Thursday, July 20, 2023

Amalan agar selamat dari azab Kubur

Amalan agar selamat dari azab Kubur

Keimanan, amal soleh dan ketakwaan akan setia menemani kita hingga ke alam kubur dan alam akhirat. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati, kecuali dalam keadaan sebagai muslim". At-Talaq ayat 4.


Perkara yang membuat seorang mukmin bimbang dan takut adalah perihal ke manakah ia akan menuju setelah ia berpisah dari kehidupan dunia ini. Adakah ia menuju kepada rahmat Allah ataupun kepada azab-Nya? Ke syurga yang penuh kenikmatan ataukah ke neraka yang penuh kesengsaraan?


Sahabat ‘Utsman bin ‘Affan  radhiyallahu ‘anhu setiap kali melalui dan berdiri di sisi kuburan, maka ia akan menangis hingga janggutnya basah kerana air matanya. Maka, dikatakan kepadanya, “Engkau tidak menangis tatkala teringat syurga dan neraka. Akan tetapi, mengapa engkau menangis kerana hal ini?” Maka, sahabat ‘Utsman pun menjawab,


عَنْ هَانِئٍ مَوْلَى عُثْمَانَ قَالَ كَانَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ إِذَا وَقَفَ عَلَى قَبْرٍ يَبْكِي حَتَّى يَبُلَّ لِحْيَتَهُ فَقِيلَ لَهُ تَذْكُرُ الْجَنَّةَ وَالنَّارَ وَلَا تَبْكِي وَتَبْكِي مِنْ هَذَا قَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْقَبْرَ أَوَّلُ مَنَازِلِ الْآخِرَةِ فَإِنْ نَجَا مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَيْسَرُ مِنْهُ وَإِنْ لَمْ يَنْجُ مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَشَدُّ مِنْهُ قَالَ وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا رَأَيْتُ مَنْظَرًا قَطُّ إِلَّا وَالْقَبْرُ أَفْظَعُ مِنْهُ


Maksudnya:"Dari Hani` bekas budak 'Utsman dia berkata; "Jika Utsman bin 'Affan berhenti di suatu kuburan, dia menangis sehingga janggutnya basah. Di tanyakan kepadanya; "Apakah kamu ingat syurga dan neraka?, janganlah kamu menangis, apakah kamu menangis hanya kerana ini?" dia menjawab; "Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Sesungguhnya kuburan adalah tempat singgah pertama akhirat. Jika selamat darinya, maka setelahnya pun ia akan lebih mudah (urusannya) namun jika ia tidak selamat darinya, maka sesudahnya pun ia akan lebih sulit lagi." Utsman berkata; Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam juga bersabda: "Aku tidak pernah melihat suatu pemandangan melainkan kuburan itu lebih buruk dari dari segalanya."". Ibnu Majah (4257)


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam juga bersabda,


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ ؛قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْمَيِّتَ إِذَا وُضِعَ فِي قَبْرِهِ إِنَّهُ لَيَسْمَعُ خَفْقَ نِعَالِهِمْ إِذَا انْصَرَفُوا


Maksudnya:"Dari Anas bin Malik berkata: Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Sesungguhnya mayit bila telah diletakkan dikuburnya, ia mendengar derapan sandal mereka saat mereka pulang". Muslim(5119)


Setiap orang beriman perlu sedar dan tidak memandang ringan terhadap keadaan dan perihal yang bakal mereka tempuhi apabila tiba masanya untuk ‘menghuni’ alam kubur satu masa nanti.


Berhati-hati dalam setiap tindakan yang lakukan di dunia ini supaya terhindar daripada mendapat pengakhiran yang buruk.


Setelah mengetahui begitu dahsyatnya siksaan kubur, seorang mukmin yang mengimaninya dan takut akan kepedihannya perlu juga untuk mempelajari dan mengetahui beberapa amalan yang dapat menghindarkan dirinya dari siksaan kubur tersebut.


