Thursday, August 31, 2023

Upgrade Iman kita.

Upgrade Iman kita.


Keimanan yang ada pada hati seseorang hamba itu pada hakikatnya boleh bertambah dan boleh berkurang. Pada saat seorang hamba melakukan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala, menjalankan perintah Allah Subhanahuwata’ala, menghidupkan sunah Nabi-Nya, serta menjauhkan diri dari perkara yang dilarang dan dibenci Allah Subhanahuwata’ala, maka kadar keimanan di hatinya akan bertambah. Sedangkan ketika ia berbuat kemaksiatan, meninggalkan kewajipan, melanggar aturan-aturan Allah, maka kesemua perkara itu akan mengurangi kadar keimanan di hatinya.


Iman seorang hamba yang menjadi senjata pusakanya sifatnya يَزْدَادُ وَ يَنْقُصُ, kadang bertambah kadang melemah.


Sahabat Abu ad-Darda` Uwaimir al-Anshari Radhiyallahu anhu berkata: 


الإِيْمَانُ يَزْدَادُ وَ يَنْقُصُ 


Maksudnya:"Iman itu bertambah dan berkurang. Diriwayatkan oleh `Abdullâh bin Ahmad dalam kitab As-Sunnah 1/314.


Muhammad bin Idris asy-Syâfi’i rahimahullah menyatakan:


 الإِيْمِانُ قَوْل وَ عَمَلٌ يَزِيْدُ وَ يَنْقُصُ 


Maksudnya:"Iman itu adalah perkataan dan perbuatan, bertambah dan berkurang".Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah 10/115


Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala, 


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ


Maksudnya:"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. Al-Anfal ayat 2.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِى كَافِرًا أَوْ يُمْسِى مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا


Maksudnya:“Bersegeralah melakukan amalan soleh sebelum datang fitnah (musibah) seperti potongan malam yang gelap. Iaitu seseorang pada waktu pagi dalam keadaan beriman dan di petang hari dalam keadaan kafir. Ada pula yang petang hari dalam keadaan beriman dan di pagi hari dalam keadaan kafir. Ia menjual agamanya kerana sedikit dari keuntungan dunia”.Riwayat Muslim. 


Maksud dari kafir di sini bukanlah makna kiasan, tetapi makna sebenarnya iaitu lawan dari iman atau tidak beriman lagi dengan agamanya. Al-Qurthubi menjelaskan hal ini, beliau berkata,


ولا إحالة ولا بعد في حمل هذا الحديث على ظاهره، لأن المحن والشدائد إذا توالت على القلوب أفسدتها بغلبتها عليها، وبما تؤثر فيها من القسوة و الغفلة التي هي سبب الشقوة


Maksudnya:“Bukan tidak mungkin untuk memaknai hadith ini dengan makna zahirnya (benar-benar kafir), kerana ujian dan fitnah apabila datang berturut-turut akan merosakkan hati dan mengalahkannya. Akan memberikan pengaruh/kesan berupa kerasnya hati, kelalaian yang merupakan sebab kebinasaan.” [Al-Mufhim 1/326].


Justeru itu,telah berlaku salah faham dan keliru di dalam masyarakat, bila ada orang yang mengatakan “yang penting adalah isi hatinya” dengan meyakini bahawasanya kemaksiatan tidak akan mengurangi dan mempengaruhi keimanannya. Padahal Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَٰتُهُۥ زَادَتْهُمْ إِيمَٰنًا


Maksudnya:"...dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. Al-Anfal ayat 2.


وَيَزْدَادَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِيمَٰنًا


Maksudnya:"Supaya orang yang beriman bertambah imannya". Al-Mudatstsir ayat 31.


هُوَ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ ٱلسَّكِينَةَ فِى قُلُوبِ ٱلْمُؤْمِنِينَ لِيَزْدَادُوٓا۟ إِيمَٰنًا مَّعَ إِيمَٰنِهِمْ


Maksudnya:"Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada)". Al-Fath ayat 4.


Di dalam sebuah hadith, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ بَابًا فَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ وَأَرْفَعُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ »


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahawa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda, “Iman itu ada tujuh puluh sekian pintu. Yang paling rendah dari iman adalah menyingkirkan gangguan dari jalan. Yang paling tinggi adalah kalimat laa ilaha illallah". Riwayat Muslim (35) dan Tirmizi (2614)


Seperti yang dinyatakan dalam hadith di atas bahawa iman itu ada yang rendah dan ada yang tinggi, hal ini menunjukkan bahawa iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang.


Oleh kerana itu, di dalam kondisi seperti ini seseorang hamba itu perlu memperhatikan hal-hal yang dapat mengembalikan semangatnya dalam ibadah serta menambahkan kadar keimanannya kepada Allah Subhanahuwata’ala.


