Wednesday, February 21, 2024

Syariat Islam Mudah dan Ringan diantaranya Taubat.

Syariat Islam Mudah dan Ringan diantaranya Taubat.

Sesungguhnya kemudahan dan keringanan merupakan salah satu dari ciri-ciri dan kekhususan syariat Islam. Serta ianya merupakan salah satu identiti Islam yang paling jelas.


Seluruh ajaran Islam telah terbukti dapat dilaksanakan oleh manusia.Di antara prinsip Islam adalah عدم الحرج (meniadakan kesulitan).Sebagaimana telah diamalkan dengan baik oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, para sahahat, tabi’in, salafus soleh, dan orang-orang soleh hingga kini.


Hanya hawa nafsu dan kuatnya godaan syaitan yang membuat manusia   mengabaikan ajaran Islam. Ketidak fahaman tentang ajaran Islam juga boleh menjadi sumber atau faktor tidak diamalkannya ajaran Islam.


Jika kita perhatikan dan kita cermati dengan seksama, akan kita dapati bahawa kemudahan dan keringanan merupakan salah satu tujuan syariat yang dijunjung tinggi oleh agama ini. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى الدِّيْنِ مِنْ حَرَجٍۗ مِلَّةَ اَبِيْكُمْ اِبْرٰهِيْمَۗ


Maksudnya:”Dan Dia tidak menjadikan kesukaran untukmu dalam agama. (Ikutilah) agama nenek moyangmu Ibrahim”.  Al-Hajj ayat 78.

 

Allah Subhanahuwata’ala juga berfirman,


يُرِيْدُ اللّٰهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيْدُ بِكُمُ الْعُسْرَ 


Maksudnya:”Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu”. Al-Baqarah ayat 185


Nabi kita Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam juga bersabda,


إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ، فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا، وَأَبْشِرُوا


Maksudnya:”Sesungguhnya agama Islam itu mudah, dan tidaklah seseorang mempersulit agama, kecuali dia akan dikalahkan (tidak mampu melakukan amal meskipun yang mudah dan ringan, lantas tidak dapat istiqomah dalam beramal). Maka, berlakulah lurus kalian, mendekatlah (kepada yang benar), dan bergembiralah (dengan pahala yang menanti kamu)”. Riwayat Bukhari (39)


Islam adalah agama yang mudah dan memudahkan. Apalagi jika kita bandingkan dengan agama-agama sebelumnya. Dimana, Allah Subhanahuwata’ala telah mengangkat dari umat ini beban yang dahulu pernah dipikulkan kepada umat-umat sebelumnya.


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


إِنَّ خَيْرَ دِينِكُمْ أَيْسَرُهُ، إِنَّ خَيْرَ دِينِكُمْ أَيْسَرُهُ، إِنَّ خَيْرَ دِينِكُمْ أَيْسَرُهُ


Maksudnya Sesungguhnya sebaik-baik agama kalian adalah yang paling mudah. Sesungguhnya sebaik-baik agama kalian adalah yang paling mudah. Sesungguhnya sebaik-baik agama kalian adalah yang paling mudah”. Riwayat Ahmad dalam kitabnya Al-Musnad (3: 479)


Dalam sebuah hadith, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam telah menunjukkan kasih sayang beliau kepada umatnya dengan memberikan keringanan dan kemudahan bagi kita. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam memerintahkan kita semua untuk beramal sesuai dengan kadar kemampuan kita masing-masing serta tidak memperbolehkan sikap berlebih-lebihan di dalamnya


Sesuatu yang berlebih-lebihan itu akan menimbulkan kebosanan, dan kebosanan dalam beramal tentu saja memberi kesan buruk terhadap diri seorang hamba. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam mengatakan,


يَا أَيُّهَا النَّاسُ، عَلَيْكُمْ مِنَ الأَعْمَالِ مَا تُطِيقُونَ؛ فَإِنَّ اللَّهَ لا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا، وَإِنَّ أَحَبَّ الأَعْمَالِ إِلَى اللهِ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ، وَإِنْ قَلَّ


Maksudnya:”Wahai manusia, hendaknya kalian melakukan amal sesuai dengan kemampuan kalian, kerana Allah tidak akan bosan (di dalam memberikan pahala) sampai kalian bosan (dalam beramal). Dan sungguh amal yang paling dicintai oleh Allah adalah yang dilakukan terus-menerus meskipun sedikit”. Riwayat Bukhari (5861) dan Muslim (782), hadith ini adalah lafaz Muslim.


