Thursday, February 29, 2024

Keutamaan Amal Ibadah Hati

Keutamaan Amal Ibadah Hati

Amal ibadah hati memiliki kedudukan yang sangat penting melebihi amal ibadah anggota tubuh badan lainnya. Sebagaimana sabda Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam ,


Daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

 

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ


Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung)”. Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599).


Hati adalah laksana komandan dalam pertempuran, sedangkan anggota tubuh lainnya adalah perajurit-perajuritnya yang patuh lagi tunduk kepadanya. Dengan hati yang soleh dan benar, maka seluruh anggota badan pun akan menjadi soleh juga. Sebaliknya, jika hati ini rosak dan kotor, maka tubuh pun akan ikut rosak kerana banyaknya maksiat yang dilakukannya.


Hati atau Qalb boleh didefinisikan sebagai fu’ad dan akal yang murni (al-‘aql al-mahd). (Lihat al-Qamus al-Muhit, 127). Qalb adalah kata terbitan daripada (ق-ل-ب). Dipanggil qalb kerana perubahan yang terjadi padanya. Ibn Manzur menyatakan: “qalbu al-qalbi: ay tahwil al-syai’ ‘an wajhihi”, yang berarti perubahan sesuatu pada keadaannya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 1/680).


Kalimah al-qalb ditemui pada 130 tempat dalam 45 surah dan 112 ayat yang mempunyai erti dan makna yang pelbagai, sesuai dengan konteks ayatnya. (Lihat al-Mu’jam al-Mufahras fi Alfaz al-Qur’an, m. 550-551). Menurut al-Hakim, qalb merupakan martabat kedua setelah sadr. Qalb ibarat warna hitam bagi anak mata, atau kota Mekah yang berada dalam Tanah Haram, atau sumbu yang berada dalam lampu atau ruang tamu yang berada di sebuah rumah atau isi buah badam selepas kulit yang menutupinya.


Qalb merupakan tempat bagi ilmu kerana dengannya manusia bertadabur dan bertafakkur. Umpama sumur, qalb merupakan sumber mata air dan sadr adalah tempat menampung mata air tersebut. Daripada mata air tersebut, air muncul yang terkumpul dalam sumur dan darinya ilmu tertuang di dalam sadr. (Lihat Bayan al-Farq, m. 20)


Imam al-Ghazali mendefinisikan qalb sebagai sesuatu yang halus, bersifat ketuhanan, kerohanian dan mempunyai hubungan yang erat dengan jantung. Kehalusan inilah yang mampu mencerap, mengetahui dan mengenali sesuatu perkara (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 8/1344).


Al-Qur’an menyebutkan berkenaan fu’ad dalam beberapa bentuk. (الفؤاد) ada dalam 3 ayat, (فؤادك) sebanyak 2 ayat, (أفئدة) boleh didapati dalam 8 ayat dan (أفئدتهم) sebanyak 3 ayat. (Lihat al-Mu’jam al-Mufahras fi Alfaz al-Qur’an, m. 550). Fu’ad adalah ibarat iris mata yang berada di dalam anak mata yang berwarna hitam pada bola mata, atau Masjid al-Haram yang berada di dalam Makkah, atau almari yang berada di rumah, atau sumbu yang terletak di tengah-tengah lampu, atau serat buah badam. (Lihat Bayan al-Farq, m. 21)


Al-Hakim menjelaskan, bahawa fu’ad dan qalb memiliki makna yang sama sebagai penglihatan batin/mata hati (basirah). Pun begitu, fungsinya adalah berbeza. Fu’ad adalah tempat ru’yah batiniyyah manakala qalb merupakan tempat bagi ilmu. Apabila bergabung penglihatan (fu’ad) dan pengetahuan (qalb), maka akan tersingkaplah segala yang tertutup di mana seseorang hamba oleh meminta pertolongan-Nya dengan ilmu, musyahadah dan iman.

Firman Allah Subhanahuwata’ala,


مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَىٰ


Maksudnya: Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang dilihatnya”. Al-Najm ayat 11.