Berikut ini ada 6 perkara yang akan dapat memperbaiki kualiti keimanan dan ketakwaan kita:


Pertama: 

Mengenali lebih dekat Rabb yang kita sembah.


Perkara ini mesti kita dahulukan dari yang lain dan mesti kita lakukan dengan cara yang benar dan sesuai syariat. Oleh kerana itu, proses mengenal Allah serta takut kepada-Nya hanya dapat dicapai dengan belajar dan menuntut ilmu. Kerana berilmu merupakan kunci dari munculnya rasa takut kepada Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ


Maksudnya:"Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya, hanyalah para ulama". Fatir ayat  28.


Kedua: 

Hidup bersama Al-Qur’an.


Tidak hanya sekadar membaca sahaja, cubalah  mentadaburinya dan menghayati maknanya. Kerana hal ini merupakan salah satu sifat orang mukmin yang diterangkan oleh Allah Subhanahuwata’ala,


وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا


Maksudnya:Dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya".  Al-Anfal ayat 3.


Tadabur menurut bahasa   adalah memikirkan di sebalik sesuatu akibatnya. Ia hampir dengan makna tafakkur. Namun makna tafakkur adalah menggerakkan hati atau memikirkan dalil. Lihat Ta’lim tadabbur al-Quran al-Karim Asalib Amaliyyah wa Marahil Manhajiyyah,(11. Sementara, Ibn Kathir memberi makna tadabbur ialah  memahami makna  lafaz-lafaz  serta  berfikir tentang ayatnya yang  merangkumi  isyarat  peringatan, nasihat sehingga terkesan pada hati seterusnya  mengambil pengajaran  dan taat segala perintahNya. Lihat  Tafsir al-Quran al-Azim (1/8).


Matlamat  al-Qur'an diturunkan bukan sekadar  untuk dibaca bahkan Allah menyeru seluruh hambanya untuk menghayati inti pati  al-Qur'an  sebagaimana firman-Nya:


كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ


Maksudnya: Al-Qur'an ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan  kepdamu penuh dengan berkah supaya mereka memerhatikan  ayat-ayat-Nya, dan supaya  mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran". Saad ayat 29.


Imam al-Tabari  menyatakan  makna ayat tersebut ialah tujuan  penurunan  al-Qur'an supaya  umat Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam  mentadabbur makna ayat al-Qur'an  serta beramal dengan segala yang telah disyariatkan-Nya. Lihat al-Jaami’ al-Bayan ‘An Ta’wil Aayi al-Qur'an, al-Thabari ( 20/79)]. Justeru, memahami isi kandungan al-Qur'an untuk diambil pelajaran dan diamalkan di dalam kehidupan.


Seterusnya, terdapat   teguran bagi  orang yang membaca al-Qur'an tetapi tidak berusaha memahami serta menghayati intipati al-Qur'an sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,


أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا


Maksudnya: (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Qur'an? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?". Muhammad ayat 24.


Berdasarkan ayat tersebut dapat difahami bahawa  mereka yang membaca al-Qur'an tanpa menghayati inti pati al-Qur'an, maka jantung hatinya terkunci mati  untuk mendapat kebenaran kerana tidak mengetahui kandungan al-Qur'an. Ia merupakan suatu kutukan terhadap mereka yang tidak berusaha mencapai kefahaman ketika membaca al-Qur'an. Bahkan, ayat tersebut menunjukkan tuntutan ke atas manusia agar memahami dan menghayati inti pati al-Qur'an. Lihat Tafsir adhwa’ al-Bayan tafsiral-Qur'an bi al-Qur'an (7/458). Disebalik kefahaman ayat tersebut, dapat juga  difahami bahawa sekiranya mereka membaca al-Qur'an dengan  tadabbur, maka  jiwa-jiwanya  mereka akan diberikan kelapangan untuk menerima hidayah serta hikmah daripada Allah Subhanahuwata'ala.


Ketiga: 

Selalu mengingat Allah pada setiap keadaan.


Sentiasa menjadikan lisan kita berzikir kepada Allah Subhanahuwata’ala, meminta ampun kepada-Nya, bertasbih kepada-Nya pada setiap keadaan. Kerana Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


عَنْ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لَا يَذْكُرُ رَبَّهُ مَثَلُ الْحَيِّ وَالْمَيِّتِ


Maksudnya:"Dari Abu Burdah dari Abu Musa radliallahu 'anhu dia berkata; Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Perumpamaan orang yang mengingat Rabbnya(berfikir) dengan orang yang tidak mengingat Rabbnya seperti orang yang hidup dengan yang mati". Bukhari (5928) dan Muslim (779).


