Wednesday, July 26, 2023

Ucapan yang kotor dan buruk.

Ucapan yang kotor dan buruk.

Di antara perkara pokok dan paling agong yang dibawa oleh agama Islam terhadap kemanusiaan adalah akhlak yang mulia. Dan inilah salah satu dari tujuan diutusnya Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


بُعِثتُ لأُتَمِّمَ صالِحَ الأخْلاقِ


Maksudnya:"Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang luhur". Riwayat Ahmad (8952) dan Al-Bukhari dalam Adaabul Mufrad (273). 


Akhlak yang sempurna dan luhur inilah yang menjadi salah satu sebab Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam mendapatkan pujian dari Allah Subhanahuwata’ala. Sebuah pujian yang belum pernah Allah Subhanahuwata’ala berikan kepada makhluk selainnya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَاِنَّكَ لَعَلٰى خُلُقٍ عَظِيْمٍ


Maksudnya:"Dan sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang luhur".  Al-Qalam ayat 4.


Dengan akhlak dan budi pekerti yang mulia inilah Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam dapat mengambil banyak hati manusia. Begitu ramai manusia yang akhirnya mencintai Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam dan masuk Islam kerana melihat akhlak beliau yang mulia ini. Betapa banyak kalimat dan kata-kata yang baik yang keluar dari mulut beliau sehingga dapat mengubati hati yang sedang sakit, meredakan fitnah, dan menyebabkan terjalinnya persahabatan dan persaudaraan.


Begitu agung gambaran Al-Qur’an terhadap perkataan yang baik, seakan-akan ia adalah tali penyambung antara bumi dan langit dan merupakan jalan untuk meraih keredaan Allah Sang Pemilik kenikmatan dan kemuliaan. Kerana ucapan yang baik adalah buah dari ibadah kita dan hasil darinya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


اَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللّٰهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ اَصْلُهَا ثَابِتٌ وَّفَرْعُهَا فِى السَّمَاۤءِۙ * تُؤْتِيْٓ اُكُلَهَا كُلَّ حِيْنٍ ۢبِاِذْنِ رَبِّهَاۗ وَيَضْرِبُ اللّٰهُ الْاَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُوْنَ


Maksudnya:"Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit, (pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat". Ibrahim Ayat 24-25.


Sebaliknya ucapan yang kotor dan buruk adalah salah satu perkara yang tidak disukai Allah Subhanahuwata’ala. Tidaklah ianya membuahkan sesuatu kebaikan, melainkan permusuhan dan perpecahan, menjadi sebab rosaknya tali persaudaraan dan putusnya sebuah hubungan. Tidak terhitung jumlahnya, putusnya hubungan antara orang tua dan anak dan hilangnya keharmonian antara pasangan suami dan isteri dikeranakan ucapan yang kotor dan buruk.


Al-Qur’an telah menggambarkan perkataan yang kotor dan buruk ini bagaikan pohon yang buruk, pohon yang tidak memberikan munafaat serta kebaikan apapun bagi pemiliknya. Bahkan ianya akan membuahkan keburukan dan kerosakan. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيْثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبِيْثَةِ ِۨاجْتُثَّتْ مِنْ فَوْقِ الْاَرْضِ مَا لَهَا مِنْ قَرَارٍ


Maksudnya:'Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut akar-akarnya dari permukaan bumi, tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun".  Ibrahim ayat 26.


Setelah memberikan permisalan seperti pohon, Al-Qur’an mendatangkan kepada kita isyarat dan mengajarkan kita bahawa ucapan dan perkataan yang baik merupakan tanda jujurnya keimanan seseorang dan pertanda bahawa dirinya telah mencapai darjat reda Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


يُثَبِّتُ اللّٰهُ الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِى الْحَيٰوةِ الدُّنْيَا وَفِى الْاٰخِرَةِۚ وَيُضِلُّ اللّٰهُ الظّٰلِمِيْنَۗ وَيَفْعَلُ اللّٰهُ مَا يَشَاۤءُ 


Maksudnya:"Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh (dalam kehidupan) di dunia dan di akhirat. Dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim. Dan Allah berbuat apa yang Dia kehendaki". Ibrahim ayat 27.


Hendaklah kita benar-benar memunafaatkan mulut dengan mengungkap bicara yang hanya memberi kebaikan buat diri kita dan orang lain. Seorang yang bercakap sesuatu kalimah, atau satu ayat tanpa mempedulikan implikasi dan hukum dari percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya ke dalam neraka.


