Tuesday, October 31, 2023

Solidariti buat Palestin

Solidariti buat Palestin


Solidariti berasal daripada perkataan ‘solid’ dan ‘unity’. Boleh juga diterjemahkan kepada perpaduan atau perjanjian peranan atau tindakan, terutama dalam kalangan individu yang mempunyai minat yang sama dan sokongan bersama dalam satu kumpulan. Istilah solidariti sinonim dengan kesepakatan, persetujuan, kerjasama, persaudaraan dan saling menyokong.


Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memaklumkan kepada dunia tentang pencerobohan dan kekejaman kejam Israel di Semenanjung Gaza.


Tindakan memusnahkan bangunan termasuk hospital di Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan solidariti ini tidak boleh terhenti begitu saja.


Memilih untuk menjadi orang yang tidak mengambil tahu mengenai Palestin merupakan salah satu kegagalan buat diri seorang mukmin yang sejati. Sehingga ke hari ini, tidak terlepas dalam niat seorang mukmin yang berjaya dalam mendoakan dan bersolidariti buat Palestin.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ


Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu sertabertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat". Al-Hujurat: 10


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda


عَنْ أَنَسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ


Maksudnya:" Dari Anas dari Nabi ﷺ, beliau bersabda, "Tidaklah beriman seseorang dari kalian sehingga dia mencintai untuk saudaranya sebagaimana dia mencintai untuk dirinya sendiri". Riwayat Bukhari (12),Muslim (64,65),Tirmizi(2439)


Dimaksud dengan tidak beriman ialah tidak mencapai  puncak iman kerana iman seringkali dianggap tidak ada kerana ketiadaan rukun-rukun dan kewajipan-kewajipannya.


Dari an-Nu’man bin Basyir dari Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam, beliau bersabda, 


 مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ، مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى. 


Maksudnya:"“Perumpamaan kaum mukminin dalam cinta-mencintai, sayang-menyayangi dan bahu-membahu, seperti satu tubuh. Jika salah satu anggota tubuhnya sakit, maka seluruh anggota tubuhnya yang lain ikut merasakan sakit juga, dengan tidak boleh tidur dan demam”. Riwayat Bukhari(6011)


Solidariti bukan bermakna kita perlu turun ke jalanan sepanjang masa, tetapi mengingati dan menghayati perjuangan Palestin serta menyampaikan kebaikan adalah satu usaha bentuk solidariti.


Berusaha menjadikan masyarakat berpengetahuan, membina sesuatau yang mengingatkan perjuangan Palestin juga merupakan satu solidariti. Teruskanlah berjuang untuk Palestin kerana Palestin tidak akan bebas jika umat Islam masih tidur dan tidak bersatu.


Serangan yang dilancarkan oleh rejim zionis keatas umat Islam di Palestin bukan sesuatu yang baharu. Ia adalah rentetan daripada tuntutan dan dakwaan Zionis Israel yang mengatakan bahawa kawasan Al-Masjid Al-Aqsa itu adalah Temple Mount iaitu kuil suci bagi orang Yahudi. Ia juga adalah bertitik-tolak daripada siri gerakan penguasaan Israel terhadap timur Baitul Maqdis ketika perang Arab-Israel pada tahun 1967 dan seluruh bandar tersebut pada tahun 1980. Bertitik tolak daripada peristiwa tersebut, beberapa percubaan dilakukan oleh rejim untuk menafikan hak umat Islam terhadap Al-Masjid Al-Aqsa.


Pada masa yang sama ketika ini juga, berlaku pengusiran rakyat Palestin di kawasan Syeikh Al-Jarrah, di mana penduduk asal yang sudah menetap berpuluh-puluh tahun di sana dihalau keluar oleh keputusan mahkamah yang tidak adil untuk membolehkan penduduk Yahudi membina penempatan haram di lokasi tersebut.


Isu Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa bukan isu untuk rakyat palestin sahaja. Ia bukan semata-mata isu individu. Ia adalah isu yang melibatkan umat Islam keseluruhannya. Isu yang berlaku kepada Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa khususnya tidak boleh dipandang remeh. Memandangkan ia adalah kawasan suci ketiga bagi umat Islam, ia perlu diberikan perhatian khusus. Kelalaian umat Islam terhadap isu yang berlaku di Palestin akan menyebabkan musuh mudah untuk menguasainya. Pihak-pihak yang cuba mencemarkan kesuciannya wajib untuk dikecam dan diambil tindakan.