Keempat: Menyelisihi hawa nafsu dengan cara mendahulukan apa-apa yang dicintai Allah dan Rasul-Nya.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ بَعْدَ إِذْ أَنْقَذَهُ اللَّهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُوقَدَ لَهُ نَارٌ فَيُقْذَفَ فِيهَا


Maksudnya:"Dari Anas bahwasanya Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Tiga perkara yang apabila dilakukan seseorang, maka dia akan dapat merasakan manisnya iman; menjadikan Allah dan rasul-Nya paling dicintai dari pada yang lainnya, tidak mencintai seseorang kecuali karena Allah, dan benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana dia benci kalau dimasukkan ke dalam neraka". Ahmad(11564)


Kelima: 

Bersemangat di dalam menghadiri majlis ilmu yang mana di dalamnya diperbuatkan untuk mengingat Allah Subhanahuwata’ala.


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَرَرْتُمْ بِرِيَاضِ الْجَنَّةِ فَارْتَعُوا قَالُوا وَمَا رِيَاضُ الْجَنَّةِ قَالَ حِلَقُ الذِّكْرِ


Maksudnya:"Dari Anas bin Malik sesungguhnya Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Jika kalian melewati taman-taman syurga, nikmatilah", para sahabat bertanya: "Apa yang dimaksud taman-taman syurga?", Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "laitu majlis-majlis zikir (majlis yang digunakan untuk mendalami agama Allah)". Riwayat Ahmad(12065)


Bila belum mampu, maka selektiflah di dalam berteman, pilihlah teman-teman yang soleh, teman yang sentiasa mengingatkanmu akan Allah Subhanahuwata’ala kerana ini merupakan kebiasaan para sahabat. Contoh Mu’az bin Jabal radhiyallahu ‘anhu ketika beliau duduk-duduk dengan salah satu sahabatnya, ia akan berkata, “Duduklah bersama kami untuk (memperbaharui) iman walau hanya sebentar.” Sesungguhnya teman itu sebagaimana yang sering dikatakan adalah “penarik”.


Seorang penyair juga pernah berkata,


عن المرء لا تسأل وسل عن قرينه.. فكل قرين بالمقارن يقتدي


Maksudnya:"Tentang seseorang jangan tanya (siapa dia), tetapi tanyalah siapa temannya. Maka setiap teman akan mengikuti orang yang dia temani".


Memilih teman yang baik adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap remeh. Kerana itu, Islam mengajarkan kita agar  tidak salah dalam memilihnya. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ


Maksudnya:'Daru Abu Hurairah berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, "Seseorang itu akan mengikuti agama temannya, kerananya hendaklah salah seorang diantara kalian mencermati kepada siapa ia berteman". Riwayat Tirmizi (2300).


Allah Subhanahuwata'ala menyuruh Nabi Sallallahu'alaihiwasallam untuk memilih kawan dan begitu juga Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menyuruh umatnya agar memilih kawan. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-kahfi ayat 28,


وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا


Maksudnya:"Dan bersabarlah ( jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat) kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan petang hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas". Al-Kahfi ayat 28.


Keenam: 

Dan yang terakhir, bersemangatlah di dalam melakukan ketaatan serta menjauhkan diri dari kemaksiatan serta tidak lupa terus-menerus berdoa dan bergantung kepada Allah Subhanahuwata’ala.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam pernah bersabda,


…قَالَ حُذَيْفَةُ فَأَسْكَتَ الْقَوْمُ فَقُلْتُ أَنَا قَالَ أَنْتَ لِلَّهِ أَبُوكَ قَالَ حُذَيْفَةُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ تُعْرَضُ الْفِتَنُ عَلَى الْقُلُوبِ كَالْحَصِيرِ عُودًا عُودًا فَأَيُّ قَلْبٍ أُشْرِبَهَا نُكِتَ فِيهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ وَأَيُّ قَلْبٍ أَنْكَرَهَا نُكِتَ فِيهِ نُكْتَةٌ بَيْضَاءُ حَتَّى تَصِيرَ عَلَى قَلْبَيْنِ عَلَى أَبْيَضَ مِثْلِ الصَّفَا فَلَا تَضُرُّهُ فِتْنَةٌ مَا دَامَتْ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَالْآخَرُ أَسْوَدُ مُرْبَادًّا كَالْكُوزِ مُجَخِّيًا لَا يَعْرِفُ مَعْرُوفًا وَلَا يُنْكِرُ مُنْكَرًا إِلَّا مَا أُشْرِبَ مِنْ هَوَاهُ…


Maksudnya:…Hudzaifah berkata, "Aku mendengar Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda: "Fitnah akan dihamparkan pada hati manusia seperti tikar yang dihamparkan, sehelai demi sehelai. Mana pun hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam. Begitu juga mana pun hati yang tidak dihinggapinya, maka akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehingga hati tersebut terbahagi dua: sebahagian menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Sedangkan sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, (Akibatnya ia) tidak mengenal yang makruf dan tidak mengingkari yang mungkar, selain yang diserap hawa nafsunya". Riwayat Muslim (207)


Semoga Allah Subhanahuwata’ala senantiasa menjaga keistiqamahan kita di dalam beramal.










No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...