Thursday, May 25, 2023

Larangan mencela orang yang telah meninggal dunia.

Larangan mencela orang yang telah meninggal dunia.

Orang yang meninggal telah kembali kepada fitrah, iaitu kembali kepada Allah. Segala urusan dia dengan dunia telah terputus dan yang apa yang ada hanyalah kenangan. Apabila seseorang itu telah kembali kepada Allah, sepatutnya kita tidak menceritakan keburukan orang itu kerana dia telah kembali pada Allah yang selayaknya menghukum atas apa yang dilakukannya ketika di dunia.


Apatah lagi jika apa yang dibicarakannya itu sebenarnya bukan perkara yang betul atas perbuatan si mayat. Sesekali jangan cuba membuka ruang untuk memburukkan orang lain, jika perkara itu benar dilakukannya, ianya akan jadi mengumpat, namun jika salah ia jadi fitnah.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ


Maksudnya:" Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani".Al-Hujurat ayat 12.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


….وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ….


Maksudnya:"...Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh…".Al-Baqarah ayat 217


Larangan mencela mayat Muslim


Secara umumnya syariat melarang mencela mayat sebagaimana hadith berikut.


Diriwayatkan dari  ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، قَالَتْ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ تَسُبُّوا الأَمْوَاتَ فَإِنَّهُمْ قَدْ أَفْضَوْا إِلَى مَا قَدَّمُوا


Maksudnya:"Dari ‘Aisyah radhiallahu’anha dia berkata, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda, “Janganlah kalian mencaci mayat-mayat, sesungguhnya mereka telah sampai kepada hasil dari amalan yang mereka lakukan di dunia". Riwayat Bukhari (1393)


Satu keterangan yang cukup jelas, bahawa memperkatakan keburukan orang yang telah meninggal adalah dilarang oleh Baginda Sallallahu'alaihiwasallam. Orang yang sudah meninggal dunia  telah sampai pada masanya untuk bertanggungjawab kepada Allah atas setiap amalan di masa hidupnya, kenapa masih perlu diperbincangkan amalan-amalan orang tersebut itu?


Kehormatan seorang muslim pula adalah termasuk perkara yang besar disisi Allah Subhanahuwata'ala. Dalam sebuah hadith, ketika Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam  melihat Ka’bah beliau bersabda,


مَا أَعْظَمَكِ وَأَعْظَمَ حُرْمَتَكِ، وَالْمُؤْمِنُ أَعْظَمُ حُرْمَةً عِنْدَ اللَّهِ مِنْكِ،


Maksudnya:"“Betapa agong engkau wahai Ka'bah, dan betapa agong kehormatanmu. Tetapi orang mukmin memiliki kehormatan yang lebih besar di sisi Allah dari pada kehormatanmu, wahai Ka’bah". Riwayat Tirmizi (2032)


Kehormatan seorang muslim dan muslimah tidak hanya ketika dia masih hidup, bahkan kehormatannya kekal dan terus diakui oleh Allah Subhanahuwata'ala meskipun dia telah meninggal dunia. Sehingga kehormatan seseorang Muslim bukan hanya dijaga ketika dia masih hidup, bahkan ketika dia telah meninggal dunia lebih ditekankan lagi untuk dijaga kehormatannya.


Syariat mengharamkan mencela seorang muslim secara mutlak bermakna tidak ada perbezaan samaada semasa dia masih hidup atau telah meninggal dunia. 


Seperti dalam sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ


Maksudnya:"Mencela seorang muslim adalah kefasikan". Riwayat Bukhari (48, 6044, 7076), Muslim (64) 


Syariat tidak mengatakan, “kecuali jika telah meninggal dunia.” Hal ini menunjukkan bahawasanya perhatian syariat terhadap hak seorang muslim sama saja samaada dia masih hidup atau telah meninggal dunia. Bahkan setelah dia  meninggal dunia keharaman mencelanya menjadi lebih ditekankan lagi, kerana adanya hadith khusus yang menjelaskan larangan secara khusus mencela seorang muslim yang telah meninggal dunia, sebagaimana hadith di atas.