Dengan adanya pengaruh kecil sahaja, keadaan hati dapat berubah 180 darjah. Begitu mudahnya hati  berubah-ubah sehingga Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam membiasakan diri untuk berdoa kepada Allah Subhanahuwata’ala, meminta agar diberikan keteguhan hati. Ummu Salamah isteri Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menceritakan,


كانَ أَكْثرُ دعائِهِ يا مقلِّبَ القلوبِ ثبِّت قلبي علَى دينِكَ قالَت فقُلتُ يا رسولَ اللَّهِ ما أَكْثرَ دعاءِكَ يا مقلِّبَ القلوبِ ثبِّت قَلبي علَى دينِكَ قال يا أمَّ سلمةَ إنَّهُ لَيسَ آدميٌّ إلَّا وقلبُهُ بينَ أصبُعَيْنِ من أصابعِ اللَّهِ فمَن شاءَ أقامَ ومن شاءَ أزاغَ

Maksudnya:” Doa beliau Sallallahu‘alaihiwasallam yang paling sering adalah, ‘Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu!’ Ummu Salamah berkata, ‘Wahai Rasulullah, betapa sering anda berdoa, ‘Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.’” Beliau bersabda, ‘Wahai Ummu Salamah, sesungguhnya tidak ada seorang manusia pun, melainkan hatinya berada di antara dua jari di antara jari-jari Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya. Dan barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan membelokkannya”. Tirmidzi no. 3522 dan Ahmad no. 26679)


Salah seorang perawi hadith ini, Muadz bin Muaz, setelah membacakan hadith ini, beliau membaca firman Allah Subhanahuwata’ala,


رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ


Maksudnya:”Ya Tuhan, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu. Sungguh hanya Engkaulah Yang Maha Pemberi kurnia”. Ali ‘Imran ayat 8.


Sesungguhnya hati kita menjadi ikutan baik atau buruknya diri kita di hadapan Allah Subhanahuwata’ala. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,


إنَّ اللَّهَ لا يَنْظُرُ إلى صُوَرِكُمْ وأَمْوالِكُمْ، ولَكِنْ يَنْظُرُ إلى قُلُوبِكُمْ وأَعْمالِكُمْ


Maksudnya:”Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa-rupa kalian dan harta-harta kalian, akan tetapi Allah melihat pada hati-hati kalian dan amalan-amalan kalian”. Muslim ( 2564)


Allah Subhanahuwata’ala juga telah mengkhabarkan bahawa hati yang selamat dan bersih akan menyelamatkan seseorang di akhirat nanti. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَّلَا بَنُوْنَ ۙ اِلَّا مَنْ اَتَى اللّٰهَ بِقَلْبٍ سَلِيْمٍ ۗ


Maksudnya:”(Iaitu), pada hari (ketika) harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih”. Asy-Syu’ara ayat  88-89.


Menurut Tafsir Jalalayn,

(Kecuali) lain halnya dengan (orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih") dari syirik dan munafik, yang dimaksud adalah hati orang Mukmin, maka sesungguhnya imannya itu dapat memberi manfaat kepada dirinya”. Lihat Tafsir Jalalayn


Semoga Allah Subhanahuwata’ala senantiasa menjadikan hati kita bersih dari kesyirikan, memberikan kita hati yang senantiasa takut kepada-Nya, hati yang diliputi perasaan muraqabah, kesedaran bahawa Allah Subhanahuwata’ala senantiasa mengawasi kita, di mana pun dan bila pun kita berada.


Hati merupakan tempat yang lembut, rahmat, kasih sayang dan lain-lain hal. Apabila hati diisi  dengan banyak zikrullah, nescaya ia memenuhi rahmat dan kasih sayang.


Hati merupakan anggota yang menentukan segala permasalahan hidup. Jika ia dimakmurkan dengan keyakinan dan iman, sudah tentu segala anggota akan mengikut dengan penuh keimanan. Bagi menunjukkan betapa kuat, kuasa dan luasnya hati dengan keimanan, Allah Taala telah menjelaskannya dalam Surah az-Zumar ayat 23,


اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابًا مُتَشَابِهًا مَثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ


Maksudnya:" Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (yaitu) Al Quran yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gemetar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, nescaya tak ada baginya seorang pemimpinpun".


Itulah petunjuk Allah, dengan kitab-Nya itu Dia menunjukkan siapa yang yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.


