Thursday, July 6, 2023

Solat Subuh serta kelebihannya dan solat Subuh secara berjamaah.

Solat Subuh serta kelebihannya dan solat Subuh secara berjamaah.

Solat Subuh mempunyai kelebihan dan ganjaran yang istimewa, yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahuwata'ala bagi sesiapa yang berjaya menunaikannya dengan sebaiknya. Lebih-lebih lagi, bagi mereka yang menunaikannya secara berjemaah.


Walaupun begitu, solat Subuh adalah solat yang berat untuk dilaksanakan. Sehinggakan  di dalam sebuah hadith yang sahih dinyatakan bahawa solat Subuh merupakan salah satu solat yang berat untuk dilaksanakan buat orang munafiq. Ini kerana, ia memerlukan usaha dan keazaman yang tinggi kerana ketika itu manusia baru sahaja bangun daripada tidur mereka. Hal ini disebutkan oleh junjungan besar kita Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam di dalam sebuah hadith:


Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaiwasallam bersabda,

 

إِنَّ أَثْقَلَ صَلَاةٍ عَلَى الْمُنَافِقِينَ صَلَاةُ الْعِشَاءِ، وَصَلَاةُ الْفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا


Maksudnya: “Seseungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafiq adalah solat isyak dan solat al-Fajar (Subuh). Sekiranya mereka mengetahui (pahala) apa yang terdapat pada keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak”. Riwayat Muslim (651).


Terdapat sejumlah hadith yang menyatakan ganjaran besar kepada sesiapa yang solat Subuh secara berjemaah. Antaranya adalah,


Daripada Uthman bin al-Affan RA, aku mendengar Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam bersabda:

 

مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ، وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ


Maksudnya: “Sesiapa yang solat Isyak secara berjemaah, seumpama dia telah solat separuh daripada malam dan sesiapa yang solat Subuh secara berjemaah, seumpama dia telah solat sepanjang malam". Riwayat Muslim (656)


Lebih utama lagi di sisi Allah Subhanahuwata'ala adalah  solat Subuh di hari Jumaat berbanding solat Subuh di hari lain, Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam bersabda,


أَفْضَلُ الصَّلواتِ عندَ اللهِ صَلاةُ الصُّبحِ يومَ الجُمُعةِ في جَماعَةٍ


Maksudnya:"Solat yang paling utama di sisi Allah adalah Solat Subuh hari Jumaat secara berjemaah". Riwayat Abu Nuaim di dalam Hilyatu Al-Auliya’ (7: 207) dan Al-Baihaqi di dalam Syu’ab A-Imaan (3045)


Nabi Sallallahu'alaiwasallam juga bersabda,


وَلَوْ يَعْلَمُونَ ما في العَتَمَةِ والصُّبْحِ لَأَتَوْهُما ولو حَبْوًا.


Maksudnya:"Seandainya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam solat ‘atamah (yakni solat Isya dan Subuh), nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak". Riwayat Bukhari (625) dan Muslim (1914).


Begitu banyak khabar gembira dan keutamaan yang Allah Subhanahuwata'ala dan Nabi-Nya berikan dan khususkan bagi mereka yang menjaga solat fardhu termasuk fardhu subuh pada waktunya, baik ianya dilakukan secara berjemaah bagi orang laki-laki ataupun di rumah masing-masing bagi perempuan.


Allah Subhanahuwata'ala telah memerintahkan kita agar menjaga dan mengerjakan salat fardhu pada waktu masing-masing yang telah ditentukan. Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ


Maksudnya:"Peliharalah semua solat dan solat wustha (solat Asar). Dan laksanakanlah (solat) kerana Allah dengan khusyuk". Al-Baqarahayat 238.


Allah Subhanahuwata'ala juga berfirman,


إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا


Maksudnya:"Sungguh, solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman". An-Nisa’ ayat  103.


Di dalam sebuah hadith Ibnu Mas’ud radhiyallahu anhu berkata,


سَأَلْتُ النبيَّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: أيُّ العَمَلِ أحَبُّ إلى اللَّهِ؟ قالَ: الصَّلاةُ علَى وقْتِها


Maksudnya:"Aku pernah bertanya kepada Nabi Sallallahu'alaiwasallam tentang amal apakah yang paling dicintai oleh Allah. Beliau Sallallahu'alaiwasallam menjawab, “Solat pada waktunya". Riwayat Bukhari (527) dan Muslim (85)


Mereka yang senantiasa menjaga Dan melaksanakan solat Subuh pula adalah orang-orang pilihan yang diberi petunjuk oleh Allah Subhanahuwata'ala untuk melakukan kebaikan. Mereka menjawab panggilan Allah Subhanahuwata'ala ini dengan penuh pengharapan akan pahala dan keutamaan. Mereka itulah orang-orang yang sepadan dan sesuai dengan kriteria mukmin yang Allah Subhanahuwata'ala sebutkan di dalam firman-Nya,


فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَنْ تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ * رِجَالٌ لَا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ * لِيَجْزِيَهُمُ اللَّهُ أَحْسَنَ مَا عَمِلُوا وَيَزِيدَهُمْ مِنْ فَضْلِهِ


