Friday, June 9, 2023

Setiap Muslim wajib mempelajari Ilmu Agama

Setiap Muslim wajib mempelajari Ilmu Agama

Fenomena yang sangat jelas melanda umat Islam  pada zaman ini adalah rendahnya semangat dan motivasi diri untuk menuntut ilmu agama. Ilmu agama seakan menjadi suatu hal yang remeh dan terpinggir bagi kebanyakkan kaum muslimin. Berbeza halnya dengan semangat untuk mencari ilmu dunia sehingga seseorang itu sanggup  mengorbankan apa saja untuk meraihnya. 


Seseorang pelajar itu begitu bersabar menempuh pendidikan mulai dari awal di sekolah rendah sehingga kepuncaknya di pengajian tinggi demi mencari pekerjaan dan penghidupan yang baik. Kebanyakkan umur, waktu dan harta dihabiskan untuk menuntut ilmu dunia di bangku sekolah. Bagi yang menuntut ilmu sehingga ke luar negeri, mereka mengorbankan segala-galanya demi meraih ilmu dunia, jauh dari keluarga, jauh dari kampung halaman, dan sanggup mengorbankan saat-saat yang indah yang dapat dinikmati di kampung halaman. 


Persoalannya, bagaimana pula dengan ilmu agama? 


Adakah ada terlintas dalam benak kita untuk serius mempelajarinya atau pun mungkin tidak?. Apatahlagi sehingga sampai mengorbankan waktu, harta dan tenaga untuk meraihnya. 


Tulisan ini adalah bermaksud untuk mengingatkan diri sendiri dan para pembaca bahawa menuntut ilmu agama adalah kewajipan yang melekat atas setiap diri kita, walau dari apa pun latar belakang profesi dan pekerjaan kita.


Janganlah kita hanya menjadi orang yang sangat pandai tentang selok-belok ilmu dunia dengan segala permasalahannya, namun lalai terhadap ilmu agama. Hendaknya kita merenungkan firman Allah Subhanahuwata’ala,


يَعْلَمُونَ ظَاهِرًا مِنَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ عَنِ الْآَخِرَةِ هُمْ غَافِلُونَ


Maksudnya:"Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) dari kehidupan dunia, sedangkan mereka lalai tentang (kehidupan) akhirat”. Ar-Ruum ayat  7.


Sebahagian di antara kita mungkin menganggap bahawa hukum menuntut ilmu agama adalah sebatas harus atau sunat sahaja, yang diberi pahala bagi yang melakukannya dan tidak berdosa bagi siapa saja yang meninggalkannya. Padahal, terdapat beberapa keadaan di mana hukum menuntut ilmu agama adalah wajib atau fardhu 'ain keatas setiap muslim sepertimana hukum fardhu 'ain menunaikan solat lima waktu atau puasa dibulan ramadhan sehingga berdosalah setiap orang yang meninggalkannya. Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ


Maksudnya:“Menuntut ilmu itu wajib atas setiap Muslim”. Riwayat Ibnu Majah (224),


Dalam hadith ini, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dengan tegas menyatakan bahawa menuntut ilmu itu hukumnya wajib atas setiap muslim, bukan bagi sebahagian orang muslim sahaja. Oleh itu, “ilmu” apakah yang dimaksudkan oleh hadits ini? 


Penting untuk diketahui bahawa ketika Allah Subhanahuwata’ala atau Rasul-Nya Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam menyebutkan kata “ilmu” saja dalam Al Qur’an atau As-Sunnah, maka ilmu yang dimaksud adalah ilmu syar’i atau ilmu agama,

Sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam,


عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ أَبِيْ سُفْيَانَ رضي الله عنه قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ: مَنْ يَرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِيْ الدِّيْنِ


Maksudnya:"Dari Mu’awiyah bin Abi Sufyan Radhiyallahu anhu yang berkata: “Aku mendengar Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda: Barangsiapa yang Allah kehendaki baginya kebaikan, maka Dia akan memahamkan baginya agama (Islam)". Riwayat al-Bukhari (2948) dan Muslim (1037).


Sebagaimana juga firman Allah Subhanahuwata’ala,

وَقُلْ رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا


Maksudnya:"Dan katakanlah,‘Wahai Rabb-ku, tambahkanlah kepadaku ilmu’“. Thaaha ayat 114.


