Thursday, February 15, 2024

Mencegah dari kemungkaran adalah satu kewajipan.

Mencegah dari kemungkaran adalah satu kewajipan.

Perintah utama dalam agama Islam iaitu menyuruh berbuat perkara makruf dan melarang berbuat perkara mungkar. Ia adalah perkara penting kerana dengan perintah inilah Allah Subhanahuwata’ala mengutuskan para Rasul dan Nabi. Sekiranya Allah membiarkannya, pasti terputuslah perutusan agama Islam di muka bumi ini. Agama akan lenyap jika tiadanya penyeruan kepada kebaikan dan pencegahan daripada kemungkaran.


Abu Said al-Khudri RA meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ


Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman". Riwayat Muslim (49) dan Ahmad (11514)


Hadith ini merupakan perintah utama dalam agama Islam iaitu melarang berbuat perkara mungkar, justeru apabila kemungkaran lenyap maka seruan kepada perkara makruf mudah untuk dilakukan.


Definisi al-Munkar:


-Al-Munkar adalah segala yang dilarang oleh syariat atau segala yang menyalahi syariat.

Lihat Lihat al-Kaba’ir wa al-Sagha’ir, hlm. 205


-Al-Munkar adalah satu nama yang mencakupi segala yang dilarang oleh Allah Subhanahuwata'ala". 

Lihat Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim,


Keumuman sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam “Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya…”, menunjukkan bahawa mengingkari kemungkaran adalah wajib atas setiap individu yang memiliki kemampuan serta mengetahui kemungkaran atau melihatnya. Lihat Qawa’id al-Fawa’id, hlm. 288


Justeru, orang yang melihat kesalahan kemudian membencinya dengan hati, sama seperti orang yang tidak melihatnya namun tidak mampu mengingkarinya dengan lisan dan tangannya. Sementara orang yang tidak melihat kesalahan itu, kemudian meredhainya, ia sama seperti orang yang melihatnya, namun tidak mengingkarinya sedangkan dia mampu mengingkarinya. Kerana redha dengan kesalahan-kesalahan termasuk perbuatan haram yang paling buruk serta menyebabkan pengingkaran dalam hati tidak dapat dilaksanakan, sedangkan pengingkaran dengan hati meruipakan kewajiban bagi setiap Muslim dan tidak gugur daripada sesiapa pun dalam semua keadaan. Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 11/245


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


‌إِذَا ‌عُمِلَتِ ‌الْخَطِيئَةُ فِي الْأَرْضِ كَانَ مَنْ شَهِدَهَا فَكَرِهَهَا كَمَنْ غَابَ عَنْهَا، وَمَنْ غَابَ عَنْهَا فَرَضِيَهَا، كَانَ كَمَنْ شَهِدَهَا


Maksudnya: “Apabila dilakukan satu kesalahan di atas muka bumi, sesiapa yang menyaksikannya lalu membencinya adalah seperti orang yang tidak berhadapan dengannya. Sesiapa yang tidak menyaksikannya (tidak berhadapan dengan maksiat), lalu dia reda dengan maksiat itu, adalah seperti orang yang menyaksikannya”. Riwayat Abu Daud (4345)


Selain itu, dapat diketahui juga bahawa mengingkari kemungkaran dengan hati adalah wajib bagi setiap Muslim dalam semua keadaan, manakala mengingkarinya dengan tangan dan lidah itu sesuai dengan kemampuan. Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 11/246


Mengingkari kemungkaran dengan hati yang lemah sudah dapat melepaskannya dari tanggungjawab (iaitu kewajipan mengingkari kemungkaran) jika dia seorang yang lemah dan tidak mampu untuk mengingkari kemungkaran dengan tangan atau lisan. Ini kerana dibimbangi kemudharatan menimpa dirinya, keluarganya dan hartanya sekiranya dia cuba mengingkari kemungkaran dengan tangan dan lisan.


Jika pada sangkaanya, dia tidak akan ditimpa mudharat seperti di atas, maka kewajipan tersebut tidak gugur daripadanya dengan hanya dia mengingkari dengan hati, bahkan dia mesti mengubahnya dengan tangan atau lidah mengikut kemampuannya.

Di samping itu, dalam hadis riwayat Ibn Mas’ud, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


مَا مِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللهُ فِـي أُمَّةٍ قَبـْلِي إِلَّا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّوْنَ وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُوْنَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُوْنَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَـخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوْفٌ يَقُوْلُوْنَ مَا لَا يَفْعَلُوْنَ ، وَيَفْعَلُوْنَ مَا لَا يُؤْمَرُوْنَ ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ ، وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الْإِيْمَـانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ.


Maksudnya: “Tidak ada seorang nabi pun yang diutus Allah pada salah satu umat sebelumku melainkan dia mempunyai pengikut setia dan orang-orang yang mengambil sunnahnya dan mengikuti perintahnya. Kemudian setelah itu, datang generasi-generasi yang mengatakan apa yang tidak mereka kerjakan dan mengerjakan apa yang tidak diperintahkan. Sesiapa melawan mereka dengan tangannya, dia orang mukmin. Sesiapa yang melawan mereka dengan lisannya, dia orang mukmin. Dan sesiapa melawan mereka dengan hatinya, dia orang mukmin. Dan di belakang itu, tidak ada iman sebesar biji sawi pun”. Riwayat Muslim (50), Ahmad (1/458), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (9784) dan Ibn Mandah dalam Kitab al-Iman (184).


