Thursday, September 7, 2023

Empat (4) Dosa Besar yang sering diremehkan.

Empat (4) Dosa Besar yang sering diremehkan.

Larangan Allah Subhanahuwata’ala ada beberapa jenis, di antaranya adalah perbuatan dosa.


Dalil dari Al-Qur’an dan Al-Sunnah menunjukkan bahawa dosa yang  dilakukan oleh hamba terbahagi kepada  dua jenis, iaitu dosa besar (الكبائر) dan dosa kecil (الصغائر). Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala,


إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلًا كَرِيمًا


Maksudnya:"Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa besar yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)".  An-Nisa ayat 31.


Allah Subhanahuwata’ala juga berfirman,


الَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ


Maksudnya:"(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil. Sesungguhnya Tuhanmu maha luas ampunan-Nya". An-Najm ayat 32.


Begitu juga dalil-dalil dari Al-Sunnah juga menunjukkan adanya pembahagian dosa besar dan dosa kecil. Nabi Sallallahu’alaihiwasallam bersabda,


الصَّلاةُ الخمسُ والجمعةُ إلى الجمعةِ كفَّارةٌ لما بينَهنَّ ما لم تُغشَ الْكبائرُ


Maksudnya:"Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga solat Jumaat selanjutnya, menghapuskan dosa-dosa di antara keduanya, selama mana tidak melakukan dosa besar". Muslim (233).


Di antara kaedah untuk membezakan diantara dosa besar dan dosa kecil adalah:


Pertama:

Dosa besar adalah yang disebutkan sebagai dosa besar oleh Allah dan Rasul-Nya. Imam Al-Qurtubi rahimahullah mengatakan,


كُلّ ذَنْب أُطْلِقَ عَلَيْهِ بِنَصِّ كِتَاب أَوْ سُنَّة أَوْ إِجْمَاع أَنَّهُ كَبِيرَة أَوْ عَظِيم


Maksudnya:"Dosa besar adalah dosa yang dimutlakkan oleh nash Al-Qur`an dan Al-Sunnah atau ijma’ sebagai dosa besar".  Lihat Fathul Baari, (15: 709).


Kedua:

Dosa besar adalah setiap dosa yang diancam dengan neraka, atau mendapatkan murka, laknat, atau azab, Sebagaimana perkataan Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma ketika menafsirkan surat An-Nisa’ ayat 31, beliau berkata,


الكبيرة كل ذنب ختمه الله بِنَّار، أو غضب، أو لعنة، أو عذاب


Maksudnya:"Dosa besar adalah yang Allah tutup dengan ancaman neraka, atau kemurkaan, atau laknat atau azab". Lihat Tafsir Ibnu Katsir, (2: 282).


Ketiga: 

Dosa besar adalah yang terdapat hukuman khusus, tidak sekadar dilarang atau diharamkan. Seperti yang disebutkan dalam dalil “barangsiapa yang melakukan ini, maka ia bukan mukmin”, atau “bukan bahagian dari kami”.


Sebagaimana contoh dari hadith-hadith berikut:


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ


Maksudnya:"Dari Abdullah ia berkata; Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Tidaklah termasuk hamba yang mukmin, iaitu mereka yang selalu suka mencela,suka melaknat,suka berperilaku keji dan suka berkata kasar". Riwayat Tirmizi(1900).


….فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ مِنَّا مَنْ غَشَّ


Maksudnya:"….Maka Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pun bersabda: "Bukan dari golongan kami orang yang menipu…". Riwayat Ibnu Majah (2215).


Setelah mengetahui ancaman serta akibat yang akan perolehi jika melakukan dosa besar, Maka sudah tentu bagi muslim yang berakal dan beriman akan berusaha menjauhkan dirinya dari terjatuh ke dalamnya. 