Ibnu Hajar Al-Asqalani rahimahullah berkata,


( وَقَوْله عَزَّ وَجَلَّ : رَبّ زِدْنِي عِلْمًا ) وَاضِح الدَّلَالَة فِي فَضْل الْعِلْم ؛ لِأَنَّ اللَّه تَعَالَى لَمْ يَأْمُر نَبِيّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِطَلَبِ الِازْدِيَاد مِنْ شَيْء إِلَّا مِنْ الْعِلْم ، وَالْمُرَاد بِالْعِلْمِ الْعِلْم الشَّرْعِيّ الَّذِي يُفِيد مَعْرِفَة مَا يَجِب عَلَى الْمُكَلَّف مِنْ أَمْر عِبَادَاته وَمُعَامَلَاته ، وَالْعِلْم بِاَللَّهِ وَصِفَاته ، وَمَا يَجِب لَهُ مِنْ الْقِيَام بِأَمْرِهِ ، وَتَنْزِيهه عَنْ النَّقَائِض


Maksudnya:"Firman Allah Ta’ala (yang ertinya),’Wahai Rabb-ku, tambahkanlah kepadaku ilmu’ mengandungi dalil yang tegas tentang keutamaan ilmu. Kerana sesungguhnya Allah Ta’ala tidaklah memerintahkan Nabi-Nya Sallallahu‘alaihiwa lsallam untuk meminta tambahan sesuatu kecuali (tambahan) ilmu. Adapun yang dimaksud dengan (kata) ilmu di sini adalah ilmu syar’i. Iaitu ilmu yang akan menjadikan seorang mukallaf mengetahui kewajipannya berupa masalah-masalah ibadah dan muamalah, juga ilmu tentang Allah dan sifat-sifatNya, hak apa saja yang harus dia tunaikan dalam beribadah kepada-Nya, dan mensucikan-Nya dari berbagai kekurangan”. Lihat Fathul Baari, 1/92.


Menuntut ilmu agama juga tidak hanya diwajibkan kepada ustaz atau ulama. Demikian pula kewajipan berdakwah dan memberikan nasihat kepada kebaikan, tidak hanya dikhususkan bagi para ustaz atau para da’i sahaja. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


فَوَاللَّهِ لأَنْ يَهْدِىَ اللَّهُ بِكَ رَجُلاً خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ


Maksudnya:"Demi Allah, jika Allah memberikan petunjuk kepada satu orang saja melalui perantaraanmu, itu lebih baik bagimu dibandingkan dengan unta merah (iaitu unta yang paling bagus dan paling mahal, pen.)". Riwayat Bukhari dan Muslim.


Dan tidak diragukan lagi, bahawa untuk berdakwah adalah sangat memerlukan ilmu dan mesti disertai dengan ilmu. Boleh jadi, kerana keadaan sebahagian orang, mereka tidak terjangkau oleh dakwah para ustaz. Sebagai contoh, berapa ramai saudara kita yang terbaring di rumah sakit dan mereka meninggalkan kewajipan solat? Di sinilah peranan penting tenaga kesihatan, baik itu ia doktor, perawat, atau perawat yang merawat mereka, untuk menasihati dan mengajarkan mereka cara bersuci dan solat ketika sakit.


Setelah kita mengetahui bahawa hukum menuntut ilmu agama adalah wajib, maka apakah kita wajib mempelajari kesemua cabang ilmu dalam agama? 


Jawapannya tidaklah demikian. Kita tidak diwajibkan untuk mempelajari kesemua cabang dalam ilmu agama, seperti ilmu jarh wa ta’dil sehingga kita mengetahui mana riwayat hadith yang boleh diterima dan mana yang ditolak. Demikian pula, kita tidak diwajibkan untuk mempelajari rincian setiap pendapat dan perselisihan ulama di bidang ilmu fiqh. Namun ilmu seperti Ini hanya wajib dipelajari oleh sebahagian orang sebagai fardhu kifayah, iaitu para ulama yang Allah Subhanahuwata’ala berikan kemampuan dan kecerdasan untuk mempelajarinya demi menjaga kemurnian agama.


Sebagai orang awam, sebagaimana yang telah diisyaratkan oleh Ibnu Hajar rahimahullah di atas, kita “hanya” wajib mempelajari sebahagian dari ilmu agama, iaitu ilmu yang berkaitan dengan ibadah dan muamalah, sehingga kita dapat beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala dengan benar. Kita juga wajib mempelajari ilmu tentang aqidah dan tauhid, sehingga kita menjadi seorang muslim yang beraqidah dan mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala dengan benar dan selamat dari hal-hal yang boleh merosakan aqidah kita atau bahkan membatalkan keislaman kita.


Diantara ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap Muslim sebagai fardhu 'ain adalah:

 

1. Mengetahui ilmu tauhid, iaitu ilmu yang membahaskan masalah ketuhanan. Sehingga ia berkeyakinan bahawa Allah Subhanahuwata'ala itu maujud, mempunyai sifat Qadim (kekal), yang akan selalu tetap ada sehingga bila-bila pun serta bersih dari sifat kurang dan mempunyai sifat sempurna.

