Thursday, August 24, 2023

Amalan-amalan tersembunyi.

Amalan-amalan tersembunyi.

Salah satu perkara terbesar yang akan membantu kita teguh di atas kebenaran dan keimanan adalah menjaga hal-hal yang bersifat rahsia dari ibadah yang tersembunyi. Kerana hal-hal tersebut terbukti akan menguatkan keteguhan Iman kita. Amalan tersembunyi adalah ujian tersendiri yang akan dihadapkan pada  kita di hari kiamat nanti. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


يَوْمَ تُبْلَى السَّرَائِرُ


Maksudnya:"Pada hari dinampakkan segala rahsia". At-Thariq ayat 9.


Berkaitan dengan perkara Ini, ada satu doa yang sentiasa diulang-ulang baca oleh Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam. Doa yang selalu beliau rutinkan dan beliau baca di waktu-waktu yang mustajab. Ianya juga sepatutnya menjadi salah satu dari doa yang akan mendapat perhatian khusus dari kita. Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, pelayan Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam menceritakan,


كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ يُكثرُ أن يقولَ يا مقلِّبَ القلوبِ ثَبِّتْ قلبِي على دينِك فقلت يا نبيَّ اللهِ آمنَّا بك وبما جئتَ به فهل تخافُ علينا؟ قال نعم إن القلوبَ بينَ إصبعينِ من أصابعِ اللهِ يُقلِّبُها كيفَ يشاءُ


Maksudnya:"Rasulullah ﷺ senantiasa memperbanyak doa, ‘Wahai Zat Yang Membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.’ Lalu, aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, kami telah beriman kepadamu dan dengan apa yang engkau bawa, apakah engkau mengkhawatirkan kami?’ Beliau bersabda, ‘Iya, sesungguhnya hati itu ada di antara dua jemari dari jari jemari Allah. Dia membolak-balikkan sebagaimana yang Dia kehendaki"  Tirmizi (2140), Ahmad (13696) dan Ibnu Majah (38334).


Jika Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam merasa bimbang  dengan keadaan agama para sahabatnya, maka ketakutan dan kebimbangan kita terhadap ujian agama dalam diri kita itu tentunya lebih besar. Kerana hati sebagaimana namanya dalam bahasa Arab iaitu “Al-Qalbu” yang bermakna mudah dan cepat berubah. Samaada berubah dari keimanan menuju kekafiran atau berubah dari ketaatan menuju kemaksiatan.


Amalan baik yang disembunyikan dan niat yang tulus kerana Allah Subhanahuwata’ala akan menjadikan pahala sesebuah amalan itu menjadi besar meskipun pada  asalnya amalannya tersebut terlihat kecil dan sedikit. Sedangkan niat yang buruk boleh jadi akan membatalkan pahala sesebuah amalan baik yang dilakukan, meskipun amalannya tersebut terlihat besar.


Perbanyaklah amalan-amalan tersembunyi untuk menggapai reda Allah Subhanahuwata’ala. Sahabat Zubair bin Awwam radhiyallahu ‘anhu pernah mengatakan,


مَنِ استطاعَ منكم أنْ يكونَ لَهُ خَبْءٌ [خَبِيءٌ] مِنْ عمَلٍ صالِحٍ فلْيَفْعَلْ


Maksudnya:Siapa saja di antara kalian yang mampu untuk memiliki amal soleh yang tersembunyikan, maka lakukanlah!".


Ibadah yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi atau meninggalkan dosa yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi akan mengangkat darjat seorang hamba, membesarkan nilai pahala dan menghapuskan dosa-dosa. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


اِنَّمَا تُنْذِرُ مَنِ اتَّبَعَ الذِّكْرَ وَخَشِيَ الرَّحْمٰنَ بِالْغَيْبِۚ فَبَشِّرْهُ بِمَغْفِرَةٍ وَّاَجْرٍ كَرِيْمٍ


Maksudnya:"Sesungguhnya engkau hanya memberi peringatan kepada orang-orang yang mahu mengikuti peringatan dan yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pengasih, walaupun mereka tidak melihat-Nya. Maka, berilah mereka khabar gembira dengan ampunan dan pahala yang mulia". Yasin ayat 11.


Ibadah yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi akan menguatkan hubungan kita dengan Allah Subhanahuwata’ala. Tidaklah ada seseorang yang mengeluhkan lemahnya hubungan dirinya dengan Allah, kecuali sudah pasti sedikit dirinya di dalam berdua-duaan, berkhalwat, dan bermunajat dengan Allah Subhanahuwata’ala.


Oleh kerana itu, tidak hairanlah bila kekasih hati kita, Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam sentiasa bangun di malam hari, bermunajat dengan Tuhan-Nya, beriktikaf di sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan dengan keadaan kualiti solat yang tidak perlu diragukan dan dipertanyakan lagi bagusnya dan lamanya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


يٰٓاَيُّهَا الْمُزَّمِّلُۙ * قُمِ الَّيْلَ اِلَّا قَلِيْلًاۙ * نِّصْفَهٗٓ اَوِ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيْلًاۙ * اَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْاٰنَ تَرْتِيْلًاۗ * اِنَّا سَنُلْقِيْ عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيْلًا * اِنَّ نَاشِئَةَ الَّيْلِ هِيَ اَشَدُّ وَطْـًٔا وَّاَقْوَمُ قِيْلًاۗ


Maksudnya:"Wahai orang yang berselimut (Muhammad)! Bangunlah (untuk solat) pada malam hari, kecuali sebahagian kecil, (iaitu) separuhnya atau kurang sedikit dari itu, atau lebih dari (seperdua) itu. Dan bacalah Al-Qur’an itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu. Sungguh, bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa); dan (bacaan pada waktu itu) lebih berkesan". Az-Zamil ayat 1-6.