Keutamaan amal ibadah hati ini juga disebutkan di dalam hadith yang masyhur. Hadith tentang tujuh golongan yang mendapatkan naungan Allah pada hari kiamat nanti. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ في ظِلِّهِ، يَومَ لا ظِلَّ إلَّا ظِلُّهُ: الإمَامُ العَادِلُ، وشَابٌّ نَشَأَ في عِبَادَةِ رَبِّهِ، ورَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ في المَسَاجِدِ، ورَجُلَانِ تَحَابَّا في اللَّهِ اجْتَمعا عليه وتَفَرَّقَا عليه، ورَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وجَمَالٍ، فَقَالَ: إنِّي أخَافُ اللَّهَ، ورَجُلٌ تَصَدَّقَ، أخْفَى حتَّى لا تَعْلَمَ شِمَالُهُ ما تُنْفِقُ يَمِينُهُ، ورَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ


Maksudnya:”Ada tujuh golongan yang dinaungi Allah dalam naungan-Nya, pada hari yang tidak ada naungan, kecuali naungan-Nya, (iaitu): imam yang adil; seorang pemuda yang tumbuh dewasa dalam beribadah kepada Allah; seorang yang hatinya bergantung ke masjid; dua orang yang saling mencintai di jalan Allah, keduanya berkumpul kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya; seorang laki-laki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik, lalu ia berkata, ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah.’; dan seseorang yang bersedekah dengan satu sedekah, lalu ia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfakkan tangan kanannya; serta seseorang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sepi lalu ia meneteskan air matanya”.  Riwayat Bukhari (6806) dan Muslim (1031)


Di tengah panasnya dan teriknya matahari pada hari di mana Allah dekatkan matahari kepada kita, sehingga sebahagian manusia ada yang peluhnya menenggelamkannya.


Allah juga menyelamatkan sebahagian golongan dengan memberikan naungan dan perlindungan-Nya kepada mereka. Sesungguhnya apa yang diperolehi oleh manusia pada hari tersebut nanti adalah  merupakan hasil dari amal ibadah hati yang mereka lakukan.


Pertama, seorang pemimpin yang adil timbul kerana adanya perasaan muraqabah di dalam hatinya, merasa diawasi oleh Allah Subhanahuwata’ala. Ketika seorang pemimpin memiliki perkara tersebut di dalam hatinya, maka ia akan lebih bertanggungjawab terhadap amanah kepemimpinannya dan lebih mengkedepankan kepentingan rakyatnya. Dan inilah yang menjadi penyebab dirinya mendapatkan naungan Allah Subhanahuwata’ala.


Yang kedua, pemuda yang tumbuh dan berkembang di dalam ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Hatinya tidak kalah menurut nafsu syahwat dan godaan syaitan, serta dipenuhi dengan rasa takut kepada Allah Subhanahuwata’ala.


Yang ketiga, lelaki yang hatinya tertambat begitu kuat dengan masjid dan ia pun jatuh cinta kepadanya. Tatakala waktu solat telah datang, ia segera bergegas berjalan ke arahnya. Tidak ada tempat yang lebih ia cintai di dalam hatinya melebihi cintanya kepada masjid-masjid Allah Subhanahuwata’ala.


Yang keempat, dua orang manusia yang saling mencintai kerana Allah Subhanahuwata’ala. Tidaklah mereka berkumpul, kecuali pasti di dalamnya selalu mengingat Allah Subhanahuwata’ala. Dan tidaklah mereka berpisah, kecuali kerana Allah Subhanahuwata’ala.


Yang kelima, seorang lelaki yang memiliki rasa takut kepada Allah di dalam hatinya. Maka, ia menolak ajakan seorang wanita yang memiliki kedudukan lagi cantik untuk melakukan perbuatan yang Allah Subhanahuwata’ala haramkan.


Yang keeenam, seseorang yang bersedekah dan memberikan kepada manusia tanpa mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan dari mereka. Hatinya hanyalah mengharapkan pahala dan balasan dari Allah Subhanahuwata’ala. Sedekah tersebut ia lakukan atas dasar keikhlasan yang selalu menghiasi hatinya, keikhlasan yang jauh dari riya’ ataupun sum’ah.


