Tuesday, July 18, 2023

Hijrah meninggalkan dosa.

Hijrah meninggalkan dosa.

Hijrah dengan makna berpindah dari kota Makkah ke kota Madinah hanya berlaku kepada Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam. Namun, konsep umum daripada hijrah itu secara maknawinya sentiasa berlaku sehingga hari kiamat.


Ini bermaksud, hijrah bukan sekadar perpindahan secara fizikal sahaja, akan tetapi dalam erti kata hijrah juga iaitu perubahan jiwa ke arah yang baik.


Sabda Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam,


عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْهِجْرَةِ فَقَالَ لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا


Maksudnya:"Dari 'Aisyah dia berkata, "Rasulullah ﷺ pernah ditanya perihal hijrah." Beliau menjawab, "Tidak ada hijrah setelah Fathu Makkah, namun yang ada hanyalah jihad dan niat (yang baik-pent). Dan apabila kalian diminta untuk pergi berperang, maka pergilah kalian ke medan perang". Muslim (3468)


Hijrah secara fizikal ini tidak diwajibkan lagi setelah Islam telah kuat serta Makkah telah menjadi Darul Islam(negara Islam) atau telah menjadi tempat berdaulatnya Islam. Begitu juga kini tiada lagi kewajipan hijrah daripada negara yang bebas mengamalkan syiar Islam. Malah menurut al-Mawardi, jika (seseorang) mampu menzahirkan agama (Islam) di negara bukan Islam, maka tinggal di situ lebih baik daripada meninggalkannya kerana diharap orang lain masuk Islam (dengan keberadaannya) (Fath al-Bari, 7/229).


Hadith ini menjelaskan cara untuk mendapat pahala seperti pahala kelebihan hijrah masih ada dan berterusan hingga kiamat. Cara itu adalah melalui amal jihad dan niat yang baik dalam sebarang perkara, termasuklah melalui jihad nafsu, pendidikan, harta, ekonomi, politik dan sebagainya. Jihad maksudnya berusaha bersungguh-sungguh serta niat yang ikhlas ke arah perubahan diri, keluarga, masyarakat dan ummat. Ini termasuklah hijrah dengan berubah daripada akhlak buruk kepada kebaikan, bertaubat daripada pro maksiat kepada ahli ibadat serta memajukan negara mundur kepada sejahtera. Ringkasnya, jihad dan niat mendaulatkan Islam tetap wujud sampai bila-bila, di mana-mana sahaja dan dalam apa-apa bidang sahaja.


Pada bahasa, hijrah memberi maksud perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain. Ia lebih kepada gerakan fizikal. Kemudian, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menukarkan makna fizikal kepada maknawi seperti sabdanya. Dalam sebuah hadith, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam memberikan definisi yang menarik tentang pengertian hijrah. Hijrah bukan sekadar perpindahan secara fizikal semata tetapi perubahan jiwa ke arah yang baik, menjauhkan diri dari perkara yang ditegah oleh Allah. Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو يَقُولُ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ


Maksudnya,:"Abdullah bin Amru mengatakan; Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Muslim yang sempurna adalah yang muslim lainnya selamat dari gangguan lidah dan tangannya. Dan orang yang berhijrah itu adalah orang yang berhijrah (menjauhkan diri) daripada melakukan apa yang Allah larang.  Riwayat Al-Bukhari(6003).


Dalam sebuah riwayat yang lain, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam memperincikan lagi maksud ini kepada meninggalkan dosa dan maksiat. Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


عَنْ عَمْرِو بْنِ مَالِكٍ الْجَنْبِيِّ أَنَّ فَضَالَةَ بْنَ عُبَيْدٍ حَدَّثَهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُؤْمِنُ مَنْ أَمِنَهُ النَّاسُ عَلَى أَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ الْخَطَايَا وَالذُّنُوبَ


Maksudnya:"Dari 'Amru bin Malik Al Janbi bahawa Fadlalah bin 'Ubaid telah menceritakan kepadanya, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Seorang mukmin adalah orang yang membuat orang lain merasa aman atas harta dan jiwa mereka. Dan seorang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan kesalahan dan perbuatan dosa". Riwayat Ahmad (3924).


Jelas di sini bahawa definisi hijrah bukan sekadar pepindahan berbentuk fizikal tetapi adalah proses peralihan ke arah sesuatu yang lebih baik. Dalam erti kata yang lain, konsep hijrah merangkumi perubahan jiwa ke arah yang lebih baik.


Ketika menghuraikan hadith ini, Mulla Ali al-Qari menjelaskan,


لِأَنَّ الْحِكْمَةَ مِنَ الْهِجْرَةِ التَّمَكُّنُ مِنَ الطَّاعَةِ بِلَا مَانِعٍ، وَالتَّبَرُّؤُ عَنْ صُحْبَةِ الْأَشْرَارِ الْمُؤَثِّرَةِ فِي اكْتِسَابِ الْخَطَايَا


Maksudnya:“Ini adalah kerana, hikmah hijrah adalah memperkukuh ketaatan dan melepaskan diri manusia daripada sebarang pengaruh jahat yang memberikan kesan kepada jiwa manusia sehingga menyebabkan diri mereka terjerumus ke dalam kancah dosa". Lihat Mirqah al-Mafatih.


Sesungguhnya hijrah merupakan kejayaan yang pasti diperolehi apabila disertai dengan nawaitu untuk mencari mardhatillah. Begitu juga hijrah adalah mukadimah kemenangan sepertimana sunnah para Rasul sejak dahulu lagi.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّهِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ (20) يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُم بِرَحْمَةٍ مِّنْهُ وَرِضْوَانٍ وَجَنَّاتٍ لَّهُمْ فِيهَا نَعِيمٌ مُّقِيمٌ (21) خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ


Maksudnya: (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. [21] Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. [22] Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar". Al-Taubah ayat  20-22.


Ibn Jarir berkata: Orang yang beriman membenarkan dengan tauhidnya. Berhijrah dan berjihad menentang orang musyrikin pada agama Allah dengan harta benda dan jiwa mereka. Itulah sebesar-besar darjat dan setinggi-tinggi kedudukan berbanding dengan hanya pemberi minum bakal haji, pemakmur Masjid al-Haram dari kalangan musyrikin. [Tafsir al-Tabari. Dar Hajr, 11/382]


Hijrah dan perubahan adalah suatu tuntutan hidup serta memerlukan pengorbanan. Perubahan dari suatu yang buruk kepada yang baik dan dari yang baik kepada yang terbaik adalah perlu dilaksanakan dalam kehidupan yang menuntut pengorbanan.


Pengorbanan perlu dilakukan dalam mencapai matlamat dalam kehidupan. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah mencontohkan penghijrahan dengan melakukan pengorbanan jiwa, harta dan tanah air tercinta menjadi titik tolak perubahan dan pemangkin kejayaan penyebaran syiar Islam ke seluruh alam.


Sekiranya perintah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam yang ringkas ini dapat diaplikasi dalam diri, sudah pasti menatijahkan ketenangan, kebahagiaan dalam diri dan juga keharmonian yang membawa kasih sayang sesama masyarakat.


No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...