Wednesday, August 16, 2023

Pengaruh lisan kepada amalan.

Pengaruh lisan kepada amalan.

Lisan atau percakapan akan mempengaruhi pada baik atau buruknya amalan seseorang itu. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلا سَدِيدًا يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا 


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barang siapa menaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar".Al-Ahzab: ayat 70-71.


Dari ayat di atas, dapat diketahui bahawa bukti ketakwaan adalah dengan mengucapkan perkataan yang benar (lurus). Dan jika perkataan seseorang itu baik dan benar, nescaya Allah akan memperbaiki amalannya dan mengampuni dosa-dosanya. Jika di antara kita masih merasa berat dalam melakukan amal ketaatan, seperti solat tahajud, solat duha, membaca Al-Qur’an, sedekah, dan semisalnya, maka kemungkinan ada kalimat-kalimat yang buruk dan tidak sepatutnya keluar dari lisannya.


Bahkan, dalam sebuah hadith Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam pernah mengkhabarkan bahawa setiap pagi anggota tubuh akan memberi pesan kepada lisan,


إِذَا أَصْبَحَ ابْنُ آدَمَ فَإِنَّ الْأَعْضَاءَ كُلَّهَا تُكَفِّرُ اللِّسَانَ فَتَقُولُ : اتَّقِ اللَّهَ فِينَا فَإِنَّمَا نَحْنُ بِكَ ؛ فَإِنْ اسْتَقَمْتَ اسْتَقَمْنَا ، وَإِنْ اعْوَجَجْتَ اعْوَجَجْنَا


Maksudnya:"Jika manusia berada di waktu pagi, maka semua anggota badannya tunduk pada lisan. Mereka berkata, ‘Wahai lisan, bertakwalah kepada Allah dalam urusan kami. Kerana sesungguhnya kami tergantung pada dirimu. Jika kamu bersikap lurus, maka kami pun akan lurus. Namun, jika engkau menyimpang, maka kami pun akan menyimpang". Riwayat Tirmidzi (2331)


Yahya bin Abi Katsir rahimahullah mengatakan bahawa ada dua sifat, yang apabila anda melihat keduanya ada pada diri seseorang, ketahuilah apa yang di belakang keduanya (amalannya) pasti lebih baik lagi: 

1) Bila dia mampu mengendalikan lisannya; dan 

2) Dia selalu menjaga solatnya. 

Lihat Ash-Shamt, Ibnu Abid Dunya, hal. 264.


Catitan:

Al-Imam Yahya ibn Abi Kathir (w130H),  guru kepada al-Imam al-Awza`ei r.a.


Allah Subhanahuwata’ala telah memerintahkan kita untuk menjaga lisan sebagaimana dalam firman-Nya,


إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ 


Maksudnya:"(Iaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri. Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya, melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir". Qaf ayat  17-18.


Salaf menafsirkan bahawa malaikat yang sebelah kanan mencatat amal kebajikan dan malaikat yang sebelah kiri mencatat amal keburukan. Lihat Tafsir Al-Qurthubiy, 17: 9.


Abu Darda’ dalam suatu riwayat mengatakan,


تَعَلَّمُوْا الصَّمْتَ كَمَا تَتَعَلَّمُوْنَ الْكَلَامَ


Maksudnya:"Belajarlah untuk diam sebagaimana kalian belajar untuk berbicara".  Diriwayatkan oleh Al-Khara’ithi dalam kitabnya Makarim Al-Akhlaq.


Agama Islam adalah agama yang melarang sikap ekstrim atau berlebihan, salah satunya berlebihan dalam hal berbicara. 