Kelebihan Al-Masjid Al-Aqsa terlihat jelas dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Ia adalah destinasi terakhir Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam sebelum Nabi Sallallahu'alaihiwasallam diangkat ke langit bertemu Allah Subhanahuwata'ala. Allah berfirman,


سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ


Maksudnya : “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Al-Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui". Al-Isra’ ayat 1


Sebahagian Ahli Tafsir menyebut bahawa Al-Masjid Al-Aqsa adalah binaan kedua yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS setelah Kaabah. Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh Tahir Ibn ‘Asyur dalam tafsir beliau". Lihat Tahrir Al-Ma’na Al-Sadid wa Tanwir ‘Uqul Al-Jadid min Tafsir Al-Kitab Al-Majid (1983),


Ia juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Zar RA. Beliau pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


‌يَا ‌رَسُولَ ‌اللَّهِ، ‌أَيُّ ‌مَسْجِدٍ ‌وُضِعَ ‌فِي ‌الأَرْضِ ‌أَوَّلَ؟ قَالَ:  المَسْجِدُ الحَرَامُ قَالَ: قُلْتُ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ المَسْجِدُ الأَقْصَى قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَهُمَا؟ قَالَ: أَرْبَعُونَ سَنَةً، ثُمَّ أَيْنَمَا أَدْرَكَتْكَ الصَّلَاةُ بَعْدُ فَصَلِّهْ، فَإِنَّ الفَضْلَ فِيهِ


Maksudnya : “Wahai Rasulullah, masjid apa yang paling awal dibina? Baginda menjawab : Al-Masjid Al-Haram. Abu Zar bertanya lagi : Kemudian masjid apa? Baginda menjawab : Al-Al-Masjid Al-Aqsa. Saya (Abu Zar) bertanya lagi : Berapakah tempoh binaan antara kedua masjid tersebut? Baginda menjawab : 40 tahun. Sesiapa yang berada di mana-mana tempat tersebut, tunaikan solat di situ. Ini kerana ada kelebihan di tempat tersebut". Riwayat Al-Bukhari (3366)


Al-Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat para Nabi dan kiblat terawal umat Islam.  Ia juga adalah salah satu masjid yang sangat digalakkan oleh Nabi Sallallahu'alaihiwasallam untuk diziarahi dan menunaikan solat di situ. Abu Sa’id Al-Khudri meriwayatkan, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


‌وَلَا ‌تُشَدُّ ‌الرِّحَالُ ‌إِلَّا ‌إِلَى ‌ثَلَاثَةِ ‌مَسَاجِدَ ‌مَسْجِدِ ‌الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى وَمَسْجِدِي هذا


Maksudnya : “Tidak boleh bermusafir melainkan menuju ke tiga buah masjid. Masjid Al-Haram (Mekah), Al-Masjid Al-Aqsa dan masjid saya ini (Masjid Nabawi)". Riwayat Al-Bukhari (1195)


Imam Badruddin Al-‘Aini telah menjelaskan berkenaan maksud di sebalik hadith ini. Beliau menyatakan :


فِيهِ فَضِيلَة هَذِه الْمَسَاجِد ومزيتها على غَيرهَا لكَونهَا مَسَاجِد الْأَنْبِيَاء عَلَيْهِم الصَّلَاة وَالسَّلَام لِأَن الْمَسْجِد الْحَرَام قبْلَة النَّاس وَإِلَيْهِ حجهم وَمَسْجِد الرَّسُول أسس على التَّقْوَى وَالْمَسْجِد الْأَقْصَى كَانَ قبْلَة الْأُمَم السالفة


Maksudnya:"Dalam hadith tersebut menjelaskan kelebihan ketiga-tiga masjid dan keistimewaan yang dimiliki yang tiada pada masjid yang lain. Ianya adalah masjid para Nabi AS. Ini kerana Al-Masjid Al-Haram adalah kiblat bagi manusia. Ramai orang berpusu-pusu menuju ke Masjid Al-Haram. Masjid Nabawi pula diasaskan atas dasar iman dan takwa manakala Al-Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat umat yang terdahulu". Lihat Umdah Al-Qari Syarh Sahih Al-Bukhari. Dar Ihya’ Turath Al-‘Arabi, Beirut, j.7 h.253.


Di samping itu, Al-Masjid Al-Aqsa sangat berkait rapat dengan sejarah para Nabi terdahulu yang diutuskan oleh Allah Subhanahuwata'ala. Ia dianggap sebagai kawasan suci umat Islam. Oleh itu, Al-Quran menggelarkan Palestin sebagai tanah yang suci (Al-Ardh Al-Muqaddasah). Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


يَا قَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَىٰ أَدْبَارِكُمْ فَتَنقَلِبُوا خَاسِرِينَ


Maksudnya : “(Nabi Musa berkata lagi): Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)". Al-Maidah  ayat 21


Termasuk dalam tanah suci ini adalah Al-Masjid Al-Aqsa. Perkara ini telah dijelaskan dan dihuraikan oleh Imam Al-Tabari dalam tafsirnya". 

Lihat Abu Jaafar Al-Tabari, Muhammad Bin Jarir, Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil Ayy Al-Quran(t.t), Dar Al-Tarbiyah wa Al-Turath, Mekah, j.10 h.167.


Bagi umat Islam, sejarah Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa harus sentiasa didendangkan. Anak-anak bangsa perlu diperingatkan tentang sejarah tanah suci ini. Jika ini tidak dilakukan, kita akan melihat isu Palestin dipandang sepi oleh umat Islam satu hari nanti. Pihak kerajaan harus memainkan peranan agar isu Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa sentiasa segar di mata umat Islam.


Semoga Allah menyelamatkan Palestin dan Al-Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman Zionis Israel. Kita berdoa agar Allah menyelamatkan dan melindungi saudara kita yang berada di sana. Semoga satu hari nanti bumi Palestin bebas daripada kezaliman dan penindasan.

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...