Imam Bukhari rhma meriwayatkan dari sahabat Ibnu ‘Abbas radhiallahu‘anhu, di mana tatkala beliau menghadiri penyelenggaraan jenazah Maimunah radhiallahu‘anha (isteri Nabi Sallallahu'alaihiwasallam yang juga merupakan ibu saudara Ibnu Ábbas) di suatu tempat yang bernama Sarif (Sebelah utara kota Mekah sekitar 20 km, sekarang lokasinya bernama An-Nawariah), maka Ibnu ‘Abbas berkata kepada orang-orang yang akan mengusung jenazah Maimunah,


هَذِهِ زَوْجَةُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَإِذَا رَفَعْتُمْ نَعْشَهَا فَلاَ تُزَعْزِعُوهَا، وَلاَ تُزَلْزِلُوهَا، وَارْفُقُوا


Maksudnya:"Ini adalah isteri Nabi Sallallahu'alaihiwasallam, maka jika kalian mengangkat kerandanya, janganlah kalian menggerak-gerakkannya, dan janganlah kalian mengoncang-goncangkannya tetapi angkatlah dengan lembut". Riwayat Bukhari (5067), Muslim (1465) dan An-Nasa’i (3196).


Ibnu Hajar menyebutkan dalam Fathul Bari,


يُسْتَفَادُ مِنْهُ أَنَّ حُرْمَةُ الْمُؤْمِنِ بَعْدَ الْمَوْتِ بَاقِيَةٌ، كَمَا كَانَتْ فِيْ حَيَاتِهِ


Maksudnya:"Sesungguhnya diambil faedah dari hadīth ini, bahawasanya kehormatan seorang mukmin setelah dia meninggal tetap berlaku sebagaimana semasa dia masih hidup". Fathul Bari, 9/113.


Dan juga ada hadith lain Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


إِنَّ كَسْرَ عِظَمِ الْمُؤْمِنِ مَيِّتًا مِثْلَ كَسْرِهِ حَيًّا


Maksudnya:"Dan mematahkan (menghancurkan) tulang seorang mukmin tatkala dia sudah meninggal dunia sama dengan tatkala dia masih hidup". Riwayat Abu Dawud (3191) dan Ibnu Majah (1616).


Ghibah atau mengumpat dilarang kepada orang yang masih hidup. Bila mana Islam mengharamkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti mengumpat sehingga Allah Subhanahuwata'ala membuat satu perumpaan yang dahsyat kepada golongan seperti ini.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ


Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani". Al-Hujurat:12


Ibnu Bathal rahimahullah berkata, “Mencela orang yang sudah meninggal dunia itu seperti melakukan ghibah terhadap orang yang masih hidup". (Syarh Ibnu Bathal ‘ala Sahih Al-Bukhari, 3: 354).


Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ


Maksudnya: “Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?.” Para sahabat berkata: Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: “Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya". Riwayat Muslim (2589)


Maka demikian juga dilarang mengumpat orang yang sudah meninggal. Bahkan orang yang masih hidup jika mengumpat lantas dia tahu bahawa dia diumpat maka dia dapat membela dirinya, akan tetapi orang yang sudah meninggal dunia tentu tidak dapat melakukan hal tersebut.


Ini menunjukkan bahawasanya mencela orang yang telah meninggal dunia lebih berat hukumnya daripada mencela orang yang masih hidup. Sebagaimana perkataan sebahagian ulama bahawa mencela orang yang masih hidup yang memang mempunyai kesalahan kemudian celaan tersebut sampai kepada orang yang dituju, maka ada kemungkinan baginya untuk memperbaiki dirinya. 


Adapun mencela orang yang telah meninggal dunia maka apa faedah yang dapat diperoleh? Dia telah meninggal dunia dan tidak mungkin lagi dapat untuk  memperbaiki dirinya. Orang yang telah meninggal sudah sampai padanya hasil dari amalannya selama hidup di dunia. Kemudian apabila celaan tersebut tidak benar dan ditujukan kepada orang yang masih hidup maka dia masih dapat membela dirinya. Adapun orang yang telah meninggal dunia maka dia tidak mungkin lagi dapat membela dirinya.


Tidak ada munafaat mencela orang yang telah meninggal dunia, justeru orang yang telah meninggal dunia seharusnya didoakan agar dia diampuni dan dirahmati oleh Allah Subhanahuwata'ala. 


Mengumpat yang dibenarkan,


Para ulama menjelaskan bahawasanya ghibah atau mengumpat diperbolehkan dalam beberapa keadaan seperti dalam rangka untuk menjelaskan kesalahan-kesalahannya atau untuk melaporkan kezalimannya. Kebolehan ini juga berlaku bagi orang yang telah meninggal dunia. 

