Wednesday, December 27, 2023

Bekerja menurut perspektif Islam.

Bekerja menurut perspektif Islam.

Soal makan minum, tempat tinggal, pakaian dan kenderaan untuk menyampaikan kita ke satu-satu destinasi adalah memerlukan harta dan kewangan yang kukuh. Antara cara untuk mendapatkan harta adalah melalui pekerjaan. Dengan sebab itu, dalam al-Quran al-Karim terlalu banyak perintah untuk kita bekerja seterusnya mencapai kehendak manusiawi yang kita miliki. Terlalu banyak bentuk pekerjaan yang boleh kita lakukan. Yang penting adalah halal dan tidak bertentangan dengan Syariat sama ada kita sebagai peniaga, tokoh korporat yang besar, petani, pekebun, penternak, nelayan, pertukangan, mengambil sebarang upah, penjawat awam, bekerja di sektor swasta, maka semuanya adalah digalakkan. Begitu juga pembetulan niat setiap kali kita bekerja biarlah diniatkan kerana mengikut apa yang diperintah oleh Allah. Sebagai contoh, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


مَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلَالَا اسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ ، وَسَعْيَا عَلَى أَهْلِهِ ، وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ ، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ


Maksudnya: “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890) dan
al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465)


Setiap perkara harus yang dilakukan oleh seorang Mukmin dengan unsur niat, ia bertukar menjadi ibadat. Namun, perkara haram tetap haram hukumnya walau bagaimana suci sekalipun niat si pelaku. Islam tidak merestui sesuatu yang haram itu dijadikan wasilah kepada tujuan yang mulia. Ini kerana, Islam menekankan kemurnian matlamat dan cara pada masa yang sama. Syariat Islam tidak menerima sama sekali prinsip, matlamat menghalalkan cara ataupun mencapai kebenaran melalui kerja-kerja batil. Sebaliknya, Islam mewajibkan umat mencapai kebenaran melalui jalan yang benar.


Kaedah dan ketetapan ini telah disebut oleh para Ulamak dan Fuqaha sebagai:


 “الوسائل تتبع المقاصد في أحكامها” 


Maksudnya:"Segala wasilah atau cara mengikut hukum maksud atau tujuan".


Dan cara ini hendaklah difahami, jika ianya haram maka hukumnya haram dan jika wasilahnya wajib, maka hukumnya wajib. Begitulah baki pada hukum-hukum yang lain. Lihat al-Furuq, 3/111-112.


Ini bererti matlamat sesuatu perkara itu tidak menghalalkan cara. Dalam erti kata lain sesuatu matlamat yang baik hendaklah dijayakan dengan cara yang betul dan menepati kehendak syarak. Dilarang sama sekali sesuatu matlamat yang baik menggunakan cara yang tidak benar.


Pada hari Jumaat Allah Subhanahuwata'ala memerintahkan kita untuk bersegera ke masjid dan melaksanakan solat Jumaat dan melarang kita dari melakukan jual beli saat azan solat jumaat berkumandang. Hal ini menunjukkan kepada kita pentingnya perkara solat, kerana transaksi jual beli dan perdagangan seringkali akan melalaikan seorang hamba dari beribadah kepada Allah Subhanahuwata'ala.


Mengenai hari Jumaat yang istimewa dan penuh keistimewaan ini, Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ


Maksudnya:"Wahai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui". Al-Jumu’ah ayat  9.


Namun pada ayat yang selanjutnya Allah Subhanahuwata’ala pula berfirman,


فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ


Maksudnya:"Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung". Al Jumu’ah ayat  9-10.


Walaupun ayat ini seperti arahan untuk bertebaran mencari rezeki, tetapi ia bukanlah ayat arahan. Ini kerana sebelum itu telah diberikan larangan, maka apabila ada arahan selepas larangan, maka ia membawa maksud ‘harus’. Juga, bukanlah semua ayat arahan dalam Al-Qur’an itu membawa kepada maksud ‘wajib’. 