Di sini dinukilkan beberapa amalan yang boleh kita sama-sama praktikkan, bersumberkan daripada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih agar sama-sama dapat kita perolehi manfaat seterusnya mengamalkannya. Antara amalan-amalan tersebut ialah:


Pertama dan yang paling utama adalah istikamah.


Istiqamah dalam menjalankan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


اِنَّ الَّذِيْنَ قَالُوْا رَبُّنَا اللّٰهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوْا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلٰۤىِٕكَةُ اَلَّا تَخَافُوْا وَلَا تَحْزَنُوْا وَاَبْشِرُوْا بِالْجَنَّةِ الَّتِيْ كُنْتُمْ تُوْعَدُوْنَ


Maksudnya:"Sesungguhnya orang-orang yang berkata, ‘Tuhan kami adalah Allah’ kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka (istikamah), maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), ‘Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan kepadamu". Fussilat ayat 30.


Amal soleh adalah penghalang dan perisai dari azab kubur. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، إِنَّ الْمَيِّتَ لَيَسْمَعُ خَفْقَ نِعَالِكُمْ حِينَ تُوَلُّونَ عَنْهُ مُدْبِرِينَ، فَإِنْ كَانَ مُؤْمِنًا كَانَتِ الصَّلَاةُ عِنْدَ رَأْسِهِ وَالزَّكَاةُ عَنْ يَمِينِهِ وَالصَّوْمُ عَنْ يَسَارِهِ وَكَانَ فِعْلُ الْخَيْرَاتِ مِنَ الصَّدَقَةِ وَالصِّلَةِ وَالْمَعْرُوفِ وَالْإِحْسَانِ إِلَى النَّاسِ عِنْدَ رِجْلَيْهِ، فَيُؤْتَى مِنْ قِبَلِ رَأْسِهِ، فَتَقُولُ الصَّلَاةُ: مَا قِبَلِي مَدْخَلٌ، فَيُؤْتَى عَنْ يَمِينِهِ فَتَقُولُ الزَّكَاةُ: مَا قِبَلِي مَدْخَلٌ، فَيُؤْتَى عَنْ يَسَارِهِ فَيَقُولُ الصِّيَامُ: مَا قِبَلِي مَدْخَلٌ، عِنْدَ رِجْلَيْهِ فَيَقُولُ فِعْلُ الْخَيْرَاتِ : مَا قِبَلِي مَدْخَلٌ،


Maksudnya:"Sesungguhnya mayit ketika diletakkan di kuburnya ia mendengar suara sandal orang-orang yang menghantarkannya saat mereka kembali pulang. Apabila ia seorang mukmin, maka solat akan berada di sisi kepalanya, puasa di sisi kanannya, zakat di sisi kirinya dan amalan kebaikan lainnya (seperti sedekah, silaturrahim, perbuatan makruf dan ihsan kepada orang lain) berada di sisi kakinya. Lalu, ia didatangi dari arah kepalanya, maka solat berkata, ‘Tidak ada jalan masuk dari arahku.’ Kemudian didatangi dari arah kanannya, maka puasa berkata, ‘Tidak ada jalan masuk dari arahku.’ Kemudian didatangi dari arah kirinya, maka zakat berkata, ‘Tidak ada jalan masuk dari arahku.’ Kemudian didatangi dari arah kedua kakinya, maka amalan kebaikan berkata, ‘Tidak ada jalan masuk dari arahku". Riwayat Ibnu Hibban (3113), Hasan.


Kedua: Iman  dan Beramal Soleh


Beriman dan juga beramal soleh adalah antara wasilah yang paling utama untuk menghindari azab kubur. Firman Allah Subhanahuwata'ala,


يُثَبِّتُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱلۡقَوۡلِ ٱلثَّابِتِ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِۖ وَيُضِلُّ ٱللَّهُ ٱلظَّٰلِمِينَۚ وَيَفۡعَلُ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ 


Maksudnya: Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya". Ibrahim ayat 27


Al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah di dalam tafsirnya, Tafsir al-Quran al-‘Azim menukilkan kata-kata Sufyan al-Thauri Rahimahullah yang mana beliau mengatakan bahawa ayat di atas berkaitan dengan azab kubur. Lihat Ibn Kathir. Tafsir al-Quran al-‘Azim. Dar Tayyibah, (4/496)


