Thursday, July 13, 2023

Pemuda Ashabul Kahfi serta Tauhid dan Keimanan

Pemuda Ashabul Kahfi serta Tauhid dan Keimanan.

Kisah Ashabul Kahfi, iaitu kisah pemuda-pemuda penghuni gua yang Allah angkat darajatnya. Kisah yang selalu diceritakan dari generasi ke generasi kaum muslimin. Kisah yang menggambarkan betapa besarnya pengaruh akidah yang kuat dalam membendung gempuran nafsu syahwat dan syubhat pada diri seseorang. Sehingga dengan tauhid, seseorang itu semakin fokus dan ikhlas dalam beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala.


Kisah para pemuda yang yang sedang dalam puncak-puncak keremajaan, para pemuda yang gelora syahwatnya dan rasa ingin tahunya masih menyala-nyala. Dengan kondisi seperti itu, justeru mereka  berpaling dari dunia yang penuh tipuan ini. Padahal di zaman tersebut, kemaksiatan bermaharajalela dan kesyirikan mengakar umbi dengan kuat, sehingga pelaku kemaksiatan dan kesyirikan itu selalu memaksa manusia lainnya untuk ikut serta tenggelam dalam kemaksiatan mereka, sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala,


إِنَّهُمْ إِنْ يَظْهَرُوا عَلَيْكُمْ يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِي مِلَّتِهِمْ


Maksudnya:"Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, nescaya mereka akan melempari kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka". Al-Kahfi ayat 20.


Pemuda Ashabul Kahfi adalah para pemuda yang sangat yakin bahawa Allah Subhanahuwata’ala akan sentiasa menjaga mereka selama mana mereka menjaga tauhid dan keimanan.


Para pemuda yang Allah jadikan kisah mereka sebagai kisah permisalan dalam hal keimanan, kisah yang sangat diperlukan oleh setiap pemuda muslim untuk dijadikan lentera petunjuk dalam menghadapi krisis iman. 


Di dalam kisah ini, terkandung banyak sekali pelajaran dan munafaat yang boleh diraih oleh pendengarnya.


1-Pelajaran pertama dan paling utama:


Pentingnya mempelajari dan mengamalkan tauhid dengan benar. Lihatlah bagaimana Allah Subhanahuwata’ala memulai kisah mereka ini dengan menyebutkan bagaimana tingginya kualiti tauhid mereka. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَاَهُمْ بِالْحَقِّۗ اِنَّهُمْ فِتْيَةٌ اٰمَنُوْا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنٰهُمْ هُدًىۖ * وَّرَبَطْنَا عَلٰى قُلُوْبِهِمْ اِذْ قَامُوْا فَقَالُوْا رَبُّنَا رَبُّ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِ لَنْ نَّدْعُوَا۟ مِنْ دُوْنِهٖٓ اِلٰهًا لَّقَدْ قُلْنَآ اِذًا شَطَطًا


Maksudnya:"Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran". Al-Kahfi ayat 13-14.


2-Pelajaran kedua:


Pentingnya senjata doa bagi orang-orang soleh dan para pendakwah.


 Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا


Maksudnya:"(Ingatlah) ketika pemuda-pemuda itu berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa, “Ya Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami.” Al-Kahfi ayat 10.


Para pemuda tersebut mengajarkan bahawa pentingnya senjata doa bagi orang-orang soleh dan para pendakwah. Para pemuda penghuni gua ini berdoa meminta dua perkara yang sangat penting, iaitu: 

1-Rahmat kasih sayang Allah Subhanahuwata’ala.

2-Petunjuk Allah Subhanahuwata’ala bagi mereka. 


Dua perkara yang sangat diperlukakan oleh orang-orang soleh dan para pendakwah di saat menghadapi cubaan dan ujian. Dua perkara yang menjadi senjata di saat fitnah dan perpecahan sedang terjadi.


3-Pelajaran Ketiga:


Mulianya masa muda bagi seseorang.


Allah Subhanahuwata’ala menyematkan sifat ‘muda’ untuk para penghuni gua tersebut, sebagai bentuk pujian kepada mereka dan menunjukkan betapa mulianya masa muda bagi seseorang.


Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَاَهُمْ بِالْحَقِّۗ اِنَّهُمْ فِتْيَةٌ اٰمَنُوْا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنٰهُمْ هُدًىۖ * وَّرَبَطْنَا عَلٰى قُلُوْبِهِمْ اِذْ قَامُوْا فَقَالُوْا رَبُّنَا رَبُّ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِ لَنْ نَّدْعُوَا۟ مِنْ دُوْنِهٖٓ اِلٰهًا لَّقَدْ قُلْنَآ اِذًا شَطَطًا


Maksudnya:"Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran". Al-Kahfi ayat 13-14.


