Wednesday, October 18, 2023

Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa menurut pandangan Islam.

Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa menurut pandangan Islam.

Bandar Baitul Maqdis amat penting bagi umat Islam, yang mempunyai hak ke atas Bandar ini. Terdapat tiga fakta penting untuk kita ingati mengenai Islam dan Baitul Maqdis, iaitu dari sudut agama, sejarah dan perundangan. 


Di dalam sejarah Baitul Maqdis, sejak zaman Nabi Dawud AS sehingga ke hari ini, pemerintahan yang paling lama adalah pemerintahan Islam. Bandar Baitul Maqdis telah dibina sebagai pusat penyebaran agama untuk penduduk Israel oleh Nabi Dawud AS dan Nabi Sulaiman AS kira-kira pada tahun 900 sebelum Masihi.


Perkara Ini berlaku lebih kurang 1000 tahun selepas zaman Nabi Ibrahim AS dan pembinaan Kaabah. Justeru, seseorang itu boleh mengatakan bahawa Kaabah mempunyai sejarah yang lebih panjang daripada Baitul Maqdis. Tambahan pula, penting untuk kita ketahui bahawa Injil mengatakan masyarakat Israel awal yang tinggal di Baitul Maqdis telah mengadap ke Selatan apabila menunaikan solat paling suci mereka (Exodus: 40). Kaabah terletak di Selatan Baitul Maqdis. Maka, boleh dikatakan bahawa Kaabah juga telah menjadi kiblat bagi penduduk Israel yang awal.


Baitul Maqdis kemudiannya berada di bawah pemerintahan Islam semasa zaman Khalifah Umar (semoga Allah merahmatinya), dalam tahun 638 Masihi. Ia merupakan penaklukan yang aman. Pemerintah dan Paderi Besar Baitul Maqdis ketika itu yang bernama Sophronius telah menyerahkan kunci Baitul Maqdis kepada Khalifah Umar dengan tangannya.


Umat Islam mengekalkan kesucian Baitul Maqdis sehingga tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Umat Islam mewujudkan dan mengamalkan karakter agama yang penuh toleransi dan keimanan terhadap Baitul Maqdis.


Baitul Maqdis adalah terlalu suci buat umat Islam. Ia merupakan salah satu daripada tiga tempat yang paling suci dalam Islam. Ditambahi pula tuntutan ibadat di Masjidil Aqsa yang mempunyai seribu satu macam keistimewaan seperti yang dinaskan.


Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى


Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dan juga masjid al-Aqsa”. Riwayat al-Bukhari (1189)


Daripada Jabir bin Abdullah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


صَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ مِائَةُ أَلْفِ صَلَاةٍ، وَصَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي أَلْفُ صَلاةٍ، وَفِي بَيْتِ الْمَقْدِسِ خَمْسُمِائَةٍ صَلَاةٌ

Maksudnya:"Melaksanakan solat di Masjidilharam (pahalanya) sebanding dengan 100000 kali solat (di masjid yang lain), solat di masjidku (Masjid Nabawi) pahalanya sebanding dengan 1000 kali solat (di masjid yang lain), sedang solat di Baitul Maqdis (Masjidilaqsa) pahalanya sebanding dengan 500 kali solat (di masjid yang lain)". Riwayat Bazar, Ibnu Khuzaimah, dan Thabrani.

Baitul Maqdis digelar Al-Quds Al-Sharif (Tempat Yang Suci). Dalam usaha untuk memahami kesucian Bandar ini, seseorang itu perlu memahami struktur iman di dalam Islam.


Terdapat tiga prinsip asas:

  • Percaya bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah (Tauhid).

  • Percaya bahawa petunjuk Ilahi disampaikan menerusi rasul-rasul dan nabi-nabi Nya yang terpilih (Risalah).

  • Percaya bahawa wujudnya kehidupan selepas mati (akhirat), hari pembalasan dan Syurga serta Neraka.


Prinsip yang kedua mempunyai hubungan langsung dengan kecintaan dan komitmen umat Islam terhadap Baitul Maqdis.


