Wednesday, December 20, 2023

Keluarga harmoni dan silaturrahim (menyambung hubungan antara kaum kerabat

Keluarga harmoni dan silaturrahim (menyambung hubungan antara kaum kerabat .

Pembentukan keluarga harmoni dan sejahtera memerlukan satu rasa tanggungjawab yang begitu berat, dimana ia perlu dipikul oleh ibubapa yang mana ia merupakan satu amanah yang wajib dilaksanakan dengan sempurna oleh kedua-dua ibubapa dalam melahirkan generasi yang bakal menjadi pelaburan pada masa depan di dunia dan akhirat. 


Keamanan, keadilan, kesefahaman, sikap toleransi, kasih sayang dan kesejahteraan yang wujud dalam sesebuah keluarga adalah faktor utama dalam mewujudkan sebuah keluarga yang Harmoni, Bahagia dan Cemerlang di dunia dan di akhirat.


Bagi menjadikan harapan ini sebagai suatu kenyataan, setiap anggota keluarga harus tahu melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka dan mempelajari ilmu kekeluargaan sama ada melalui pembacaan atau melalui pengalaman orang yang boleh dicontohi. Dalam mendidik keluarga, setiap individu terutama ibu dan bapa perlu ditanamkan dengan perasaan kasih sayang dan kasih mengasihani  antara satu sama lain. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Al-Rum  ayat 21,


وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ


Maksudnya:"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir".


Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab suami dan isteri untuk mendukung dan menghayati konsep berkasih sayang dan kasih mengasihani antara satu sama lain. Antara amalan yang boleh dilaksanakan adalah bertakwa, bekerjasama, hormat menghormati, bersyukur, redha dengan ketentuan Allah dan sebagainya. Amalan-amalan ini merupakan antara jambatan atau laluan yang mendekatkan diri kita kepada kehidupan keluarga harmoni .

 

Untuk membentuk keluarga harmoni dan cemerlang semuanya perlulah bermula dari pembentukan asas rumahtangga. Dalil Hatith Nabi Muhammad mengenai 4 kunci kebahagiaan dalam rumah tangga. Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


اربع من السعادة, المراة الصالحة والمسكن الواسع والجار الصالح والمركب الهنيء واربع من الشقاوة الجار الشوء والمراةالسوء والمسكن الضيق والمركب السوء


Maksudnya:"“Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .


(Hadith sahih riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya no. 4032 dan Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya no. 388 Jilid 8 dan isnad hadith ini sahih dengan menepati syarat Syaikhain diriwayatkan juga oleh Ahmad m/s 1445 Jilid 1 dan Hakim no. 2640 dan Bazzar serta Tibrani dengan lafaz yang hampir sama).


Huraian hadith:


Wanita yang solehah - iaitu isteri yang baik yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna.


Rumah yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra  dengan keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik dan tenang.


Jiran yang baik kerana jiran merupakan orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah keluarga yang kasih-mengasihi dan saling mengambil berat di antara satu sama lain.


Kenderaan yang selesa kerana ia memberikan kemudahan dalam segala urusan.


Tanggungjawab membentuk sesebuah keluarga merupakan tanggungjawab bersama. Ini dapat di buktikan melalui Hadith Nabi Muhammad  Sallallahu'alaihiwasallam,


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّكُمْ رَاعٍ فَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ


Maksudnya:"Dari 'Abdullah radliallahu 'anhu bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Setiap kalian adalah pemimpin dan akan diminta pertanggung jawaban atas yang dipimpinnya. Amir (kepala Negara), dia adalah pemimpin manusia secara umum, maka dia akan diminta pertanggung jawaban atas mereka. Seorang suami dalam keluarganya adalah pemimpin dan akan diminta pertanggung jawaban atas mereka. Seorang isteri adalah pemimpin di dalam rumah tangga suaminya dan terhadap anak-anaknya dan dia akan diminta pertanggung jawaban atas mereka. Seorang hamba sahaya adalah pemimpin dalam urusan harta tuannya dia akan diminta pertanggung jawaban atasnya. Ketahuilah bahawa setiap kalian adalah pemimipin dan setiap kalian akan diminta pertanggung jawaban atas siapa yang dipimpinnya". Riwayat Bukhari (2368).