Dalam Islam, ada satu syariat khusus yang disebut dengan rukhshah atau keringanan. Rukhshah merupakan salah satu bentuk kasih sayang Allah Subhanahuwata’ala kepada kaum muslimin. Di mana salah satu tujuan dan hikmahnya adalah mempermudahkan kaum muslimin dalam perkara ibadah ataupun kewajipan.


Dalam sebuah safar misalnya, seorang muslim yang sedang bepergian dengan jarak dua marhalah(ukuran zaman sekarang adalah antara 85 km – 90 km atau bersamaan 56 batu, diperbolehkan untuk memendekkan solat dan berbuka puasa. Dan Allah Subhanahuwata’ala sangatlah senang apabila hamba-hamba-Nya mengambil keringanan ini. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


إِنَّ اَللَّهَ يُحِبُّ أَنْ تُؤْتَى رُخَصُهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ تُؤْتَى مَعْصِيَتُهُ


Maksudnya:”Sesungguhnya Allah suka bila rukhshah (keringanan)-Nya dilaksanakan sebagaimana Dia benci bila kemaksiatan kepada-Nya dilakukan”. Riwayat Ahmad (5866), Al-Bazzar (5998), dan Ibnu Khuzaimah (2027)


Ketika Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam mengutus sahabat Muaz bin Jabal dan Abu Musa Al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhuma ke Yaman, beliau Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


يَسِّرَا ولا تُعَسِّرَا، وَبَشِّرَا ولا تُنَفِّرَا، وَتَطَاوَعَا ولا تَخْتَلِفَا


Maksudnya:”Hendaknya kalian berdua itu mempermudah, jangan mempersulit, memberi khabar gembira, dan tidak menjadikan orang semakin menjauh, dan bersatu padulah dan janganlah saling berselisih”. Riwayat Bukhari (3038) dan Muslim (1733)


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam juga menegaskan dalam sebuah hadith,


إِنَّ اللَّهَ لم يَبْعَثْنِي مُعَنِّتًا، ولا مُتَعَنِّتًا؛ وَلَكِنْ بَعَثَنِي مُعَلِّمًا مُيَسِّرًا


Maksudnya:”Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala tidak mengutusku untuk memaksa orang atau menjerumuskannya, akan tetapi Dia mengutusku sebagai seorang pengajar dan orang yang memudahkan urusan.” Riwayat Muslim (1478)


Agama Islam ini Allah Subhanahuwata’ala telah turunkan penuh dengan kemudahan. Bahkan, Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam diutuskan, salah satu tujuannya adalah untuk mempermudah urusan umatnya. Amat salah dan keliru, bila ada orang mengatakan bahawa Islam penuh dengan kekerasan, kesulitan, dan memberatkan pemeluknya.


Kemudahan dan keringanan dalam Islam begitu beragam bentuknya. Kesemuanya itu melebur dalam segala aspek kehidupan kita, yang mana merupakan salah satu bukti bahawa Allah Subhanahuwata’ala begitu Mahalembut kepada hamba-hamba-Nya. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala,


اللَّهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ


Maksudnya:”Allah Mahalembut terhadap hamba-hamba-Nya.” Asy-Syura ayat 19.


Di antara bentuk kemudahan dan keringanan yang paling besar dalam Islam adalah terbukanya pintu taubat bagi para pendosa. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


قُلْ يٰعِبَادِيَ الَّذِيْنَ اَسْرَفُوْا عَلٰٓى اَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوْا مِنْ رَّحْمَةِ اللّٰهِ ۗاِنَّ اللّٰهَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ جَمِيْعًا ۗاِنَّهٗ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ


Maksudnya:”Katakanlah, ‘Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang”. Az-Zumar ayat  53.