Sayangnya ada beberapa amalan yang sering kali dilakukan oleh seorang muslim dan ternyata tanpa ia ketahui, hal tersebut merupakan salah satu dari dosa besar yang Allah Subhanahuwata’ala tidak akan ampuni kecuali dengan bertaubat kepada-Nya. Di antaranya adalah:


Pertama:

Menyekutukan Allah Subhanahuwata’ala.


Samaada dengan menyakini bahawa ada sesuatu yang lain yang dapat memberikan manfaat ataupun menghindarkan seseorang itu dari keburukan atau mudharat selain Allah, atau dengan keyakinan yang semisalnya. Padahal keyakinan sebegini diancam oleh Allah Subhanahuwata’ala melalui firman-Nya,


إِنَّ اللّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاءُ


Maksudnya:"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya". An-Nisa’ ayat 48.


Sesungguhnya perkara yang wajib diyakini oleh setiap muslim bahawasanya tidak ada yang dapat memberikan manfaat dan mudharat kecuali Allah sahaja. Keyakinan ini yang ditanamkan oleh agama kita. Dan bahawasanya memberikan manfaat dan mudharat itu hanya milik Allah semata.


Siapa pun orangnya, setinggi apa pun darjatnya, dia tidak akan dapat memberikan mudharat atau manfaat. Apakah itu dari kalangan para malaikat, para nabi, orang-orang soleh, semuanya tidak ada yang dapat memberikan manfaat dan mudharat 'pada hakikatnya'.


Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


قُل لاَّ أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعاً وَلاَ ضَرّاً إِلاَّ مَا شَاء اللّهُ وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لاَسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَاْ إِلاَّ نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ


Maksudnya:"Katakanlah: “Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudharatan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”. Al-Araf ayat 188.


Diantara kepercayaan syirik yang boleh  berlaku adalah dengan sebab percaya kepada thiyarah atau tathayyur. Tathayyur atau thiyarah iaitu merasa bernasib sial kerana sesuatu. 

Kepercayaan khurafat ini mempunyai unsur mempercayai perkara-perkara sial yang telah jelas dilarang hadith Baginda Sallallahu'alaihiwasallam,


لاَ طِيَرَةَ


Maksudnya: Tiada thiyarah / kepercayaan sial di dalam islam". Riwayat Muslim (2224)


Juga hadith berikut,


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الطِّيَرَةُ شِرْكٌ الطِّيَرَةُ شِرْكٌ ثَلَاثًا وَمَا مِنَّا إِلَّا وَلَكِنَّ اللَّهَ يُذْهِبُهُ بِالتَّوَكُّلِ


Maksudnya: Dari Abdullah bin Mas'ud dari Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, beliau bersabda: "Thiyarah adalah syirik, thiyarah adalah syirik -tiga kali-. Tidaklah di antara kita kecuali beranggapan seperti itu, akan tetapi Allah menghilangkannya dengan tawakal". Riwayat Abu Daud(3411)


Tathayyur atau thiyarah, iaitu merasa bernasib sial kerana sesuatu. Lihat an-Nihaayah (III/152), Manhajul Imaam asy-Syafi’i fii Itsbaatil ‘Aqiidah (I/273).


Tathayyur atau thiyarah diambil dari kalimat: زَجَرَ الطَّيْرَ (menerbangkan burung).


Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda،


لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ


Maksudnya:"Tidak ada  penyakit yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”


Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.


Kepercayaan tersebut mempunyai unsur-unsur khurafat, ini kerana para ulama’ telah mentakrifkan khurafat sebagai:


الاعتقاد بما لا ينفع ولا يضر ولا يلتئم مع المنطق السليم والواقع الصحيح


Maksudnya: Khurafat ialah sebuah kepercayaan kepada perkara yang tidak bermanfaat, tidak memudharatkan dan tidak bersesuaian dengan akal yang sejahtera dan realiti semasa [Lihat al-Mazahib al-Fikriah al-Mu’asiroh, 2/1186]


Kepercayaan ini bercanggah dengan aqidah yang sejahtera yang wajib diimani oleh kesemua muslim iaitu hanya Allah Subhanahuwata'ala sahaja yang boleh beri manfaat atau mudarat.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,:


وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ ۚ يُصِيبُ بِهِ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۚ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ


Maksudnya: “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurnia-Nya itu kepada sesiapa yang dikendaki-Nya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani". Yunus ayat 107


Kata imam Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini “Sesungguhnya kebaikan, keburukan, manfaat dan bahaya hanyalah milik Allah Subhanahuwata'ala sahaja. Tidak ada sesuatu pun menyekutui-Nya dalam hal yang demikian. Maka hanya Allah sahajalah yang berhak diibadahi. Tidak ada sekutu bagi-Nya.” (Rujuk Tafsir al-Quran al-‘Azhim, 7/407)


Kedua, bermuamalah dengan riba. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda


لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- آكِلَ الرِّبَا وَمُوكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَقَالَ هُمْ سَوَاءٌ


Maksudnya: "Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam melaknat pemakan riba (rentenir), orang yang menyerahkan riba (peminjam), pencatat riba (sekretaris), dan dua orang saksinya.” Beliau mengatakan, “Mereka semua itu sama (dalam melakukan yang haram)”. Riwayat Muslim (1598).


Ada kaedah umum dalam memahami riba yang disebutkan oleh para ulama.


كُلُّ قَرْضٍ جَرَّ مَنْفَعَةً, فَهُوَ رِبًا


Maksudnya:"Setiap hutang piutang yang ditarik manfaat di dalamnya, maka itu adalah riba".


Ketiga:

Derhaka kepada orang tua. 


Imam An-Nawawi rahimahullah dalam Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim berkata, “Uququl walidain atau durhaka kepada orang tua adalah segala bentuk menyakiti orang tua.” Para ulama juga mengatakan bahawa taat kepada orang tua itu wajib dalam segala hal selama mana ianya bukan dalam perkara maksiat. Bahkan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam  bersabda,


عَنْ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرُ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ لِصَاحِبِهِ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا مَعَ مَا يَدَّخِرُ لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ الْبَغْيِ وَقَطِيعَةِ الرَّحِمِ


Maksudnya:"Dari Abu Bakrah berkata: Rasulullah Sallallahu'alaihiwasalam bersabda: "Tidak ada suatu dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya didunia oleh Allah kepada pelakunya di samping (azab) yang disimpan baginya di akhirat daripada zina dan memutus silaturrahim(dengan orang tua dan kerabat)". Riwayat Tirmizi(2435)


Dosa orang yang menderhakai kedua ibubapa akan dipercepatkan oleh Allah Subhanahuwata'ala di dunia lagi.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam pernah bersabda,

 


كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ


Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi". Riwayat al-Hakim (7263)


Keempat, meninggalkan solat. Dari Buraidah Radhiyallahu ‘anhu, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


عَبْدُ اللَّهِ بْنُ بُرَيْدَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ؛ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ الصَّلَاةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ


Maksudnya:"Abdullah bin Buraidah dari Bapanya ia berkata, "Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Perjanjian antara kita dengan mereka adalah solat, maka barangsiapa meninggalkannya ia telah kafir". Riwayat Ibnu Majah(1069)


Seorang tabi’in bernama ‘Abdullah bin Syaqiq Rahimahullah berkata,


كَانَ أصْحَابُ محَمَّدٍ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – لاَ يَرَوْنَ شَيْئاً مِنَ الأعْمَالِ تَرْكُهُ كُفْرٌ غَيْرَ الصَّلاَةِ


Maksudnya:"Para sahabat Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam tidak memandang kufur kerana meninggalkan amal, kecuali solat".  Riwayat Tirmidzi.


Semoga Allah Subhanahuwata’ala melindungi diri kita dari terjerumus ke dalam perbuatan dosa besar, baik yang kita sedari mahupun tidak kita sedari, serta menjadikan diri kita salah seorang hamba-Nya yang selalu takut akan pedihnya azab Allah Subhanahuwata’ala.




 


No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...