Wednesday, December 13, 2023

Hukum menyimpan barang-barang lama.

Hukum menyimpan barang-barang lama.

Tidak salah untuk membeli pakaian baru, atau menyimpan barang-barang tertentu selagi ianya halal. Ianya juga sebahagian daripada perkara yang halal yang diizinkan syariat.

Secara asasnya, di antara kaedah yang diletakkan oleh para fuqaha dan disebutkan oleh Imam al-Suyuthi adalah,


الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).


Namun dalam berbelanja dan mengumpul harta benda dan aset, ia perlu diseimbangkan dengan kebertanggungjawaban kita di dunia, dan apa pula yang kita sediakan jawapannya di akhirat.


Secara umumnya setiap nikmat yang kita ada akan dihisab dan dipersoal termasuk segala pakaian, makanan, hatta ilmu pengetahuan pun akan ditanya ke mana amalannya.


عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ قَالَ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

Dari Abu Barzah Al Aslami berkata: Rasulullah Sallallahu'alaihiwasalam bersabda: "Kedua telapak kaki seorang hamba tidak akan bergeser pada hari kiamat sampai ditanya tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang ilmunya untuk apa dia amalkan, tentang hartanya dari mana dia peroleh dan kemana dia infakkan dan tentang tubuhnya untuk apa dia gunakan." Dia berkata: Hadith ini hasan sahih". Riwayat Tirmizi(2341)


Juga firman Allah Subhanahuwata'ala,


ثُمَّ لَتُسْـَٔلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ ٱلنَّعِيمِ ٨


Maksudnya;"Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya). At-Takatsur ayat 8

Ada pula dalil yang jelas berkenaan keutamaan menyedekahkan pakaian adalah berdasarkan kepada sebuah riwayat daripada Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bersabda,


‏ مَنْ لَبِسَ ثَوْبًا جَدِيدًا فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَسَانِي مَا أُوَارِي بِهِ عَوْرَتِي وَأَتَجَمَّلُ بِهِ فِي حَيَاتِي ‏.‏ ثُمَّ عَمَدَ إِلَى الثَّوْبِ الَّذِي أَخْلَقَ أَوْ أَلْقَى فَتَصَدَّقَ بِهِ كَانَ فِي كَنَفِ اللَّهِ وَفِي حِفْظِ اللَّهِ وَفِي سِتْرِ اللَّهِ حَيًّا وَمَيِّتًا


Maksudnya: Sesiapa yang memakai pakaian yang baharu hendaklah dia mengucapkan: ‘’Segala puji bagi Allah yang telah memakaikan aku sesuatu yang aku dapat menutup auratku dengannya dan aku memperindahkan diri dengannya di dalam kehidupanku’’. Kemudian dia pergi kepada pakaian yang telah ditanggalkannya itu (pakaian lama) lalu dia menyedekahkannya, maka dia berada di bawah lindungan Allah, pemeliharaan-Nya, dan ditutup (keaibannya) semasa hidup dan selepas meninggal dunia". Riwayat Ibn Majah (3557)


Terdapat begitu banyak kelebihan-kelebihan bersedekah di jalan Allah Subhanahuwata'ala yang disebutkan di dalam al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi Sallallahualaihiwasallam Di antaranya adalah firman Allah Subhanahuwata'ala:


مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ  وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ  وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ


Maksudnya: Perumpamaan mereka yang membelanjakan harta-harta mereka di jalan Allah adalah seperti satu biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai yang mana pada setiap satu tangkai itu mempunyai 100 biji benih. Dan Allah melipatgandakan (pahala) kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui". Al-Baqarah ayat 261.


Ini merupakan suatu dalil yang jelas menunjukkan betapa besarnya pahala sedekah yang boleh menghasilkan 700 kali ganda kebaikan kepada pelakunya. Ayat ini umum meliputi sebarang bentuk sedekah sama ada ia datang dalam bentuk harta benda, makanan dan minuman, pakaian, dan seumpamanya.


Selain dari itu, sebarang bentuk sedekah yang diberikan kerana Allah Subhanahuwata'ala tidak mendatangkan kerugian kepada pelakunya, sebaliknya mendapat ganjaran balas yang menguntungkan. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ


Maksudnya: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki". Saba’ ayat 39.


Imam Abu Ja’far al-Thabari Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini beliau berkata: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan wahai sekalian manusia pada jalan ketaatan kepada Allah, maka sesungguhnya Allah akan menggantikannya kepada kamu. Lihat Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (20/413).


No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...