Andaikata Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam tidak memperuntukan waktu yang khusus untuk berdua-duaan dengan Rabbnya dan solat di hadapan-Nya, maka beliau tidak akan kuat untuk memikul amanah risalah yang berat ini.


Wahai saudaraku! yang sedang menghadapi kesulitan dalam agamanya, sedang menghadapi kesulitan dalam urusan dunianya, mohonlah pertolongan kepada Tuhanmu, berbisiklah kepada-Nya di malam-malam yang sunyi. Kerana amal ibadah yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi merupakan salah satu sebab terbesar diterimanya doa-doa dan harapanmu. Kerana amalan tersebut akan menjagamu dari riya’ dan pengelihatan manusia.


Sebagaimana syaitan akan menggoda manusia pada ibadah-ibadah yang nampak dengan riya’ atau sum'ah, syaitan juga tidak berputus asa dari amalan-amalan yang tersembunyi. Mereka akan menggoda para pelakunya untuk berlaku ujub, bangga diri dengan amalan tersembunyi yang telah dilakukannya. Terkadang boleh jadi ia akan meremehkan saudara semuslimnya yang lain. Dengan menganggap bahawa amal ibadah tersembunyi yang dilakukannya menjadikannya lebih baik dari mereka semua. Saat engkau sudah dimampukan untuk melakukan amal ibadah tersembunyi ini, maka berhati-hatilah dari perangkap syaitan tersebut.


Berhati-hatilah juga wahai saudaraku, syaitan akan berusaha menggoda mereka yang telah berhasil melakukan amalan secara sembunyi-sembunyi dengan cara membuatnya lalai, membuat lisannya tidak kuat untuk tidak menceritakan hal tersebut kepada orang lain. Amalan yang telah susah payah dilakukannya secara sembunyi-sembunyi itu dengan cepat berubah menjadi amalan yang nampak hanya dengan satu ucapan dari lisannya. Berusahalah sekuat tenaga wahai saudaraku, untuk tidak menceritakan amalan tersembunyi yang telah kita lakukan.


Ketahuilah bahawa selain dari amalan-amalan tersembunyi, ada juga amalan-amalan yang Allah Subhanahuwata’ala ingin untuk dinampakkan. Oleh kerana itu, janganlah terlambat dan janganlah lupakan bahagianmu dari ibadah-ibadah ini, baik itu menghadiri solat berjamaah ataupun menghadiri solat Jumaat.  Sesungguhnya itu bukanlah termasuk dari riya’ atau sum'ah yang diharamkan.


Amalan-amalan tersembunyi adalah penyeimbangan bagi amal ibadah kita yang zahir dan nampak tersebut. Oleh kerana itu, ianya sangat penting sekali untuk kita rutinkan dan kita jaga. 

Muslim bin Yasar rahimahullah, salah seorang dari tabiin dan muhaddith terkemuka pernah mengatakan,


ما تلذَّذ المتلذِّذونَ بمثلِ الخَلْوةِ بمناجاةِ اللهِ عز وجل


Maksudnya:"Tidak ada kenikmatan yang dapat dirasakan oleh seorang penikmat melebihi nikmatnya yang kesendirian untuk bermunajat dengan Allah Azza Wajalla". Lihat Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam hal. 36.


Masruq bin Ajda’ rahimahullah juga pernah mengatakan,


إِنَّ الْمَرْءَ لَحَقِيقٌ أَنْ يَكُونَ لَهُ مَجَالِسُ يَخْلُو فِيهَا فَيَذْكُرَ فِيهَا ذُنُوبَهُ فَيَسْتَغْفِرَ مِنْهَا


Maksudnya:"Sesungguhnya wajib bagi seseorang untuk memiliki waktu-waktu di mana dia menyendiri di dalamnya. Waktu-waktu yang ia manfaatkan untuk mengingat dosa-dosanya dan meminta pengampunan untuk itu". Mushannaf Al-Hafidz Ibnu Abi Syaibah (36017)


Semoga Allah Subhanahuwata’ala memberikan taufik-Nya kepada kita untuk boleh menjaga dan merutinkan amal ibadah yang nampak mahupun yang tidak nampak dan tersembunyi.


Ya Allah,  kuatkanlah kami untuk dapat  rutin bangun di sepertiga malam terakhir dan bermunajat kepada-Mu, izinkan hamba-Mu ini untuk memiliki waktu khusus dengan-Mu.


Ya Allah, jauhkan diri kami dari ujud,riya’ dan sum'ah dalam beribadah, kerana ianya pasti akan merosakan keikhlasan kami di dalam beramal.




 

 






 






No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...