Masa muda, jika dimunafaatkan untuk kebaikan seperti hidup berdampingan dengan Al-Qur’an atau menyibukkan diri dengan ibadah dan amal, maka balasannya pada hari kiamat adalah mendapatkan naungan Allah Subhanahuwata’ala. Pada hari tersebut, tidak ada yang dapat menaungi seorang pun, kecuali Allah Subhanahuwata’ala. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ في ظِلِّهِ، يَومَ لا ظِلَّ إلَّا ظِلُّهُ (منها): وشَابٌّ نَشَأَ في عِبَادَةِ رَبِّهِ


Maksudnya:"Ada tujuh golongan yang akan mendapatkan naungan Allah Ta’ala pada hari di mana tidak ada naungan, kecuali naungan-Nya. Di antaranya: seorang pemuda yang tumbuh dewasa dalam beribadah kepada Allah". Riwayat Bukhari (660) dan Muslim (1031)


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:


يَعْجَبُ رَبُّكَ مِنْ شَابٍّ لَيْسَتْ لَهُ صَبْوَةٌ


Maksudnya:Rabbmu kagum dengan pemuda yang tidak memiliki shobwah". Riwayat Imam Ahmad (4/151)


صَبْوَةٌ adalah kecondongan untuk menyimpang dari kebenaran.


عَنِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : كُنَّا نَغْزُوْ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَحْنُ شَبَابٌ


Maksudnya:"Dari Ibnu Mas’ud Radhiyallahu anhu berkata, “Kami ikut berperang bersama Rasulullah padahal saat itu kami masih muda". Riwayat Imam Ahmad ( 1/390, 432)


Adalah merupakan suatu kemuliaan bagi setiap pemuda yang menjaga masa mudanya, menghabiskannya untuk ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Terlebih lagi jika dia hidup di zaman dan lingkungan yang tersebar di dalamnya fitnah syubhat dan syahwat. Sesungguhnya merupakan kurniaan Allah Subhanahuwata’ala dan hidayah-Nya apabila ada seorang pemuda yang mampu menjaga dirinya dari badai ombak fitnah ini.


Semoga Allah Subhanahuwata’ala sentiasa menjaga pemuda-pemuda kaum muslimin, anak-anak kita, generasi penerus kita dari terjatuh ke dalam jurang fitnah, menjaga mereka dari kesyirikan, kemaksiatan, dan hal-hal yang tidak bermunafaat. ٱمين


4-Pelajaran keempat:


Ashabul Kahfi dan ilmu kodoktoran 


Begitu lengkapnya Al-Qur’an, Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala,


وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتٰبَ تِبْيَانًا لِّكُلِّ شَيْءٍ وَّهُدًى وَّرَحْمَةً وَّبُشْرٰى لِلْمُسْلِمِيْنَ 


Maksudnya:"Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Qur’an) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang berserah diri". An-Nahl ayat 89.


Sehinggakan di dalam kisah Ashabul Kahfi ini terdapat penjelasan penting, iaitu berkaitan dengan ilmu kedoktoran. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ


Maksudnya:"Dan kami balik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri". Al-Kahfi ayat 18.


Ayat ini menjelaskan peri pentingnya membolak-balikkan posisi orang sakit yang sudah tidak boleh bergerak dan hanya diam di tempat tidurnya sahaja. Hikmahnya, agar zat garam yang terkandung dalam tubuh orang sakit tersebut tidak mengendap di satu sisi sahaja, kerana ia akan menyebabkan pecah-pecah kulit dan pembusukan. Para ahli perubatan menjelaskan bahawa apabila kebusukan itu terjadi, maka itu akan menyebabkan kecederaan dan penyakit yang sulit untuk diubati.


5-Pelajaran kelima.


Mendahulukan perkara yang penting.


Pada ayat selanjutnya, Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَكَذَٰلِكَ بَعَثْنَاهُمْ لِيَتَسَاءَلُوا بَيْنَهُمْ ۚ قَالَ قَائِلٌ مِنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ ۖ قَالُوا لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ ۚ قَالُوا رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ فَابْعَثُوا أَحَدَكُمْ بِوَرِقِكُمْ هَٰذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنْظُرْ أَيُّهَا أَزْكَىٰ طَعَامًا فَلْيَأْتِكُمْ بِرِزْقٍ مِنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا 


Maksudnya:"Dan demikianlah Kami bangunkan mereka agar mereka saling bertanya di antara mereka sendiri. Berkatalah salah seorang di antara mereka: Sudah berapa lamakah kamu berada (disini?)". Mereka menjawab: "Kita berada (disini) sehari atau setengah hari". Berkata (yang lain lagi): "Tuhan kamu lebih mengetahui berapa lamanya kamu berada (di sini). Maka suruhlah salah seorang di antara kamu untuk pergi ke kota dengan membawa uang perakmu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik, maka hendaklah ia membawa makanan itu untukmu, dan hendaklah ia berlaku lemah-lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan halmu kepada seorangpun". Al-Kahfi ayat 19.