Allah Subhanahuwata'ala menetapkan pendirian orang yang beriman dengan hati yang sempurna iaitu mereka yang melazimi amal perbuatan yang membuahkan hasil (amal soleh) dan Allah Subhanahuwata'ala menetapkan mereka pada kehidupan di dunia dan juga di akhirat. Apabila matinya mereka di pengakhiran, akan tetap di atas Islam dan memperoleh husnul khatimah dan di dalam kubur, ketika di soal oleh dua malaikat, dapat menjawabnya dengan jawapan yang sahih. Abd al-Rahman al-Sa’di. Lihat Tayseer al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan. Muassasah al-Risalah, hlm. 425.


Ketiga: Menjaga Sempadan (al-Ribat) Pada Jalan Allah Subhanahuwata'ala.


Iaitu mereka yang berterusan menjaga sempadan pada jalan Allah Subhanahuwata'ala dan bersabar di atasnya. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Fadalah bin ‘Ubaid RA bahawasanya Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah bersabda:


كُلُّ الْمَيِّتِ يُخْتَمُ عَلَى عَمَلِهِ، إِلاَّ الْمُرَابِطَ فَإِنَّهُ يَنْمُو لَهُ عَمَلُهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَيُؤَمَّنُ مِنْ فَتَّانِ الْقَبْرِ


Maksudnya: Setiap yang mati, maka amalannya telah ditutupi kecuali bagi al-Murabit (orang yang menjaga sempadan di jalan Allah Subhanahuwata'ala). Sesungguhnya amalannya akan terus bertambah sehingga hari akhirat dan selamat dari fitnah kubur.

Riwayat Abu Daud (2500) dan Al-Tirmizi (1621).


Keempat: Melazimi Bacaan Surah al-Mulk.


Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang mana beliau meriwayatkan:


ضَرَبَ بَعْضُ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم خِبَاءَهُ عَلَى قَبْرٍ وَهُوَ لاَ يَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ حَتَّى خَتَمَهَا فَأَتَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكُ حَتَّى خَتَمَهَا ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏هِيَ الْمَانِعَةُ هِيَ الْمُنْجِيَةُ تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ


Maksudnya: Telah mendirikan khemah sebahagian sahabat Nabi SAW di atas kubur dan mereka tidak mengetahui yang terdapatnya kubur di situ dan mereka mendengar ada seseorang (daripada kubur) membaca Surah al-Mulk (Tabarakallah Biyadihi al-Mulk) sehingga tamat. Kemudian lelaki tersebut datang kepada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam seraya berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah mendirikan khemah di atas kubur yang aku tidak mengetahui akannya dan aku terdengar di dalamnya seseorang membaca Surah al-Mulk sehingga tamat. Maka Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam berkata: “Ia (Surah al-Mulk) adalah penghalang, penyelamat daripada azab kubur”. Riwayat Al-Tirmizi (2890)


Kelima: Doa Yang Diajarkan Oleh Nabi Sallallahu'alaihiwasallam.


Terdapat juga doa yang boleh dijadikan amalan bagi kita yang mana doa ini telah dibacakan oleh Nabi Sallallahu'alaihiwasallam dalam memohon agar diri Baginda dilindungi dari fitnah dan azab kubur. Doa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam tersebut adalah:


اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ


Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon perlindungan kepadamu daripada azab kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah hidup dan mati dan daripada fitnah masih al-Dajjal”. Riwayat Al-Bukhari (1377)


Doa ini boleh diamalkan bahkan terdapat banyak lagi riwayat yang sama maknanya dengan doa di atas.


Diakhiri penulisan ini dengan doa berikut:


رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ


Maksudnya: Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah pergi mendahului kami dalam keimanan dan janganlah kau menjadikan di dalam hati-hati kami ini perasaan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami sesungguhnya Kau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang". Al-Hasyr ayat 10.








No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...