Wednesday, September 20, 2023

Menyeru manusia kepada kebaikan Islam.

Menyeru manusia kepada kebaikan Islam.

Dalam Islam kita dituntut untuk menyeru manusia masuk ke dalam Islam dan ia adalah merupakan satu pekerjaan yang sangat mulia namun ianya amat berat untuk dilakukan. Pekerjaan yang mulia Ini adalah merupakan tugas para Nabi dan Rasul,  yang mana mereka ditugaskan untuk membawa manusia ke jalan hidayah. Sesungguhnya pahala yang amat besar dijanjikan Allah Subhanahuwata'ala kepada orang yang berjaya mengislamkan atau membantu mengislamkan seseorang.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ


Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)". Surah al-Fussilat ayat 33.


Menurut Syeikh Dr Wahbah al-Zuhailli ayat ini menerangkan bahawa sebaik-baik apa yang diucapkan oleh seseorang ialah dakwah kepada meng-Esa dan mengabdikan diri hanya kepada Allah Subhanahuwata'ala. Kelebihan ini merangkumi semua orang yang ikhlas berdakwah menyeru manusia kepada Allah Subhanahuwata'ala dan termasuklah Nabi Sallallahu'alaihiwasallam dan orang yang melaungkan azan. 

Lihat Wahbah al-Zuhailli, Tafsir al-Munir fi al-Aqidah wa al-Syaria’ah wa al-Manhaj (Beirut: Dar al-Fikr, 1991), jld. 24, hlm. 228.


Terdapat pelbagai hadith yang menceritakan tentang galakan menyeru manusia kepada kebaikan dan ganjaran yang akan diperolehi apabila seseorang itu melakukan kebaikan yang diseru itu. Pernah pada suatu ketika Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menyuruh Saidina Ali RA untuk membawa panji ketika peperangan Khaibar. Lalu Saidina Ali berkata; “kami akan menentang dan melawan musuh sehingga mereka menjadi muslim”, lalu Nabi Sallallahu'alaihiwasallam berkata; “bersabarlah, sehingga kamu berjumpa dengan mereka dan mengajak mereka untuk memeluk agama Islam maka Allah akan bersama mereka.”


فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ


Maksudnya: “Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik)". Riwayat al-Bukhari(2724)


Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata, perkataan (حمر النعم) dengan maksud unta yang terbaik. Sebahagian ulama mentafsirkan makna hadis ini dengan makna bahawa mengislamkan seseorang itu lebih baik berbanding memiliki unta yang terbaik atau menyedekahkannya. Lihat Ibn Hajar al-Asqallani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (Beirut: Dar al-Makrifah, 1379H),  jld. 7, hlm. 478.


Dalam hadith yang lain daripada Abi Hurairah RA, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا.


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah bersabda: "Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperolehi orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun". Riwayat Muslim(4831)


Hadith-hadith di atas, jelas menunjukkan kepada kita akan ganjaran yang hebat akan diterima oleh seseorang yang telah menyeru manusia ke jalan hidayah dan pahala tersebut akan diperolehi selagi mana orang yang diseru itu melakukan serta mengamalkannya.


Al-Quran juga telah menegaskan tentang perintah untuk mengajak manusia kepada kebaikan. Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ


Maksudnya:"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung". Ali Imran ayat 104.


Mengajak orang lain pada kebaikan merupakan salah satu bentuk sikap kepedulian kepada sesama manusia. Kepedulian ini merupakan salah satu ukuran tinggi rendahnya iman seseorang.


Semakin tinggi iman seseorang, maka semakin tinggi pula kepeduliannya kepada orang lain. Begitu pula sebaliknya, semakin rendah kepeduliannya kepada orang lain maka semakin rendah pula tingkat keimanannya.


Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


قَالَ أَبُو سَعِيدٍ الْخُدْرِيُّ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ رَأَى مُنْكَرًا فَغَيَّرَهُ بِيَدِهِ فَقَدْ بَرِئَ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ أَنْ يُغَيِّرَهُ بِيَدِهِ فَغَيَّرَهُ بِلِسَانِهِ فَقَدْ بَرِئَ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ أَنْ يُغَيِّرَهُ بِلِسَانِهِ فَغَيَّرَهُ بِقَلْبِهِ فَقَدْ بَرِئَ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ


Maksudnya:"Berkata Abu Sa'id Al Khudri berkata; "Saya mendengar Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Barang siapa yang melihat kemungkaran kemudian ia merubahnya dengan tangannya maka sungguh ia telah berlepas diri dari kemungkaran tersebut, dan orang yang tidak mampu untuk mengubahnya dengan tangannya kemudian mengubahnya dengan lisannya maka sungguh ia telah berlepas diri, dan barang siapa yang tidak mampu untuk mengubahnya dengan lisannya kemudian ia mengubahnya dengan hatinya maka sungguh ia telah berlepas diri, dan hal itu adalah selemah-lemah iman". An-Nasai (4923)


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam diutus oleh Allah Subhanahuwata'ala bukan hanya untuk membentuk kesolehan individu, tapi juga dalam rangka membangun kesolehan sosial. Hal ini dapat dilihat dari tingginya kepedulian Nabi Sallallahu'alaihiwasallam kepada umatnya.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ


Maksudnya:"Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin". At-Taubah ayat 128


Bahkan, sebelum diutus menjadi Rasul, pada usianya yang ke-37 hingga 40 tahun, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah melakukan uzlah, yakni menyendiri di gua Hira. Di sana, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam memikirkan keadaan masyarakat saat itu yang sudah jauh dari nilai-nilai akhlak.


Puncak keberhasilan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dalam mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran dapat kita lihat pada fasal dakwah di Madinah. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah berhasil menebarkan nilai-nilai kebaikan atau kesolehan di tengah-tengah masyarakat  majmuk. Bukan hanya dari satu agama dan suku, malah melepasi sempadan agama dan suku.


Spirit atau semangat dakwah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam semestinya telah menjadi warisan bagi kita umat Islam saat ini. Kita tidak cukup hanya dengan memperbaiki kualiti ibadah yang bersifat individu-ritual semata, tapi juga dituntut untuk memiliki kepedulian kepada sesama manusia dengan menebarkan kebaikan. Kesolehan kolektif secara utuh akan tercipta dalam kehidupan bermasyarakat.


Dengan terwujudnya kesolehan secara kolektif akan mendatangkan keberkatan hidup di tengah-tengah masyarakat. Allah Subhanahuwata'ala telah menegaskan dalam Al-Quran, 


وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ


Maksudnya:"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya".  Al-A’raf ayat 96.


Di era yang serbacanggih ini, banyak cara dan media yang dapat kita manfaatkan untuk mengajak manusia kepada kebaikan, baik yang sifatnya secara langsung mahupun tidak secara langsung.


Yang secara langsung, misalnya, melalui satu komuniti atau organisasi, dengan menyelenggarakan kegiatan-kegiatan dakwah sosial kemasyarakatan. Adapun yang tidak secara langsung, misalnya, dengan mengoptimalkan sarana dan media informasi yang ada saat ini, seperti melalui media sosial.


Hal ini dapat dilakukan dengan menyebarkan konten-konten keislaman dan nilai-nilai moraliti atau akhlak di tengah-tengah masyarakat.

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...