Hal ini menunjukkan bahawa amar ma’ruf nahi munkar termasuk bahagian daripada iman. Sabda Baginda tersebut juga menunjukkan bahawa orang yang sanggup melakukan salah satu bahagian daripada iman itu lebih baik daripada orang yang meninggalkannya dan tidak sanggul melakukannya”. Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/253


Abu Bakar al-Siddiq R.A, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


مَا مِنْ قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيْهِمْ بِالْـمَعَاصِيْ يَقْدِرُوْنَ عَلَـى أَنْ يُغَيِّرُوْا ثُمَّ لَا يُغَيِّرُوْا إِلَّا يُوْشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللهُ مِنْهُ بِعِقَابٍ.


Maksudnya: “Tidaklah suatu kaum yang dikerjakan di tengah-tengah mereka pelbagai kemaksiatan yang mampu mereka mencegahnya, namun tidak mereka cegah, melainkan Allah pasti akan menurunkan hukuman kepada mereka semua". 

Riwayat Abu Daud (4338), al-Tirmizi (2168), Ibn Majah (4005), Ibn Hibban (304) dan Ahmad (7)


Imam al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya amar ma’ruf dan nahi munkar adalah fardhu kifayah, kemudian terkadang menjadi fardhu ‘ain jika pada suatu keadaan tertentu, tidak ada yang mengetahuinya kecuali dia. Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 11/23


Dalam masalah ini terdapat dua hukum;


Pertama:

Fardu kifayah, jika kemungkaran diketahui oleh lebih dari satu orang dari masyarakat muslim, maka hukum memberantas kemungkaran tersebut adalah fardu kifayah. Ertinya jika sebahagian mereka, meskipun hanya seorang telah menunaikan kewajiban tersebut, maka kewajiban itu telah gugur terhadap orang Namun jika seorang pun tidak ada yang melaksanakan kewajiban itu, maka semua orang yang sebenarnya mampu melaksanakannya berdosa.


Firman Allah Subhanahuwata'ala’ala,


وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ


Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru pada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar. Ali Imran ayat 104


Ibn Kathir berkata: “Maksud ayat ini adalah hendaklah ada segolongan daripada umat ini yang sedia memegang tanggungjawab ini (amar makruf nahi munkar). Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 11/91


Ibn al-‘Arabi berkata: “Ayat ini dan ayat berikutnya merupakan dalil bahawa amr ma’ruf dan nahi munkar itu adalah fardhu kifayah”. Lihat Ahkam al-Quran, 1/292


Kedua:

Fardu ‘ain. Hukum ini berlaku bagi seseorang (sendirian) yang mengetahui kemungkaran, dan mampu untuk memberantas kemungkaran tersebut. Atau jika yang mengetahui kemungkaran tadi masyarakat umum yang ramai, namun hanya satu orang yang mampu memberantasnya. Dan dua keadaan ini, hukum pencegahan kemungkaran bagi orang tersebut adalah fardu ain. Jika dia tidak melaksanakannya, maka akan berdosa, sebagaimana disebut dalam hadis Nabi di atas, “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran…..”


Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, dia berkata: “Aku mendengar Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


إِنَّ اللهَ لَيَسْأَلُ الْعَبْدَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يَقُوْلَ : مَا مَنَعَكَ إِذْ رَأَيْتَ الْـمُنْكَرَ أَنْ تُنْكِرَهُ؟ فَإِذَا لَقَّنَ اللهُ عَبْدًا حُجَّتَهُ  قَالَ : يَا رَبِّ ، رَجَوْتُكَ ، وَفَرِقْتُ مِنَ النَّاسِ.


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah pasti bertanya kepada seorang hamba pada hari Kiamat hingga Dia bertanya, ‘Apa yang menghalangmu daripada mengingkari sebuah kemungkaran jika engkau melihatnya?’ Jika Allah telah mengajarkan hujjah kepada hamba-Nya tersebut, hamba tersebut berkata, ‘Rabb-ku, aku berharap kepada-Mu, dan aku tinggalkan manusia". Riwayat Ibn Majah (4017), Ahmad (3/27), Ibn Hibban (7324) dan al-Humaidi dalam Musnadnya (739)


Menentang kebatilan dan menolak kemungkaran adalah menjadi satu kewajipan ke atas semua muslim mengikut kemampuannya.


Redha dan tidak mencegah kemungkaran yang berlaku di hadapan kita adalah satu dosa besar. Tanggungjawab utama dalam amar makruf dan nahi mungkar sudah tentu kepada mereka yang berautoriti dan diberi kuasa yang layak digelar sebagai muhtasib. Wajib bagi mereka melaksanakan tanggungjawab mereka dengan       penuh integriti dan tanggungjawab.


Syeikh Muhyiddin berkata: “Ketahuilah bahawa bab amar makruf dan nahi mungkar telah diabaikan oleh ramai orang sejak zaman yang panjang. Tiadalah pada zaman kini kecuali resam yang sedikit sahaja. Ini merupakan bab yang besar yang dengannya akan tegak semua perkara dan ingatlah apabila banyaknya kejahatan maka ketika itu bala akan menimpa kepada orang yang baik dan jahat dan jika tidak dihalang daripada kezaliman dibimbangi Allah mengumumkan bala dan azab-Nya. Benarlah firman Allah Subhanahuwata'ala:


فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ


Maksudnya: “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya". al-Nur ayat 63


Mulailah mencegah dan menahan dari melakukan kemaksiatan dengan diri kita, keluarga dan masyarakat. Marilah sama-sama kita melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar dengan semata-mata kerana Allah dan mengharapkan keredhaan-Nya.



أَقُوْلُ قَوْلِيْ هٰذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِيْ وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ



No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...