Tanggungjawab dalam membentuk rumahtangga yang diingini bergantung kepada usaha, kerjasama dan kemahuan antara pasangan suami isteri. Kesepakatan, kejujuran, keikhlasan, hormat menghormati, sayang menyayangi, bertoleransi, berlaku adil, menerima seadanya diri pasangan dan bersyukur dengan ketetapan Allah merupakan antara prinsip yang harus diamalkan oleh suami isteri dalam membentuk rumahtangga yang harmoni.


RAHSIA MEMBENTUK KELUARGA HARMONI


1.  Mencari sumber pendapatan yang halal dan diredhai Allah

Cara pencarian rezeki juga boleh memberi kesan kepada keadaan keharmonian rumah tangga.

 

2. Rajin menimba ilmu pengetahuan dalam segala perkara

Ilmu kekeluargaan dan kehidupan perlu dicari bagi menjadi panduan dan rujukan kehidupan berkeluarga.


3.  Amalkan berkasih sayang dan kasih mengasihani

Kasih sayang perlu ditonjolkan kerana ia merupakan pemangkin semangat bagi setiap ahli keluarga.


4. Berkomunikasi lah secara positif selalu – No Nagging

Berkomunikasilah secara positif dengan isteri, suami & anak-anak dan elakkan dari kata/pemikiran negatif


5.  Amalkan amalan kerohanian bersama ahli keluarga

Selalulah berdoa dan lakukan amalan yang baik bersama-sama. Dekatkan diri pada yang – Esa.


6. Kejujuran, keikhlasan dan kepercayaan dalam diri setiap pasangan

Hubungan yang dikuatkan dengan rasa percaya,jujur dan ikhlas akan memberi kesan yang dalam kepada pasangan.


7.  Membentuk suasana yang mesra keluarga

Suasana persekitaran yang baik, selamat dan selesa memberi kesan kepada perhubungan keluarga.


8. Memainkan peranan dan tanggungjawab

Kenalpasti tanggungjawab dan peranan yang boleh dilaksanakan bersama.

 

9. Bersama membuat keputusan 

Setiap keputusan boleh dibuat bersama dan ianya perlulah adil, terbuka dan fleksibel untuk digunakan oleh seluruh ahli keluarga.

 

10. Mengelakkan konflik belarutan dan segerakan penyelesaian sesuatu isu bersama.

Setiap permasalahan ada penyelesaiannya. Berbincang secara tenang dan elakkan suasana beremosi ketika berbincang. Dan selalu berdoa untuk redha suami dan redha isteri dalam menyelesaikan konflik secara berhemah.


Dapat dinyatakan disini adalah penentu aras keharmonian sesebuah keluarga bukan semata mata kerana pangkat, harta, darjat dan kebendaan. Namun penentu sesebuah kebahagian keluarga adalah berpandukan kepada niat kita kepada Allah untuk menjadikan keluarga yang dimiliki ini sebagai  perlaburan masa depan di dunia dan akhirat serta mengakui kehidupan, keluarga, anak anak dan pasangan masing masing sebagai pinjaman Allah kepada kita. Keharmonian yang dicari oleh setiap keluarga adalah berbeza namun ianya perlulah dipupuk dari asas agama dan asas kehidupan melalui ilmu kehidupan dan ilmu kekeluargaan.


SILATURRAHIM (صلة الرحم) pula diambil daripada perkataan Arab iaitu hubungan yang terdekat. Ia membawa maksud memelihara dan menyambung hubungan dengan kaum kerabat yang terdekat.


Silaturrahim adalah menyambung hubungan antara kaum kerabat sama ada melalui garis keturunan atau melalui perkahwinan dengan pelbagai cara seperti mengunjungi mereka, memberi bantuan kepada mereka ketika memerlukan, mengambil cakna akan hal keadaan mereka dan seumpamanya.