Lihatlah bagaimana para penghuni gua tersebut! Mereka lebih mendahulukan urusan yang penting dan yang perlu disegerakan berbanding urusan lainnya yang tidak penting. Mereka tinggalkan perdebatan yang tiada habisnya dan mendahulukan mencari makanan di saat merasakan kelaparan. Ayat ini juga mengajarkan kepada kita tentang pentingnya menjaga skala keutamaan dalam bertindak, tidak mudah terkecohkan dengan hal-hal yang tidak bermunafaat dan tidak mengandungi kebaikan.


6-Pelajaran keenam:


Berbuat baik dan berlemah lembut di dalam kehidupan.


Pelajaran seterusnya yang boleh kita ambil kisah Ashabul Kahfi adalah wajibnya berbuat baik dan berlemah lembut di dalam kehidupan, menyambung silaturahim, dan berinteraksi dengan orang lain. Hal ini sebagaimana perkataan salah satu penghuni gua tersebut,


وَلْيَتَلَطَّفْ


Maksudnya:"...Dan hendaklah dia berlaku lemah lembut….". Al-Kahfi ayat 19


Menurut Ibnu ‘Asyur dalam kitabnya ‘At-Tahrir Wa At-Tanwir’, majoriti Ulama’ Ilmu Tafsir berpendapat jika dikira satu-persatu perkataan dalam Al-Quran bermula dari perkataan “الحمد” di dalam Surah Al-Fatihah dan berakhir dengan perkataan “الناس” dalam Surah An-Nas, kita akan dapati perkataan “وليتلطف” kedudukannya terletak betul-betul di tengah-tengah Al-Quran.


Jika kita membuat sedikit ‘bedah siasat’ terhadap perkataan “وليتلطف”, ia terdiri dari 3 unsur;

1. Wau al-‘Athaf (و العطف) : Kata penghubung.

2. ‎Lam al-Amr (لام الأمر) : Kata suruhan atau perintah.

3. ‎Perkataan يتلطف : Kata kerja.


Perkataan “يتلطف”, jika diperhatikan, mengandungi di dalamnya maksud kindness (berbuat baik), patience (bersabar), respectful (menghormati), generous (bermurah hati), gentle (lemah lembut) dan humble (rendah hati). 


Atau dengan kata lainnya, segala sifat yang baik terkumpul dalam satu perkataan ini.


Datangnya perkataan ini diikat dengan kata suruhan dan perintah, menunjukkan ia merupakan satu perintah dari Allah Subhanahuwata’ala untuk kita sentiasa menghormati dan berbuat baik sesama manusia, tanpa mengira umur, pangkat, bangsa dan agama, sama ada dalam perkataan mahupun perbuatan seharian.

 

Terletaknya pula perkataan ini di lokasi paling tengah di dalam Al-Quran, memberi isyarat kepada kita bahawa mesej agung yang ingin disampaikan Kitabullah ini adalah tentang peri pentingnya kita sebagai manusia, dalam menjalani kehidupan di dunia ini agar sentiasa bersikap toleransi, lemah lembut, pemaaf, rendah hati.


Sebagaimana Allah Subhanahuwata’ala turut memberi dorongan kepada Baginda Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam dalam Surah Ali Imran ayat 159:


فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ


“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya".


Inilah ‘central thought’ yang dibawa oleh Al-Quran. Tidak kira bagaimana jua bentuk ayat Al-Quran yang datang; ayat hukum-hakam, ayat penceritaan, ayat suruhan sekalipun ayat larangan, hakikatnya Al-Quran sedang membawa para pembacanya kembali kepada maqasid asal penurunan Al-Quran itu sendiri. Firman Allah Subhanahuwata’ala,


وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ


Maksudnya:Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam". Al-Anbiyaa’ ayat 107.


Allah mengutuskan Baginda Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam ke dunia, dengan tugas menyebarkan Kalam Tuhannya. Di dalam Kalam-Kalam itu mengandungi pesan-pesan ‘rahmat’ buat sekalian penduduk bumi dan langit.


Sungguh beruntung bagi setiap mukmin yang dapat mengambil faedah dan pelajaran dari setiap ayat yang dia baca dan dia dengar. Kerana inilah salah satu kewajipan kita terhadap Al-Qur’an yang mulia ini.


No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...