Allah Subhanahuwata’ala juga berfirman pada surah As-Syura,


وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ وَيَعْفُو عَنِ السَّيِّئَاتِ وَيَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ


Maksudnya:”Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan”. AS-Syura’ ayat 25.


Mungkin di antara kita ada yang kehairanan, mengapa terbukanya pintu taubat kepada umat ini menjadi salah satu bentuk kemudahan dan keringanan dalam syariat Islam?


Perlu kita ketahui terlebih dahulu, bahawa taubatnya umat terdahulu mempunyai persyaratan yang sangat berat, persyaratan yang telah Allah Subhanahuwata’ala hapuskan untuk umat Islam ini. Iaitu, terkabulnya taubat dengan adanya pengorbanan jiwa.


Pada zaman dahulu, ketika kaum Nabi Musa ‘alaihissalam menyembah patung, kemudian mereka ingin bertaubat, Allah Subhanahuwata’ala uji taubat mereka dengan persyaratan yang berat ini. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَاِذْ قَالَ مُوْسٰى لِقَوْمِهٖ يٰقَوْمِ اِنَّكُمْ ظَلَمْتُمْ اَنْفُسَكُمْ بِاتِّخَاذِكُمُ الْعِجْلَ فَتُوْبُوْٓا اِلٰى بَارِىِٕكُمْ فَاقْتُلُوْٓا اَنْفُسَكُمْۗ ذٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ عِنْدَ بَارِىِٕكُمْۗ فَتَابَ عَلَيْكُمْ ۗ اِنَّهٗ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمُ


Maksudnya:”Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya, ‘Wahai kaumku! Kamu benar-benar telah menzalimi dirimu sendiri dengan menjadikan (patung) anak sapi (sebagai sesembahan), kerana itu bertaubatlah kepada Penciptamu dan bunuhlah dirimu. Itu lebih baik bagimu di sisi Penciptamu. Dia akan menerima taubatmu. Sungguh, Dialah Yang Maha Penerima taubat, Maha Penyayang”.  Al-Baqarah ayat 54.


Sedangkan bagi umat Islam, taubat kita cukup dengan menghentikan perbuatan maksiat, bertekad untuk tidak mengulanginya, dan menyesali perbuatan tersebut. Adapun jika kemaksiatan tersebut berkaitan dengan hak manusia, maka mesti ditunaikan dan mengembalikan hak yang telah ia ambil tersebut itu.


Ketika seorang muslim telah melakukan hal-hal yang telah  disebutkan, maka إن شاء الله Allah akan menerima taubatnya, bahkan Allah memberikan bonus berupa janji masuknya orang yang bertaubat tersebut ke dalam syurga-Nya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا تُوْبُوْٓا اِلَى اللّٰهِ تَوْبَةً نَّصُوْحًاۗ عَسٰى رَبُّكُمْ اَنْ يُّكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّاٰتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِيْ مِنْ تَحْتِهَا الْاَنْهٰرُۙ يَوْمَ لَا يُخْزِى اللّٰهُ النَّبِيَّ وَالَّذِيْنَ اٰمَنُوْا مَعَهٗۚ 


Maksudnya:”Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak mengecewakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengannya” At-Tahrim ayat 8.


Kita seharusnya berbangga dengan kemuliaan agama Islam ini serta dapat mengamalkan keistimewaan ini dalam kehidupan kita sehari-hari. Tidak berlebih-lebihan di dalam melakukan segala sesuatu, tidak mudah menyakiti orang lain, tidak bermudah-mudahan di dalam menghakimi orang lain, serta memperbanyak taubat kepada Allah Subhanahuwata’ala.


رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنْتَ مَوْلَانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ


Maksudnya:”Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir”. Al-Baqarah ayat  286.


أَقُوْلُ قَوْلِيْ هٰذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِيْ وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ



No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...