Para ulama telah sepakat bahwasanya boleh menyebutkan kesalahan-kesalahan para perawi, meskipun mereka telah meninggal dunia. Semisal perkataan, “si fulan dhaif”, “si fulan pendusta”. Hal ini kerana perbuatan tersebut merupakan mengumpat yang diperbolehkan oleh syariat meskipun mereka sudah meninggal dunia, di samping itu untuk menjaga kesahihan suatu hadith.


Menurut pandangan Imam Al-Nawawi,


أَنَّ النَّهْيَ عَنْ سَبِّ الْأَمْوَاتِ هُوَ فِي غَيْرِ الْمُنَافِقِ وَسَائِرِ الْكُفَّارِ وَفِي غَيْرِ الْمُتَظَاهِرِ بِفِسْقٍ أَوْ بِدْعَةٍ فَأَمَّا هَؤُلَاءِ فَلَا يَحْرُمُ ذِكْرُهُمْ بِشَرٍّ لِلتَّحْذِيرِ مِنْ طَرِيقَتِهِمْ وَمِنَ الِاقْتِدَاءِ بِآثَارِهِمْ وَالتَّخَلُّقِ بِأَخْلَاقِهِمْ


Maksudnya:"Sesungguhnya larangan untuk mencela orang-orang yang telah meninggal adalah jika selain munafiq dan kafir, demikian juga selain orang yang menampakkan kefasikan dan kebidahan. Adapun mereka ini maka tidak mengapa menyebutkan keburukan mereka untuk memperingatkan masyarakat untuk tidak mengikuti jalan mereka, tidak mencontohi mereka, dan tidak berakhlak dengan perangai mereka". Al-Minhaj Syarh Shahih Muslim, Al-Nawawi 7/20.


Juga menurut pandangan Imam al-Nawawi sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitabnya. Mengumpat yang dibenarkan dengan tujuan yang sahih dan syar’i yang mana tidak akan dikecapi melainkan dengannya, terdapat enam jenis:


1-Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.


2-Membantu dalam menentang perkara yang munkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar.


3-Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.


4-Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.


5-Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.


6-Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya. Akan tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina.

 

Untuk itu, keenam perkara ini dinyatakan oleh para ulama dan sebahagian besarnya disepakati akannya. Adapun, kesemua ini datang daripada dalil-dalil atau hadith-hadith yang sahih lagi masyhur. [Lihat: Riyadh al-Solihin, 432-433]


Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam kitabnya ada juga menyebut jenis-jenis mengumpat yang dibenarkan oleh syarak sama seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di atas. [Lihat: Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, 172-173]


Mencela mayat kafir.


Terkait dengan perbahasan hadith di bawah ini sebahagian ulama ada yang membahaskan siapa الأَمْوَاتَ (orang mati) yang dimaksudkan dalam hadits ini,


Diriwayatkan dari  ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، قَالَتْ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ تَسُبُّوا الأَمْوَاتَ فَإِنَّهُمْ قَدْ أَفْضَوْا إِلَى مَا قَدَّمُوا


Maksudnya:"Dari ‘Aisyah radhiallahu’anha dia berkata, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda, “Janganlah kalian mencaci mayat-mayat, sesungguhnya mereka telah sampai kepada hasil dari amalan yang mereka lakukan di dunia". Riwayat Bukhari (1393)


Pada perbahasan hadith ini sebahagian ulama membahas siapa الأَمْوَاتَ (orang mati) yang dimaksudkan dalam hadith ini, apakah orang yang telah meninggal tersebut dari kaum muslimin atau kafir. Terdapat khilaf di kalangan para ulama kerana lafaz الأَمْوَاتَ (al-amwat). Apakah alif lam pada al-amwat adalah alif lam al-istigraqiyah atau alif lam al-ahdiyyah.


1-Jika alif lam-nya adalah alif lam al-istigraqiyah maka memberi faedah keumuman iaitu mencakupi mayat mukmin dan mayat kafir, keduanya tidak boleh dicela.