Kita semua bakal dibangkitkan pada hari pembalasan dan pada masa itu setiap anggota badan akan berbicara. Walaupun mulut kita ditutup, ia tetap akan menjadi saksi terhadap buah bicara kita di atas dunia ini.


الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰ أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ


Maksudnya:"Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan". Yasin ayat 65.


Ucapan yang baik, maka akan terjaganya rumah tangga. Jika seorang suami berkata dengan perkataan yang indah, maka bertambah pula kadar kecintaan dan kasih sayang antara suami dengan isterinya, juga semakin baik pula perlakuannya terhadap yang lain.  maka itulah asas untuk membangun rumah yang yang tenang lagi damai.


Jika kita cermati dengan baik, akan kita dapati bahawa di antara sebab rosaknya hubungan suami isteri adalah ucapan dan perkataan yang kotor lagi buruk. Kata-kata yang tidak disedari akhirnya telah merosakan keharmonian dalam keluarga, kata-kata yang mengubah kebahagiaan menjadi kesedihan. Hubungan yang biasanya dipenuhi dengan kasih sayang berubah dipenuhi dengan kekerasan dan sikap acuh tak acuh kerana kata-kata kotor yang keluar dari mulut pelakunya. 


Oleh kerana itulah Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam menekankan kepada kita untuk menggunakan kebijaksanaan dalam berbicara dan jika kita tidak mampu melakukannya adalah lebih baik berdiam sahaja.


مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَليَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُت


Maksudnya:"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah ia berkata baik atau hendaklah ia diam". Riwayat Bukhari (6018) dan Muslim (47).


Imam An-Nawawi rahimahullah menyebutkan dalam Syarah Arbain, bahawa Imam Asy-Syafi’i rahimahullah mengatakan, “Jika seseorang hendak berbicara, maka hendaklah dia berfikir terlebih dahulu. Jika dia merasa bahawa ucapan tersebut tidak merugikannya, silakan diucapkan. Jika dia merasa ucapan tersebut ada memudharatkannya atau ia ragu, maka ditahan (jangan bicara)


Menjaga ucapan juga adalah satu perkara penting yang mesti diperhatikan oleh para orang tua, ayah dan ibu. Kerana anak-anak pastinya akan memperhatikan dan meniru ucapan orang tuanya.


Ulama masa silam, Muqatil bin Muhammad Al-‘Ataki berkata, "Aku pernah hadir bersama ayah dan saudaraku menemui Abu Ishak Ibrahim Al-Harbi. Maka, beliau bertanya kepada ayahku, "Mereka ini anak-anakmu?’ Ayahku menjawab, ‘Iya.’ (Maka), beliau berkata (kepada ayahku), ‘Hati-hatilah! Jangan sampai mereka melihatmu melanggar larangan Allah, sehingga (wibawamu) jatuh di mata mereka". Lihat Shifatush Shafwah, 2: 409.


Seorang penyair juga pernah berkata dalam bait syairnya,


الأم مدرسة إذا أعددتَها، أعددتَ شَعْباً طَيِّبَ الأعراق


Maksudnya:"Ibu adalah sebuah madrasah (tempat pendidikan) yang jika kamu menyiapkannya, bererti kamu menyiapkan (lahirnya) sebuah masyarakat yang baik budi pekertinya.”


Memperbaikan akhlak dan termasuk di dalamnya menjaga lisan kita dari perkataan kotor dan tidak layak diperkatakan merupakan kunci kesuksesan di dalam mendidik, baik ianya merupakan pendidikan orang tua terhadap anaknya, pendidikan seorang guru terhadap murid-muridnya, ataupun pendidikan dan dakwah seorang ulama terhadap pengikutnya. 


Ada sebuah ungkapan Arab yang terkenal berbunyi,


فاقِدُ الشَّيْءِ لا يُعْطِيْهِ


Maksudnya:"Orang yang tidak punya sesuatu, tidak mungkin memberi sesuatu itu".


Semoga Allah Subhanahuwata’ala senantiasa menjaga lisan kita dari berucap dan berbicara dengan sesuatu yang kotor lagi buruk. Semoga Allah Subhanahuwata’ala hiasi lisan kita ini dengan ucapan yang baik lagi indah. Kerana lisan kita merupakan salah satu anggota badan yang akan diminta untuk pertanggungjawabkannya di akhirat kelak. Tidaklah jika seseorang itu berucap melainkan pasti ada malaikat yang akan mencatatnya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ


Maksudnya:Tiada suatu kalimat pun yang diucapkan, melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.” Qaf ayat 18.




 


No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...