Nab Sallallahu'alaihiwasallam ketika  sampai ke kota Madinah telah  bersabda,


أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشوا السَّلامَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وصلوا الأرحام وَصَلُّوا باللَّيْل وَالنَّاسُ نِيامٌ، تَدخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلامٍ


Maksudnya: “Hai orang ramai. Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur, nescaya kamu dapat masuk Syurga dengan sejahtera dan selamat". Riwayat Ibnu Majah (3251


Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا


Maksudnya: Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu".

Surah al-Nisa’ ayat 1.


Ibn Kathir berkata: Maksudnya, bertakwalah kamu kepada Allah dengan mentaati-Nya. Kata Ibrahim, Mujahid dan al-Hasan: "الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ" ertinya sebagaimana ucapan seseorang: "Aku meminta kepadamu dengan (nama) Allah dan dengan (hubungan) rahim."


Al-Dahhak berkata: "Bertakwalah kamu kepada Allah yang dengan-Nya kamu saling mengikat janji dan persetujuan, serta takutlah kamu daripada memutuskan silaturrahim, tetapi berusahalah untuk berbuat baik dan menyambungnya". 

Pentafsiran ini adalah pendapat Ibn Abbas, Ikrimah, Mujahid, al-Hasan, al-Dahhak, al-Rabi' dan ramai ulama' yang lain.


Sebahagian ulama membaca " والأرحامِ " dengan khafadh (kasrah) sebagai athaf (sambungan) dari dhamir "بِهِ", maksudnya kamu saling meminta satu sama lain kepada Allah dan hubungan silaturrahim, sepertimana yang dinyatakan oleh Mujahid dan selainnya". Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 3/332.


Dalam ayat lain, Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


وَالَّذِينَ آمَنُوا مِن بَعْدُ وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا مَعَكُمْ فَأُولَـٰئِكَ مِنكُمْ ۚ وَأُولُو الْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَىٰ بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللَّـهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ


Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu". Al-Anfal ayat 75.


Ibn Kathir berkata: Bukanlah yang dimaksudkan dengan firman Allah Subhanahuwata'ala: “وَأُولُو الْأَرْحَامِ” (orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat) dengan bersifat khusus sepertimana yang dikemukakan oleh para ulama' ahli ilmu faraidh, iaitu kaum kerabat yang tidak hanya mempunyai hak pewarisan secara fardhu dan juga asobah, tetapi semua pewaris seperti ibu saudara dan bapa saudara dari sebelah ibu, ibu saudara dari sebelah ayah, anak lelaki daripada anak perempuan (cucu), anak lelaki daripada saudara perempuan (anak saudara) dan lain-lain sebagaimana yang diakui oleh sebahagian mereka dengan menggunakan dalil ayat al-Quran, bahkan mereka meyakini hal itu dengan jelas. Namun, yang benar adalah bahawa ayat tersebut bersifat umum yang merangkumi seluruh kerabat seperti yang ditegaskan oleh Ibn Abbas, Mujahid, Ikrimah, al-Hasan al-Basri, Qatadah dan ulama yang lain. Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/302.


Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa Imam al-Qurtubi berkata: Al-Rahim yang disambungkan adalah merangkumi secara umum dan khusus. Adapun yang umum adalah rahim dalam agama, iaitu wajib menyambungkannya dengan mengasihi dan menasihati, bersikap adil dan tidak menzaliminya, serta menunaikan hak-hak yang wajib dan yang dituntut. Manakala al-Rahim yang khusus adalah menambahkan pada nafkah kepada kerabat, serta mengambil cakna hal ehwal mereka serta memberi kemaafan atas kegelinciran dan kesilapan mereka. Lihat Fath al-Bari, 10/418.


Allah Subhanahuwata'ala juga berfirman,


وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللَّـهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الْحِسَابِ


Maksudnya: Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat); ". Al-Ra’d ayat 21.