Firman Allah Subhanahuwata’ala,


يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ


Maksudnya:"Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan". Al-A’raf Ayat 31


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ قَالَهَا ثَلَاثًا


Maksudnya:" Dari Abdullah dia berkata; "RasuluIIah Sallallahu'alaihiwasallam teIah bersabda: 'Celakalah orang-orang yang suka melampaui batas.' (Beliau mengucapkannya tiga kali)". Riwayat Muslim(4823)


Terdapat hadith yang menceritakan berkaitan kebanyakan penghuni neraka adalah orang-orang yang tidak menjaga mulut atau lidahnya ketika hidup di dunia. Antara hadith yang menceritakan berkaitan hal tersebut adalah:


Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam Syurga. Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam menjawab,


تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الخُلُقِ، وَسُئِلَ عَنْ أَكْثَرِ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ النَّارَ، فَقَالَ: الفَمُ وَالفَرْجُ


Maksudnya: “Taqwa kepada Allah dan baik akhlaknya.” Lalu Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam menjawab: “Mulut dan kemaluan". Riwayat al-Tirmizi (2004). [Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib][Imam Ibn Hibban mensahihkan hadith ini di dalam sahihnya]


Syeikh Abdullah al-Talidi berkata di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadith ini, hadith ini membicarakan berkaitan sebab-sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke dalam Syurga atau Neraka. Adapun berkaitan maksud mulut di dalam hadith adalah orang yang tidak menjaga serta berusaha untuk menjaga daripada dosa-dosa mulut seperti mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengejek, menipu, mengumpat, mengadu domba, persaksian palsu dan sebagainya. Selain itu, makna kemaluan pula adalah orang yang tidak menjaga kemaluannya daripada zina, liwat, tidak menjaga auratnya di hadapan selain daripada mahramnya seperti isterinya dan sebagainya. [Lihat: Jawahir al-Bihar, 1/170]


Tambahan pula, Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan makna mulut di dalam hadith ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 6/120]


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam juga memberikan ancaman bagi siapa saja yang tidak dapat mengawal lisannya, sebagaimana sabda beliau,


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِقِ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah dia mendengar Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Sesungguhnya seorang hamba mengucapkan kalimat tanpa diteliti (kesannya) yang kerananya ia terlempar ke neraka sejauh antara jarak ke timur". Riwayat Bukhari(5996)


Sememangnya terdapat pula jaminan syurga bagi mereka yang menjaga lisan dalam sabda beliau yang lain,


عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ يَضْمَنْ لِي مَا بَيْنَ لَحْيَيْهِ وَمَا بَيْنَ رِجْلَيْهِ أَضْمَنْ لَهُ الْجَنَّةَ


Maksudnya:"Dari Sahl bin Sa'd dari Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam beliau bersabda: "Barangsiapa dapat menjamin bagiku sesuatu yang berada di antara janggutnya (mulut) dan di antara kedua kakinya (kemaluan), maka aku akan menjamin baginya syurga".  Riwayat Bukhari(5993)


Al-Bukhari dalam kitab Sahihnya (6475? dan Muslim dalam kitab Sahihnya (74) meriwayatkan hadith dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda.


وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَليَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ


Maksudnya:"“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaknya dia berkata yang baik atau diam”


Imam Nawawi berkomentar terhadap hadith ini ketika menjelaskan hadith-hadith Arba’in. Beliau menjelaskan, “Imam Syafi’i menjelaskan bahawa maksud hadith ini adalah apabila seseorang hendak berkata, maka hendaklah ia berfikir terlebih dahulu. Jika diperkirakan perkataannya tidak akan membawa mudharat, maka silakan dia berbicara. Akan tetapi, jika diperkirakan perkataannya itu akan membawa mudharat atau ragu apakah membawa mudharat atau tidak, maka hendaknya dia tidak usah berbicara”. 

Sebahagian ulama berkata, “Seandainya kalian yang membelikan kertas untuk para malaikat yang mencatat amal kalian, nescaya kalian akan lebih banyak diam daripada berbicara”.


Semoga kita termasuk orang-orang yang dapat menjaga lisan dan tulisan agar selamat di dunia dan akhirat.  










No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...