Islam mengiktiraf semua rasul dan utusan Allah Subhanahuwata'ala. Nama-nama mereka banyak disebut di dalam Al-Quran. Kisah dan ajaran yang mereka bawa diceritakan di dalam kitab suci umat Islam ini. Menurut ajaran Islam, Ibrahim (Abraham), Musa (Moses), Daud (David), Sulaiman (Solomon), Zakariyah (Zachariah), Yahya (John the Baptist) dan Isa (Jesus) - alahimussalam- adalah antara nabi-nabi dan utusan yang dimuliakan Allah Subhanahuwata'ala. Yahudi dan Kristian juga mengiktiraf Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS sebagai raja dan pemimpin yang hebat di zaman Israel kuno.


Di dalam Islam, kedua-dua orang nabi ini adalah utusan yang dimuliakan oleh Allah untuk membawa risalah-Nya. Al-Quran bukan sahaja menceritakan kisah-kisah mereka tetapi juga menjaga maruah mereka dengan menghapuskan beberapa penghinaan dan kecaman yang dibuat oleh umat terdahulu terhadap mereka. Nabi Daud AS dituduh melakukan zina di dalam kitab Injil (2 Samuel: 11-12) dan Nabi Sulaiman AS dituduh melakukan penyembahan berhala (1 King: 11). Al-Quran menangkis semua dakwaan yang dikenakan terhadap kedua-duanya. (Saad: 30). Ini menunjukkan bahawa Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS lebih dihormati di dalam Islam berbanding tradisi masyarakat Yahudi dan Kristian. 


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَوَهَبْنَا لِدَاوُودَ سُلَيْمَانَ ۚ نِعْمَ الْعَبْدُ ۖ إِنَّهُ أَوَّابٌ


Maksudnya:"Dan Kami kurniakan kepada Daud, Sulaiman, dia adalah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya)".  Sad ayat 30.


Memandangkan bandar Baitul Maqdis dikaitkan oleh sejarah dengan nabi-nabi yang diutus oleh Allah Subhanahuwata'ala, maka ia secara tabi'inya turut menjadi bandar yang suci buat umat Islam. Islam menganggap ianya sebagai penerusan kepada iman dan etika yang sama seperti yang diasaskan oleh nabi-nabi terdahulu. Menurut prinsip sejarah dan teologi, Islam merupakan pewaris sebenar kepada tradisi nabi-nabi dan utusan Allah Subhanahuwata'ala yang terdahulu. Atas alasan inilah, Al-Quran membuat seruan untuk Palestin - tanah yang dikaitkan dengan kehidupan ramai nabi-nabi - " الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ" (tanah yang suci) (Al-Ma'idah:21) dan menggelarkan sekitarnya sebagai "بَارَكْنَا حَوْلَهُ" (yang diberkati sekitarnya) (Al-Israa':1).


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


يَا قَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَىٰ أَدْبَارِكُمْ فَتَنْقَلِبُوا خَاسِرِينَ


Maksudnya: “(Nabi Musa berkata lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)". l-Ma’idah ayat 21.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ


Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui". Al-Israa’ ayat 1.


Kesucian Bandar Baitul Maqdis menurut Islam adalah pada realiti sejarah keagamaannya. Bandar ini menjadi saksi kepada kehidupan dan kerja-kerja para nabi serta utusan Allah Subhanahuwata'ala. Di situlah turunnya wahyu Allah Subhanahuwata'ala secara berulang-ulang. Nabi-nabi dan utusan-utusan Allah yang agung tinggal dan berpindah ke lembah-lembah serta jalan-jalannya. 


Mekah dan Madinah merupakan bandar-bandar yang diberkati di dalam Islam kerana kaitannya dengan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam. Bagitu juga dengan Baitul Maqdis yang diberkati dan penting di dalam Islam kerana kaitannya dengan nabi-nabi lain seperti Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS dan Nabi Isa AS.


Yahudi dan Kristian tidak mengiktiraf Nabi Ismail AS dan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sebagai nabi dan rasul, maka mereka tidak menganggap Mekah dan Madinah sebagai bandar-bandar yang suci. Bagaimanapun, Islam mengiktiraf Nabi Musa AS, Nabi Dawud AS, Nabi Sulaiman AS dan Nabi Isa AS, maka mereka harus mengiktiraf kesucian dan kepentingan Baitul Maqdis di dalam Islam.


Pengiktirafan Islam kepada semua Nabi disebut oleh Allah Subhanahuwata'ala dalam firman-Nya,


آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْ رُسُلِهِ ۚ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ


Maksudnya:"Rasul telah beriman kepada Al Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeda-bedakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat". (Mereka berdoa): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali". Al-Baqarah ayat 285.