2-Jika alif lam-nya adalah alif lam al-ahdiyyah bererti yang maksudnya adalah mayat muslim kerana Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sedang berbicara kepada para sahabat diwaktu itu. Sehingga konteks pembicaraannya kembali kepada mayat-mayat muslim. Ertinya yang tidak boleh dicela adalah mayat kaum muslimin sahaja.


Dari sini terdapat khilaf di kalangan para ulama, apakah boleh mencaci maki mayat orang kafir setelah dia meninggal dunia atau tidak boleh.


1-Pendapat pertama:

Mengatakan bahawa maksud mayat di sini adalah umum mencakupi mukmin mahupun kafir. Sehingga orang kafir yang meninggal dunia juga tidak boleh dicela. Kerana dia telah mendapatkan balasan atas amalannya selama hidup di dunia.


2-Pendapat kedua:

Mengatakan bahawa mayat yang dimaksud di sini adalah mayat muslim sahaja, yang kita diperintahkan untuk mendoakannya agar diampuni dan dirahmati oleh Allah. Adapun orang kafir tidak mengapa, kita tidak dituntut untuk mendoakannya bahkan kita dilarang mendoakannya karena dia meninggal dalam keadaan kafir kepada Allah Subhanahuwata'ala, musyrik kepada Allah Subhanahuwata'ala, dan tidak beriman kepada Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam


3-Pendapat ketiga:

Ulama memberikan perincian; 

Tidak boleh mencela sama sekali mayat seorang muslim kerana sesungguhnya Allah telah membalas perbuatannya selama di dunia. Tidak ada yang lebih adil dalam membalas selain daripada Allah Subhanahuwata'ala. Allah Subhanahuwata'ala mengetahui bagaimana membalas orang tersebut. Sehingga mayat seorang muslim tidak boleh lagi disebut-sebut keburukannya, kerana tidak ada faedahnya. 

Adapun orang kafir maka jika menyebut-nyebutkan keburukannya  dapat menyakiti seorang muslim yang masih hidup seperti keluarga atau kerabatnya maka mencelanya tidak boleh.


Diriwayatkan dari Al-Mughirah bin Syu’bah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


لَا تَسُبُّوا الْأَمْوَاتَ فَتُؤْذُوا الْأَحْيَاءَ


Maksudnya:"Janganlah kalian menghina mereka yang sudah mati, sehingga kalian menyakiti mereka yang masih hidup". Riwayat Tirmizi (1982).


Dari  Ummu Salamah,


شَكَا إِلَيْهِ عِكْرِمَةُ أَنَّهُ إِذَا مَرَّ بِالْمَدِينَةِ قِيلَ لَهُ: هَذَا ابْنُ عَدُوِّ اللَّهِ أَبِي جَهْلٍ، فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطِيبًا فَقَالَ: إِنَّ النَّاسَ مَعَادِنُ، خِيَارُهُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ خِيَارُهُمْ فِي الْإِسْلَامِ إِذَا فَقِهُوا، لَا تُؤْذُوا مُسْلِمًا بِكَافِرٍ


Maksudnya:"Ikrimah mengeluh kepada Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam ketika ia melalui kota Madinah maka dikatakan kepadanya, “Ini adalah putera musuh Allah Abu Jahl”. Maka Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam berdiri dan berkhotbah, ia berkata, “Manusia itu adalah unsur-unsur, yang terbaik diantara mereka di zaman jahiliyah maka terbaik juga jika masuk Islam apabila mereka faqih (belajar agama). Janganlah kalian menyakiti seorang muslim dengan (mencela) orang kafir (yang merupakan kerabatnya)".

Diriwayatkan oleh Al-Hakim (5601) akan tetapi dinilai dhoíf oleh Adz-Dzahabi.


Kesimpulannya,  membicarakan keburukan orang yang telah meninggal adalah  salah satu dari bentuk larangan Nabi. Namun jika kita masih menjumpai atau mendengar orang lain sedang membicarakan keburukan orang yang sudah meninggal. 


Maka dalam situasi tersebut sikap kita yang paling utama adalah mengingkarinya dengan cara mengingatkan dan mengajak orang lain ke jalan yang lebih baik.

Namun jika kita tidak mampu mengingkarinya, maka jalan terbaik adalah pergi dari perbicaraan tersebut, sebagai bentuk berlepas diri kita dari perbuatan tersebut. 


Dalam surah An-Nisa ayat 140, Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ ۚ إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا


Maksudnya:"Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahannam". 

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...