Menurut tafsir Ibnu Katsir;

Setelah mereka dilarang melakukan transaksi sesudah seruan yang memerintahkan mereka untuk berkumpul, kemudian diizinkan bagi mereka sesudah itu untuk bertebaran di muka bumi dalam rangka mencari kurniaan Allah, seperti apa yang dilakukan oleh Irak ibnu Malik r.a. apabila dia telah selesai dari solat Jumaatnya, maka ia berdiri di pintu masjid, lalu berdoa:


اللَّهُمَّ إِنِّي أجبتُ دعوتَك، وصليتُ فريضتك، وانتشرت كما أمرتني، فَارْزُقْنِي مِنْ فَضْلِكَ، وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ


Maksudnya:"Ya Allah, sesungguhnya aku menyukai seruanmu, dan aku telah kerjakan solat yang Engkau fardukan serta aku akan menebar sebagaimana yang telah Engkau perintahkan, maka berilah daku rezeki dari karunia-Mu, dan Engkau adalah sebaik-baik Pemberi rezeki. Riwayat Imam Ibnu Abu Hatim.


Telah diriwayatkan pula dari sebahagian ulama Salaf bahawa mereka pernah mengatakan, "Barang siapa yang melakukan jual beli pada hari Jumaat sesudah menunaikan solat Jumaat, maka Allah Subhanahuwata'ala akan memberkati jual belinya sebanyak tujuh puluh kali, kerana ada firman Allah Subhanahuwata'ala. yang mengatakan:


{فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الأرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ}


Maksudnya:"'Apabila telah ditunaikan sollat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah". Al-Jumu'ah ayat 10". 

Adapun firman Allah Subhanahuwata'ala:


{وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ}


Maksudnya:"Dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu beruntung". Al-Jumu'ah ayat 10.


Yakni di saat kamu melakukan transaksi jual beli dan saat menerima dan memberi, banyak-banyaklah kamu mengingat Allah, dan janganlah kamu disibukkan oleh urusan duniamu hingga kamu melupakan hal yang bermanfaat bagimu di negeri akhirat nanti. Kerana itulah maka disebutkan dalam sebuah hadith:


"مَنْ دَخَلَ سُوقًا مِنَ الْأَسْوَاقِ فَقَالَ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ كُتبت لَهُ ألفُ أَلْفِ حَسنة، ومُحي عَنْهُ ألفُ أَلْفِ سَيئة"


Maksudnya:" Barangsiapa yang memasuki sebuah pasar, lalu mengucapkan

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya:"Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata, tiada sekutu bagi-Nya, milik-Nyalah semua Kerajaan dan segala puji, dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu, " maka Allah akan mencatat baginya satu juta kebaikan dan menghapuskan darinya sejuta keburukan (dosa).


Mujahid mengatakan bahawa bukanlah seorang hamba termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah sebelum dia selalu ingat kepada Allah, baik dalam keadaan berdiri, duduk, ataupun berbaring.

Lihat Tafsir Al-Quran Al-Adzim.


Allah Subhanahuwata'ala memerintahkan kita untuk bekerja, mencari penghasilan, dan tidak melupakan nafkah yang wajib kita tunaikan untuk keluarga kita, setelah sebelumnya kita juga diperintahkan untuk beribadah dan melaksanakan solat.


Islam juga memerintahkan kita untuk menjemput rezeki dan mencari nafkah di atas muka bumi ini, sehingga dengannya kita dapat mencukupi diri kita sendiri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungan kita tanpa perlu meminta belas kasihan orang lain. Allah Subhanahuwata'ala berfirman menjelaskan kepada kita tentang hikmah dari diciptakannya siang dan malam,


وَمِنْ رَحْمَتِهِ جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ لِتَسْكُنُوا فِيهِ وَلِتَبْتَغُوا مِنْ فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ


Maksudnya:"Dan kerana rahmat-Nya, Dia jadikan untukmu malam dan siang, supaya kamu beristirehat pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian dari kurnia-Nya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya". Al-Qasas ayat 73.


Allah Subhanahuwata'ala juga berfirman,


هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِنْ رِزْقِهِ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ


Maksudnya:"Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan".  Al-Mulk ayat 15.


Ibnu Katsir rahimahullah saat menafsirkan ayat di atas mengatakan, “Maka, bepergianlah ke mana pun kamu mahu dari wilayahnya, dan telusuri serta pulang pergilah ke setiap sudutnya untuk mencari segala macam keuntungan dan perdagangan. Dan ketahuilah bahawa usahamu tidak akan membawa manfaat apa pun kepadamu, kecuali jika Allah memudahkannya untukmu". 

Lihat Tafsir Al-Quran Al-Adzim, 8: 179.


Di ayat yang lain, Allah Subhanahuwata'ala menjelaskan kepada kita bahawa mencari penghasilan dan pekerjaan di muka bumi serta mengelola sumber daya yang ada merupakan salah satu keistimewaan yang Allah Subhanahuwata'ala berikan kepada manusia. Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا


Maksudnya:"Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya". Hud ayat 61.


Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam, suri teladan bagi kita, juga mengajak kita untuk giat bekerja, dan mencari penghasilan. Di antara sabda beliau,


لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ، فَيَأْتِيَ بحُزْمَةِ الحَطَبِ علَى ظَهْرِهِ، فَيَبِيعَهَا، فَيَكُفَّ اللَّهُ بهَا وجْهَهُ خَيْرٌ له مِن أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ


Maksudnya:"Sesungguhnya, seorang di antara kalian membawa tali-talinya dan pergi ke bukit untuk mencari kayu bakar yang diletakkan di punggungnya untuk kemudian dijual sehingga ia dapat menutup keperluannya, adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain, baik mereka memberi atau tidak". Bukhari (1471)


Dalam hadith ini Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam menerangkan kepada kita bahawa bekerja, apapun jenisnya, lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain dan menjatuhkan kehormatan diri kita. Betapa pun berat dan kerasnya pekerjaan tersebut, itu lebih baik daripada menghinakan diri untuk meminta-minta.


Pada hadith yang lain pula, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam juga menjelaskan bahawa makanan yang kita makan kerana hasil jerih dari usaha kita sendiri adalah makanan yang terbaik. Beliau Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


ما أكَلَ أحَدٌ طَعامًا قَطُّ، خَيْرًا مِن أنْ يَأْكُلَ مِن عَمَلِ يَدِهِ، وإنَّ نَبِيَّ اللَّهِ داوُدَ عليه السَّلامُ، كانَ يَأْكُلُ مِن عَمَلِ يَدِهِ


Maksudnya:"Tidaklah seseorang memakan makanan yang lebih baik dari memakan makanan hasil kerja tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah Dawud ‘alaihissalam dahulu makan dari hasil kerja tangannya sendiri". Bukhari (2072)


Pada hadith tersebut, beliau juga meyebutkan bahawa Nabi Daud ‘alaihis salam makan dari hasil jerih payah usahanya sendiri. Padahal kita tahu bahawa Nabi Daud merupakan seorang Nabi yang telah Allah kurniakan dengan kerajaan yang sangat luas dan besar. Namun, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam menegaskan bahawa beliau ‘alaihis salam makan dari hasil jerih usahanya sendiri dan bukan dengan jabatan ataupun yang dimilikinya.


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam sangat bersemangat agar umatnya mencari nafkah yang halal dari hasil jerih upayanya sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain. Di antara doa yang beliau rutinkan dan beliau ajarkan kepada umatnya adalah,


اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ


Maksudnya:“Ya Allah, cukupkanlah aku dengan yang halal dan jauhkanlah aku dari yang haram, dan cukupkanlah aku dengan kurnia-Mu dari bergantung pada selain-Mu". Ahmad (1319), Tirmidzi (3563) 


Di dalam surah Al-Muzammil, Allah Subhanahuwata’ala menyamakan kedudukan orang-orang yang keluar untuk mencari nafkah dengan mereka yang keluar untuk berjihad di jalan Allah. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


عَلِمَ أَن سَيَكُونُ مِنكُم مَّرْضَىٰ ۙ وَءَاخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِى ٱلْأَرْضِ يَبْتَغُونَ مِن فَضْلِ ٱللَّهِ ۙ وَءَاخَرُونَ يُقَٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ


Maksudnya:"Dia mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit dan orang-orang yang berjalan di muka bumi mencari sebahagian kurniaan Allah; dan orang-orang yang lain lagi berperang di jalan Allah".  Al-Muzammil ayat 20.


Imam Al-Qurtubi rahimahullah dalam kitab Tafsir-nya mengatakan, “Dalam ayat ini Allah Subhanahuwata’ala menyamakan derjat orang-orang yang berperang dan orang-orang yang mencari nafkah (halal) untuk menghidupi diri sendiri dan keluarganya, dan untuk berbuat kebaikan dan keutamaan. Maka, ini adalah dalil bahawa mencari nafkah (yang halal) itu sama kedudukannya dengan jihad, kerana Allah Subhanahuwata’ala menyebutkannya bersamaan dengan penyebutan jihad di jalan Allah Ta’ala". Lihat Tafsir Al-Qurthubi, 19: 55.