Syeikh al-Maraghi berkata: Mereka mengikat tali perhubungan silaturrahim sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahuwata'ala. Lalu mereka bergaul dengan kaum kerabat dengan perasaan penuh kecintaan dan kebaikan. Seterusnya mereka berbuat kebaikan kepada golongan miskin dan golongan yang memerlukan pertolongan antara mereka dengan memberikan kebaikan kepada mereka dan menjauhkan bahaya daripada mereka mengikut kemampuan yang mereka ada". Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3510.


Perkataan silaturrahim (صلة الرحم) berasal daripada dua perkataan Arab iaitu “صلة” dan “الرحم”. Al-Raghib al-Asfahani menyebut,


الرَّحِمُ: رَحِمُ المرأة (أي بيت منبت ولدها ووعاؤه) . ومنه استعير الرَّحِمُ للقرابة، لكونهم خارجين من رحم واحدة


Maksudnya:“Al-Rahim yang dimaksudkan adalah rahim wanita iaitu tempat di mana janin berkembang dan terlindung (dalam perut wanita). Dan istilah al-rahim digunakan untuk menyebut kaum kerabat kerana mereka berasal dari satu rahim". (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 347).


Antara hadith yang menyebut berkenaan menyambung silaturrahim, sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ


Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim". Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557).


Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini berkata: Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114.


Manakala dalam hadith daripada Abu Ayyub al-Ansari R.A, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah ditanya berkenaan amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga, lalu Baginda Sallallahu'alaihiwasallam menjawab,


تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا ، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ ، وَتُؤْتِى الزَّكَاةَ ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ


Maksudnya: “Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik pada-Nya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan jalinlah tali silaturrahim". Riwayat al-Bukhari (5983)


Imam Nawawi menyebut: “Adapun maksud silaturrahim, ia adalah berbuat baik kepada kaum kerabat sesuai dengan keadaan orang yang hendak menghubungkan dan keadaan orang yang hendak dihubungkan. Terkadang dalam bentuk kebaikan dengan harta, terkadang dengan memberi bantuan tenaga, terkadang dengan mengunjunginya, dengan memberi salam, dan sebagainya". Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 1/287.


Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebut: Al-Rahim (الرحم) secara umum adalah dimaksudkan kepada kaum kerabat dekat. Antara mereka terdapat garis keturunan (nasab), sama ada berhak mewarisi atau tidak, dan sebagai mahram atau tidak. Menurut pendapat lain, mereka adalah daripada mahram (kerabat dekat yang haram dinikahi) sahaja. Pendapat pertama lebih kuat kerana menurut batasan kedua, anak-anak saudara dan anak-anak ibu saudara bukan kerabat yang dekat kerana tidak termasuk yang haram dinikahi, sedangkan ia tidaklah sedemikian. Lihat Fath al-Bari, 10/414.


Syeikh Mulla Ali al-Qari menyebut bahawa silaturrahim adalah ungkapan berkenaan berbuat baik kepada kaum kerabat yang dekat – sama ada mengikut garis keturunan atau melalui perkahwinan – berlemah lembut dan mengasihi mereka serta mengambil cakna akan hal keadaan mereka. Lihat Mirqat al-Mafatih, 8/645.


Ibn al-Athir pula menyebut: “Banyak hadith yang menyebutkan berkenaan silaturahim. Ia merupakan kinayah (yang memberi maksud secara tidak langsung) untuk perbuatan baik kepada kaum kerabat yang mempunyai hubungan nasab, atau kerabat kerana hubungan pernikahan, dengan berlemah-lembut dan memberi kasih sayang kepada mereka serta mengambil peduli akan hal keadaan mereka. Manakala memutuskan silaturrahim adalah lawan daripada semua perkara itu".Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 5/191-192.


Menghubungkan tali persaudaraan sesama kaum kerabat merupakan satu tuntutan dalam syarak dan mempunyai banyak kelebihan bagi mereka yang berusaha menyambung dan menjaganya.






 

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...