Sunday, December 17, 2023

Kucing bukan najis dan hukum membela kucing.

Kucing bukan najis dan hukum membela kucing.

Kucing merupakan haiwan yang suci dan selalu berkeliaran di sekeliling manusia.

Hadith masyhur dikalangan penuntut ilmu dan dijadikan sebagai dalil dalam ilmu Feqah dalam bahagian najis.


عَنْ كَبْشَةَ بِنْتِ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ أَبَا قَتَادَةَ دَخَلَ عَلَيْهَا ثُمَّ ذَكَرَتْ كَلِمَةً مَعْنَاهَا فَسَكَبْتُ لَهُ وَضُوءًا فَجَاءَتْ هِرَّةٌ فَشَرِبَتْ مِنْهُ فَأَصْغَى لَهَا الْإِنَاءَ حَتَّى شَرِبَتْ قَالَتْ كَبْشَةُ فَرَآنِي أَنْظُرُ إِلَيْهِ فَقَالَ أَتَعْجَبِينَ يَا ابْنَةَ أَخِي فَقُلْتُ نَعَمْ قَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ إِنَّمَا هِيَ مِنْ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ وَالطَّوَّافَاتِ

Maksudnya:"Dari Kabsyah binti Ka'ab bin Malik bahawa Abu Qatadah masuk ke dalam-menemuinya -kemudian menyebutkan suatu kalimat -yang maknanya- aku menuangkan air wudu kepada beliau, lalu datang seekor kucing yang meminum air wudlu tersebut. Beliau lalu menyodorkan bejana tadi kepada kucing tersebut hingga kucing tersebut meminumnya. Kabsyah berkata, "Dia melihatku sedang memperhatikannya, maka dia berkata, 'Apakah kamu merasa hairan wahai anak perempuan saudaraku? ' Aku berkata, 'Ya'. Dia berkata, 'Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, " Kucing itu tidak najis. Kucing itu termasuk haiwan yang ada di sekeliling kalian". Malik(38),Ahmad(21535),Tirmizi(85), An-Nasai(67), (338)

Maka, kita ketahui bahawa di sana ada kelonggaran dan hukum khas yang diberikan kepada kucing kerana ia termasuk dalam haiwan yang biasanya berkeliaran di tempat tinggal manusia atau dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Al-San‘ani menyebutkan dalam kitabnya bahawa Allah Subhanahuwata'ala telah memberi keringanan kepada hamba-Nya (hukum berkaitan kucing) dengan menjadikannya tidak najis, bagi menghilangkan kesusahan kepada manusia, dan hadith ini merupakan dalil bahawa kucing itu adalah suci, begitu juga bekas minumannya (air yang telah diminum). (Lihat Subul al-Salam, 1/33).

Selain itu, dalam mazhab al-Syafi‘i, air baki jilatan kucing itu adalah suci dan tidak makruh menggunakannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/172). Ibn Qudamah juga ada menyatakan bahawa bagi setiap haiwan hukum kulitnya, bulunya, peluhnya, air matanya atau air liurnya adalah mengikut hukum bekas minumannya (air yang telah diminum) sama ada suci atau najis. (Lihat al-Mughni, 1/39). Justeru, berdasarkan kepada kenyataan ini, bulu kucing dianggap suci dan bukan najis kerana air baki jilatannya dihukumkan sebagai suci.

Manakala al-Khatib al-Syirbini pula menyatakan bahawa bahagian yang terpisah daripada haiwan yang hidup, hukumnya adalah seperti bangkainya. Dalam erti kata lain, haiwan yang hidup itu, sekiranya bangkainya adalah suci maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai suci. Sekiranya bangkainya adalah najis maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai najis. Oleh itu, bahagian yang terpisah daripada manusia, ikan atau belalang adalah suci, manakala haiwan selainnya adalah dianggap najis. Adapun, bahagian yang terpisah daripada haiwan yang sudah mati, hukumnya mengikut sebagaimana haiwan tersebut mati (disembelih ataupun tidak) tanpa syak lagi melainkan pada bulu haiwan yang boleh dimakan. Hukumnya adalah suci secara ijma‘ para ulama. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/235).

Oleh itu, secara asasnya menurut mazhab Syafi‘i  bulu kucing yang tercabut semasa ia masih hidup dianggap sebagai najis kerana kucing termasuk dalam kategori haiwan yang tidak halal dimakan. Walaupun begitu, ia adalah dimaafkan jika sedikit. Begitu juga dimaafkan bagi mereka yang bekerja sebagai doktor haiwan, penjaga zoo dan lain-lain kerjaya yang tidak dapat mengelakkan diri daripada kucing. Hal ini dinyatakan oleh Syeikh Ibrahim al-Bajuri sebagaimana berikut:


وخرج بالمأكول غيره كالحمار والهرة فشعره نجس لكن يعفى عن قليله بل وعن كثيره فى حق من ابتلى به كالقصاصين

Maksudnya: “Dikecualikan dengan hukum haiwan yang halal dimakan (halal bulunya) iaitu selainnya seperti keldai dan kucing. Maka bulunya adalah najis namun dimaafkan jika sedikit. Bahkan (turut dimaafkan) dalam jumlah banyak (bulunya) bagi individu yang ada kesulitan dengannya seperti pemotong bulu.” (Lihat Hasyiyah al-Baijuri ‘ala Ibn Qasim al-Ghazi, 2/290).

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, dapat difahami bahawa bulu kucing yang tercabut atau tertanggal termasuk dalam kategori najis yang dimaafkan jika sedikit. Begitu juga dimaafkan bagi mereka yang bekerja sebagai doktor haiwan, penjaga zoo dan lain-lain kerjaya yang tidak dapat mengelakkan diri daripada kucing. Lebih-lebih lagi, kucing termasuk dalam haiwan peliharaan dan sukar untuk dikawal. Oleh kerana itu, jika badan, pakaian atau tempat solat terkena bulu kucing, maka solat yang dikerjakan adalah sah.

Pun begitu, untuk mengelakkan daripada khilaf, sebaiknya dipastikan pakaian itu benar-benar bersih daripada bulu kucing sebelum menunaikan solat. Adapun sekiranya kucing datang menggeselkan badannya ketika kita sedang solat dan meninggalkan bulunya, ia dimaafkan mengikut pandangan sebahagian ulama’ Syafi‘iyyah kerana tidak dapat dielakkan.

Begitu juga tidak ada larangan mahupun suruhan membela kucing samada di dalam rumah atau di luar rumah melalui dalil al-Qur'an mahupun Sunnah.

Secara umumnya, hukum asal memelihara atau membela kucing adalah harus. Ini berdasarkan kaedah fekah yang masyhur :


الأَصْلُ فِي الأشْيَاءِ الإبَاحَة

Maksudnya : Hukum asal bagi setiap perkara adalah harus.

Oleh yang demikian, sesiapa yang meneliti akan maksud keharusan hukum, maka dia akan jelas bahawa syarak tidaklah menuntutnya untuk melakukan atau melarangnya dari melakukan, namun syarak memberinya pilihan sama ada untuk buat ataupun meninggalkannya.

Justeru, dalam isu membela kucing ini tidak terdapat nas daripada syarak yang menyuruh seseorang itu membelanya, begitu juga tidak terdapat larangan syarak ke atas perbuatan tersebut. Maka ia kembali kepada hukum asal iaitu keharusan.


No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...