Walaupun bekerja dan mencari nafkah seringkali dianggap sebagai rutin harian sahaja, namun disisi Allah hal tersebut dapat menjadi ibadah dan bernilai pahala yang besar. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


إِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً تَبْتَغِى بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلاَّ أُجِرْتَ عَلَيْهَا ، حَتَّى مَا تَجْعَلُ فِى فِى امْرَأَتِكَ


Maksudnya:"Sungguh tidaklah engkau menginfakkan nafkah (harta) dengan tujuan mengharapkan (melihat) wajah Allah (pada hari kiamat nanti), kecuali kamu akan mendapatkan ganjaran pahala (yang besar), sehingga pun suapan makanan yang kamu berikan kepada isterimu". Bukhari (56)


Belum lagi dihitung, menafkahkan keluarga dan orang yang berada di bawah tanggungan kita yang merupakan salah satu dari bentuk sedekah yang paling utama. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


مَا أَطْعَمْتَ نَفْسَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ وَمَا أَطْعَمْتَ وَلَدَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ وَمَا أَطْعَمْتَ زَوْجَتَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ وَمَا أَطْعَمْتَ خَادِمَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ


Maksudnya:"Harta yang engkau keluarkan sebagai makanan untukmu dinilai sebagai sedekah untukmu. Begitu pula makanan yang engkau berikan pada anakmu, itu pun dinilai sedekah. Begitu juga makanan yang engkau berikan pada isterimu, itu pun bernilai sedekah untukmu. Juga makanan yang engkau berikan pada pembantumu, itu juga termasuk sedekah". An-Nasa’i dalam As-Sunan Al-Kubra (9185 dan Ahmad (17179)


Pada hadith yang lain Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam juga bersabda,


عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ صَدَقَةٌ 


Maksudnya:"Wajib bagi setiap muslim bersedekah".

Kemudian para sahabat bertanya, “Wahai Nabi Allah, bagaimana kalau ada yang tidak sanggup?”

Beliau Sallallahu‘alaihiwasallam menjawab,


يَعْمَلُ بِيَدِهِ فَيَنْفَعُ نَفْسَهُ وَيَتَصَدَّقُ قَالُوا فَإِنْ لَمْ يَجِدْ قَالَ يُعِينُ ذَا الْحَاجَةِ الْمَلْهُوفَ قَالُوا فَإِنْ لَمْ يَجِدْ قَالَ فَلْيَعْمَلْ بِالْمَعْرُوفِ وَلْيُمْسِكْ عَنْ الشَّرِّ فَإِنَّهَا لَهُ صَدَقَةٌ


Maksudnya:"Dia bekerja dengan tangannya sehingga bermanfaat bagi dirinya lalu dia bersedekah.” Mereka bertanya lagi, “Bagaimana kalau tidak sanggup juga?” Beliau menjawab, “Dia membantu orang yang sangat memerlukan bantuan.” Mereka bertanya lagi, “Bagaimana kalau tidak sanggup juga?” Beliau menjawab, “Hendaklah dia berbuat kebaikan (makruf) dan menahan diri dari keburukan kerana yang demikian itu berarti sedekah baginya". Bukhari (1445)


Sesiapa pun yang mengabaikan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya dan tidak mahu menafkahi mereka, maka akan mendapatkan dosa kerana perbuatannya tersebut. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


كَفَى بالمَرْءِ إثْمًا أَنْ يَحْبِسَ عَمَّنْ يَمْلِكُ قُوتَهُ


Maksudnya:"Cukuplah seseorang itu dikatakan berdosa apabila menahan makanan (nafkah, upah, dan lain sebagainya) dari orang yang menjadi tanggungannya".  Muslim (996)


Bekerja, meskipun di mata kita hanya rutin harian semata, namun disisi Allah Subhanahuwata’ala bernilai pahala jika diniatkan sebagai ibadah dan untuk memenuhi hak-hak orang-orang yang berada di bawah tanggung jawab kita. Kerana dengan niat yang benar, sebuah rutin dan aktiviti akan berubah nilainya di sisi Allah Subhanahuwata’ala. Benarlah sabda Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam,


إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَلِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

  

Maksudnya:"Amal itu tergantung niatnya, dan seseorang akan mendapatkan sesuai niatnya". Bukhari (1)


Semoga Allah Subhanahuwata’ala senantiasa mencukupi keperluan kita, meluaskan rezeki kita, dan menjadikan kita seorang hamba yang hanya bergantung kepada Allah Subhanahuwata’ala dan tidak bergantung kepada selain-Nya.


أَقُوْلُ قَوْلِيْ هٰذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِيْ وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...