukan dengan berjalan kaki tanpa merasa berat. Ia mengkoreksi diri dan berfikir bahawa pandangan dan pujian manusialah yang telah membuat perjalanan itu ringan. Sebaliknya saat menyendiri, memberikan air minum untuk orang paling berjasa pun terasa berat. Akhirnya, ia pun menyedari bahwa dirinya telah salah. Lihat Lathaiful Ma’arif 1/257.
Keempat: Hajinya hendaklah dipenuhi dengan banyak amalan baik.
Amalan baik seperti zikir, solat di Masjidil Haram, solat pada waktunya, dan membantu teman seperjalanan.
Ibnu Rajab berkata, “Maka haji mabrur adalah yang terkumpul di dalamnya amalan-amalan baik, juga menghindari perbuatan-perbuatan dosa. Lihat Lathaiful Ma’arif 1/67.
Di antara amalan khusus yang disyariatkan untuk meraih haji mabrur adalah bersedekah dan berkata-kata baik selama mengerjakan haji. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam pernah ditanya tentang maksud haji mabrur, maka beliau menjawab,
إِطْعَامُ الطَّعَامِ وَطِيبُ الْكَلاَمِ
Maksudnya:”Memberi makan dan berkata-kata baik”. Riwayat al-Baihaqi 2/413 (10693), dinilai sahih oleh al-Hakim.
Kelima: Tidak berbuat maksiat selama dalam ihram.
Maksiat dilarang dalam agama kita dalam semua keadaan. Dalam keadaan ihram, larangan tersebut menjadi lebih tegas, dan jika dilanggar, maka haji mabrur yang diimpikan akan lepas.
Di antara yang dilarang semasa mengerjakan haji adalah rafats, fusuq dan jidal. Allah berfirman,
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلاَ رَفَثَ وَلاَ فُسُوقَ وَلاَ جِدَالَ فِي الْحَجِّ
Maksudnya:”(Musim) haji adalah beberapa bulan yang diketahui, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan-bulan itu untuk mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats, fusuq dan berbantah-bantahan selama mengerjakan haji”. Al-Baqarah ayat 197.
Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,
مَنْ حَجَّ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
Maksudnya:”Barang siapa yang haji dan ia tidak rafats dan tidak fusuq, ia akan kembali pada keadaannya saat dilahirkan ibunya.” Riwayat Muslim (1350) dan yang lain, dan ini adalah lafazh Ahmad di Musnad (7136)
Rafats adalah semua bentuk kekejian dan perkara yang tidak berguna. Termasuk di dalamnya bersetubuh, bercumbu atau membicarakan tentangnya, meskipun dengan pasangan sendiri selama dalam ihram.
Fusuq adalah keluar dari ketaatan kepada Allah, walaupun dalam apa bentuknya. Dengan kata lain, segala bentuk maksiat adalah fusuq sebagaimana yang dimaksudkan dalam hadith di atas.
Jidal adalah berbantah-bantahan secara berlebihan.
Lihat Ihya Ulumiddin 1/261.
Ketiga perkara ini dilarang selama dalam ihram. Adapun di luar waktu ihram, bersetubuh dengan pasangan kembali diperbolehkan, sedangkan larangan yang lain tetap tidak boleh.
Demikian juga, orang yang ingin hajinya mabrur hendaklah meninggalkan semua bentuk dosa selama perjalanan mengerjakan ibadah haji, baik berupa syirik, bid’ah mahupun maksiat.
Keenam: Setelah haji menjadi lebih baik.
Salah satu tanda diterimanya amal seseorang di sisi Allah adalah apabila diberikan taufik kepadanya untuk melakukan kebaikan lagi setelah amalan tersebut dilakukan. Sebaliknya, jika setelah beramal soleh kemudian melakukan perbuatan buruk, maka itu adalah tanda bahawa Allah tidak menerima amalannya. Lihat Lathaiful Ma’arif 1/68.
Ibadah haji adalah madrasah. Selama kurang lebih dari satu bulan para jamaah haji disibukkan oleh berbagai ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Untuk sementara waktu, mereka terjauh dari hiruk pikuk urusan duniawi yang melalaikan. Inilah peluang untuk menjadi seterbaik mungkin selepas selesai haji.
Ini kerana latihan pembersihan hati atau ‘تَصْفِيَةُ القُلُوب’ akan menatijahkan ‘akhlak yang unggul’ selaras dengan kehendak Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam untuk menyempurkanakan ‘مَكَارِمُ الأَخْلَاق’.
Logiknya, setiap orang yang menjalankan ibadah haji akan pulang dari tanah suci dalam keadaan yang lebih baik. Namun, kadang-kadang yang terjadi tidak demikian, apatahlagi setelah senggang waktu yang lama dari waktu berhaji. Ramai yang tidak terlihat lagi pengaruh dari baik haji yang telah dilakukan pada dirinya.
Bertaubat setelah haji, berubah menjadi lebih baik, memiliki hati yang lebih lembut dan bersih, ilmu dan amal yang lebih mantap dan benar, kemudian istiqamah di atas kebaikan itu adalah salah satu tanda haji mabrur.
Orang yang hajinya mabrur menjadikan ibadah haji sebagai titik tolak untuk membuka lembaran baru dalam menggapai reda Allah Subhanahuwata’ala. Ia akan semakin mendekat ke akhirat dan menjauhi dunia.
Al-Hasan al-Basri mengatakan, “Haji mabrur adalah pulang dalam keadaan zuhud terhadap dunia dan mencintai akhirat. (Lihat At-Tarikh al-Kabir 3/238) Ia juga mengatakan, “Tandanya adalah meninggalkan perbuatan-perbuatan buruk yang dilakukan sebelum haji”. Lihat Lathaiful Ma’arif 1/67.
Ibnu Hajar al-Haitami mengatakan, “Dikatakan bahawa tanda diterimanya haji adalah meninggalkan maksiat yang dahulu dilakukan, mengganti teman-teman yang buruk menjadi teman-teman yang baik, dan mengganti majlis kelalaian menjadi majlis zikir dan kesdaran”. Lihat Qutul Qulub 2/44.
Penutup
Sekali lagi ditegaskan, yang menilai mabrur tidaknya haji seseorang adalah Allah Subhanahuwata’ala semata. Para ulama hanya menjelaskan tanda-tanda haji mabrur sesuai dengan ilmu yang telah Allah berikan kepada mereka. Jika tanda-tanda ini ada dalam ibadah haji anda, maka hendaknya anda bersyukur atas taufik dari Allah. Anda boleh berharap ibadah anda diterima oleh Allah, dan teruslah berdoa agar ibadah anda benar-benar diterima. Adapun jika tanda-tanda itu tidak ada, maka anda harus bermuhasabah, istighfar dan memperbaiki amalan anda.
No comments:
Post a Comment