Maksudnya:"(Cahaya itu) di rumah-rumah yang di sana telah diperintahkan Allah untuk memuliakan dan menyebut nama-Nya, di sana bertasbih (menyucikan) nama-Nya pada waktu pagi dan petang. Orang yang tidak dilalaikan oleh perdagangan dan jual beli dari mengingat Allah, melaksanakan solat, dan menunaikan zakat. Mereka takut kepada hari ketika hati dan penglihatan menjadi guncang (hari Kiamat), (mereka melakukan itu) agar Allah memberi balasan kepada mereka dengan yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan, dan agar Dia menambah karunia-Nya kepada mereka. Dan Allah memberi rezeki kepada siapa saja yang Dia kehendaki tanpa batas". Al-Nur ayat 36-38.


Maka bergembiralah mereka yang istikamah melaksanakan solat Subuh, yang mana pahala besar sedang menantinya, serta kebaikan dan rezeki yang akan selalu mengikutinya.


Bergembiralah wahai kaum muslimin sekalian, jika kita termasuk orang-orang yang menjaga solat Subuh pada waktunya, sesungguhnya para malaikat akan menyaksikan kita. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


أَقِمِ الصَّلَاةَ لِدُلُوكِ الشَّمْسِ إِلَى غَسَقِ اللَّيْلِ وَقُرْآنَ الْفَجْرِ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا


Maksudnya:"Laksanakanlah solat sejak matahari tergelincir sampai gelapnya malam dan (laksanakan pula solat) Subuh. Sungguh, solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat)".  Al-Isra ayat  78.


Dalam riwayat Bukhari, Nabi Sallallahu'alaiwasallam menjelaskan bahawa,


يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلَائِكَةٌ باللَّيْلِ ومَلَائِكَةٌ بالنَّهَارِ، ويَجْتَمِعُونَ في صَلَاةِ الفَجْرِ وصَلَاةِ العَصْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ، فَيَسْأَلُهُمْ وهو أعْلَمُ بهِمْ: كيفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي؟ فيَقولونَ: تَرَكْنَاهُمْ وهُمْ يُصَلُّونَ، وأَتَيْنَاهُمْ وهُمْ يُصَلُّونَ.


Maksudnya:"Para Malaikat di malam dan siang hari silih berganti mengawasi kalian, dan mereka berkumpul pada saat solat Subuh dan solat Asar. Kemudian para malaikat yang mengawasi kalian semalam suntuk naik. Allah menanyakan kepada mereka, padahal Dia lebih mengetahui tentang keadaan para hamba-Nya, ‘Bagaimana keadaan hamba-hamba-Ku saat kalian tinggalkan?’ Mereka menjawab, ‘Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mengerjakan solat, dan kami mendatangi mereka juga sedang dalam keadaan sedang solat.’ Riwayat Bukhari (555) dan Muslim (632).


Sungguh ianya merupakan sebuah kebanggaan tersendiri, di saat para malaikat bersaksi di hadapan Allah Subhanahuwata’ala untuk kita, bergembiralah dengan kebaikan yang diiringi dengan kebaikan yang lain.


Bergembiralah, jika kita termasuk salah seorang hamba yang melaksanakan solat Subuh secara berjemaah, kerana pahalanya seperti solat tahajud sepanjang malam. Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam bersabda,


مَن صَلَّى العِشَاءَ في جَمَاعَةٍ فَكَأنَّما قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ، وَمَن صَلَّى الصُّبْحَ في جَمَاعَةٍ فَكَأنَّما صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ


Maksudnya:"Barangsiapa yang solat Isya berjemaah, maka seolah-olah dia telah solat malam selama separuh malam. Dan barangsiapa yang solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah solat seluruh malamnya". Riwayat Muslim (656).


Sesungguhnya begitu banyak khabar gembira dan keutamaan yang Allah Subhanahuwata’ala berikan kepada orang-orang yang melaksanakan solat Subuh, menandakan bahawa solat Subuh  merupakan ibadah khusus bagi seorang muslim.


Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam bahkan memberikan jaminan syurga bagi sesiapa sahaja yang melaksanakannya. Beliau Sallallahu'alaiwasallam bersabda,


مَن صَلَّى البَرْدَيْنِ دَخَلَ الجَنَّةَ


Maksudnya:"Barangsiapa yang mengerjakan solat bardain (iaitu solat Subuh dan Asar), maka dia akan masuk syurga". Riwayat Bukhari (574) dan Muslim (635).


Solat Subuh bukanlah  hanya semata dalam aspek akhirat sahaja, bahkan ianya memiliki pengaruh besar terhadap rasa semangat seseorang di hari tersebut. Dengan melaksanakannya, tubuh seseorang akan menjadi segar dan bersemangat.


Akhirnya, marilah sama-sama kita berusaha dan berazam untuk menunaikan solat-solat fardhu secara berjemaah. Semoga Allah Subhanahuwata’ala menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menjaga solat agar dengannya kita akan digolongankan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya. ٱمين.

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...