Yang ketujuh, seseorang yang hatinya dipenuhi pengagungan akan kebesaran Allah Subhanahuwata’ala. Ia sedar bahawa Allah Maha Agong. Allah Subhanahuwata’ala sangatlah luas rahmat-Nya. Kemudian, ia menyendiri untuk berzikir dan mengingat Allah Subhanahuwata’ala hingga air mata pun menitis dari kedua matanya.


Perasaan muraqabah, keistiqomahan, kecintaan kepada kebaikan dan kecintaan kepada rumah-rumah Allah Subhanahuwata’ala, rasa takut kepada Allah Subhanahuwata’ala, keikhlasan dalam beramal, serta pengagongan kepada Allah Subhanahuwata’ala adalah contoh amal ibadah hati. Sebagaimana disebutkan di dalam hadith di atas, kesemuanya itu menjadi sebab seorang hamba mendapatkan perlindungan dan naungan Allah di hari akhir nanti.


Di dalam sebuah hadith yang sahih disebutkan.


قِيلَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ النَّاسِ أَفْضَلُ قَالَ كُلُّ مَخْمُومِ الْقَلْبِ صَدُوقِ اللِّسَانِ قَالُوا صَدُوقُ اللِّسَانِ نَعْرِفُهُ فَمَا مَخْمُومُ الْقَلْبِ قَالَ هُوَ التَّقِيُّ النَّقِيُّ لَا إِثْمَ فِيهِ وَلَا بَغْيَ وَلَا غِلَّ وَلَا حَسَدَ


Maksudnya:”Ditanyakan kepada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, “Manusia bagaimanakah yang paling mulia?” Beliau menjawab, “Semua (orang) yang hatinya bersedih dan lisan (ucapannya) benar.” Mereka berkata, “Perkataannya yang benar telah kami ketahui, lantas apakah maksud dari hati yang bersedih?” Beliau bersabda, “Hati yang bertakwa dan bersih, tidak ada kedurhakaan, kezaliman padanya, kedengkian, dan hasad”. Riwayat Majah (4216).


Mereka yang memiliki hati yang bersih dan senantiasa dalam ketakwaan merupakan manusia-manusia yang paling mulia. Kerana seseorang yang hatinya bersih, maka telah selamat dari kesyirikan dan kedengkian.


Semoga Allah Ta’ala senantiasa memberikan hati kita keistiqomahan dalam beramal.


اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ


Maksudnya:”Ya Allah, Zat yang memalingkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu!”.


Terdapat doa khusus yang telah diajar oleh Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam dalam memelihara hati ini daripada terpesong. Hadith tersebut telah diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam Jami’nya:

 

Daripada Anas bin Malik RA berkata: Adapun Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam banyak membaca:

 

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ: نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ


Maksudnya: “Wahai Dzat yang membolak balikkan hati, teguhkanlah hatiku agar ia berada di atas agamamu.” Kemudian aku pun bertanya: “Wahai Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang kamu telah bawa. Lalu apakah kamu masih bimbang kepada kami?” Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya hati manusia itu berada di antara dua jari daripada jari-jari Allah Subhanahuwata’ala yang mana Dia akan membolak-balikkannya mengikut kehendak-Nya”. Riwayat al-Tirmizi (2140). [Hadith ini adalah hasan mengikut penilaian Imam al-Tirmizi]

 

Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam memperbanyakkan berdoa dengan doa tersebut kerana hati ini kadang-kadang ia cenderung kepada ketaatan dan kadang-kadang pula ia cenderung kepada kemaksiatan. Selain itu juga, hati ini juga kadang-kadang cenderung kepada sedar dan kadang-kadang cenderung kepada alpa. Untuk itu, doa ini bertujuan agar ditetapkan hati ini di atas agama tanpa terpesong sedikitpun daripada agama yang mulia dan jalan (agama) yang lurus ini. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 291/6]

 

Tambahan pula, tidak ada tempat yang khusus untuk dibacakan doa ini dan ia boleh dibaca dalam apa jua keadaan sekalipun sama ada di dalam solat ataupun di luar solat. Selain itu, ia juga merupakan salah satu daripada doa-doa yang terbaik kerana ia diajar sendiri oleh Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam.


أَقُوْلُ قَوْلِيْ هٰذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِيْ وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ


 .

 

 




No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...