Seorang muslim juga mesti mengetahui sifat-sifat Allah pada perbahasannya dan  seandainya murid  dapat mengetahui dalil-dalil sifat Allah lebih dari apa yang dijelaskan oleh Al-Quran atau al-sunnah, maka hal itu lebih sempurna.


Ilmu tentang pokok-pokok keimanan, yaitu keimanan kepada Allah Subhanahuwata'ala, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan hari akhir.


2. Ilmu tentang syariat-syariat Islam atau juga dikenali dengan Ilmu Feqah , iaitu ilmu tentang hukum-hakam amali mukallaf yang bersumber dari sumber yang tetap iaitu Al-Quran atau Al-Sunnah. Ilmu yang khusus sebagai seorang hamba untuk mengetahui dan menghantarkan kepada ketaatan kepada Allah, seperti halnya cara-cara bersuci, solat, dan puasa,haji,zakat dan segala ketaatan yang lain. Kita wajib untuk mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan ibadah-ibadah tersebut, misalnya tentang syarat, rukun dan pembatalnya.


Ilmu yang berkaitan dengan urusan yang terjadi diantara seseorang dengan orang lain secara khusus seperti isteri, anak, dan keluarga dekatnya atau dengan orang lain secara umum. Ilmu yang wajib menurut jenis ini berbeza-beza sesuai dengan perbezaan keadaan dan kedudukan seseorang. Misalnya, seorang pedagang wajib mempelajari hukum-hukum yang berkaitan dengan perdagangan atau transaksi jual-beli. Ilmu seperti ini berbeza-beza sesuai dengan keadaan dan keperluan masing-masing.


Ilmu tentang perkara yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala,


ö قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَنْ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ


Maksudnya:"Katakanlah,’Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak mahupun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui".  Al-A’raf ayat  33.


Maka wajib bagi setiap muslim  mempelajari larangan-larangan Allah Subhanahuwata’ala, seperti haramnya zina, riba, minum khamr, dan sebagainya, sehingga setiap Muslim tidak melanggar larangan-larangan tersebut kerana kejahilan diri.


3. Ilmu dan amal berhubung kebersihan dan penyucian jiwa bagi mencapai maqam yang tertinggi dari sudut ruhiyyah dan mencapai redha Allah Subhanahuwatsla'ala. 


Ilmu Ini disebut dengan Ilmu tasawwuf, ihsan atau tazkiyyatunnafs,


Intipati utama ilmu ini adalah adalah sebagaimana sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam,


أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ


Maksudnya: “Engkau beribadah kepada Allah seaakan akan Engkau melihat-Nya, dan jika engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Ia melihatmu.”


Mengenai hadith di atas, Imam Tajuddin al-Subki berkata, “… Tasawwuf diisyaratkan dengan ihsan. Selain ilmu-ilmu itu (Aqidah, fiqh dan tasawwuf), kalau ia tidak kembali kepada ilmu-ilmu tersebut (Islam, Iman dan Ihsan), ia adalah di luar syariah.” (Lihat Tabaqat al-Syafi’iyah al-Kubra, 1/117)


Syeikh Ahmad Zarruq mendefinisikan tasawwuf sebagai: “Ilmu yang bertujuan untuk membaiki hati dan memfokuskannya hanya untuk Allah semata-mata. Fiqh adalah ilmu yang bertujuan memperbaiki amal, memelihara aturan dan menampakkan hikmah dari setiap hukum. Sedangkan ilmu tauhid adalah ilmu yang bertujuan mewujudkan dalil-dalil dan menghiasi iman dengan keyakinan, sebagaimana ilmu perubatan untuk memelihara adan dan ilmu nahu untuk memelihara lisan.” (Lihat Qawa’id al-Tasawwuf, m. 6)


Ibn ‘Ajibah menyatakan: “Ia adalah ilmu yang diketahui dengannya jalan untuk mencapai kesempurnaan batin ke hadrat Raja bagi segala Raja, menyucikan batin dari segala kekejian, mengisikannya dengan pelbagai kelebihan. Awalnya adalah ilmu, pertengahannya adalah amal, akhirnya adalah kurniaan Allah SWT” (Lihat Ma’arij al-Tashawwuf ila Haqa’iq al-Tasawwuf, m. 4)


Setelah kita mengetahui bahawa hukum menuntut ilmu agama adalah wajib, maka tidaklah sayugianya kita mengabaikanya.


No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...