Berdasarkan kepada status agama dan teologi, Baitul Maqdis menduduki tempat yang sangat istimewa di dalam kehidupan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sendiri. Pada tahun 620M, kira-kira satu setengah tahun sebelum Baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah, satu peristiwa Al-Israa' dan Al-Mi'raj (perjalanan malam dan diangkat ke langit) telah berlaku. Pada suatu malam, dengan cara yang menakjubkan, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah melakukan perjalanan yang penuh keajaiban dari Mekah ke Baitul Maqdis dan diangkat ke langit pada malam yang sama. 

Perjalanan malam ini merupakan satu keajaiban yang agung yang dipercayai oleh setiap umat Islam bahawa ianya merupakan satu penghormatan kepada Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam dan mengesahkan hubungan akidah antara Mekah dan Baitul Maqdis. Kedua-dua peristiwa ini berlaku pada malam yang sama. Malaikat Jibril (Gabriel) mengiringi Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam dari Mekah ke Baitul Maqdis. Diceritakan juga bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam berdiri di atas Batu Suci (Al-Sakhrah Al-Musharrafah), naik ke langit, kembali ke Baitul Maqdis dan bertemu dengan ramai nabi-nabi serta rasul-rasul terdahulu yang berhimpun untuk Baginda sempena peristiwa tersebut. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam seterusnya mengimamkan solat mereka.


Peristiwa Al-Israa' dan Al-Mi'raj penuh dengan tanda-tanda dan petunjuk yang menakjubkan.Para pemikir Islam, pengkaji mistik dan penyair-penyair telah membuat pelbagai tafsiran secara mendalam dan berbeza-beza. Bagaimanapun, terdapat satu kesimpulan penting dan ia menjadi satu contoh kepada ketaatan dan hubungan iman setiap Muslim dengan Baitul Maqdis.


Semasa Al-Mi'raj, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah menerima perintah Allah Subhanahuwata'ala untuk melaksanakan solat sebanyak lima kali sehari semalam di mana setiap Muslim wajib menunaikannya. Setelah kepulangan Baginda ke Mekah, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah menyampaikan perintah Allah Subhanahuwata'ala supaya memfardukan solat. Penting untuk kita ketahui bahawa Baginda Sallallahu'alaihiwasallam telah menjadikan Baitul Maqdis sebagai Kiblat yang mana setiap Muslim perlu menghadap ke arahnya semasa mengerjakan solat. Justeru, Baitul Maqdis dikenali sebagai 'Ula Al-Qiblatain (yang pertama antara dua kiblat).

Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam dan umat terawal yang memeluk Islam telah berkiblatkan Baitul Maqdis semasa solat ketika mereka berada di Mekah. Selepas peristiwa Hijrah, masyarakat Islam di Madinah juga turut mengadap ke Baitul Maqdis ketika solat selama kira-kira 17 bulan. Kemudian, barulah turun perintah Allah Subhanahuwata'ala supaya menukar arah kiblat dari Baitul Maqdis ke Mekah sebagaimana yang terkandung dalam Surah Al-Baqarah ayat 142-150.


Peralihan Kiblat ini sama sekali tidak menghapuskan kedudukan Baitul Maqdis di dalam Islam. Kaabah di Mekah merupakan Kiblat sejak awal kerana Al-Quran menyebut bahawa ia adalah Rumah Pertama ( أَوَّلَ بَيْتٍ) yang dibina untuk manusia menyembah Tuhan Yang Satu.

Firman Allah Subhanahuwata'ala,


إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ


Maksudnya: “Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia". Ali Imran ayat 96.


Walau bagaimanapun, Kaabah dipenuhi dengan patung-patung sejak mula Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam memulakan dakwahnya agar umat manusia menyembah Allah Subhanahuwata'ala, Tuhan Yang Satu. Perbezaan telah ditunjukkan antara penyembahan orang beriman dan kaum musyrik terhadap apa yang mereka sembah di Kaabah. Baitul Maqdis menepati matlamat tersebut untuk mengasingkan umat ketika itu dari sembahan-sembahan berhala mereka.


Apabila prinsip ketuhanan yang satu telah ditegakkan sepenuhnya di dalam hati dan jiwa kaum muslimin dan apabila kedudukan Kaabah dengan Nabi Ibrahim AS telah jelas, barulah Kaabah dipilih semula sebagai Kiblat semasa solat.


No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...